Chapter 45

Romance Completed 11698

SUATU malam, Haryanti dapat panggilan daripada Azizah. Kakaknya tu merayu pada Haryanti supaya duduk di rumah, jaga ayahnya. Kata Azizah, dua tiga hari lagi pembantu rumah Indonesia mereka nak berhenti kerja dan balik Indonesia setelah empat tahun bekerja di sini. Alasan pembantu rumahnya macam kelakar juga, katanya empat tahun dulu dia merajuk pada suaminya yang kahwin lagi satu, terus membawa diri ke perantauan.

Sekarang suaminya dah bercerai dengan isteri mudanya, maka isteri pertamanya berdetap-detup jantungnya terpingin untuk pulang mengulit suaminya. “Dulu ngak mahu diulit kerna udah diulit bini mudanya.” Itulah kisah bibik Indonesia di rumah itu. Nak dihalang tak boleh.

Sebab itu Azizah merayu benar pada Haryanti. Haryanti faham, kalau perkara tu macam kecil takkanlah kakaknya sampai ke tahap merayu sebegitu. Haryanti tahu, Azizah ada suami dan anak-anak, tak boleh nak jaga abah seharian, datang sekejap-sekejap bolehlah. Ini semua menambahkan rasa serba salah dalam dirinya. Selama ini alasannya adalah untuk mencari ketenangan diri, sebab itu dia menjauhkan diri dengan ibu bapa.

Sekarang Haryanti perlu berpuas hati yang dia mencapai tahap ketenangan yang diharapkan. Dia tak boleh selamanya mengasingkan diri dengan keluarga, abahnya sekarang sudah tidak sihat lagi. Kalau ikutkan rasa sedih dan perasaan seorang anak kesayangan bapanya, tentu Haryanti turutkan saja nasihat kakaknya itu. Tapi satu masalah yang Haryanti sendiri tak berani tempuh adalah masalah dengan Fuad. Haryanti sudah buang nama itu jauh-jauh dari hatinya dan tidak mengaku abang lagi. Dia tak mahu bertentang mata lagi dengan abangnya itu.

Haryanti minta maaf pada kakaknya dan minta sedikit masa lagi untuk memikirkannya. Di rumah sewa Haryanti pun, dia macam orang asing sebab ketiadaan Nani.

Esoknya, waktu makan tengah hari, Haryanti ke tempat kerja Nani dan makan tengah hari bersama.

“Nani, perlu ke aku pindah duduk dengan mak bapak aku?” tanya Haryanti.

“Kenapa tidak? Aku rasa sekaranglah masa yang sesuai kau jaga ayah kau yang sakit tu. Kau anak perempuan yang belum kahwin, kau saja yang boleh lakukannya berbanding adik beradik kau yang lain,” kata Nani.

Sementara itu, Hazman dengan Syikin nampaknya makin intim. Cuma Hazman lebih berhati-hati berkawan dengan wanita berjawatan sebegitu, Syikin cikgu berijazah dan sedang buat master. Hazman sedar dirinya siapa dan dia cuba mengelak untuk jatuh cinta lagi dengan gadis manis bercermin mata itu. Selesai SPM dan STPM, Hazman bawa Nizar ke JB untuk bantunya berniaga burger sementara tunggu keputusan periksa. Syira pula, Hazman suruh jaga mak ayah di kampung dan dia bayar gaji pada Syira.

Lama-kelamaan hubungan Man dan Syikin itu tidak jadi rahsia lagi pada Nizar. Nizar pula yang tak pandai rahsia tu, cerita pada maknya dan Syira di kampung.

“Man selalu keluar dengan Cikgu Syikin?” tanya Mak Munah pada Nizar pada satu hari ketika Nizar balik kampung.

Mak Munah tak kata apa-apa pun bila Nizar mengiyakan soalan itu. Seolah-olah macam tak berapa layan sangat cakap Nizar tu. Dalam bilik, Syira tanya panjang lebar dengan Nizar mengenai hubungan Hazman dengan Cikgu Syikin.

“Betul ke abang selalu keluar naik kereta dengan Cikgu Syikin?” tanya Syira nakkan kepastian.

“Sumpah, kak... Abang Man selalu naik kereta berdua termasuk hantar dan jemput Cikgu Syikin ke universiti. Sampai gerai burger pun sekarang pun dah jarang. Nizar dan Aboi saja yang niaga hari Jumaat, Sabtu, Ahad,” kata Nizar.

Syira seakan tidak percaya lagi kata-kata Nizar tu walaupun dia tahu adiknya itu tak pernah menipu. Malam tu Syira merenung hadiah pemberian Haryanti yang masih belum diserahkan pada Hazman tu. Syira sendiri tak berapa pasti apakah isi hadiah dalam tu tapi Syira dapat agak yang itu hadiah istimewa. Syira seakan hendak saja telefon Cikgu Syikin, nak marah dan tengking supaya jangan ganggu abangnya itu. Tapi sekali fikir lagi, macam tak patut. Cikgu Syikin cikgu kesayangannya, yang dia hormat, takkanlah dia nak buat begitu.

Syira mula rasa Hazman tak setia dengan Haryanti. Syira simpan dendam kesumat pada Hazman, tunggu abangnya balik kampung, nak saja Syira tanya soalan cepu emas tu. Syira dah bersedia, kalau Hazman kata dia ada hubungan istimewa dengan Cikgu Syikin, macam Syira nak lepaskan saja peluru M16 pada Hazman.

Satu hari tu Cikgu Syikin telefon Syira, katanya nak datang rumah Syira. Kemudian Cikgu Syikin datang dan nak minta jadi guru ganti di sekolah lama Syira. Syira mulanya nak tolak tapi mengenangkan gaji yang baik dan dia pun tak buat apa kerja di rumah, Syira terima. Macam tak percaya, Syira dulu pelajar di situ, tak berapa lama, jadi guru pula, mengajar tingkatan satu dan dua. Syira semakin rapat dengan Cikgu Syikin di sekolah hingga Syira lupa perasaan marah dan nak tahu cerita hubungan Cikgu Syikin dan Hazman.

Haryanti masih tinggal di rumah sewa tetapi sudah berazam untuk tinggal di rumah ibu bapanya beberapa hari lagi sehingga hujung bulan. Satu hari tu, sebelah malam, Haryanti dapat panggilan telefon daripada Azizah. Kakaknya cemas bercampur sedih.

“Yanti, ada berita mengejutkan!”

“Kenapa dengan abah, kak?” tanya Haryanti dengan cemas.

“Bukan abah, Abang Fuad!”

“Kenapa pula dengan Fuad?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience