Chapter 7

Romance Completed 11698

MEREKA tiba di Kuala Lumpur sekitar pukul 6.30 petang. Haryanti meminta Hazman menurunkannya di kawasan bandar. Dia kemudiannya mengambil teksi untuk balik ke rumah ayahnya. Hazman pula bermalam di hotel sekitar Jalan Masjid India pada malam itu.

Sebelah malamnya, hampir kesemua abang dan kakak Haryanti datang ke rumah ayahnya, seakan ada kenduri besar pula. Sejak dia sampai di rumah tadi, tidak ada satu pun soalan daripada ayah atau ibunya berkenaan hasrat Haryanti yang nak berkahwin itu.

Selepas makan malam, Haryanti duduk di bilik seakan tidak mahu berbual di ruang tamu bersama abang dan kakaknya. Dia berasa cukup risau dan timbul rasa menyesal kerana berterus-terang kepada Azizah sebelum ini. Tetapi Haryanti tetap tabahkan hati. Dia berazam akan terima apa saja kemungkinan yang berlaku.

Lebih kurang pukul 9.00 malam, Puan Nisah memanggil anak gadisnya itu keluar. Di ruang tamu, seluruh anggota keluarganya berada di situ. Kecuali ipar-duainya yang sedang bersembang di luar rumah. Fuad yang mula-mula bersuara.

“Yanti, dah tak ada lelaki lain ke?”

Haryanti tunduk sambil duduk, kemudian dia berkata dengan yakin, “Abang, ayah, ibu, izinkan Yanti buat pilihan sendiri untuk mencari bakal suami Yanti. Yanti yang nak kahwin, Yanti tahu lelaki yang Yanti pilih.”

Suasana sudah mula bertukar tegang dan Haryanti seakan mahu menangis. Fuad pula sudah mula meninggikan suara.

“Kalau pilih lelaki yang bagus tak apalah jugak! Ini penjual burger tepi jalan! Tak ada lelaki lain ke?” Fuad menengking sambil berdiri.

Kamal, abang yang sulung, mula masuk campur untuk menenangkan keadaan. Dia tak mahu perjumpaan itu jadi tegang.

“Yanti, kami nak tahu, kenapa kamu pilih lelaki tu. Kenapa dia jadi pilihan Yanti?” Kamal menyoal dengan suara yang agak lembut.

Haryanti tak dapat jawab, sebaliknya terus menangis dengan kuat sambil mengesat air mata dengan lengan bajunya. Melihat kepada keadaan itu, Azizah mula bersuara.

“Saya tak setuju kalau kita menghina seorang penjual burger. Kenapa kita patut hina dia? Tak baik! Kita semua pun tak pernah tengok dan jumpa dengan orangnya, tapi cakap yang bukan-bukan. Apa yang penting pada kita, bolehkah lelaki ni jadi seorang suami yang baik, yang dapat membimbing dan menjadi ketua keluarga? Kenal dulu dengan orangnya!”

“Saya tak nak nama baik keluarga kita tercemar kerana jantan penjual burger ni!” Fuad masih tidak mahu beralah.

Ternyata Haryanti sudah tidak dapat menahan kemarahan, dia tak dapat terima perkataan “jantan” itu. Haryanti mula mengamuk, “Abang! Sampai hati abang hina dia macam tu! Sampai panggil dia ‘jantan’. Abang tu pun bukannya baik sangat. Entah-entah, abang tu lebih teruk lagi dari orang yang abang kata tu!”

Perasaan Haryanti tidak dapat dikawal lagi. Secara sepontan, dia membaling bantal kecil penutup kusyen dan mengenai muka abang keduanya itu. Haryanti kemudiannya lari dan masuk ke bilik sambil menghempas pintu bilik dengan kuat. Dia mengunci pintu bilik dari dalam dan menangis teresak-esak dalam bilik seorang diri.

Puan Nisah yang terkejut dengan kejadian itu terus bangun dan mengetuk pintu bilik anak gadisnya itu. Dia cuba memujuk dan memangil Haryanti, tetapi tidak bersahut. Di luar, Fuad terus mengamuk.

“Hah, mak ayah tengok tu! Tu dah termakan ilmu hitam mamat burger tulah. Siap, nanti aku kerjakan mamat tu! Baru dia tahu siapa aku!”

Tidak puas hati dengan sikap abangnya, Azizah bersuara. “Apa abang nak buat ni?! Kenapa adik-beradik lain boleh cari jodoh sendiri, kenapa tak Yanti?”

“Betul tu, Azizah. Siapa yang kata tak betul? Nak cari jodoh sendiri tu carilah, tapi perlu restu daripada keluarga. Kalau dah tak restu, takkan boleh jadi sebahagian keluarga kita,” Kamal pula masuk campur. Dia cuba berdiplomasi.

“Hati orang boleh dipaksa-paksa ke? Kita semua mesti tahu perasaan gadis sekarang. Kalau hati dah terpaut dengan lelaki pilihan, takkan boleh bahagianya kalau dijodohkan dengan orang lain,” balas Azizah.

“Lelaki pilihan konon! Takkanlah mamat burger tu yang dia berkenan? Gunalah kepala otak sikit. Tak guna belajar tinggi-tinggi!” Fuad masih berang.

Melihat kerenah anak-anak yang bertengkar, Tuan Hashim memegang dadanya sambil tertunduk. Dia sudah hampir berusia 70 tahun, ada sakit darah tinggi dan lemah jantung. Malah, Tuan Hashim pernah buat pembedahan pintasan jantung. Sambil tangan diletakkan di dada, dia mula bersuara.

“Abah dah besarkan kamu semua dengan pendidikan agama dan akademik yang baik. Abah tak mahu engkau orang semua bergaduh sesama adik beradik. Nanti kalau abah dah tak ada, tak tahulah engkau orang boleh bertegur sapa ke tidak.”

Tuan Hashim terus memegang dada dan menitiskan air mata. Melihat keadaan itu, suasanan yang tadinya hangat bertukar sepi. Puan Nisah memimpin suaminya masuk ke bilik tidur.

“Sudahlah! Mak panggil kamu semua ni nak berbincang, bukan nak bergaduh,” kata Puan Nisah dengan kesal. Dia terus memimpin suaminya ke bilik.

Di ruang tamu, berlaku pertengkaran lagi di antara Fuad dan Azizah. Fuad terus menengking, “Saya tak akan izinkan Yanti kahwin dengan mamat burger tu. Tengoklah apa yang saya nak buat lepas ni!”

“Sudahlah. Saya bukan kata nak menyokong lelaki pilihan Yanti tu tapi biarlah kita berbincang dengan elok. Kita dengarlah pandangan Yanti dulu, jangan terus menghentam dia. Sebab tu kita panggil dia balik sini. Dia tu perempuan, bukan lelaki! Dalam keadaan macam ni kita kena cakap elok-elok dengan Yanti,” kata Azizah. Dia mula beralah melihatkan sikap kepala batu abangnya itu.

“Tak guna kita bertengkar, kita nak bincang dan nak cari jalan penyelesaian. Abang rasa kita semua baliklah dulu. Tak ada gunanya kita terus berbalah macam ni. Tengok abah pun dah tak sihat. Rasanya elok kita bincang di rumah abang di Shah Alam dalam dua tiga hari ni. Bila dah ada penyelesaian, barulah kita beritahu abah dan mak. Lepas tu kita jelaskan pendirian kita pada Yanti,” kata Kamal dengan lembut.

Adik-adiknya hanya diam bersetuju.

Hazman pula pada malam itu hanya jalan-jalan di sekitar Jalan Masjid India. Dia hantar SMS kepada Haryanti beberapa kali tetapi tiada jawapan. Hazman rasa, mungkin Haryanti sedang sibuk atau sudah tidur. Sehinggalah dia terlena pada jam 11.30 malam, Hazman tetap menanti balasan SMS daripada Haryanti tetapi tiada.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience