Chapter 20

Romance Completed 11698

HARYANTI menghampiri Mak Munah. Dia kuatkan semangat untuk melangkah ke arah Mak Munah untuk mengetahui jawapannya. Pak Din dan adik-adik Hazman hanya memerhatikan saja tanpa berkata apa-apa.

“Mak cik, bagaimana keadaan Man?”

Tanpa menjawab soalan itu, Mak Munah terus memeluk Haryanti dan air matanya terus mengalir dengan derasnya. Haryanti terus kehairanan dan jantungnya berdebar kencang.

“Bagaimana Abang Man, mak cik?” Haryanti bertanya sekali lagi.

Mak Munah masih tidak dapat berkata-kata. Melihat keadaan itu, Pak Din mula bersuara untuk menenangkan keadaan. Dia berkata, “Sama-sama kita doakan keselamatan Man. Sudah beberapa jam kami menunggu di sini tapi masih belum ada jawapan daripada doktor atau jururawat.”

Haryanti sedikit lega dengan jawapan itu. Dia melepaskan pelukan Mak Munah tadi. Dia benar-benar bimbang sesuatu yang buruk telah terjadi pada Hazman semasa pembedahan berlangsung. Syukur, rupa-rupanya semuanya masih menunggu berita. Mak Munah menangis kerana bimbang. Seorang ibu tak dapat menahan kesedihan bila anak kesayangannya bertarung dalam bilik pembedahan seperti itu. Ditambah lagi, dijanjikan tempoh masa pembedahan hanya satu jam, namun sudah masuk tengah malam dan pembedahan masih belum selesai. Walaupun risau, Haryanti berusaha mengawal perasannya. Dia tidak mahu menambahkan lagi kerisauan Mak Munah yang sudah tak keruan.

Tidak lama kemudian, seorang doktor dalam lingkungan 40-an keluar dari bilik pembedahan. Haryanti pergi ke arah doktor dan berbual dalam bahasa Inggeris. Haryanti diberitahu yang pembedahan ke atas Hazman telah selesai tetapi lelaki itu masih dirawat dan belum dibenarkan keluar lagi. Bila ditanya bagaimana keadaan Hazman, doktor
tersebut enggan mengulas lanjut atas sebab-sebab tertentu.

Haryanti menjelaskan semua itu kepada keluarga Hazman yang sedang dihimpit kerisauan itu. Mereka sedikit lega apabila mengetahui yang Hazman sudah selamat dibedah.

Tak lama kemudian, Hazman dibawa ke biliknya semula. Kepalanya berbalut dan dia masih belum sedarkan diri. Mesin ECG yang menunjukkan keadaan degupan jantung Hazman kelihatan normal. Melihatkan keadaan itu, Haryanti kembali ke hotel manakala keluarga Hazman terus menemaninya di wad.

Esok paginya, Haryanti ke hospital lagi untuk melawat Hazman. Waktu itu Hazman masih belum bangun tidur. Menurut Syira, malam tadi dia nampak ada pergerakan pada mulut, kaki dan tangan Hazman.

Di pejabat Haryanti pula sedang huru-hara. Permohonan cuti kecemasan Haryanti yang dipohon melalui Noor itu tidak diluluskan oleh Tasim, ketua keraninya.

“Mana boleh cuti! Kan hari ini hari terakhir dia bertugas? Isnin ni dia kena melapor diri di Kuala Lumpur. Penyerahan kerja macam mana?” Tasim mula marah.

“Saya tak tahu, Encik Tasim. Yanti cuma beritahu saya itu saja. Dia kata, hari ni dia cuti. Dia pun tak kata dia berada di mana. Malam tadi pun dia tak balik rumah,” kata Noor.

“Masalahnya kalau bos tanya nanti, saya nak jawab apa? Hari ni bos mesti tanya dan nak jumpa Yanti untuk serah tugas dan lain-lain lagi! Kalau Yanti tak ada, susahlah nanti,” kata Tasim, kesal.

“Saya cuma menyampaikan pesan Yanti saja. Kalau Encik Tasim nak tau cerita lanjut, telefonlah Yanti sendiri,” jawab Noor dengan lembut. Dia tidak mahu dimarahi disebabkan oleh orang lain.

Tasim serba salah untuk telefon Haryanti. Bos ada di pejabat hari ni. Apa yang dia nak jawab kalau ketuanya itu bertanyakan Haryanti? Kalau cuti mesti isi borang cuti dan mohon cuti dulu. Lagi pun ini hari terakhirnya. Tak munasabah langsung kalau nak cuti. Macam-macam benda kena diselesaikan. Tasim kemudiannya panggil Azhar, rakan setugas Haryanti. Tasim dan Azhar keluar minum bersama pagi itu. Di kedai makan mereka berbual.

“Azhar, boleh ke kau telefon Yanti? Kalau boleh minta dia masuk pejabat juga hari ni. Banyak benda nak selesaikan,” kata Tasim.

“Susahlah, Encik Tasim. Silap hari, saya pulak kena marah nanti,” jawab Azhar.

“Saya faham, Azhar. Tapi saya rasa kau sajalah yang boleh berbincang dengan Yanti tu. Kalau Noor, saya nampak dia macam takut-takut dengan Yanti tu.”

Azhar akhirnya akur dan bersetuju menelefon dan memujuk Haryanti. Waktu di hospital, telefon Haryanti berbunyi. Dia menjawab panggilan tersebut.

“Yanti, ada di mana sekarang?”

“Aku ada di luar JB. Aku sendirian untuk mencari ketenangan jiwa,” jawab Haryanti.

“Ketenangan jiwa? Ni bawak diri ke apa?”

“Maklumlah, Azhar. Kau kan tahu, orang dah tak suka aku lagi kat JB. Jadi, baiklah aku membawa diri!”

“Janganlah cakap macamtu, Yanti. Kami semua sedih kehilangan kau di sini...,” pujuk Azhar.

“Kau tak kena macam aku rasa, Azhar.

Tak apalah, aku turutkan saja, apalah daya aku.... biarlah aku bawak diri!”

“Yalah, kau ni kalau nak bawak diri pun, tunggulah lepas habis kerja. Mana boleh cuti hari terakhir macam ni. Kalau boleh, kau masuklah pejabat hari ni. Banyak benda perlu kau buat. Penyerahan tugas, rekod perkhidmatan, rekod cuti dan lain-lain. Lagi pun kami nak jumpa kau hari terakhir ni,” Azhar terus memujuk.

“Masuk pejabat? Tak naklah! Aku bukan ada kat JB ni. Cuti aku banyak lagi. Takkan cuti sehari pun bos nak bising?” Haryanti masih berkeras.

“Masalahnya, masa kau tak kena. Urusan kau banyak di pejabat ni. Susah Encik Tasim nak jawab untuk kau. Encik Tasim kata, mesti bos nak jumpa kau hari ni. Apa Encik Tasim nak jawab pada bos?” kata Azhar, kali ini dengan suara tegas menyebabkan Haryanti terdiam seketika.

“Yanti, jangan ikutkan perasaan. Jangan sampai rekod kerja kita kotor nanti. Kita belum disahkan jawatan. Banyak benda yang kita kena fikir pasal masa depan kerja kita ni. Kalau kita tak jaga hati bos, susah dia nak sokong pretasi kerja kita nanti. Lagipun kalau kau buat macam ni, Encik Tasim yang akan kena. Tak baik kalau buat orang macam tu sebab kita, kan?” Azhar tetap memujuk.

Haryanti termenung selepas perbualan telefon dengan Azhar itu. Fikirannya makin serabut. Hazman masih belum terjaga lagi. Dia sukar untuk meninggalkan Hazman dalam keadaan macam itu. Dia tak sanggup. Sekurang-kurang dia hendak melihat Hazman sedar. Kalau boleh, kali pertama mata Hazman buka mata, yang dipandangnya adalah Haryanti. Dia tak mahu melepaskan peluang itu. Itulah bukti paling kukuh yang membuktikan kesetiaan cintanya pada lelaki itu.

Sementara itu sekitar tengah hari, Tasim dipanggil ke bilik ketuanya.

“Di mana Yanti hari ni, tak nampak pun?”

“Maaf, tuan. Yanti tak datang, dia beritahu ada masalah peribadi dan ambil cuti,” jawab Tasim dengan berhati-hati.

“Cuti? Siapa benarkan dia cuti?”

“Tak, tuan. Dia cuma beritahu saja. Saya dah hubunginya dan minta dia masuk juga tapi sampai sekarang dia belum datang,” jawab Tasim.

“Apa masalah Yanti ni. Hari ni kan hari terakhir. Isnin dia dah kena lapor diri di KL. Nak buat perangai pun bukan masa ni! Bila dia nak buat serah tugas dan lain-lain?”

“Maaf, tuan. Saya akan cuba hubungi dia lagi.”

“Tak payah! Biar saya saja hubungi dia kejap lagi!” ternyata ketuanya itu marah. Suaranya tinggi.

Tasim keluar dari bilik ketua dengan muka yang masam. Kakitangan lain dapat lihat perubahan pada muka Tasim yang mereka tahu, mungkin Tasim kena marah. Memang Tasim dah jangka, hal Haryanti ini akan menyebabkan ketua mereka naik angin. Dalam hati Tasim, perasaan marah membuak-buak pada gadis itu. Hati Tasim membebel, tak sepatutnya Haryanti buat begini sehingga dirinya yang jadi mangsa kemarahan bos. Tapi rasa geram Tasim tak lama. Dia sudah lama bekerja, dah dekat nak pencen pun. Setakat kena tegur keras sikit dengan ketua ni dah jadi perkara biasa. Dia tak simpan dalam hati sangat.

Haryanti pula kembali semula ke hotelnya. Dia buat keputusan untuk menyambung bermalam sehari lagi di hotel itu. Tiba di bilik hotel, dia dapat panggilan telefon daripada ketuanya. Haryanti mula gementar untuk menjawab panggilan itu. Akhirnya, dia ambil keputusan untuk tidak menjawab panggilan itu. Fikirannya bertambah kusut. Dia takut apabila ketuanya sendiri yang menelefonnya. Tidak! Tidak! Tidak! Haryanti tak akan jawab panggilan itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience