Bab 15

Romance Series 14493

“Macam mana kau buat kerja hah...aku suruh benda yang simple pun kau tak boleh nak buat ke?” soal gadis tersebut.

“Aku dah cuba. Manalah aku tahu yang si Am tu nak lindung dia. Aku bukanlah boleh baca fikiran orang.” Jelas Afiq. Sengal betul minah ni...marah-marah aku pulak, gumam Afiq.

“Kalau kau buat dengan cekap mesti kena punya. Sekarang tengok tak pasal-pasal Am yang kena. Nasib baik tak ada apa-apa yang buruk terjadi kat Am, kalau tak siap kau!” ugut gadis itu. Hatinya panas saat rancangan yang diatur kemas hancur begitu sahaja.

“Apa pulak aku? Bukan kau ke yang suruh aku buat macam tu. So sekarang ni bila benda tu tak jadi kau nak salahkan aku sorang. Banyak cantik muka kau,” balas Afiq geram.

“Aku suruh kau baling dekat si Syasya tu, bukan dekat Am!”

“Hello kau sendiri nampakkan yang dia lindung Syasya so bukan salah aku okey. Lagipun dah terbukti yang si Am tu sukakan si Syasya. Aku rasa kau tak akan dapat apa-apa dengan kerja bodoh kau ni,” ujar Afiq sinis. Sakit hatinya bila dimarahi oleh seorang perempuan.

“Kau cakap baik-baik sikit, ini bukan urusan kau!” marah gadis itu. Mukanya merah menahan marah.

“Eh kau dengar sini, aku tak akan terlibat lagi dengan kerja gila ni. Aku pun tak tahulah kenapa aku boleh ikut cakap kau. Nah ambil balik duit kau yang tak seberapa ni. Aku tak perlukan duit hasil kerja kotor macam ni even pun aku perlu duit, aku tak akan ambil duit haram macam ni,” Afiq meletakkan sampul yang berisi duit ke atas meja dan berlalu pergi.

Dia betul-betul menyesal kerana mengikut kata-kata gadis itu hanya kerana dia perlukan duit. Seandainya sesuatu yang terjadi ke atas Ammar atau Syasya pasti dia tidak dapat maafkan dirinya seumur hidup. Maafkan aku Am...maafkan aku Sya, keluh Afiq.

“Kurang ajar! Tapi tak apa aku tak perlukan orang pengecut macam Afiq tu. Aku boleh jalankan rancangan aku sendiri. Aku akan pastikan kau merana Syasya! Aku akan putuskan hubungan kau dengan Am. Am hanya milik aku seorang. Hanya aku!” Gadis itu ketawa sinis. Dalam hatinya penuh dengan api dendam. Tanpa disedarinya dendam itulah yang memakan dirinya sedikit demi sedikit.
**
“Untung awak Sya, ada orang sayangkan awak macam si Am tu,” ujar Amira sambil tersengih.

“Ish tak ada maknanya. Dia sayang sebagai sahabatlah, tak lebih dari tu,” jelas Syasya sambil cuba sembunyikan senyumannya.

“Betul ke atau jangan-jangan awak pun dah jatuh hati dekat si Am tu...?” serkap Amira.

“Mana ada. Siapalah saya ni kalau nak dibandingkan Am yang kaya tu. Saya sedar siapa saya,” balas Syasya merendah diri.

“Janganlah merendah diri sangat Syasya. Lagipun Ammar tak pandang pun semua tu. Saya yakin dia mampu buat awak bahagia.” Komen Amira sambil mengayuh basikalnya seiring dengan Syasya.

“Tapi cinta monyet bukan cinta segalanya. Sukar untuk dikekalkan. Saya rasa baik saya fokus dalam pelajaran aje dulu.” Jelas Syasya.

“Tidak mustahil kalau itu jodoh awak. Kalau itu takdir awak. Cuma awak perlu yakin pada diri awak. Berdoalah kepada Dia, Sya. Insya-Allah...Dia mampu menolong awak,” nasihat Amira. Dia sentiasa mendoakan semoga Syasya ditemukan dengan lelaki yang baik seperti Ammar.

“Thanks, Amira. Untuk semua nasihat awak, saya akan ingat,” ucap Syasya tersenyum.

“Sama-sama. Kebahagiaan awak, kebahagiaan saya juga.” Balas Amira.

“Oh hampir lupa. Awak dah minta maaf dengan Danial?” soal Syasya. Pertanyaan Syasya membuatkan riak wajah Amira berubah.

“Dah.” Jawab Amira perlahan.

“So, macam mana?” tanya Syasya ingin tahu. Dia berharap sangat hubungan Amira dan Danial sudah pulih.

“Danial tu teruk tau. Saya dah minta maaf tapi dia boleh buat tak tahu je. Mana saya tak angin.” Luah Amira geram. Kayuhannya dipercepatkan kerana perasaan marah menujah fikirannya.

Syasya hanya tersenyum. Dia tak nak masuk campur sangat biarlah mereka menyelesaikan masalah itu sendiri. Baginya Amira dan Danial pasangan yang sesuai tetapi mereka masing-masing mempunyai ego yang tinggi.

Mereka mengayuh dengan hati-hati untuk sampai ke kawasan perumahan yang tidak berapa jauh lagi. Tiba-tiba sebuah kereta memotong dengan laju dan hampir sahaja melanggar mereka padahal mereka sudah berada di landasan yang betul. Entah kenapa kereta itu seperti menghimpit mereka.

Hal itu menyebabkan Syasya hilang keseimbangan badannya. Syasya cuba untuk mengawalnya tetapi tidak berjaya. Syasya terjatuh dengan basikalnya di tepi jalan. Kereta itu terus bergerak laju tanpa berhenti. Amira yang melihat kejadian itu terus menghentikan basikalnya lalu berkejaran ke arah Syasya.

“Awak tak apa-apa?” soal Amira sambil memeriksa badan rakannya.

“Saya tak apa cuma luka sikit aje kat tangan,” balas Syasya perlahan sambil mengerang kesakitan. Amira memerhati luka di tangan Syasya yang mula berdarah. Amira mengajak Syasya pulang membersihkan luka tersebut untuk elakkan dari terkena jangkitan kuman.
**
Sampai sahaja di rumah Syasya, Amira terus menolong rakannya membersihkan lukanya. Untung saja Encik Aziz masih belum pulang, kalau tidak pasti pelbagai soalan ditanyakan. Syasya tidak ingin papanya bimbang memikirkan dirinya. Setelah selesai membalut luka, Amira mula meluahkan perasaan geramnya terhadap pemandu kereta tersebut.

“Sengal betullah pemandu tu, kenapalah dia masih nak himpit kita lagi sedangkan jalan punyalah luas. Sah-sah otak pemandu tu dah biul.” Marah Amira. Syasya hanya mendiamkan diri. Entah kenapa hari ini pelbagai kejadian menimpa dia. Syasya mula menghidu sesuatu yang aneh.

“Syasya! Awak okey ke?” soal Amira kerana melihat Syasya hanya mendiamkan diri.

“Saya peliklah,” ujar Syasya perlahan.

“Apa yang peliknya?” soal Amira kembali. Syasya terus menceritakan semua kejadian yang menimpanya hari ini. Amira tergaman. Dia mula merasakan sesuatu yang tidak kena.

“Awak rasa semua ni dirancang oleh seseorang?” tanya Amira. Dia tahu apa yang sedang bermain di fikiran rakannya kerana hal itu juga yang sedang difikirkannya.

“Saya tak tahu.” Balas Syasya. Dia tidak mahu berburuk sangka meskipun hatinya kuat menyatakan tentang hal itu.

“Tak apalah awak rehat aje dulu. Jangan fikir yang berat-berat nanti awak juga yang sakit. Saya balik dulu. Jumpa esok.” Ujar Amira lalu mengambil basikalnya dan bergerak ke rumahnya yang hanya selang tiga buah rumah dari rumah Syasya.

Syasya memasuki rumahnya. Dia duduk di sofa. Hati Syasya mula tidak tenang dan dirinya mula berfikiran yang bukan-bukan.

Apa ini semua ada kena mengena dengan hubungan aku dan Am. Mungkin ada orang tak suka dengan hubungan ini. Tapi siapa....kak Fasha ke? Ahh! Aku tak boleh tuduh orang sesuka hati nanti boleh jadi fitnah. Tumpah air? Hampir kena bola? Hampir kena langgar? Kenapa semua benda tu boleh berlaku pada hari yang sama. Ish dahlah dari aku fikirkan hal ni, baik aku siapkan hidangan makan malam untuk aku dan papa....Syasya terus bergerak ke dapur.
**
Malam itu, semasa Ammar sedang termenung di ruang tamu rumahnya. Babanya datang menyapa.

“Am dah study?” soal babanya, Tengku Ismail.

“Dah baba.” Jawab Ammar perlahan tanda hormatnya kepada Tengku Ismail. Walaupun Tengku Ismail seorang berkerjaya tetapi dia tidak pernah melupakan keluarganya. Tengku Ismail seorang yang bertanggungjawab serta penyayang dan sifat itulah yang tertumpah dalam darah yang mengalir dalam diri Ammar sekarang.

“Am dah fikir nak sambung belajar dekat mana lepas habis SPM nanti?” soal Tengku Ismail. Ammar termengu. Dia buntu untuk menjawab kerana dia masih belum ada jawapannya lagi. Tengku Ismail tertawa melihat kekalutan di wajah anak terunanya.

“Baba harap nanti Am buatlah pilihan yang tepat supaya nanti tak tersalah pilih. Ingat exam SPM tinggal beberapa bulan aje, jangan main-main lagi. Just focus on your study.” Nasihat Tengku Ismail sambil menepuk belakang anaknya dan berlalu ke tingkat atas. Ammar hanya tersenyum. Am akan ingat pesan baba....

“Oitt tersenyum ni teringatkan awek ke...” sergah Amylia sambil meletakkan secawan susu di atas meja.

“Tak adalah. Am mana ada awek,” balas Ammar malu-malu. Teringat peristiwa yang berlaku petang tadi sungguh dia tidak menjangkakan yang bola itu hampir terkena Syasya. Untung sahaja dia cepat bertindak. Dia tidak dapat bayangkan kalau seandainya bola itu mengena Syasya. Walaupun badannya sedikit perit bila terkena bola itu tetapi sungguh dia bersyukur kerana bukan Syasya yang merasainya.

“Kata tak ada awek...ni sampai dah termenung bagai ni. Mesti ada apa-apa,” ujar Amylia sambil menepuk bahu Ammar yang masih lagi berangan. Ammar tersentap. Amylia hanya mengelang kepala melihat tingkah laku pelik adiknya itu.

“Akak cakap apa?” tanya Ammar kembali. Dia langsung tidak mendengar pertanyaan kakaknya kerana fikirannya sentiasa dipenuhi dengan nama Syasya Ilyana.

“Siapa gadis bertuah tu Am?” Amylia memandang tepat ke arah Ammar. Ammar terkaku. Apa aku nak jawab ni...

“Erk...apa yang kak Amy mengarut ni. Am tak ada awek pun.” Jelas Ammar tergagap.

“Am janganlah tipu akak. Akak kenal sangat perangai Am. Am tak akan duduk kat sini sambil termenung dan tersengih macam kerang busuk macam ni tau. Akak yakin Am ni dah kena panahan asmara, kan?” serkap Amylia. Dia perasan akan perubahan adik kesayangannya ini beberapa hari yang lalu. Dia sudah peka sangat dengan simptom orang jatuh cinta ni.

“Am sukakan dia tapi Am tak tahu dia sukakan Am ke tak...” Ammar mula membuka ceritanya. Tak guna juga dia sorok perasaannya dari Amylia. Lambat laun pasti terbongkar, jadi baik dia sendiri yang berterus terang tentang rahsia hatinya.

“Am cuba cerita dengan akak. Mana tau akak boleh tolong.” Ammar terus menceritakan semuanya termasuk peristiwa petang tadi kepada Amylia dengan harapan kakaknya dapat menolongnya. Setelah mendengar cerita Ammar, Amylia terus menampar belakang adiknya.

“Aduh kenapa kak Amy tampar Am...” kata Ammar sambil cuba menggosok belakangnya. Walaupun tamparannya tidaklah kuat mana tetapi kakaknya menampar pada tempat dia terkena bola. Itulah yang buatkan belakangnya sedikit perit.

“Yalah, dah Am cuba nak berlagak jadi hero kenapa...?” soal Amylia. Bukan niatnya untuk memarahi tindakan Ammar tetapi dia takut terjadi sesuatu yang buruk terhadap satu-satunya adik yang dia ada. Dia tahu niat Ammar baik, tapi keselamatannya juga harus dijaga.

“Kak, Am tau kak sayang Am. Tapi Am tak dapat bayangkan kalau bola itu terkena dia. Mungkin dia boleh jatuh pengsan sebab fizikalnya lemah dan Am tak nak itu terjadi. Kalau akak ada di tempat dia pun, Am pasti akan selamatkan sebab Am tak nak orang yang Am sayang terluka.” Ammar hanya mengeluh setelah menjelaskan panjang lebar tentang situasi yang sebenar.

Amylia mendekati Ammar lalu menggosok perlahan belakang tubuhnya. Ammar hanya membiarkannya.

“Akak minta maaf...” ujar Amylia perlahan.

“Tak apa. Am tak marah. Am tau niat akak cuma nak lindung Am tapi Am lelaki. Jadi sudah pasti seorang lelaki mesti melindungi seorang gadis dan gadis itu pula orang yang Am sayang. Bolehkan Am lindung dia kak?” pinta Ammar manja.

Amylia hanya mengangguk. Demi adiknya dia sanggup untuk membantunya. Kini mengertilah dia bahawa Ammar sudah mula jatuh cinta....

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience