Bab 73

Romance Series 14495

“Sayang?”

Syasya mula tidak sedap hati. Dia yakin itu dia! Syasya segera membuka langkah untuk pergi dari situ. Namun apa sangatlah pergerakan pantas seorang perempuan mengandung, tangan Syasya dipaut.

“Sayang!” Ammar mengadap Syasya.

“Please, listen to me! Jangan lari dari abang,” rayu Ammar. Syasya terdiam. Sungguh dalamannya rasa sayu melihat penampilan Ammar yang tidak terurus, wajahnya sedikit cengkung dan jambang mula tumbuh meliar di wajah bersih itu. Begitu kecewakah Am waktu aku meninggalkan dirinya? Tapi bagaimana pula dengan perasaan aku?

“Tiada apa-apa yang saya nak dengar dari awak. Saya sudah dengar semua pengakuan awak malam itu, jadi cukup Am. Cukup cari saya!” balas Syasya tegas. Hatinya dikeraskan. Setiap penghinaan Ammar malam tersebut masih terngiang-ngiang di telinganya. Kali ini dia tidak akan biarkan dirinya dihina lagi. Tak akan!

“Sayang, abang mintak maaf sangat-sangat. Tolong beri abang peluang sekali lagi,” Ammar cuba memegang tangan isterinya namun segera dilarikan Syasya. Ammar sedar, kini luka dalaman isterinya masih belum sembuh, dan lukanya itu disebabkan dirinya.

Syasya tersenyum sinis mendengarkan permintaan Ammar. Senangnya melontarkan kata maaf.

“Peluang? Untuk apa? Untuk awak hina saya lagi? Cukup Am, saya tidak akan biarkan diri saya dan anak saya dihina lagi!”

“Bukan itu maksud abang. Abang tau kesalahan abang berat untuk dimaafkan. Tapi tolong Sya, beri abang peluang untuk baiki segalanya. Untuk baiki kesalahan abang pada Sya dan anak kita,”

“Bukan awak cakap yang ini bukan anak awak ke? Kenapa sekarang baru nak mengaku yang ni darah daging awak?” ujar Syasya sinis. Ammar meramas rambutnya. Ya Allah betapa besarnya dosa aku pada isteri dan anak aku! Ampunkan aku Ya Allah!

“Tapi abang masih perlukan isteri dan anak abang!”

“Tapi saya tak perlukan awak.” Jawapan Syasya mengejutkan Ammar. Sudah tawarkah perasaan isterinya terhadap dirinya.

“Sya masih isteri abang. Dan akan tetap jadi isteri abang,” ujar Ammar sedikit tegas. Syasya mengeluh.

“Ceraikan saya, Am,” Hampir pengsan Ammar mendengar permintaan isterinya.

“Ap....apa maksud Sya?”

“Buat apa kita nak pertahankan hubungan yang tak akan jernih. Luka ini akan tetap jadi parut dalam hidup saya. Saya tak mampu nak jalani hidup dengan awak lagi,” Setelah mengatakan hal itu, Syasya berpaling ingin berlalu dari situ.

“Sayang!” panggilan Ammar menghentikan langkah Syasya.

“Abang sanggup tunggu sayang. Tak kisahlah berapa lama sayang nak ambil masa untuk sembuhkan luka itu. Sebulan, dua bulan bahkan setahun, abang sanggup tunggu! Tapi abang tak akan sesekali ceraikan Sya sampai bila-bila,” ujar Ammar sayu.

Syasya mengesat air mata yang mengalir perlahan.

“Terserah awak.” Syasya segera berlalu meninggalkan Ammar. Ammar hanya mampu melihat bayangan isterinya menghilang. Hatinya sakit saat isteri yang disayanginya mengutarakan perkataan cerai. Tidak langsung terdetik di hatinya untuk menceraikan Syasya. Ya Allah, apa aku perlu buat! Desis Ammar.
**
“Serius bro?!” soal Danial.

Ammar sekadar mengangguk. Tak sangka kehadiran Ammar ke hospital bukan sahaja ingin melawat isteri dan anaknya tapi jodoh mempertemukan Ammar semula bersama orang yang dicintainya.

“Apa yang dia buat dekat sini?”

“Mungkin dia melawat isteri kau,” ujar Ammar lalu menyedut perlahan minumannya.

“Tapi Mira tak cakap apa-apa pun dengan aku,” Danial mula pelik.

“Kau bukan tak tahu perangai isteri kau, segala rahsia dia simpan. Aku yakin mesti Syasya suruh rahsiakan kehadiran dia,” Danial terangguk-angguk. Betul juga apa yang diperkatakan Ammar itu. Isteri dia memang hebat kalau menyimpan rahsia ni.

“So macam mana? Dah settle ke semua?”

Ammar menggeleng lemah.

“Dia mintak aku ceraikan dia,”

“What?” Danial seakan tidak percaya.

“Habis kau buat apa?” soal Danial.

“Aku akan tunggu dia. Dan aku tak akan ceraikan dia,” balas Ammar lemah. Danial kesian melihat nasib temannya tapi nak buat macam mana hati Syasya benar-benar terluka dengan perbuatan Ammar.

“Bro, aku tak tau nak nasihat macam mana tapi kau kena fikir walau macam mana perit pun hubungan kau dengan Syasya, kau harus jalani hidup kau macam biasa,”

“Maksud kau apa? Bukan aku tengah jalani hidup aku ke sekarang ni?”

“Maksud aku, kau kena jalani hidup kau sebagai pemilik Hotel Grand Star as a Tengku Ammar. Sampai bila baba kau nak handle kerja kau. Kau tengok pemakaian kau sekarang, dengan rambut kau yang makin panjang, jambang lagi. Tolonglah Am, aku tau kau frust tapi tolong fikirkan tentang diri kau. Kalau kau tak kesiankan diri kau, tapi tolong kesiankan baba dan ibu kau,” panjang lebar bicara Danial. Ammar hanya mendiamkan diri.

“Aku tau kau serabut memikirkan hal rumah tangga kau tapi jangan kau seksa diri kau sampai macam ni sekali. Kesihatan kau pun kena jaga. Kalau kau sakit, kau mampu ke nak cari bini kau, nak pujuk dia semua tu. So kau kena kembali menjadi Ammar yang dulu, Ammar yang tak mudah putus asa untuk memikat hati Syasya Ilyana.” Danial melontarkan semangat buat temannya. Ammar cuba memikirkan kata-kata Danial. Aku harus lakukan sesuatu untuk pujuk Syasya kembali, azamnya.
**
“Sya,” tegur Datin Hanum. Syasya tersentak lantas berpaling mengadap Datin Hanum.

“Termenungkan apa tu?” soal Datin Hanum.

“Tak adalah, Sya cuma rindukan keluarga Sya,” Datin Hanum mengusap perlahan bahu Syasya.

“Kalau rindu pergilah jumpa diorang. Aunty rasa mesti keluarga Sya sangat risaukan Sya sekarang ni,” nasihat Datin Hanum.

“Tapi kalau Sya balik, diorang akan terima Sya ke?”

“Mestilah diorang akan terima, Sya kan anak diorang,” balas Datin Hanum. Pelik dengan pertanyaan Syasya. Syasya menguis jarinya.

“Sya langsung tak berhubung apa-apa dengan diorang selama tiga bulan. Dan Sya pula tak ada di sisi Ammar waktu dia di hospital. Sya takut diorang berfikir yang tidak elok tentang Sya,” jujur Syasya.

“Aunty yakin keluarga Sya mesti faham kenapa Sya buat macam tu,”

Syasya memandang Datin Hanum. Datin Hanum segera mengangguk cuba meyakinkan Syasya. Syasya terdiam. Hatinya sangat merindukan keluarganya terutama pada papanya tapi bagaimana pula dengan penerimaan mereka?
**
“Assalamualaikum,” bunyi seseorang memberi salam menghentikan pergerakan Puan Fina yang sedang menyiram pokok bunga. Puan Fina segera berpaling dan tersentak bila melihat sosok seseorang yang dirindui selama ini berdiri di depan matanya.

“Sya?”

“Ya mama. Sya balik.” Balas Syasya yang sudah mengalirkan air matanya.

“Ya Allah, anakku!” Segera Puan Fina meluru dan memeluk anaknya. Syasya membalas erat pelukan tersebut.

“Syukur alhamdulillah kamu selamat nak,” ujar Puan Fina lalu mencium kedua belah pipi Syasya.

“Mama, tolong maaafkan Syasya,” Syasya mencapai dan mencium tangan Puan Fina. Jujur hatinya penuh rasa serba salah kerana tidak langsung memberi apa-apa khabar terhadap keluarganya.

“Tak apa nak, asal kamu selamat. Itu dah cukup untuk kami. Kami semua risaukan kamu,” Puan Fina mengesat air mata pada pipi Syasya.

“Sya tau Sya dah buat semua orang risau tentang Sya. Sya mintak maaf,” Puan Fina tersenyum lega.

“Mama, papa mana?” soal Syasya. Kedengaran kereta yang masuk ke perkarangan rumah menghentikan pertanyaan Syasya. Kelihatan Encik Aziz keluar dari kenderaannya. Encik Aziz terkejut melihat seseorang yang dicarinya selama ini berada bersama isterinya.

Syasya perlahan mendekati Encik Aziz. Hatinya kecut melihat riak serius wajah papanya. Tangan dihulur untuk disalam. Namun disambut dingin oleh Encik Aziz. Tanpa menuturkan sepatah ayat, Encik Aziz segera berlalu masuk ke rumah. Syasya tergaman melihat tindakan papanya. Apa papa mula membenci dirinya?

Air mata menitik untuk kesekian kalinya. Puan Fina segera memegang bahu Syasya. Dia yakin Syasya terkejut akan tindakan Encik Aziz. Puan Fina juga bingung melihat reaksi Encik Aziz, bukan ke selama ini Encik Aziz tak pernah putus asa mencari anaknya itu.

“Sya, jangan ambil hati dengan papa ya. Mungkin papa terkejut tengok Sya kat depan mata dia,” Syasya mengesat perlahan air matanya.

“Papa bencikan Sya ke mama?”

“Tak...tak sayang. Papa tak pernah bencikan Sya. Beri papa masa ya, dah jom masuk,” ajak Puan Fina. Syasya hanya mengikut lemah langkah Puan Fina dari belakang.
**
Makan malam di kediaman mewah Encik Aziz sedikit meriah dengan kehadiran Syasya. Malah Fisha dan Farish sangat gembira bila melihat kehadiran kakak yang sangat dirinduinya. Meskipun Encik Aziz masih bersikap dingin tapi setidaknya Encik Aziz masih mahu duduk makan semeja bersama Syasya. Itu membuatkan Syasya sedikit lega. Dia hanya perlu berikan sedikit masa untuk Encik Aziz.

Syasya sedang mengemas meja makan. Matanya masih menatap ruang tamu di mana Encik Aziz sedang berehat ketika itu. Puan Fina segera menghampiri Syasya.

“Nah, kasi air ni dekat papa.” Hulur Puan Fina.

“Tapi Sya tak siap kemas dapur lagi,”

“Tak apa, mama kemaskan. Sya bincang elok-elok dengan papa. Mama yakin papa Sya dah maafkan Sya,” Syasya tersenyum nipis. Segera langkahnya diatur perlahan ke ruang tamu. Diletaknya minuman papanya di atas meja. Syasya melabuhkan punggung mengadap Encik Aziz.

“Humm....pa, Sya tau Sya banyak buat salah dengan papa. Sya nak mintak maaf dengan papa,” Syasya memulakan bicara. Encik Aziz masih mendiamkan diri.

“Sya tau papa risaukan Sya. Ya Sya dah buat semua orang dalam rumah ni risau tapi apa yang Sya buat ni ada sebabnya. Sebab....”

“Sebab Ammar?” soal Encik Aziz. Syasya terdiam. Lidahnya kelu.

Encik Aziz mengeluh perlahan sebelum memandang anaknya.

“Papa dah tau semuanya. Ammar dah ceritakan semua pada kami,”

“Am...Am dah cerita?” soal Syasya.

“Ya...dia cerita semuanya. Papa tau memang tak patut apa yang Ammar buat dekat anak papa tapi apa yang Sya buat ni salah nak. Tidak elok isteri meninggalkan suami di saat suami dalam kesusahan. Tempat isteri mesti di sisi suami walau apapun keadaannya,” nasihat Encik Aziz. Syasya hanya mampu mendiamkan diri. Ya dia mengaku kesalahannya itu tapi hatinya saat ini masih sakit dan terluka.

“Papa dah lama maafkan anak papa. Papa lega bila Sya balik dengan selamat. Papa tak dapat bayangkan kalau terjadi apa-apa yang tidak elok pada anak papa ni. Papa harap Sya tak lari lagi,” Segera Syasya mendekati Encik Aziz dan memeluknya erat. Syasya teresak-esak dalam pelukan Encik Aziz.

“Maafkan Sya, papa....” Encik Aziz mengusap perlahan belakang anaknya. Syasya ibarat nyawanya. Syasya saja satu-satunya peninggalan terindah arwah isterinya untuk dirinya. Mana mungkin dia membenci puterinya itu.

“Dah...dah papa maafkan. Lain kali jangan buat kami risau lagi. Papa sayang anak papa dan papa harap Sya buat keputusan yang terbaik untuk diri Sya,” pesan Encik Aziz.

“Maksud papa?” Syasya mengesat air matanya. Encik Aziz tersenyum.

“Tentang hubungan Sya dengan Ammar. Papa harap Sya dapat jernihkan keadaan tapi bukan untuk Sya saja tapi untuk anak dalam kandungan ni. Beberapa bulan aje lagi Sya nak bersalin dan anak Sya perlukan ayahnya.”

Syasya mencerna kembali maksud papanya. Segera diusap perlahan perutnya. Bersediakah aku?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience