Bab 1

Romance Series 14493

Kringg...!!! Loceng berbunyi menandakan waktu persekolahan bagi Sekolah Menengah Kebangsaan Baiduri telah tamat, seperti kebiasaannya Syasya sedang khusyuk membaca buku di bangku yang tersorok di belakang sekolah. Tanpa disedari, seseorang sedang berdiri di belakangnya.

“Aaaarrrrrggghhh!!”

“Oh mak kau...!!! Ish, awak rupanya Amira ingatkan siapa tadi. Awak ni janganlah kejutkan saya macam tu sekali. Nasib baik tak ada penyakit jantung, kalau tak agaknya malam ni ada kenduri arwahlah kat rumah saya tu.” Gadis itu merungut sambil mengurut dadanya yang sesak akibat sergahan dari kawan baiknya, Amira.

“Ala, rilek la Syasya. Saya gurau aje. Janganlah marah, nanti cepat tua.” Pujuk Amira, cuak juga dia kalau rakan baiknya itu merajuk dengannya.

Syasya pada mulanya cemberut kini tersenyum kerana tidak tahan melihat mimik muka kawannya.

“Sorry okey. Tak adalah, saya saja usik awak. Habis saya tengok serius aje awak baca buku tu sampai saya datang pun awak tak sedar. Agaknya kalau harimau datang tercongok depan tu pun, awak tak perasan. Awak baca buka apa tu?” tanya Amira. Faham benar dengan perangai Syasya yang sememangnya ‘ulat buku’ sampaikan sesiapa di sekitarnya langsung tak dipedulikan jika dia sudah mula membelek buku atau novel.

“Saya tengah baca novel ‘All The Light We Cannot See,” jawab Syasya yang begitu mengemari novel terutama sekali karya Anthony Doerr. Dia sanggup menghabiskan wang untuk membeli karya penulis hebat itu.

“Oh patutlah, nanti saya nak pinjam boleh?” tanya Amira yang turut berkongsi hobi yang sama dengan kawan baiknya.

“Mestilah boleh, awakkan kawan baik saya. Nanti bila saya dah siap baca, saya kasi kat awak ya,” jawab Syasya tersenyum manis.

Syasya Ilyana merupakan pelajar cemerlang di sekolahnya dan dikagumi oleh semua guru. Selain bijak, Syasya memiliki rupa paras yang menarik. Mukanya yang iras-iras orang korea itu mampu membuatkan ramai pelajar lelaki meminatinya secara diam-diam. Syasya juga tidak digemari oleh beberapa pelajar perempuan yang iri hati akan dirinya tetapi Syasya tidak kisah kerana dia memiliki seorang kawan baik iaitu Amira Zulaikha yang selalu berkongsi suka dan duka bersamanya.

“Sya hari dah petang ni, tak nak balik ke?” soal Amira. Syasya menilik jam tangannya.

“Haahlah, cepat betul masa berlalu. Saya rasa baru aje buka buku ni,”

“Itu perasaan awak sajalah,”

“Mungkin kut, okeylah jom kita balik,” ajak Syasya yang mula bersiap-siap untuk pulang. Tanpa berlengah lagi mereka pulang bersama sambil bercerita tentang pelajaran yang mereka belajar pada hari itu.
**
Selepas menunaikan solat Isyak dan mengulangkaji pelajaran, Syasya termenung di balkoni sambil menghirup udara malam yang nyaman. Setitik air mata gugur lantas terkena tangannya tanpa disedari. Syasya menangis dalam diam kerana mengingati kisah lama yang telah banyak mengajarnya erti hidup sebenar.

“Mama, Sya rindukan mama. Kenapa mama begitu cepat tinggalkan Sya dan papa. Mama dah tak sayangkan Sya ke? Sya betul-betul perlukan mama,” bisik Syasya dalam sedu. Sudah dua tahun mamanya meninggal dunia akibat kemalangan. Banyak peristiwa yang berlaku pada dua tahun lalu sehingga mengubah segalanya. Tiba-tiba kenangan lalu menerpa kembali.

“Syasya, awak sayang saya tak?” tanya lelaki itu.

“Ish...malulah saya nak jawab. Apalah awak ni Haikal tanya saya soalan macam tu,” jawab Syasya malu.

“Kenapa pulak nak malu dengan saya. Kitakan dah kenal lama. Jawab la...awak sayang tak?” tanya Haikal sambil merenung dengan penuh menggoda. Pandangannya itu dapat membuat mana-mana gadis cair dengannya tetapi Syasya sangat bertuah kerana dapat memilikinya.

Mereka bertemu secara tidak sengaja semasa membeli buku di sebuah kedai berhampiran kawasan sekolah. Saat mata bertentang mata menghasilkan sebuah perasaan indah. Tanpa diduga, Haikal ialah salah seorang pelajar baru di sekolah Syasya dan hanya tua setahun daripada Syasya. Mereka kerap bertemu dan mula bertegur sapa dan akhirnya hubungan mereka semakin rapat.

“Mestilah saya sayangkan awak,” jawab Syasya lalu tertunduk malu.

“That’s my girl, saya pun sayangkan awak juga,” kata Haikal sambil merenung Syasya dengan renungan yang penuh tulus. Mereka seolah-olah lupa yang mereka masih mentah untuk mengenal cinta di usia yang sangat muda.

Lamunan Syasya terhenti apabila terdengar bunyi ketukan di pintu. Setelah mengesat air matanya, Syasya bergerak untuk membuka pintu. Pasti papa, desis hati Syasya. Tekaan Syasya tepat apabila membukanya terpacul muka papanya, Encik Aziz di muka pintu.

“Tak tidur lagi princess papa, dah lewat ni. Esok sekolah, kan. Kenapa tak tidur lagi?” tanya Encik Aziz.

“Sya tak boleh tidur la papa,” jawab Syasya.

“Kenapa ni sayang?”

“Sya rindukan mama, Sya betul-betul rindukan mama,” jawab Syasya yang sudah merah matanya akibat menahan air mata. Lantas Encik Aziz memeluk Syasya dengan erat dan Syasya menangis di pelukan papanya.

“Sudahlah sayang, mama mesti sedih kat sana bila tengok Syasya macam ni. Jangan nangis lagi ya sayang, papakan ada kat sini,” pujuk Encik Aziz sambil mengeratkan pelukannya. Akhirnya Syasya terlena di pangkuan Encik Aziz.
**
Pagi itu, Syasya segera menyiapkan diri untuk ke sekolah. Setelah selesai, Syasya turun untuk bersarapan bersama papanya.

“Selamat pagi, papa! Papa masak apa ni?” tegur Syasya.

“Selamat pagi, princess. Papa goreng bihun aje. How are you today?”

“I’m fine, uummm...sedapnya papa. Masakan papa ni memang terbaiklah!” jawab Syasya sambil menunjukkan tanda bagus. Selepas Puan Aini meninggal, Encik Azizlah yang menjadi pengganti mamanya. Selain memasak, Encik Aziz yang mengurus semua keperluan Syasya meskipun begitu Syasya merupakan anak yang baik, dia akan selalu membantu papanya dalam mengurus segala keperluan rumah.

Setelah selesai sarapan, Syasya mencium tangan papanya dan meminta diri untuk ke sekolah. Manakala Encik Aziz bersiap-siap pula untuk ke tempat kerjanya yang tidak jauh dari rumah. Encik Aziz membuka bisnes dalam bidang landskap dan mempunyai sebuah syarikat kecil. Walaupun bisnesnya sederhana tetapi masih mampu menanggung keperluan hidup mereka sekeluarga.
**
Syasya merebahkan diri di kerusi. Tangannya segera mencari buku di dalam laci tetapi tiba-tiba pergerakannya terhenti. Syasya menariknya perlahan dan terkejut kerana di tangannya ada sekeping surat berwarna merah jambu. Siapa pulak yang kasi aku surat ni...desis hati Syasya sambil melihat di sekelilingnya untuk mencari siapa pengirim surat rahsia itu. Syasya tidak sempat hendak bertanya kepada Amira kerana Cikgu Siti telah masuk untuk memulakan sesi pembelajaran pada pagi itu.

Akhirnya, sesi persekolahan pada hari ini telah berakhir. Seperti biasa Syasya akan duduk di bangku belakang sekolahnya. Walaupun tempatnya agak tersorok tetapi Syasya tidak takut kerana baginya tempat itu menarik. Sebelum pulang, pasti Syasya akan ke situ terlebih dahulu sambil membaca buku dan menunggu Amira.

Mana Mira ni, apa dia buat lama-lama kat tandas tu, rungut Syasya sambil memegang erat surat rahsia itu. Syasya belum sempat baca dan tanyakan pada Amira kerana dia betul-betul sibuk menyiapkan tugasan guru-gurunya pada hari tersebut. Lebih kurang lima minit kemudian, barulah Amira muncul dengan termengah-mengah.

“Awak buat apa dalam tandas tu, kata sekejap aje,” tanya Syasya.

“Sorry Sya, perut saya tak berapa sedap dari tadi tu ambil masa sedikit. Ala....lagipun kenapa kalut semacam aje ni?” tanya Amira kembali.

“Humm...saya pun tak tahu kenapa saya kalut aje hari ni. Pagi tadi saya terjumpa surat ni dalam laci meja, saya pun tak tahu siapa pengirimnya. Lagipun tak ada nama pengirim kat sini. Saya harap awak boleh tolong saya dalam hal ni. Boleh, kan?” tanya Syasya resah.

“Mestilah boleh, jangan risaulah. Awak dah baca ke belum surat ni?”

“Belum. Saya tak sempat nak baca. Kita baca sama-samalah,” ajak Syasya sambil membuka surat itu.

“Okey,” jawab Amira sepatah dan duduk di sebelah Syasya sambil turut membaca surat itu.

Salam buat Syasya,
Maaf jika kehadiran surat ini buat awak terganggu. Niat di hati cuma hendak berkenalan. Saya dah lama perhatikan awak dari jauh tapi saya tidak berani hendak menegur awak. Oleh itu saya hanya mampu menghantar surat ni sahaja untuk salam perkenalan. Saya harap awak sudi hendak berkawan dengan saya yang tak seberapa ni. Tapi saya betul-betul ikhlas nak jadi kawan awak. Jika sudi terimalah hadiah saya, kalau tak sudi awak boleh koyak surat ni dan buang ke dalam tong sampah di tepi kelas awak. Saya terima segala jawapan awak. Saya betul-betul ikhlas tanpa ada niat apapun.

Yang Ikhlas

SECRET

“Wah, Syasya awak ada peminatlah. Untungnya! Cantik betul kerongsang ni, pandai dia pilih,” kata Amira dengan nada teruja sambil membelek hadiah yang diberi oleh ‘Secret’ iaitu sebuah kerongsang yang berwarna ungu.

“Awak rasa dia lelaki ke perempuan? Kenapa dia tak terus-terang saja dengan saya?” tanya Syasya. Dia mula keliru.

“Saya rasa mesti lelaki, takkan la perempuan. Mungkin dia malu kut, sebab tu dia tak terus jumpa awak tapi saya dapat rasakan yang dia seorang yang baik. So, macam mana awak terima dia tak?” Amira menaikkan keningnya.

“Saya tak tahulah. Kita mana tau dia ikhlas ke tak,” jawab Syasya ragu-ragu.

“Saya rasa dia betul-betul ikhlas, terima jelah,” pujuk Amira dengan yakin.

“Mana awak tau? Bukan kita kenal pun dia ni siapa. Entah-entah dia saja nak mainkan saya.”

“Ish, tak elok awak fikir macam tu. Entahlah, saya tak rasa yang dia ada niat tak baik. Ala lagipun dia hanya nak kawan aje, tak salah, kan....” luah Amira. Syasya berfikir sejenak.

“Emmm okey, saya terima. Mungkin dia boleh jadi rakan yang boleh dipercayai betul tak?” akhirnya Syasya menerima perkenalan itu.

“Betul, betul, betul,” jawab Amira sambil meniru perwatakan upin dan ipin.

“Jomlah kita balik, dah lewat ni,” ajak Syasya yang sudah masukkan hadiah dan surat itu ke dalam beg sekolahnya.

Amira mengangguk dan mereka melangkah pergi meninggalkan perkarangan sekolah. Tanpa disedari ada sepasang mata yang sedang memerhati mereka dari tadi sambil tersenyum kegembiraan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience