Bab 12

Romance Series 14493

“Kenapa nak duduk situ pulak? Bukan tadi awak yang beria-ria nak balik cepat,” soal Syasya.

“Ala...buat apa nak balik awal, tak ke mananya rumah awak tu. Jom lepak kat sini dulu. Yang awak ni nak balik cepat-cepat kenapa? Ada suami tunggu kat rumah ke?” usik Amira.

“Tak ada maknanya suami. Bukan apa saya cuma pelik je,” jawab Syasya perlahan. Tempat itu mengingatkan saat pertemuan aku dengan dia. Macam mana aku nak lupakan dia, desis hati kecil Syasya.

“Dahlah lupakan pelik awak tu. Eh awak pergi dululah kat sana, saya nak pergi tandas kejap. Awak tunggu tempat biasa tu ya,” ujar Amira lalu beredar ke tandas.

“Emm...jangan lama-lama,”

Syasya terus bergerak dan ternampak sesuatu yang menarik terletak elok di atas bangku yang disediakan. Bunga siapa pulak yang letak kat sini tapi cantik, desis Syasya sambil mencium bunga tersebut.

“Kalau suka ambillah,” tegur suara garau di belakangnya. Teguran itu membuatkan Syasya sedikit terperanjat lalu terus berpaling ke belakang.

“Awak...?”

“Ya saya,”

“Macam mana awak tahu saya kat sini dan apa maksud semua ni?” soal Syasya sedikit tegas.

“Ada sesuatu penjelasan yang perlu awak dengar dari saya sebelum awak mengambil keputusan terburu-buru,” jawab Ammar tenang.

“Ada apa ya Tengku Ammar, saya tak nak ada kena mengena lagi dengan awak dan saya tak layak bergaul dengan orang macam awak,” ujar Syasya.

“Siapa cakap? Kalau si Fasha tu yang cakap awak tak payah dengar. Itu semua bohong. Saya dan dia tak ada apa-apa hubungan pun,”

“Apa awak cakap ni? Tak ada kena mengena dengan kak Fashalah,” kata Syasya yang sedikit terkejut dengan dakwaan Ammar. Ammar hanya tersenyum.

“Awak ni terlalu baiklah. Kenapa awak sanggup dihina dan ditindas oleh orang macam Fasha tu. Perangai awak inilah yang membuatkan saya teringin sekali hendak berkawan dengan awak tapi janganlah terlalu baik nanti senang dipijak orang. Amira dah cerita segalanya kepada saya, jadi berdirinya saya di hadapan awak ni ingin memberitahu bahawa saya tak ada apa-apa hubungan dengan Fasha,” ujar Ammar panjang lebar.

“Amira yang beritahu awak semua?” soal Syasya kembali.

“Ya tapi awak janganlah marah dia. Dia tak akan cerita kalau saya tak paksa,” jawab Ammar. Syasya hanya berdiam diri.

“Awak maafkan saya ya. Saya harap sangat awak jangan putuskan persahabatan ini,” Ammar separuh merayu.

“Emm okey tapi saya nak awak janji,” ujar Syasya setelah lama berdiam diri.

“Janji apa?” soal Ammar.

“Janji yang perkara seperti ini, tak akan berlaku lagi,” jawab Syasya.

“Saya janji yang perkara ini tak terjadi lagi. Jadi sekarang kita kawan ya,” ujar Ammar penuh semangat. Syasya hanya mengangguk sambil tersenyum manis.

“Ambillah bunga ni, saya beli khas untuk awak,” kata Ammar sambil menghulurkan bunga kepada Syasya.

“Terima kasih. Macam mana awak tahu saya suka bunga mawar merah ni,” soal Syasya pelik.

“Siapa lagi yang kasi tau saya, kalau bukan bestfriend awak,”

“Ooohh Amira ya...” ujar Syasya perlahan. Jadi awak yang rancang ni semua ya Amira, tunggu nasib awak nanti! Desis Syasya....
**
“Aduh...sakitlah Syasya!” teriak Amira sambil mengusap tangannya yang baru sahaja disengat oleh tangan ketam Syasya. Walaupun Syasya nampak je lembut tetapi kalau dia mengeluarkan tangan ketamnya boleh lebam satu badan.

“Tau pun sakit, kenapa awak cerita semua kat Ammar pasal hal tu?” soal Syasya serius. Selepas sahaja mendengar segala penjelasan Ammar, Syasya terus meminta diri lalu mencari Amira. Sebenarnya dia langsung tidak marahkan Amira kerana dia tahu Amira lakukan ini kerana sayangkan dirinya. Cuma Syasya sengaja mempamerkan wajah serius kerana ingin mengusik rakannya.

“Saya minta maaf sangat-sangat. Saya terpaksa sebab saya tau Ammar tak bersalah dalam soal ni. Saya tak naklah hal macam ni, boleh menyebabkan hubungan persahabatan korang berantakan,” jelas Amira bersungguh-sungguh. Dia tau Syasya pasti marahkan dia tetapi dia melakukan ini bersebab.

“Kalau saya tak nak maafkan awak?” uji Syasya.

“Janganlah macam tu. Tapi kalau itu keputusan awak apa yang boleh saya buat,” ujar Amira lirih.

“Hehe...yalah, saya maafkan. Awak ni patutnya saya yang merajuk tau. Ni terbalik pula, last-last saya yang kena pujuk awak,” ucap Syasya sambil memeluk Amira. Amira akhirnya tergelak jua, walau apapun berlaku persahabatan mereka akan kekal selamanya.
**
Haikal termenung sendirian di kamarnya sambil memikirkan tentang perubahan sikap dingin Syasya terhadap dirinya. Dia akui dirinya bersalah kerana tidak mengendahkan teguran Syasya terhadapnya dulu tetapi dia terpaksa melakukan begitu atas desakan mummynya. Kenangan lalu mula menerpa mindanya...

“Mummy nak Haikal putus dengan budak tu,” tegas Datin Hanum.

“Tapi mummy Kal sayangkan dia. Please mummy jangan buat Kal macam ni,” rayu Haikal bersungguh-sungguh. Hatinya perit saat mummy menyuruhnya memutuskan hubungan dengan orang dia yang sayang.

“Haikal baru berusia 15 tahun! Kenapa mudah sangat terjebak dengan cinta yang entah apa-apa ni. Lagipun Kal perlu fokus dalam pelajaran untuk ambil alih syarikat daddy nanti. Jangan buat hal. Mummy tak nak Kal hanyut dengan godaan perempuan tu. Mummy tau yang perempuan tu bukan betul-betul sayangkan Kal tapi cuma hendakkan duit Kal saja,” ulas Datin Hanum panjang lebar.

“Tapi Syasya bukan perempuan macam tu...” tingkah Haikal.

“Tengok belum apa-apa lagi Kal dah pandai melawan cakap mummy. Ni mesti sebab pengaruh daripada perempuan tu. Kalau Kal nak sangat berteman, mummy boleh kenalkan Kal dengan anak Dato Hanif dan Datin Nadia. Diorang ada anak perempuan yang manis sangat, namanya Fifi Syuhada. Mummy suka budaknya, cantik dan sedap mata memandang. Memang sesuai dengan Kal,” ujar Datin Hanum. Haikal hanya mencebik.

“Kal tak nak!”

“Dah mummy tak nak dengar alasan Kal yang penting mummy akan setkan date Kal dengan Fifi. Kal berkenal-kenalanlah dulu dengan Fifi, mesti Kal tak akan menyesalnya. Habis dari tu mummy nak Kal putuskan hubungan Kal dengan budak tu secepat mungkin! Titik..!” setelah selesai berbicara Datin Hanum melangkah pergi meninggalkan Haikal yang terkaku seorang diri.

Haikal tersentak apabila mendengar deringan telefonnya menandakan ada mesej. Tetapi dia hanya membiarkan sahaja tanpa ada niat untuk membacanya, mindanya lebih tertumpu terhadap gadis yang bernama Syasya. Kenapalah aku bodoh sebab ikut cakap mummy dulu, kalaulah aku perjuangkan perasaan ini sudah pasti aku bahagia sekarang dengan Syasya. Aku harus lakukan sesuatu untuk pujuk Sasya kembali pada aku semula....nekad Haikal dalam hati. Baru kini dia sedar bahawa dia betul-betul menyayangi Syasya Ilyana!
**
Setelah selesai menyiapkan tugasnya sebagai seorang pelajar, Syasya berehat sebentar di katilnya. Sambil berbaring fikiran Syasya menerawang memikirkan tentang apa yang terjadi pada dirinya sejak akhir-akhir ini.

Ammar....terlintas nama itu dalam benaknya. Syasya tersenyum sendirian bila mengenangkan riak wajah Ammar semasa menerangkan tentang salah faham yang berlaku. Kenapa hati aku ni berdebar-debar bila teringatkan dia ya...aku tidak pernah lagi merasakan perasaan seperti ini meskipun bersama Haikal dulu.

Mungkin ke ini yang dinamakan cinta monyet! Tapi orang kata cinta ini hanya mainan perasaan sewaktu di zaman sekolah dan tidak semestinya akan kekal. Ish peninglah memikirkan soal ni, baik aku turun dan tolong papa apa yang patut, desis Syasya lalu keluar dari biliknya.

Perasaan itu hadir tanpa diminta, sesungguhnya hati Syasya telah terpaut oleh keikhlasan yang ditunjukkan oleh Tengku Ammar bin Tengku Ismail.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience