Bab 40

Romance Series 14495

Syasya memandang puas hasil kerjanya. Sekarang hanya tinggal untuk bentangkan pada client sahaja. Akhirnya tidak sia-sialah dia bersekang mata menghabiskan kerjanya. Dalam masa sebulan dia mampu siapkan projek ini. Dia pasti si client yang banyak songeh tu terkejut melihat hasil tangannya selama ini. Syasya memuji dalam hatinya.

Kereta Ammar mula memasuki garaj. Syasya yang menyedari kehadiran si tuan rumah lantas menyuruh pembantunya mengemas barang-barang mereka dan bergerak pulang ke pejabat. Projek ini sudah siap sepenuhnya sesuai dengan permintaan client.

“Assalamualaikum, Tengku.” ujar Syasya ramah. Maklumlah ini pertemuan terakhir mereka. Tiada sebab untuk dia menemui jejaka ini lagi.

“Waalaikumussalam,” jawab Ammar acuh tak acuh. Syasya mencebik. Berlagak!

“So boleh awak tunjukkan hasil kerja awak, cik Yana?” soal Ammar. Syasya tersenyum lalu mengajak Ammar ke taman.

“Okey, macam yang Tengku dapat tengok dekat sini, saya telah menanam rumput jenis Axonepus Compresus. Rumput jenis ini sangat tahan lasak, ia boleh tahan jika kita pijak secara berterusan sekalipun. Then ia juga senang membiak kerana ia mempunyai akar udara.” Ammar mengangguk puas hati.

“Atas permintaan Tengku saya telah menghias keliling taman ini dengan pokok hiasan Moth Orchids jenis Phalaenopsis. Macam yang Tengku tengok jenis pokok ini mempunyai pelbagai warna macam merah jambu, kuning dan lavendar. Tengku jangan risau pokok ni sangat senang dijaga dan bunganya juga mekar,” sambung Syasya lagi. Melihatkan wajah Ammar, Syasya yakin kerjanya disukai.

“Di sini saya telah menyiapkan sebuah air terjun buatan dan hadapan air terjun saya letakkan sebuah gazebo. Saya sendiri yang memilih gazebo ini dan saya yakin ia diperbuat dari kayu jati. Jadi saya rasa Tengku tak akan kena alahan.” Terang Syasya. Ammar merasakan dalam penerangan Syasya ada sindiran buatnya.

“Lastly, saya dah buatkan buaian kayu macam yang Tengku nak. So keliling buaian saya dah hias guna bunga Peace Lily supaya kawasan ni kelihatan sedikit harmonis. Yelah mana tau Tengku nak spend time dengan orang tersayang, tak payah susah pergi jauh. Kat sini pun boleh,” Syasya tersenyum pahit mendengar katanya sendiri.

Ammar tersenyum manis sambil mengangguk. Teringatkan tunanglah tu....bisik Syasya. Hatinya mula terasa sayu. Dia segera mengusir perasaannya.

“Okeylah, rasanya tugas saya dah selesai Tengku. Boleh saya mintak diri dulu?” Syasya memandang dan lidahnya kelu bila Ammar turut memandangnya. Tapi kali ini pandangan yang berbeza dari sebelumnya.

“Tengku....” Syasya cuba menyedarkan Ammar. Ammar tersentak bila menyedari sikapnya. Dia cuba ingin berlagak sombong tapi kali ini tidak boleh. Hatinya membentak.

“Saya ada benda nak tanya kat....” deringan telefon Syasya menghentikan bicara Ammar. Syasya segera mengangkat.

“Alahai, sayang....ibu lupalah. Okey kejap lagi ibu balik ya. Kejap aje lagi ibu sampai rumah. Cakap kat papa masak sedap-sedap tau.” Perbualan Syasya yang didengari tanpa sengaja menyentak hati Ammar. Ibu?

Setelah mematikan panggilan. Syasya mengemas barangnya dan mendekati Ammar.

“Maaf Tengku, saya ada hal penting kat rumah. Ada apa yang Tengku nak tanya?” soal Syasya. Ammar yang membisu membuatkan Syasya serba salah. Aku ada buat salah ke?

“Tak ada apa pun. Okey awak boleh pergi. Kontrak kita telah tamat, terima kasih kerana bekerjasama dengan saya,” ucap Ammar lalu segera memasuki rumahnya. Syasya sedikit pelik dengan perubahan Ammar. Hai tadi mood dia okey, ni macam mati bini pulak. Syasya segera bergerak keluar dari rumah itu. Yee selesai!
**
Ammar menghempas tubuhnya di katil. Sesak nafasnya bila mengetahui hal ini. Kenapa kau perlu tipu aku Syasya! Kenapa kau perlu berpura-pura depan aku? Kenapa Syasya?! Perbualan semalam menerpa dalam mindanya.

“Am, macam mana kerja dengan Yana, okey?” soal Tengku Sofia sambil memandang anak tunggal lelakinya.

“Bolehlah....” jawab Ammar acuh tak acuh. Matanya tak lepas memandang rancangan kegemarannya. Tengku Sofia tak berpuas hati dengan jawapan Ammar.

“Ibu tau anak ibu ni buli Yana, kan?” serkap Tengku Sofia. Ammar terkejut. Ish macam mana ibu boleh tau ni, takkan minah tu mengadu kut. Pandangan mata Tengku sofia mula membuatkan Ammar tak selesa.

“Mana ada buli, Am cuma nak hasil kerja dia nanti memuaskan,” bela Ammar. Tengku Sofia menggeleng. Faham benar dengan perangai anaknya yang sedikit cerewet ini.

“Ibu tau tapi janganlah sampai membuli anak orang macam tu sekali. Ibu tau ni pun sebab ibu jumpa dengan papa Yana. Katanya Yana selalu kerja lebih masa sebab nak siapkan projek landskap rumah Am,” bebel Tengku Sofia. Ammar hanya mengangguk lemah. Salah dia juga terlalu mendesak minah tu....

“Papa dia marah ke ibu?” soal Ammar khuatir. Tumpuan dari televisyen di alih ke arah ibunya. Yalah manalah tau papa si Yana tu bengang dengan dia sebab dah susahkan anak perempuan dia. Tengku Sofia tersenyum.

“Tak, dia tahu anak dia pandai handle. Lagipun esok last due date projek kat rumah Am, kan?” Ammar mengangguk laju. Lega rasanya, tak adalah dia rasa bersalah sangat. Ammar menyambung kembali menonton.

“Ibu sukalah dengan Yana tu Am, comel aje orangnya...” Tengku Sofia cuba melihat reaksi anaknya. Namun Ammar hanya bersikap biasa. Tak suka ke Ammar dengan Yana?

“Apa pendapat Am tentang Yana?” soal Tengku Sofia.

“Biasa aje ibu,” jawab Ammar spontan. Tengku Sofia mengeluh namun dia tetap tak putus asa.

“Apanya yang biasa Am, ibu suka dengan perwatakan Yana. Manis orangnya. Sedangkan nama dia pun dah menarik, Syasya Ilyana....mestilah orangnya juga menarik, kan?” Tengku Sofia tersenyum bila Ammar mula menunjukkan reaksinya.

“Ibu...apa nama penuh dia?” soal Ammar. Rasanya dia tak silap dengar.

“Syasya Ilyana,” jawab Tengku Sofia tanpa curiga. Ammar kelu. Dadanya berdebar kencang. Jadi selama ini, orang yang ditemunya hampir sebulan ini ialah Syasya! Orang yang ingin ditemuinya.

Ammar mendengus bila mengenangkan hal semalam. Kenapa semalam benda ni terbongkar? Kenapa? Ammar masih tertanya-tanya kenapa Syasya menyembunyikan identitinya selama ini. Namun hatinya lebih hancur bila mengetahui Syasya sudah pun berkahwin. Malah telah mempunyai anak.

Syasya apa semua ni? Kenapa awak sanggup buat saya macam ni? Ammar terduduk di sisi katilnya. Sungguh hatinya sakit bila mengenangkan ini semua. Sakit sangat! Telefon berdering, Ammar menarik nafas bagi menenangkan dirinya. Nama si pemanggil membuatkan Ammar tersenyum.

“Hai Alya.” sahut Ammar. Alya Nadira selalu ada di samping dirinya saat gembira dan sedih. Mereka ibarat pasangan kekasih bagi pandangan orang luar tapi bagi Ammar, Alya merupakan sahabat yang baik kerana sudi mendengar segala luahan hatinya. Budi Alya sentiasa dikenangnya, sampai bila-bila....

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience