Bab 38

Romance Series 14495

Sekali lagi Syasya merengus. Kaki melangkah masuk ke dalam banglow mewah milik Tengku Ammar. Dia terus menuju ke taman setelah melihat Ammar yang sedang duduk santai di kerusi. Ammar yang menyedari kehadiran Syasya terus menghembur kata-kata yang menyakitkan hati Syasya.

“Buang ajelah telefon tu kalau tak nak pakai. Tak payah nak susahkan orang,” ujar Ammar sinis. Syasya mengetap bibir. Sabar!

“Assalamualaikum,” ucap Syasya. Terasa merah muka Ammar apabila menyedari kesilapannya yang terburu-buru.

“Waalaikumussalam,” walau begitu salam itu disembut jua. Syasya tersenyum sinis. Padan muka, tau nak sindir orang aje kerjanya!

“Maaflah Tengku. Saya bukan nak susahkan Tengku tapi telefon saya tertinggal dekat rumah,” Syasya mengatakan alasan dia tak mengangkat panggilan tersebut. Ammar berpaling mengadap perempuan yang dikenali dengan nama Yana itu.

“Saya tak nak dengar alasan awak. Awak jangan lupa, saya yang bayar gaji awak. Jadi segala arahan saya selama projek ini dijalankan, saya nak awak ikut tanpa bantahan tak kisahlah apa pun alasan awak tu,” tegas Ammar memberi penerangan.

Syasya mula merasakan Ammar yang dulunya penuh kesopanan telah bertukar menjadi seorang yang sangat annoying. Lebih baik aku siapkan kerja ni cepat, supaya aku boleh balik dengan segera. Tak adalah nak mengadap muka mamat ni lama-lama.

Syasya memegang kepalanya yang makin berat. Aku kena kuat, kejap lagi aku boleh rehat kat rumah. Ammar tidak menyedari tingkah Syasya yang makin lemah itu. Dia masih terus membebel.

“Apa yang saya nak tambah dalam konsep landskap ni, saya nak awak buatkan buaian kayu dekat sini. Then sekeliling buaian ni awak hias dengan bunga. Bunga yang macam mana, itu awak kena fikir sendirilah sebab awakkan profesional. Saya harap pilihan awak tak mengecewakan, boleh?” soal Ammar tanpa menoleh ke arah Syasya.

“Ya....” Syasya hanya menyahut perlahan. Segala yang dinyatakan segera dicatat. Meskipun tubuhnya kian lemah, dia harus selesaikan tugasnya dahulu. Kepalanya makin berdenyut.

“Saya juga nak awak buatkan sebuah air terjun buatan kat kawasan ini. Ha...tak lupa juga sebuah gazebo yang berukirkan seni kayu yang halus. Pastikan jenis kayu jati sebab saya alah pada kayu yang lain, faham?” soal Ammar lagi.

“Ya....” Syasya segera memegang kepalanya. Syasya berhenti mencatat. Nota dan pen terjatuh. Mata mula berpinar.

“Saya nak awak buat yang terbaik, jangan makan gaji buta je! Faham cik Yana?” Namun sahutan itu tidak dibalas. Ammar pelik lalu berpusing mengadap wanita itu.

Belum sempat Ammar berkata apa dia terus mencapai tubuh yang melurut jatuh itu. Untung sempat disambutnya. Ammar memanggil nama Yana dan menampar kecil bagi menyedari wanita itu. Tiada reaksi!

Ammar terpaksa mengangkat wanita itu. Yalah takkan nak letak kat luar ni pulak. Dia bukan sekejam itu. Ammar meletakkan Syasya perlahan-lahan di atas katilnya.

Ish pengsan pulak minah ni. Takkan aku bagi kerja sikit dah lemah macam ni. Kata profesional. Bisik perlahan Ammar tidak puas hati.

Tanpa disedari, Ammar memandang lama ke arah muka yang putih bersih di depannya. Seakan-akan ada sesuatu yang menarik minatnya di situ. Ammar mendekatkan wajahnya ke wajah Syasya. Ammar terkedu. Tak mungkin!
**
Syasya menggeliat seperti bayi yang sedang nyenyak tidur. Syasya membuka matanya perlahan-lahan. Syasya tersedar dan mendapati dirinya sedang terbaring elok di atas katil. Aik bila pula aku balik rumah?

“Ni bukan rumah awak, ni rumah saya,” tegur satu suara seolah menjawab pertanyaan hatinya. Syasya lekas bangun dan terkejut bila mendapati Ammar sedang merenung tajam ke arahnya. Syasya meneguk air liurnya. Apa yang aku buat kat dalam rumah dia ni, atas katil dia pula tu. Bukan tadi aku kat luar ke? Segala macam persoalan tersirat dalam hatinya.

“Dah ingat ke cik Yana?” soal Ammar sambil menyandarkan dirinya di sofa. Matanya tak lepas memandang seraut wajah cemas di hadapannya.

“Saya tak ingat,” jujur Syasya mengaku. Entah kenapa kepalanya tak dapat ingat apa berlaku terhadapnya. Hati mula berdebar saat Ammar bangun mendekatinya.

“Tak apa biar saya tolong ingatkan.” ujar Ammar perlahan sambil mendekati Syasya.

“Saya tengah sedap-sedap bagi arahan, awak boleh pulak pengsan dekat rumah saya ya. Nasib baik saya sempat sambut, kalau tak pasti kulit awak yang putih gebu ni kotor.” Ammar mendekatkan wajahnya ke arah Syasya yang sudah merah macam udang kena bakar. Marah atau malu?

“Dan saya jugalah yang terpaksa angkat awak yang berat ni dan letak atas katil ni tau.” Ammar menyembunyikan senyumannya. Bohonglah kalau dia katakan wanita di depannya ini berat. Padahal ringan aje dia angkat tadi.

Syasya merasakan pipinya mula membahang. Dia baru teringat bahawa dia pengsan di rumah si mangkuk ni. Kenapa kau perlu pengsan kat sini, pengsanlah dekat tempat lain, Syasya memarahi dirinya. Tak sanggup memikirkan ayat Ammar. Dia angkat aku? Hish lain kali tak payahlah nak angkat bagai, tinggal aje kat situ. Aduh rasa berdosanya. Walaupun ini dikira darurat tapi Syasya tetap tidak suka.

Syasya lantas bangun dan mengambil beg tangannya. Nanti makin banyak benda yang dia kena dengar dari mamat ni pulak. Cukuplah malu yang diterimanya hari ini.

“Maaf Tengku, saya minta diri dulu. Saya akan siapkan tugas ini dengan segera ,sesuai atas permintaan Tengku,” Syasya ingin melangkah pergi tapi dihalang oleh Ammar.

“Macam tu aje awak nak pergi, tak ada apa-apa yang awak nak cakap kat saya?” ujar Ammar sambil mengangkat keningnya. Syasya keliru. Apa yang perlu aku cakap?

Melihatkan wajah Syasya yang blur. Ammar mengeluh. Apalah yang aku harapkan ni...

“Tak apalah awak boleh pergi, jangan lupa apa yang saya cakap tadi. Walaupun awak pengsan tapi saya rasa awak salinkan perubahan yang saya nak tu.” Syasya mengangguk. Kejam betul! Sempat lagi ingatkan hal kerja.

“Ingat kerja tetap kerja tapi kesihatan kena jaga,” sambung Ammar. Syasya tersenyum. Dalam hati, Syasya sedikit memuji Ammar. Setidaknya dia masih sudi ambil berat tentang aku.

Syasya yang tak berapa jauh sempat terdengar laungan Ammar “Jangan perasan sangat. Saya cuma tak nak jejaskan projek ni aje,” Setelah itu Ammar terus masuk ke dalam rumahnya sambil bersiul-siul seolah-olah tak ada apa-apa yang berlaku.

Hishh dia ni kalau tak sakitkan hati aku memang tak tenang agaknya, Syasya membentak dalam hati. Syasya membuka dan merebahkan dengan kasar dalam keretanya. Pintu ditutup rapat.

Syasya menjeling tajam ke arah rumah tersebut. Rasa menyesal datang rumah ni, menyesal pengsan dalam rumah ni dan menyesal puji dia lebih-lebih dalam hati ni...semua menyesallah kalau berkaitan lelaki sombong ni! Syasya terus memecut laju dan meninggalkan rumah itu. Terasa panas pula kalau lama-lama di rumah tersebut.
**
“Bos dia dah keluar dari rumah tu.” Setelah itu panggilan dimatikan. Haikal mengeluh. Kenapa Syasya perlu berhubung lagi dengan lelaki tu. Bukankah mereka sudah putus?

Haikal menarik laci di sebelahnya. Sebuah foto dikeluarkan. Haikal menatap foto itu dengan penuh sayang. Foto Syasya tersenyum manis diambil curi oleh orang suruhannya. Bukan ini sahaja foto yang dia ada, banyak lagi. Semua itu berada di dalam bilik peribadinya di rumah. Cuma foto ini sahaja sebagai penemannya ketika berada di pejabat.

Tidak sia-sia dia mengikuti setiap perkembangan Syasya selama lapan tahun ini. Sejak dia meninggalkan bumi Malaysia hinggalah dia kembali ke Malaysia semula. Setiap perkembangan Syasya dia tahu. Memang dia sudah mengupah orang untuk memantau setiap pergerakan Syasya.

Sayang dia pada perempuan bernama Syasya Ilyana tiada tandingannya. Dalam hatinya tiada langsung keinginan untuk melupakan wanita itu. Hanya Syasya dalam hatinya. Biarlah orang menggelarnya gila bayang, psiko atau stalker, dia tak kisah. Yang penting hatinya puas melakukan ini. Setidaknya segala perbuatan Syasya tak lepas dari pandangan matanya.

Haikal mengusap perlahan foto itu. Sya....saya sayangkan awak, saya cintakan awak, sampai mati saya tetap tak akan lepaskan awak. Saya akan lindungi awak walau apa jadi sekalipun. Saya akan tambat hati awak balik. Awak milik saya! Tekad Aliff Haikal. Dia pasti akan miliki perempuan yang dicintainya ini.

Telefon yang berbunyi tidak diendahkan. Tengok nama pemanggilnya sahaja sudah menyampah. Fifi Syuhada! Perempuan ini tak sudah-sudah mengejarnya, dari dulu sampai sekarang. Sudah banyak kali ditolak, tapi tetap nak berkepit juga. Tak reti bahasa betul!

Fifi makin kuat ingin melekat dengannya tambah-tambah atas sokongan Datin Hanum. Huh dua-dua kepala batu! Haikal hanya membiarkan deringan itu berhenti dan menyambung kembali kerjanya dengan tenang.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience