Bab 24

Romance Series 14493

“Sya, awak dah betul-betul sihat ke nak joging ni?” soal Amira risau. Entah apa yang merasuk fikiran temannya sampaikan pagi-pagi lagi dah call semata-mata mengajaknya joging di Tasik Wawasan.

“Mestilah dah sihat. Awak ada nampak ke dahi saya ni bertampal lagi? Tak kan...lagipun esok saya dah boleh masuk sekolah dah.” Syasya tersenyum sambil memanaskan badan.

Lagipun badannya sakit-sakit asyik terperuk saja dalam bilik. Inilah masanya untuk berikan kesegaran buat badannya. Yang jadi mangsanya, Amira! Bukan dia tak tahu temannya itu tidak gemar bersenam. Patutlah berat badan dah makin naik, mana taknya asyik simpan lemak aje.

“Kut ya pun dah baik, tak payahlah ajak saya bersenam sekali.” Cebik Amira. Terpaksa juga dia mengalah dengan permintaan Syasya. Dan sekarang, dia sudah tercongok di depan Tasik Wawasan yang luas ini. Amira memang tak minat bersenam. Penat katanya...tapi apa boleh buat kalau Syasya sudah mendesaknya.

“Ala, apa salahnya. Bersenam ni baik tau. Boleh bakar lemak-lemak awak ni...” Syasya terus mencuit-cuit pinggang Amira. Amira tertawa kegelian. Amira lantas melarikan tangan Syasya.

“Hei mana ada lemak. Saya masih ramping tau!” bela Amira. Memang tubuhnya masih langsing meskipun berat badannya tidak kelihatan sama dengan tubuhnya. Pelik kan? Itulah banyak lemak tersembunyi yang bertempel dalam badannya.

“Ya ke tapi kenapa berat badan naik?” soal Syasya tiba-tiba. Muka Amira sudah merah. Aduh kantoi! Macam mana dia tahu ni?

“Dah....dah tak payah buat muka macam tu. Dah macam itik kena bakar pulak. Jomlah lari satu round.” Ajak Syasya lalu menarik Amira yang masih lagi menarik muka masam. Namun Amira tidak membantah dan langkah kakinya hanya menurut saja.
**
Beberapa minit berlari Amira sudah minta Syasya berhenti. Mereke terus mencari bangkul kosong.

“Kita baru separuh jalan je...takkan dah penat?” soal Syasya sambil mengelap peluh dengan kain di bahunya.

“Saya....saya dah tak laratlah. Please rehat jap.” Ujar Amira semput. Dia melepaskan lelah sambil menarik nafas. Menyesal betul ikut budak ni.

“Hai dah penat?” tegur satu suara dari belakang. Mereka berdua lantas berpaling.

“Buta ke, tak tau orang penat ke tak...” tempelak Amira. Syasya menggeleng. Mereka berdua ni kalau berjumpa, tak gaduh memang tak sahlah. Danial sudah bersandar di pokok sambil tersengih. Dari tadi lagi dia memerhati dari jauh gelagat dua gadis tersebut.

“Awak datang dengan siapa Danial?” tegur Syasya ramah. Amira sudah ketap bibir. Sakit hatinya bila mendengar perlian Danial tetapi dalam sakit ada senangnya. Hissh tak faham betul dengan hatinya!

“Dengan saya.” Jawab suara di belakang Danial. Syasya terkedu. Hatinya mula nanar. Aduh kenapa dia boleh datang sini juga.

“Oh, Ammar ada rupanya. Joging juga ke?” soal Amira tiba-tiba ramah. Danial mencebik. Ish dengan aku punyalah kasar bila time si Am ni manis pula bunyinya ya....

“Taklah kitorang datang nak mandi kat tasik ni. Tak nak join ke? Mari saya tolong mandikan sekali.” Balas Danial sinis.

“Ada saya tanya awak? Lagipun tak payah ajak saya, saya dah mandi dah kat rumah. Awak yang nak sangat mandi kat sini kan. Ha...apa lagi terjunlah, nak buat macam mana kat rumah awak tak ada air. Tak apa saya faham.” Kata-kata bisa Amira menerpa ke gegendang telinga Danial. Sakit betul hati aku. Eeeii nasib baik aku suka kat kau, kalau tak dah lama aku humban dalam tasik ni!

“Eleh...biarlah yang penting saya ni bukan orang yang kurang stamina macam awak.” Danial menceber.

“Apa maksud awak?” soal Amira panas. Syasya dan Ammar hanya sekadar memerhati. Faham sangat dengan perangai keras kepala pasangan itu.

“Yalah, baru lari sikit dah tak larat.” Ejek Danial.

“Hello....saya bukan kurang stamina tapi saya malas tunjuk aje.” Balas Amira ego. Hatinya membara saat Danial mengejek dirinya.

“Mengaku ajelah cik Amira ooii...”

“Okey macam ni lah encik Danial, apa kata kita sama-sama joging. Kita tengok siapa yang kurang stamina sebenarnya.” Cabar Amira. Danial tersenyum sinis.

“Okey, saya terima.”

“Sya, saya pergi dulu ya. Saya nak tunjuk dekat si mamat bajet bagus ni siapa yang sebenarnya lemah.” Amira terus berlari pergi.

“Bro, kita jumpa kejap lagi. Aku nak kalahkan si minah ego tu dulu.” Danial juga terus berlalu meninggalkan mereka dan mengejar Amira dari belakang. Ammar dan Syasya terkebil-kebil memerhati kelibat mereka yang semakin menjauh.

“Nampaknya tinggal kita berdua sahaja kat sini.” Ujar Ammar tiba-tiba. Syasya menelan air liur. Baru perasaan yang kini dia tinggal berdua dengan Ammar.

Tiba-tiba perasaan bersalah menyelubungi diri. Dia memandang ke arah Ammar yang kebetulan Ammar juga memandang tajam ke arahnya. Gulp! Dia tertelan air liurnya sendiri. Syasya cuba bertenang.

“Kenapa awak tengok saya macam tu?” tegur Syasya perlahan. Ammar tersenyum manis.

“Awak cantik sangat...” Balas Ammar. Baginya gadis di depannya ini sangat cantik meskipun hanya memakai baju sukan berwarna pink, sweater putihnya diikat di pinggang dan rambutnya diikat satu dengan kemas. Menarik! Tambah lagi mukanya yang ala-ala korea itu pasti menarik sesiapa sahaja untuk memandangnya.

“Am...awak okey ke?” soal Syasya. Tangannya melambai ke muka Ammar. Ammar tersedar.

“Ha...”

“Tak, saya tanya tadi awak cakap apa? Saya tak dengar jelaslah apa awak cakap.” Jelas Syasya. Ish mengelamun pulak mamat ni...

“Tak ada apalah. Saya cuma tanya awak dah sihat ke?” Ammar cuba mengalih topik. Syasya tersenyum.

“Saya dah sihat. Esok dah boleh masuk sekolah. Awak pula macam mana? Demam dah okey?”

“Kalau saya demam, taklah saya ke mari. Demam saya dah sembuh, tu pun berkat saya jumpa doktor kat depan saya ni,” kata-kata Ammar membuatkan Syasya tertunduk malu.

“Luka kat dahi awak dah sembuh ya?” soal Ammar. Syasya mengangguk.

“Dah tapi sekarang dah tinggal parut.” Syasya menyelak rambutnya. Ammar memandang ke arah parut yang ditunjuk Syasya. Benar, ada parut kecil tercalit di dahi licinnya itu.

Mungkin dahinya itu terkena kayu tajam sewaktu terjatuh ke dalam gaung. Meskipun dahinya terpaut parut kecil tetapi itu tidak mencacatkan rupanya. Wajahnya masih kekal cantik seperti dulu. Lagipun parutnya tidaklah besar. Ammar pasti tiada siapa dapat melihat jelas parut itu kecuali orang itu berdiri dekat dengan Syasya.

“Awak masih cantik lagi.” Puji Ammar ikhlas.

“Tak adalah, saya biasa-biasa je.”

“Itu lagi saya suka.”

“Okey, boleh kita stop cerita pasal saya tak?”

“Yalah...” Ammar tertawa melihat muka Syasya sudah merah menahan malu.

“Am, boleh saya cakap sesuatu?” Syasya cuba mengatur bicara. Ammar hanya mengangguk.

“Saya nak minta maaf.” Ujar Syasya berhati-hati.

“For what?”

“Sebab marah awak tempoh hari. Sepatutnya saya tak patut cakap awak macam tu.”

“Tak ada sebab untuk saya marah awak. Saya faham, awak cuba untuk lindung kawan awak but you must know yang saya bukan orang macam tu.” Jelas Ammar.

“I know.” Jawapan Syasya membuatkan Ammar terkedu. Dia tahu!

“Saya tau dari mulut Alya sendiri,” Syasya menjawab pertanyaan yang bermain di fikiran Ammar. Ammar menghela nafas lega. Jadi dia tidak perlu untuk jelaskan lebih lanjut.

“So....” ujar Ammar tegas. Sengaja dia berpura tegas untuk melihat reaksi Syasya. Ternyata rancangannya berhasil bila melihat muka Syasya yang mula kelihatan cuak.

“Saya nak minta maaf sangat-sangat. Saya banyak buat salah dengan awak. Saya sanggup buat apa saja untuk tebus segala kesalahan saya.” Pinta Syasya. Sungguh hatinya sedikit lega bila berjaya luahkan semuanya.

“Betul awak sanggup buat apa saja...?” tanya Ammar kembali. Ada nada senang kedengaran dari suaranya. Syasya mula gugut. Aduh mamat ni nak suruh buat apa ni. Kalau benda yang aku tak boleh buat macam mana...

“Emm awak nak saya buat apa?” soal Syasya gementar. Ammar sudah tersengih.

“Tak susah...”

“Apa?”

“Temankan saya joging.” Jawapan Ammar membuatkan Syasya sedikit lega. Huissh mati-matian dia suruh aku jadi orang gaji dia ke? Bayar ganti rugi ke? Macam dalam novel-novel tu tapi syukurlah Ammar bukan orang macam tu.

“Boleh?” Ammar tersenyum bila wajah di hadapannya mengangguk.

“Am, satu lagi saya nak cakap. Saya nak berterima kasih dekat awak sebab awak dah banyak kali selamatkan saya. Maaf juga sebab saya ada tertampar awak, saya betul-betul...”

“Ssshhh....!!” belum sempat Syasya menghabiskan kata-katanya, jari telunjuk Ammar sudah melekat dibibirnya. Syasya terdiam. Ammar melarikan jarinya setelah Syasya berhenti bersuara.

“Awak ni banyak cakap betul hari ni ya. Sya, awak jangan pernah minta maaf dekat saya kerana sesaat pun awak tak pernah buat salah kat saya. Awak jangan pernah berterima kasih dengan saya kerana apa yang saya lakukan semua ini atas kehendak hati saya. Saya sanggup lakukan apa sahaja hanya untuk awak...” kata-kata Ammar sedikit menyentuh hati Syasya.

Mereka berpandangan antara satu sama lain. Suasana di tasik yang bising mula sunyi seolah-olah memberi mereka peluang untuk menyelami hati budi masing-masing. Syasya tertunduk malu bila lama menatap mata coklat cair itu. Syasya segera bangun dari bangku.

“Jomlah tadi awak cakap nak suruh saya temankan awak joging. Jomlah kejar Amira dan Danial. Mereka pun mungkin dah jauh nuh...” ajak Syasya tiba-tiba. Cuba untuk alihkan tumpuan Ammar yang kerap merenung dirinya. Sungguh pandangannya itu menguatkan lagi debaran di hatinya. Ammar terus bangun dan segera mengatur langkah mengejar Syasya yang sudah jauh ke hadapan.

“Tunggulah...” jerit Ammar lalu segera mempercepatkan lagi lariannya. Ni bukan joging tapi lumba lari dah ni. Ish, Syasya...Syasya...lucu melihat telatah Syasya yang sedikit gelabah itu.
**
“Aduh....rasa nak tercabut kepala lutut saya ni. Saya rasa skru lutut saya dah tertinggallah kat tasik nuh.” Kata-kata Amira membuatkan Syasya menghembur ketawa. Ish pelik betullah budak ni, kalau tak merapu memang bukan Amira Zulaikhalah tu!

“Yang awak ni gelak sakan kenapa? Suka ke bila member sakit? Awaklah yang ajak saya joging ni, tengok sekarang...” ujar Amira geram. Orang tengah sakit boleh pulak dia bantai gelakkan kita.

“Ala...merajuk pula. Nak saya tolong panggilkan Danial untuk pujuk awak.” Syasya berpura-pura cuba mendail nombor Danial namun segera dihalang oleh Amira.

“Ha tau pun. Ada saya suruh awak berlumba dengan Danial. Saya rasa tak ada pun. Awak sendiri yang pergi cabar dia tu kenapa? Dah tau awak tu tak kuat berlari tak payahlah nak ego sangat.” Untung sahaja Amira tidak pengsan di tasik kerana berlari melebihi tahap limitnya.

Yang peliknya semasa Syasya dan Ammar berjumpa dengan mereka berdua, boleh pula mereka duduk berbual sakan di kedai mamat. Mesra bukan main. Tadi bukan main keras kepala lagi mereka berdua. Kejap baik, kejap tak...pelik betul pasangan ni.

Lepas sahaja Danial dan Ammar pulang terus sahaja rasa sakit kaki si Amira ni menyerang. Hai satu hari duk mengadap muka Danial tak ada sakitnya. Bila Danial dah balik baru rasa yang dia sebenarnya masih ada kaki. Betul-betul angau budak ni....

“Awakkan tau, kalau depan Danial saya kenalah tunjuk kuat. Tak naklah lemah-lemah ni, nanti dia gelakkan saya.” Bela Amira.

“So, kira tadi awak dah kalahkan dialah?” tanya Syasya. Amira tersengih.

“Kitorang seri.” Syasya mengeluh. Hampeh! Bukan menang pun...

“Hei awak jangan kutuk tau. Sekurang-kurangnya saya tak kalah.” Ujar Amira bangga.

“Yalah, sekurang-kurangnya juga awak tak hilang kaki.” Balas Syasya sinis. Amira sudah buat muncung itiknya.

“Dahlah, saya balik dulu. Ni minum air ni sampai habis.” Pamit Syasya.

“Dah nak balik ke? Saya baru nak dengar cerita awak dengan si Am.”

“Tak ada apa yang menarik pun. Kisah awak dan Danial lagi best. Saya balik dulu.” Syasya terus keluar dari rumah Amira setelah bersalaman dengan ummi dan adik-adik Amira.

Aku dan Danial? Best ke? Hehehe...biarlah rahsia, desis Amira lalu segera berlalu ke bilik air.

Syasya segera menuju ke rumahnya. Kelihatan sebuah lori besar dan beberapa buah kereta berada di depan rumah jirannya. Setahu dia, rumah tu baru sahaja dikosongkan kerana bekas jirannya dulu sudah berpindah ke kediaman lain. Mungkin jiran baru kut...

Syasya memerhati sekitar kawasan tersebut dan dia ternampak kelibat papanya yang sedang rancak berbual dengan seorang wanita yang sedikit muda dari papanya. Syasya segera mendekati mereka.

“Assalamualaikum.” Salam Syasya dijawab oleh Encik Aziz dan wanita tersebut. Syasya menghadiahkan senyuman manis buat wanita itu. Begitu juga dengan wanita itu yang tidak lekang dengan senyuman.

“Ni anak saya Syasya Ilyana. Sya, ni pulak kak Fina jiran baru kita,” Encik Aziz memperkenalkan mereka berdua. Syasya segera menyelami tangan wanita yang dikenali sebagai kak Fina itu.

“Eh, abang Aziz ni kenapa nak bahasakan kakak. Saya rasa dah tua dah, patut panggil aunty aje.” Ujar Puan Fina ramah.

“Mana ada tua, baru 33 lainlah kalau saya ni dah masuk 40 dah.” Balas Encik Aziz malu-malu. Syasya hanya sekadar memerhati. Lain macam aje papa ni layan kak Fina...

“Ya ke? Saya nampak muda lagi. Segak dan bergaya...macam orang muda-muda.” Kata-kata Puan Fina membuatkan Encik Aziz tertawa. Tiba-tiba muncul seorang kanak-kanak yang mungkin berusia lima tahun mendakap kaki Puan Fina.

“Ni anak saya, nama dia Fisha. Fisha, salam kakak dan uncle.” Arah Puan Fina lembut. Fisha segera menurut. Dia terus menyalami Encik Aziz dan Syasya. Ketika bersalaman dengan Syasya dia segera menarik Syasya supaya duduk. Syasya hanya menurut. Fisha terus mencium pipi Syasya.

“Kakak ni cantiklah macam artis korea.” Ujar Fisha petah. Kata-kata Fisha membuat mereka tertawa. Syasya terus mencubit perlahan pipi tembam Fisha.

“Fisha pun comel macam budak jepun.” Puji Syasya ikhlas. Sungguh hatinya terpaut pada kanak-kanak yang sedikit mirip dengan muka ibunya. Ala-ala jepun gitu. Puan Fina masih lagi cantik meskipun umur sudah mencecah 30-an.

“Fisha pergi main kat sana. Ingat, jangan kacau abang-abang tengah buat kerja tau.” Pesan Puan Fina. Fisha mengangguk lalu segera berlalu.

“Comel betul anak akak.” Puji Syasya. Puan Fina tersenyum.

“Janganlah panggil akak, panggil je aunty. Syasya pun cantik juga. Betul kata anak aunty yang muka Syasya macam muka orang korea. Aunty pun terkejut tadi bila Syasya tegur. Ingat artis korea manalah tadi, rupa-rupanya anak abang Aziz.” Ujar Puan Fina panjang lebar. Syasya tertunduk malu. Encik Aziz hanya tersenyum bangga.

“Papa, aunty...Sya masuk dulu ya. Nak mandi. Melekit dah tubuh ni...nanti Syasya turun balik untuk tolong apa yang patut.” Encik Aziz dan Puan Fina hanya mengangguk.

Syasya segera berlalu masuk ke rumahnya. Belum sempat Syasya masuk, dia berpaling semula melihat papanya dan aunty Fina. Mesra. Inilah kali pertama dia mendengar papanya ketawa senang setelah lama mamanya meninggal dunia.

Ada sinar bahagia di dalam mata papanya saat menatap aunty Fina. Andai jodoh papa ialah aunty Fina, Syasya terima dengan ikhlas...sesungguhnya dia mendoakan yang terbaik buat papanya!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience