Bab 22

Romance Series 14717

Syasya tersedar dari lenanya. Matanya sedikit silau dengan cahaya matahari dari jendela biliknya. Syasya membetulkan kedudukan. Syasya memegang dahinya yang berbalut. Untung sahaja dia cepat dibawakan hospital. Entah apalah akan terjadi padanya jika terlambat tiba. Mujurlah doktor mengesahkan luka di kepalanya tidak terlalu parah. Jadi dia dibenarkan pulang hari ini selepas tiga hari bermalam di hospital.

“Dah bangun princess papa?” Encik Aziz menjengukkan kepalanya dari pintu. Syasya hanya tersenyum. Lalu Encik Aziz membawa masuk dulang makanan ke kamar Syasya. Dia meletakkan makanan itu di meja tepi katil. Encik Aziz duduk di sebelah anaknya.

“Macam mana keadaan Sya hari ini? Kepala sakit lagi ke?” soal Encik Aziz sambil mengusap kepala anaknya lembut.

“Tak sakit dah. Syasya dah semakin sembuh, papa jangan risau ya...” Syasya mengenggam erat tangan papanya.

“Mana papa tak risau. Bila cikgu Sya call papa hari itu, nak luruh rasa jantung ni bila tau princess papa ni masuk hospital. Papa sampai drift tau datang hospital semata-mata tak nak sesuatu berlaku kat anak papa sorang ni.” Syasya tergelak kecil. Syasya mengusap tangan papanya.

“Papa ni janganlah sampai macam tu sekali. Kalau terjadi apa-apa kat papa macam mana...”

“Papa tak kisah tentang nyawa papa yang penting nyawa anak papa selamat. Sya sajalah pengubat rindu papa dan papa sanggup buat apa sahaja hanya untuk Sya. Please jangan buat papa macam ni lagi ya nak....” Syasya sebak mendengar luahan hati papanya. Syasya terus memeluk erat Encik Aziz.

“Sya janji tak buat macam ni lagi...”

“Syasya lain kali hati-hati tau. Kalau pergi kat tempat macam tu, janganlah main-main kat tepi curam. Tengokkan dah tergelincir jatuh. Nasib baik tak ada apa-apa yang serius.” Nasihat Encik Aziz. Walaupun dia sedikit ragu-ragu dengan alasan yang diberikan Syasya. Tapi takdir manusia...siapa yang tahu.

“Sya tak perasaan yang tempat tu licin...tu yang terjatuh tu.” Syasya sendiri kurang pasti dengan alasan yang diberikan kepada papanya dan semua orang yang menanyakan sebab dia jatuh. Fikirannya buntu saat memikirkan sama ada dia betul-betul jatuh atau.....entahlah Syasya malas ingin memikirkan hal yang belum tentu jelas.

“Mujur ada budak tu yang selamatkan Sya. Emm...apa dah nama dia, papa lupa.”

“Ammar....” jawab Syasya sepatah.

“Ha....Ammar. Mujurlah dia dapat jumpa Sya dengan cepat. Kalau tak....tak taulah apa jadi. Papa patutnya ucap terima kasih pada dia tapi papa tak jumpa pun dia kat hospital. Rasanya dia tak ada melawat Sya kan kat hospital?” soal Encik Aziz. Syasya hanya mengangguk perlahan.

“Eh papa tak kerja ke hari ini?” Syasya cuba mengalih topik.

“Papa ambil cuti seminggu ni. Kalau tak, siapa nak jaga princess ni...”

“Tak menyusahkan papa ke...kan banyak kerja kat ofis. Sya boleh jaga dirilah. Lagipun doktor dah kasi Sya MC dua minggu, boleh rehat secukupnya.” Encik Aziz tersenyum.

“Tak apalah, lagipun dah lama papa tak ambil cuti lama untuk luangkan masa dengan anak papa ni. Jangan risaulah papa tetap boleh sambung kerja papa ni kat rumah.” Balas Encik Aziz.

“Sayang papa...”

“Sayang Sya juga. Dah makanlah. Papa ada masak bubur ayam special untuk princess. Lepas makan, terus makan ubat ya...papa ada hal kejap.” Syasya hanya mengangguk dan melihat langkah papanya yang mula menghilang.

Syasya memandang sepi hidangannya. Dia tiada selera. Fikirannya terus melayang memikirkan apa yang diperkatakan papanya. Benar! Ammar yang telah menyelamatkannya dari kejadian tersebut. Itu pun dia tahu kerana Amira yang memberitahu. Masih dia ingat lagi kata-kata Amira.

“Sya...betul. Ammar yang selamatkan awak! Saya terkejut juga tau bila kitorang tengah tunggu pihak keselamatan cari awak, Ammar tiba-tiba muncul dari hutan sambil dukung awak. Dia menjerit minta tolong. Bila kitorang sampai, kitorang tengok awak dah cedera dan tak sedarkan diri. Keadaan Ammar hari tu pun macam dah lembik tau, tapi dia cakap tak payah pedulikan dia tapi selamatkan awak dahulu. So kitorang terus bawa awak ke hospital.”

Syasya mengeluh bila mengenangkan kejadian itu. Amira juga pernah memberitahunya bahawa Ammar sudah tidak masuk sekolah tiga hari berturut-turut. Malah tiada khabar langsung mengenai Ammar. Dia juga langsung tidak menjenguknya di hospital. Puas Syasya menanyakan soal Ammar kepada Danial namun Danial juga tidak mengetahui apa-apa.

Ke mana awak pergi Am....saya betul-betul rindukan awak. Atau awak tak sudi lagi nak berkawan dengan saya. Apa awak dah mula lupakan saya, desis Syasya perlahan.

Lamunan Syasya terhenti apabila mendengar ketukan di pintunya. Encik Aziz membukanya setelah Syasya mengizinkan. Pintu dikuak perlahan.

“Sya tak makan lagi ke?” soal Encik Aziz. Syasya hanya tersengih.

“Sya nak sejukkan dulu, baru Sya makan. Ada apa pa...”

“Ada orang nak jumpa Sya kat bawah.”

“Siapa...?” soal Syasya. Encik Aziz seperti ragu-ragu ingin memberitahunya.

“Baik Sya tengok sendiri.” Syasya mengerutkan dahi. Pelik. Syasya terus turun dari katilnya sambil dibantu papanya. Encik Aziz memapah Syasya keluar dari biliknya.

“Tak apa pa...Syasya boleh pergi sendiri.” Pinta Syasya. Encik Aziz hanya mengangguk dan berlalu ke bilik kerjanya. Syasya melangkah perlahan ke ruang tamu. Di situ seseorang sedang duduk membelakanginya di sofa.

“Ehem....” Syasya cuba menyedarkan jejaka itu. Jejaka itu berpaling dan segera berdiri. Wajah jejaka itu sangat pucat. Keadaan dirinya juga kelihatan serabai dengan rambut sedikit tidak terurus. Syasya tersentak memandang wajah tersebut.

“Am...Ammar! Apa dah jadi kat awak ni?” Soal Syasya cemas. Ammar cuba mendekati Syasya perlahan tapi langkahnya segera berhenti. Ammar memegang kepalanya yang tiba-tiba sakit.

“Ammar kenapa ni....?” Syasya mula panik melihat keadaan Ammar. Ammar cuba melangkah setapak namun matanya mula berbalam-balam. Dia terus rebah. Hanya suara teriakan Syasya yang dapat ditangkapnya sebelum dia tidak sedarkan diri.
**
Syasya meletakkan kain basahan di atas kepala Ammar setelah selesai mengelap di sekitar muka dan tekak bagi mengurangkan wap panas. Papanya sudah hilang ke kamarnya. Hanya tinggal Syasya yang setia menemani Ammar. Syasya meletakkan tangannya di dahi Ammar untuk memeriksa suhu. Untung sahaja panasnya sudah sedikit menurun.

Syasya memandang sepi ke arah Ammar yang sedang terbaring lesu. Hampir sahaja air matanya menitis melihat keadaan Ammar namun pantas disapunya. Mungkin Ammar demam panas kerana terkena hujan pada hari kejadian. Bukan dia tidak tahu, antibodi Ammar amat sensitif dan mudah jatuh sakit. Patutlah dia tak datang ke sekolah....desis Syasya.

Syasya mengeluh kesal. Dia memegang pipi kanan Ammar dan mengusapnya dengan perlahan. Pipi inilah yang dia tampar tempoh hari. Maafkan saya Am! Ini semua salah saya. Kalau sahaja awak tak tolong saya, ini semua tak akan terjadi....bisik Syasya perlahan. Tanpa disedarinya, Syasya telah menggengam erat tangan Ammar.

Selang beberapa saat, barulah Syasya tersedar akan tindakannya itu. Syasya segera melepaskan genggamannya. Mukanya mula merah. Malu! Untung sahaja Ammar masih belum sedar, kalau tak, entah macam mana dia nak sorok mukanya.

Syasya segera bangun ingin keluar. Tapi langkahnya terhenti bila dia terasa lengannya ditarik. Lantas dengan tiba-tiba dia terhempap ke atas Ammar. Matanya tepat merenung ke arah anak mata Ammar. Saling bertatapan! Terasa putaran masa terhenti seketika. Setelah menyedari kesalahannya. Syasya segera bangun.

“Awak tak apa-apa...?” tegur Syasya perlahan. Adoi macam mana boleh landing baik punya atas dia ni....ish malunya!

“Berat juga awak ya...” gurau Ammar. Dia cuba bangun untuk membetulkan kedudukannya agar lebih selesa. Syasya membantunya.

“Yang awak pergi tarik tangan saya tu apasal? Padan muka....tulah buat hal sangat.” Muka Syasya sudah merah menyala menahan malu.

Ammar hanya ketawa. Entah kenapa rasa demannya sudah makin baik dengan perilaku Syasya terhadapnya. Bukan dia tidak tahu apa yang Syasya lakukan pada dia. Sengaja dia berpura-pura masih tidak sedarkan diri sewaktu Syasya mengusap dan mengenggam tangannya. Betul-betul rasa disayangi!

“Tak apalah. Kalau awak nak hempap saya hari-hari pun saya sudi.” ujar Ammar sambil tersengih.

“Eeiii sakit-sakit pun masih gatal lagi ya....” Syasya terus mencubit lengan Ammar. Ammar mengaduh kesakitan sambil mengusap lengannya yang sudah merah.

“Padan muka!” cebik Syasya. Ammar hanya tersenyum. Suasana mula sepi semula.

“Kenapa awak datang sini dengan keadaan macam ni? Patutnya awak pergilah klinik bukan datang kat sini.” Ujar Syasya.

“Awaklah doktor saya,” balas Ammar bersahaja.

“Am...saya serius ni.” Ammar hanya terdiam.

“Saya cuma nak tahu keadaan awak. Saya risau sangat kat awak. Maaf kalau saya tak dapat jenguk awak kat hospital. Saya langsung tak larat nak bangun. Hari ini baru okey sikit tapi saya dah menyusahkan awak pula.” Ujar Ammar.

“Tak, awak tak menyusahkanlah. Sepatutnya awak jangan fikirkan soal saya, yang penting kesihatan diri awak ni. Kalau dah tau diri tu sakit, janganlah datang.” Nasihat Syasya. Sebenarnya dia terharu dengan kesungguhan Ammar yang selalu mengambil berat tentang dirinya.

“Sya...awaklah segala-galanya bagi saya. Keselamatan awak paling penting bagi saya. Saya tak nak jadi apa-apa kat awak.” Ammar cuba meluahkan isi hatinya. Syasya mula gelisah.

“Saya rasa tak manislah awak cakap macam ni. Kita tak ada apa-apa hubungan. Lagipun awakkan dah jadi milik.....”

“Alya maksud awak?” soal Ammar tiba-tiba. Syasya hanya menunduk.

“Alya tak ada apa-apa erti dalam hidup saya. Yang penting dalam hidup saya hanya awak.” Ujar Ammar bersahaja.

“Apa awak cakap ni. Jangan pernah mainkan perasaan perempuan Ammar!” Syasya mula naik angin. Walaupun hatinya sakit tetapi tak mungkin dia akan merampas hak orang lain tambahan pula hak rakannya sendiri.

“Saya tak pernah sukakan dia...”

“Stop Ammar! Maksud awak sekarang ni, awak nak mainkan perasaan dia....but she is your girlfriend now!” Syasya makin berang. Ammar mengusap rambutnya perlahan. Nampak gaya sangkaanya selama ini tepat yang Syasya sudah mula salah faham.

“Ini semua salah faham okey....let me explain.” Ammar cuba menjelaskan hal yang sebenar.

“No...no..tak payah. Baik awak lupakan niat awak tu. Please layanlah Alya dengan baik, jangan mainkan hati dia.”

“Sya, saya dengan dia....” Bunyi ketukan di pintu menghentikan segala suasana yang mula hangat ini. Encik Aziz memberitahu bahawa Danial sudah sampai. Syasya hanya mengangguk. Dia yang menelefon Danial supaya datang untuk membawa Ammar pulang ke rumahnya.

“Saya yang call dia untuk bawa awak balik.” Jelas Syasya setelah melihat wajah Ammar yang bingung. Ammar hanya mengeluh. Mungkin kalau dia cuba untuk jelaskan hal ni sekarang pasti tiada hasilnya kerana Syasya tidak ingin mendengarnya.

“Tak apalah. Saya balik dulu. Awak rehatlah...” ujar Ammar perlahan.

“Awak pun sama. Jangan lupa makan ubat dan jangan lupa pasal apa yang saya cakap sebentar tadi.” Ammar hanya berdiam diri. Mereka segera menuju ke arah Danial dan Encik Aziz yang sedang berbual di ruang tamu.

“Kau ni sihat pun tak duduk diam, sakit pun masih tak duduk diam juga. Dah tau sakit duduklah senyap-senyap kat rumah tu. Ni tak, nak merayap je.... orang sakit nak melawat orang sakit. Tak ke pelik bunyi tu...” bebel Danial.

Mana tak membebelnya, dia sampai habis meter kereta dipecutnya untuk datang ke sini semata-mata Syasya memberitahu yang Ammar pengsan di rumahnya. Nasib baik tak kena saman, kalau tak...kau yang aku minta ganti rugi!

“Dahlah, baik kau diam sebelum dengan kau sekali jatuh sakit.” Ugut Ammar lalu menumbuk perlahan bahu rakannya.

“Eh...eh dia pulak nak kasi kita sakit. Nak jalan pun tak larat, aku juga yang kena pimpin, kan,” cemuh Danial. Encik Aziz hanya tersenyum melihat karenah dua pemuda di hadapannya itu. Syasya cuma berdiam diri.

Setelah bersalaman dengan Encik Aziz, mereka segera menaiki kereta. Sebelum Ammar menutup pintu, matanya tidak lepas menatap Syasya. Syasya hanya menunduk. Tidak sanggup rasanya menatap tatapan Ammar. Selepas kereta Danial bergerak meninggalkan perkarangan rumahnya barulah dia berani untuk mengangkat mukanya.

“Tak baik seksa perasaan orang nak...” pesan Encik Aziz sebelum meninggalkan Syasya yang terkebil-kebil sendirian. Apa maksud papanya....
**
“Thanks bro...kau tak nak masuk dulu ke?” soal Ammar setelah Danial sampai ke banglonya.

“No, thanks. Aku ada janji dengan seseorang yang special.” Ujar Danial tersengih.

“Cikaro lagi ke? Eh, bukan kau dah janji ke tak nak jadi playboy lagi. Kaukan cuma nak tackle si Amira tu aje. Now apa kes...dah give up?” soal Ammar.

“Hei, aku ni mana pernah putus asa, beb. Kau jangan salah faham. Kau fikir teman special tu awek aje...my mum also special okay!”

“Huh cakaplah awal-awal. Ni buat suspen je...”

“Kau tu yang fikir bukan-bukan.” Danial ketawa.

“Dahlah malas aku nak layan kau....aku pergi dulu,” Ammar segera keluar dari keretanya. Danial menurunkan cermin kereta.

“Bro, kau jangan buat kerja gila lagi. Rehat aje kat rumah. Jangan nak merayap pergi rumah buah hati kau lagi kalau tak sihat. Kalau kau pengsan lagi kat sana, memang aku tak akan ambil kau dah. Tinggallah kau kat sana.” Gurau Danial. Ammar hanya menayangkan penumbuknya. Danial ketawa kuat lalu segera memecut laju keretanya.

Ammar melangkah lemah masuk ke banglo mewahnya. Dia segera menekan butang lif. Sebelum lif terbuka, dia terdengar namanya diseru dari belakang.

“Am...pergi mana? Am kan tak sihat lagi.” Ujar Tengku Sofia. Muka ibunya penuh kerisauan bila melihat anaknya tiba-tiba keluar tanpa meminta izinnya dengan keadaan yang masih belum sihat.

“Am minta maaf ya ibu. Am lupa nak cakap kat ibu, Am pergi lawat kawan tadi....”

“Kawan mana ni, Am? Lagipun kalau nak melawat pun tunggulah sampai Am dah betul-betul sembuh.”

“Kawan Am yang kemalangan kat camp tu. Ala bu...lagipun Am dah okey dah. Ibu jangan risau ya.” Tengku Sofia hanya mengangguk. Dia kurang pasti siapa rakan Ammar yang tercedera di camp tempoh hari tapi mungkin orang itu amat istimewa bagi Ammar. Walaupun demam Ammar masih belum kebah tapi dia masih lagi fikirkan soal orang lain.

“Am nak naik atas dulu ibu. Nak rehat...”

“Nanti ibu suruh Mak Mona sediakan bubur dan ubat untuk Am.” Ammar mengangguk perlahan dan segera masuk ke dalam lif. Tingkat tiga ditujunya iaitu di mana terletak kamar beradunya. Penat rasanya....

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience