Bab 58

Romance Series 14495

Syasya mengusap cincin bertakhta berlian yang terletak elok di jari kirinya. Tak sangka kini dia sudah bergelar tunang pada Tengku Ammar. Perasaan tak percaya masih ada pada dirinya.

Balik saja dari Pangkor, Ammar terus menerangkan perkara sebenar kepada ibu dan babanya. Syasya sendiri tidak pasti apa yang Ammar ceritakan pada Tengku Sofia dan Tengku Ismail sampaikan Tengku Sofia sanggup menelefonnya dan meminta maaf atas salah faham yang berlaku. Syasya terpaksa mengakuinya walaupun dia tak pasti akan cerita yang sebenar. Nampaknya Tengku Sofia antara orang yang paling bahagia bila Ammar memilih Syasya. Memang itu rancangannya sebelum ini, akhirnya doanya dimakbulkan.

Syasya bersyukur kerana tiada bantahan dari keluarganya apabila menerima lamaran dari keluarga Ammar. Walaupun begitu Syasya berasa bersalah terhadap Alya. Dia pasti Alya kecewa meskipun Alya tidak berkata apa-apa padanya. Syasya ingat lagi pertemuannya bersama Alya, dua hari sebelum pertunangannya berlangsung.

“Alya saya mintak maaf,” mohon Syasya. Alya menggeleng lalu digenggam tangan Syasya.

“Tak perlu minta maaf, bukan salah awak. Mungkin tiada jodoh saya dengan Am.” Ujar Alya. Cuba digagah untuk tersenyum, menyembunyikan perasaannya yang hancur.

“Saya mungkin dah rampas Am dari awak. Kalau awak betul-betul sukakan Am, saya sanggup batalkan pertunangan kami.” Alya terkedu mendengar keputusan Syasya.

“Awak jangan buat kerja gila Sya, kesian Am. Dia dah lama nantikan awak. Lagipun awak tak rampas dia dari saya pun. Dari dulu sampai sekarang Am cuma anggap saya sebagai kawan baiknya, tak lebih dari itu. Lagipun saya gembira melihat korang bahagia.”

“Tapi Al...”

“Tak payah fikirkan saya, saya okeylah. Mana tau saya terjumpa pakwe korea ke,” gurau Alya.

“Terima kasih Alya, saya harap awak dapat jodoh yang terbaik. Saya akan selalu doakan awak,” ujar Syasya. Alya tersenyum sambil mengangguk.

“Sebelum saya terlupa, maaf saya mungkin tak dapat hadir pada hari pertunangan dan mungkin hari perkahwinan awak nanti.”

“Kenapa?” soal Syasya. Perasaan serba salah mula menyerbu. Adakah sebab Alya tak sanggup melihat orang yang disukainya berkahwin.

“Esok saya akan ke Korea, sambung study. Maaf tak dapat hadir, saya harap korang kekal bahagia. Nanti kita mesti akan berjumpa lagi. Saya janji!” Syasya kecewa tapi akhirnya terpaksa mengalah dan hanya mampu mendoakan kejayaan Alya. Tak sangka pertemuan ini merupakan pertemuan terakhir bersama Alya sebelum dia berangkat ke Korea esok hari.

Pintu diketuk dari luar mengejutkan Syasya dari khayalan. Terpancul muka Amira yang tersengih bila pintu dibuka.

“Sya tak sangka awak dah bergelar tunangan Am. Itulah kalau aje dulu awak tak ikutkan ego awak tu mesti sekarang ni kita dua-dua dah jadi bakal mummy tau,” rungut Amira. Syasya hanya mampu tergelak.

“Ala tak payah nak ungkit cerita lama yang penting sekarang ni saya dah jadi tunang Am dan dalam masa sebulan kitorang bakal berkahwin. Doakan saya Amira,”

“Saya sentiasa doakan awak. Saya harap korang akan bahagia dah selepas ini. Kenangan silam awak dulu tu lupakan and now awak bakal jadi isteri orang dah tau,” nasihat Amira.

Syasya mengangguk sebelum dia teringatkan akan sesuatu hal. “Mira, awak rasa orang yang pernah ugut saya waktu sekolah dulu tu akan ganggu hubungan kami lagi ke? Macam mana pulak dengan kejadian silam saya dulu tu? Patut ke saya beritahu Am?”

Amira terdiam. “Sya dahlah jangan fikir soal tu. Saya rasa tiada siapa akan ganggu korang berdua dah. Lagipun tu waktu sekolah dulu, mungkin orang tu nak gertak awak saja. Kejadian dulu tu, biarlah kekal rahsia kita berdua. Saya rasa tak patut kut ungkit cerita lama,” Amira cuba menenangkan Syasya. Harap apa yang diucapkan mampu menghentikan Syasya untuk berfikir soal itu. Tiba saatnya untuk Syasya fikirkan masa depan dan lupakan masa lalunya yang pahit itu.
**
“Aaaarrrrgggghhhhhh, tak guna...!!!!” Segala benda di atas meja segera di baling ke dinding. Kaca berderai menimpa lantai. Bersepah bilik tersebut dikerjakanya. Bunyi ketukan di luar tidak dipedulikan.

Haikal mengenggam erat foto Syasya di tangan. Sakit hatinya bila mendengar berita pertunangan Syasya. Terasa dikoyak-koyak hatinya saat melihat orang yang paling disayang bakal berkahwin dengan orang lain. Perasaan marah semakin membara bila mengetahui orang itu ialah Tengku Ammar. Musuhnya!

“Sya...kenapa awak buat saya macam ni. Saya cintakan awak. Kenapa awak perlu memilih lelaki ini!” ujar Haikal lirih. Segera dipeluk cium gambar Syasya.

“Kal sayang, bunyi apa bising tu. Keluarlah nak. Mummy risau!” laung Datin Hanum dari luar. Namun tidak dipedulikan Haikal. Matanya fokus menatap gambar mesra Ammar dan Syasya yang diambil curi oleh pengitipnya.

Gambar tersebut dikoyak dua. Haikal mengambil kaca yang bertaburan di lantai, segera ditorehnya ke foto Ammar. Ibarat muka Ammar sendiri yang ditorehnya. Luka di tangan tidak dipedulikan, yang pasti hatinya puas bila melihat hancurnya foto itu. Kau harus mati Am! Mati! Syasya milik aku....!!

“Kal, buka pintu ni!” Datin Hanum masih tidak berpuas hati. Hatinya risau bila mendengar Haikal mengamuk di dalam bilik itu. Apa yang terjadi? Pelbagai persoalan mula menerpa.

Haikal tersenyum puas bila melihat hasil foto itu. Segera dia bergerak ke pintu. Sewaktu membuka, Datin Hanum sedang berdiri tegak di muka pintu. Haikal hanya membuat muka selamba seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Datin Hanum terkejut melihat keadaan bilik yang macam dilanda ribut taufan. Lebih mengejutkan lagi penuh gambar milik Syasya bertaburan di lantai. Ini rupanya isi dalam bilik rahsia Haikal. Patutlah dia tak bagi sesiapa masuk, rupanya ini rahsia yang disembunyikan.

“Kal cuba terangkan dekat mummy, apa semua ini?” soal Datin Hanum.

“Nak terangkan apa lagi? Mummy dah tengok sendirikan yang anak mummy ni dah gila. Gila pada Syasya,” jawab Haikal selamba. Datin Hanum mengurut dada mendengar jawapan anaknya. Baru dia tersedar ada beberapa titik darah di lantai. Segera dicapai tangan Haikal.

“Tangan kamu kenapa ni? Ya Allah mummy tak fahamlah, kenapa kamu boleh jadi macam ni...” ujar Datin Hanum sebak bila melihat keadaan anaknya yang tidak terurus. Hatinya tak sanggup melihat keadaan Haikal yang semakin hari semakin teruk. Apa ini semua salah aku?

Haikal terdiam melihat luka di tangannya. Luka itu tidak sesakit hatinya. “Tak payah mummy nak kisah pasal Kal,”

“Mana mummy boleh buat macam tu, Kal anak mummy. Okey mummy mintak maaf kalau selama ini mummy banyak halang kehendak Kal. Kalau Kal nak bercinta dengan perempuan itu, pergilah nak. Mummy izinkan. Asalkan mummy dapat balik Haikal yang dulu,” Datin Hanum mengalah. Mungkin ini keputusan yang terbaik.

Haikal tersenyum sinis. Matanya tajam memandang Datin Hanum.

“Buat apa? Syasya dah nak kahwin dengan orang lain pun. Dah terlambat mummy. Kalaulah dulu mummy buat keputusan ini awal, pasti Kal dah kahwin dengan dia!” bentak Haikal. Datin Hanum terkejut. Patutlah Haikal mengamuk dan sanggup mencederakan dirinya, rupanya gadis itu bakal berkahwin. Ya Allah, ini semua salah aku. Datin Hanum semakin menyesal dengan perbuatannya.

“Mummy mintak maaf Kal, ini semua salah mummy. Pleasa Kal, maafkan mummy.” Rayu Datin Hanum.

“Kal akan maafkan kalau mummy dapat buat Syasya kembali pada Kal.” Keputusan Haikal membuatkan Datin Hanum terkedu.

“Kal....dia nak jadi isteri orang dah. Tak baik runtuhkan masjid orang.” Nasihat Datin Hanum.

“Lelaki itu yang rampas Syasya dari Kal. Kal tak kira, yang penting Syasya mesti jadi milik Kal walau apa cara sekalipun. Kalau mummy tak nak buat, tak apa. Biar Kal buat sendiri,” ujar Haikal tekad sebelum berlalu dari situ.

Lemah lutut Datin Hanum mendengar bicara Haikal. Seperti orang hilang akal warasnya, hilang imannya. Ya Allah berilah aku kekuatan!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience