Bab 55

Romance Series 14495

Datin Hanum termenung memikirkan soal anak bongsunya, Haikal. Dato Harun melabuhkan punggung di sebelah isterinya. Risau bila melihat keadaan isterinya yang tertekan melayan karenah anaknya. Perasaan bersalah mula menyelubungi dirinya kerana terlalu sibuk uruskan pejabat sehingga abaikan masalah yang berada di rumah.

Dato Harun memicit lembut bahu isterinya untuk kurangkan tekanan yang dihadapinya. Datin Hanum tersenyum melihat tingkah laku suaminya. Sedikit sebanyak kehadiran suaminya di sisi sedikit mengurangkan beban yang di hadapinya.

“Abang, Num takutlah tengok perangai Haikal sekarang, dah macam orang tertekan. Bila balik rumah aje asyik terkurung dalam bilik kecik dia tu. Entah apa yang disimpan dalam bilik tu, Num pun tak tahu.” Luah Datin Hanum.

“Num janganlah fikir pelik-pelik, Haikal tak ada apa-apanya. Abang tengok dia okey dekat pejabat, banyak lagi projek yang dia dapat.” Ujar Dato Harun tenang.

“Tapi abang, Num tetap tak setuju kalau anak kita berkawan dengan perempuan tu. Abang tau kan kenapa Num buat semua ni, Num...”

“Abang faham. Tapi Num jangan ikutkan sangat kenangan silam yang pernah jadi dulu. Mungkin perempuan itu berbeza dengan apa yang Num fikirkan. Apa kata kalau kali ini kita cuba ikutkan hasrat Haikal.” Pujuk Dato Harun. Datin Hanum termenung memikirkan kata-kata suaminya.

“Abang yakin ke yang budak perempuan tu sesuai untuk anak kita?” Dato Harun tersenyum. Syukurlah jika sedikit sebanyak hati isterinya terbuka untuk menerima calon anaknya.

“Insya-Allah. Apa-apa pun kita doakan yang baik-baik saja untuk diorang. Cuma abang mintak Num tolong jangan desak Haikal lagi. Nanti makin stress budak tu,” nasihat suaminya. Datin Hanum hanya terdiam.

Datin Hanum terpaksa mengalah. Mungkin kali ini dia harus mengikut rentak anaknya agar tidak terjadi perkara yang tidak diigini.
**
Syasya menyemak senarai barang dari pembekal. Tiba-tiba interkomnya berbunyi.

“Cik Syasya, Tengku Sofia hendak jumpa.” Intan menyampaikan pesanan. Syasya sedikit terkejut dengan kehadiran ibunya Ammar ke pejabat tanpa menelefonnya dahulu.

Ada apa ya...rasanya projek terakhir dengan keluarga Tengku Sofia ialah di rumah Tengku Ammar dulu. Syasya mula risau. Tujuan apa agaknya sampaikan Tengku Sofia menapak ke office pagi ini.

“Humm, okey suruh dia masuk. Macam biasa buat air ya Intan,” arah Syasya. Syasya segera mengemas mejanya yang sedikit berselerak.

Pintu diketuk sebelum dibuka dari luar. Terpancul muka Tengku Sofia yang tersenyum manis. Lantas Syasya terus menyelami dan Tengku Sofia segera memeluk rapat tubuhnya. Melepaskan rindu!

“Duduk aunty.” Pelawa Syasya. Tengku Sofia melabuhkan punggung di sofa.

“Maaflah kalau aunty datang tiba-tiba macam ni. Kebetulan aunty ada kerja berdekatan area sini, tu yang aunty singgah kejap.” Ujar Tengku Sofia.

“Eh tak apalah aunty. Aunty sihat ke?” Syasya menanyakan khabar Tengku Sofia. Jujur dia juga rindu ingin berbual dengan Tengku Sofia yang sudah dianggap ibunya sendiri.

“Alhamdulillah sihat. Yana macam mana? Aunty tengok Yana makin kurus ni, kerja kuat sangat ke?” ujar Tengku Sofia risau. Syasya tersenyum. Senang dengan sikap prihatin Tengku Sofia

“Ya ke, wah Yana dah kuruslah ni kiranya. Aunty janganlah risau, Yana okey je,” gurau Syasya. Tengku Sofia hanya menggeleng melihat karenah Syasya. Kalaulah Syasya dapat menjadi menantunya mesti dia sangat bersyukur.

“Hish budak ni, kita risaukan dia boleh pulak berguraunya.” Jawab Tengku Sofia. Syasya hanya tersengih.

“Ada hal apa aunty datang office ni, macam ada benda penting aje?” soal Syasya. Tengku Sofia mengeluarkan satu kad jemputan dari begnya.

“Aunty nak jemput Yana ke sambutan ulang tahun perkahwinan aunty dan uncle. Kebetulan juga nak sambut hari lahir Ammar.” Tengku Sofia menerangkan tujuannya menemui Syasya.

Syasya serba salah. Hari jadi Ammar? Betullah minggu depan tarikh hari jadi Ammar. Patut ke aku pergi? Lagipun dia nak ke kehadiran aku kat situ. Buat malu sajalah. Syasya berbalas kata dalam hatinya.

“Yana wajib pergi tau, jadi tetamu VIP aunty. Aunty bukan buat besar-besar sangat pun, sekadar kenalan rapat aje yang dijemput.” Pujuk Tengku Sofia. Syasya mula tidak sedap duduk. Apa aku nak buat ni?

“Humm....Yana kena check jadual dulu sebab Yana busy sikit akhir-akhir ini,” Syasya cuba mencipta alasan.

“Tak apa, aunty dah cakap dengan papa Yana. Dia izinkan Yana pergi. Aunty tau Yana mesti bagi banyak alasan untuk tak pergi. Jadi aunty terus jumpa papa Yana untuk benarkan Yana pergi.” Syasya terkedu. Nampak gayanya tiada lagi alasannya untuk mengelak.

“Kalau aunty dah cakap macam tu, Yana pergi.” Syasya mengalah. Tengku Sofia tersenyum. Hatinya senang mendengar persetujuan Syasya. Lega rasanya.

Syasya membelek kad yang diterima. Tengku Sofia menghirup kopi yang baru dihantar oleh Intan. Syasya berkerut melihat tempat yang bakal diadakan majlis tersebut. Pulau Pangkor?

“Erk....aunty nak tanya sikit. Majlis tu dekat Pulau Pangkor ke?”

“Haah, Ammar yang beria-ria nak buat kat sana. Aunty ikutkan aje. Yana jangan bimbang urusan penginapan di sana semua akan diuruskan. Yana cuma perlu hadir je.” Terang Tengku Sofia.

Syasya terdiam. Kenapa mesti tempat itu lagi. Apa maksud Ammar buat dekat situ. Apa motifnya?
**
Danial memerhati Ammar yang termenung. Danial mengeluh entah ke berapa kali. Hish mamat ni, dia ajak aku jumpa. Dia pulak yang buat aku macam tunggul kayu kat sini.

“Bro, kau ingat aku ni barang hiasan ke tercongok depan kau ni,” perli Danial. Ammar tersedar akan silapnya.

“Sorry bro, aku...aku...”

“Kau ada masalah ke?” sampuk Danial sebelum Ammar menghabiskan katanya.

Ammar mengeluh. “Entahlah bro, aku pun tak faham dengan hati aku ni.”

“Ni mesti pasal Syasya, kan?” teka Danial. Ammar sekadar mengangguk.

“Sampai bila kau nak seksa diri kau macam ni. Please, move on bro,” nasihat Danial.

“Kau ingat senang ke nak lupakan dia. Sedangkan lapan tahun bro, aku masih tak dapat lupakan dia lagi. Hati aku ni sakit bila terpaksa berpura-pura tak kenal dengan dia.” Luah Ammar. Sungguh cintanya terhadap gadis bernama Syasya sangat besar.

“Aku tau. Tapi apa kau boleh buat kalau Syasya sendiri tidak mahu ada apa-apa hubungan dengan kau lagi. Bro, aku tengok Alya tu sentiasa berada di sisi kau. Sejak kau belajar di Korea lagi, dia sentiasa support kau dari belakang. Why not you choose her?” Danial memberi cadangan.

“Kalaulah aku boleh tukar perasaan aku ni, aku nak saja tukar untuk jatuh cinta dengan Alya, bro. Tapi hati aku ni tetap memilih Syasya. Aku hanya mampu menganggap Alya tak lebih dari sekadar kawan.”

“Kau cuba bro, beri peluang untuk Alya. Mana tau one day kau akan jatuh cinta dengan dia. Sampai bila kau nak harapkan orang yang tak sukakan kau. Kau patut fikir tentang diri sendiri juga.” Bukan Danial tidak suka perhubungan Ammar dan Syasya tapi niatnya hanya ingin Ammar lupakan kenangan lalu dan teruskan masa depannya.

Ammar memikirkan kata-kata sahabatnya. Apa yang dikatakan Danial betul semuanya. Sampai bila dia nak menantikan orang yang langsung tidak kisah tentangnya. Dia juga harus memikirkan soal dirinya. Tambahan pula sekarang ibunya asyik menanyakan soal jodohnya. Dia harus memikirkan sesuatu untuk buat keluarganya bahagia.

“Thanks bro untuk nasihat kau,” ucap Ammar tersenyum. Danial hanya menepuk bahu rakannya.

“Tak ada hal bro, aku cuma nak kau bahagia bukan termenung macam ni. Mana Ammar yang aku kenal dulu...tertinggal dekat Korea ke apa.” Gurau Danial.

“Jangan risau bro, Ammar yang dulu masih ada dekat sini.” Jawab Ammar yakin. Danial tersengih. Semoga kebahagiaan milikmu sahabat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience