Bab 53

Romance Series 14493

Syasya memandang kediaman Fasha yang masih dibanjiri orang. Syasya memandang jam. Rasanya aku datang dah cukup lewat tapi orang masih ramai lagi. Haish nasiblah! Syasya segera menuju ke arah insan yang dikenalinya.

“Hai Sya....lewatnya awak sampai.” Tegur Amira yang sedang mendukung bayi.

“Sorry....ada kerja sikit. Eh anak siapa awak pegang ni. Comelnya...” Syasya segera mencubit dan mengagah bayi di dukungan Amira.

“Anak Fasha. Ha kalau nak anak comel macam ni....kahwinlah.” Saran Amira. Syasya menggeleng kepalanya. Tak habis-habis suruh orang kahwin.

“Mana Fasha? Tak nampak pun.” Syasya cuba menukar topik sambil terjengul-jengul mencari kelibat Fasha dan Afiq.

“Fasha jumpa mak sedara dia. Kejap lagi dia keluarlah tu,” sampuk Danial sambil menghulurkan air kepada isterinya. Segera dia menyambut bayi dari dukungan isterinya untuk menyenangkan isterinya minum.

Syasya sekadar mengangguk. Tetiba dia terlihat pasangan yang sedang bergelak ketawa tidak jauh dari tempat mereka berdiri. Hatinya sayu melihat kemesraaan Ammar dan Alya. Syasya cuba menghiraukan suasana tersebut. Buat tak nampak ajelah!

“Sya....” sahut satu suara membuatkan Syasya berpaling ke arah tersebut. Fasha tersenyum manis. Segera dipeluk insan di hadapannya.

“Terima kasihlah sebab sudi datang.” Ucap Fasha penuh lembut. Terserlah sifat keibuannya. Lain kalau nak dibandingkan Fasha yang hot dulu. Sangat jauh!

“Eh dah orang ajak, kita datang ajelah. Ni ada sedikit hadiah untuk baby boy. Maaflah saya tak sempat nak melawat awak waktu bersalin dulu. Baru sekarang saya ada kesempatan nak jumpa.”

“Tak apa, saya faham. Susahkan diri aje bagi hadiah segala ni,”

“Tak susah. Jangan risau.” Balas Syasya. Afiq menghampiri mereka.

“Eh Sya, baru sampai ke? Pergilah makan dulu.” Pelawa Afiq. Syasya memandang ke arah Amira dan Danial yang sedang ralit mengagah bayinya si Fasha. Dah nampak dah tu sifat keibubapaan dalam diri mereka.

“Tak payahlah nak ajak mereka, diorang dah makan pun,” ujar Afiq. Syasya mengeluh. Ala baru nak ajak makan tapi nak buat macam mana dia yang datang lewat.

“Dah nampak dah ciri-ciri nak jadi ibu bapa. Ha Danial...cepatlah sikit, Mira dah tak sabar nak timang anak tu,” usik Syasya.

“Eh saya hari-hari ready Sya, asal malam je terus semangat,” balas Danial. Yang lain hanya tergelak mendengar gurauan Danial.

“Abang ni....! Malulah sayang. Belum ada rezeki lagi Sya, doa-doakanlah ya,” sampuk Amira. Yang lain segera mengaminkan.

“Tak apa teruskan mencuba bro. Tengok aku dah masuk dua, kejap lagi tigalah...” balas Afiq. Sekali lagi terburai gelak ketawa mereka di situ. Syasya segera matikan ketawanya bila melihat Ammar dan Alya mula menapak ke arah meraka.

“Afiq, rasanya dah lama aku kat sini. Jadi aku dengan Alya nak balik dululah.” Ammar menghulurkan tangan untuk bersalam dengan Afiq. Syasya yang berada di sebelah Fasha langsung tidak dipandangnya. Jeling pun tidak.

“Eh, awalnya. Baru aku ingat nak borak panjang dengan kau. Okeylah tak apa, next time bro,” balas Afiq. Ammar hanya sekadar tersenyum mendengar keluhan sahabatnya.

Segera Ammar meminta diri kepada semuanya. Sebuah senyuman diberi kepada semua yang ada di situ kecuali dirinya. Syasya terkilan. Entah kenapa dia terasa dengan apa yang Ammar lakukan, ibarat dia tak wujud di situ. Sabarlah hati!

“Saya pun balik dulu ya semua. Nanti jumpa lagi ya Mira, Sya.” sahut Alya lalu segera mengekori langkah Ammar.

Semua terdiam dan terkejut dengan reaksi beku yang Ammar pamerkan pada Syasya. Syasya menarik nafas untuk menghilangkan perasaan hancur hatinya.

“Eh, saya laparlah. Jom Fasha temankan saya makan, boleh,” ucap Syasya berpura tidak terjadi apa-apa. Yang lain cuba membuat biasa, meskipun dalam hati tertanya tentang apa yang terjadi sebenarnya.

Fasha segera membawa Syasya ke arah hidangan. Amira hanya memerhati dari jauh tingkah laku Syasya yang cuba menyembunyikan perasaannya. Amira memandang Danial. Danial hanya menggelang kepala tanda mereka tidak perlu masuk campur urusan mereka. Amira sekadar mengeluh.
**
Syasya menjeling ke arah Fasha yang tidak senang duduk. Syasya tau apa yang difikirkan Fasha. Syasya segera menyuap nasi ke dalam mulutnya. Tiada rasa! Mungkin rasanya sudah tawar seperti hatinya.

“Saya tau awak nak tanya apa,” ucap Syasya sambil memandang Fasha. Fasha sedikit terkejut mendengar kenyataan tersebut. Rasa bersalah mula menyerbu dalam dirinya.

“Saya mintak maaf, saya....”

“Tak apa. Bukan salah awak pun, lagipun perkara tadi mesti buat korang fikir pelik, kan,” potong Syasya.

Fasha mengenggam erat tangan Syasya. Sungguh hatinya penuh dengan perasaan bersalah.

“Sya...saya nak mintak maaf. Kalaulah dulu saya tak kacau hubungan korang berdua pasti sekarang ni korang dah bahagia bersama.” Keluh Fasha. Syasya terkedu, tidak pernah terlintas pun untuk menyalahkan Fasha dalam soal ini.

Tetiba Syasya teringatkan ugutan yang menyebabkan dia terpaksa memutuskan hubungannya dengan Ammar dulu. Dia yakin bukan Fasha pelakunya. Lagipun dia tiada bukti yang menyatakan ugutan bunuh itu datang dari Fasha. Entahlah tu semua cerita lapan tahun dahulu. Malas dia nak ungkit kembali.

Seandainya Fasha terlibat dalam hal itu pun, tiada apa yang dapat diubah. Lagipun dia sudah memaafkan segala kesalahan Fasha. Cukuplah sejarah hitamnya terkubur. Anggap sahaja yang dia memang tidak berjodoh dengan Ammar.

Syasya membalas genggaman Fasha. “Saya tak pernah salahkan awak atas semua yang terjadi. Mungkin saya dan dia tiada jodoh. Lagipun saya rasa ada orang yang lebih layak untuk dia. Dahlah jangan fikir lagi pasal ni,” pujuk Syasya. Cuba untuk meredakan perasaan bersalah Fasha.

Benarlah kata orang, benci boleh bertukar sayang dan sekarang tuhan dah tunjukkan yang musuh akhirnya bertukar menjadi sahabat akrab. Tiada yang mustahil dengan hidayah milik Allah S.W.T.

“Sya....saya sentiasa doakan awak semoga dipertemukan dengan lelaki yang baik sebab awak sangat baik. Awak layak untuk dicintai oleh lelaki yang benar-benar menyayangi awak.” Kata-kata Fasha menyentuh hati Syasya. Amin! Syasya segera mengaminkan dalam hati. Tapi terbuka lagi ke pintu hati aku untuk orang lain kalau sememangnya hati aku sudah terpahat dengan nama si dia!

“Insya-Allah.” Hanya itu sahaja jawapan yang mampu Syasya lontarkan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience