Bab 51

Romance Series 14493

Syukur alhamdulillah. Akhirnya sampai juga mereka ke Pulau Pangkor. Rasanya cuti yang diberi papanya sangat berbaloi tambahan pula dengan pakej yang diberi. Pulau Pangkor sangat cantik bila dapat melihat dengan mata kepala sendiri. Selama ini hanya mampu menatap gambar sahaja. Jadi tak rugilah kalau bercuti di sini.

“Tengok Farish, kita dah sampai.” Ucap Syasya riang. Farish yang masih mamai menggosok-gosok matanya melihat persekitaran mereka.

“Yeayy ibu....ada pantai. Nanti Farish nak mandi!” Farish bersorak riang tambahan pula bila melihat pantai yang cantik di sini. Syasya tergelak melihat celoteh adiknya.

“Sekarang kita letak barang dulu ya,” ajak Syasya. Segera ditarik tangan Farish yang sedang leka melihat ombak di pantai.

“Selamat datang ke Resort Sutera, ada apa-apa yang boleh saya bantu,” sambut ramah petugas di kaunter.

“Saya dah tempah satu bilik di sini atas nama Syasya Ilyana Aziz”

“Okey tunggu sekejap ya. Oh Cik Syasya ada book secara online, kan? Ada bawak resitnya.”

“Ada, kejap ya,” Syasya melepaskan tangan Farish untuk mencari resit tersebut.

“Ini dia.” Syasya menghulurkan resit tersebut. Setelah menunggu beberapa minit, akhirnya petugas tersebut menghulurkan kunci dan menunjukkan arah ke bilik yang ditempah.

“Terima kasih,” Syasya segera meminta diri.

Sedang Syasya menyimpan kunci ke dalam begnya, baru dia menyedari yang Farish tiada di sekitarnya. Puas Syasya mencari sekeliling tapi tidak dijumpainya. Syasya mula panik.

“Erk adik, boleh tumpang tanya tak?” soal Syasya kepada remaja lelaki yang kebetulan lalu di kawasan itu.

“Ya kak, ada apa?” soalnya.

“Adik ada nampak tak seorang budak kecik umur lima tahun, pakai baju putih dengan topi putih lalu kat sini?” Remaja lelaki itu terdiam macam memikirkan sesuatu.

“Ha....ada. Dia pergi ke sana tadi saya nampak.” Syasya segera mengucapkan terima kasih dan segera ke tempat yang ditunjuk.

Syasya menarik nafas lega apabila melihat kelibat Farish dengan seorang lelaki. Tapi Syasya tidak kenal siapa lelaki itu kerana dia sedang duduk membelakanginya. Tanpa mempedulikan Syasya segera meluru ke arah Farish.

“Farish! Mana kamu pergi sayang, puas ibu cari. Janganlah buat ibu risau,” Syasya memeluk erat tubuh adiknya.

“Ibu lama sangat, jadi Farish jalan-jalanlah.” Jawab Farish petah.

“Tapi kalau nak jalan cakap dengan ibu tak pun tunggu ibu siap. Bukan lama sangat. Jangan buat macam ni lagi tau, ibu tak suka.” Nasihat Syasya. Untung tak ada apa-apa. Kalau tak, apa yang dia nak jawab dengan papa dan mamanya.

“Ehem!” Syasya tersedar yang sekarang ada seseorang yang berdiri di depannya.

“Kalau awak jadi betul-betul seorang ibu mesti awak seorang ibu yang penyayang, kan?” Syasya terkedu mendengar kenyataan tersebut. Suara tu macam kenal!

Syasya lantas bangun dan berpaling ke arah tersebut.

“Awak....?”
**
Syasya merebahkan dirinya di atas katil empuk. Entah kenapa perasaan tenang kini bertukar gelisah. Kenapalah dalam banyak-banyak tempat dekat sini juga nak jumpa dia. Syasya terkenang kembali peristiwa petang tadi.

“Awak.....?”

“Hai...tak sangka dapat jumpa awak kat sini, Sya.” balas Ammar tersenyum. Namun senyuman tersebut dibalas dengan keluhan berat Syasya. Kenapa benci sangat awak pada saya Sya?

“Jom Farish,” Syasya ingin beredar dari sini tapi segera ditegah Ammar.

“Awak nak apa?” marah Syasya. Ammar hanya menelan pahit itu.

“Saya nak awak.” Jawab Ammar. Membulat mata Syasya mendengar jawapan Ammar.

“Awak jangan nak mengarut Tengku Ammar. Sudahlah jangan kacau saya lagi. Bukan awak dah bahagia bersama Alya ke? Saya sudah tidak ada kena mengena dengan awak. So please i’m begging you, let me go.” Rayu Syasya. Ammar terdiam. Syasya segera mengheret Farish yang terkebil-kebil melihat perbalahan kecil itu.

Syasya terkebil-kebil memandang televisyen di hadapannya. Entah kenapa siaran di hadapannya langsung tidak menarik minatnya. Syasya memandang Farish yang sedang lena di sebelahnya. Penat sangat la tu.

Syasya melihat jam. Sudah pukul 9 malam tapi matanya masih belum mengantuk. Agaknya kalau aku keluar kejap ambil angin, Farish terjaga ke? Syasya berfikir beberapa minit. Akhirnya Syasya mengambil keputusan untuk keluar seketika. Rasanya Farish tidak akan sedar bila melihat keadaannya yang berdengkur halus itu.

Syasya berjalan sambil mengambil angin pantai, suasana di sini tak adalah gelap sangat. Banyak lampu di sekeliling, mungkin untuk kemudahan pelancong. Entah kenapa perasaan Syasya kembali tenang bila mendengar deruan ombak.

Langkah Syasya terhenti bila melihat gerangan di hadapannya. Ammar terpaku kerana tidak menyangka mereka akan bertemu sekali lagi. Pertemuan yang memang tidak dirancang.

Ammar mendekati Syasya. Syasya sedikit kalut tapi segera dibiasakan riak wajahnya. Malam ini tiba-tiba terasa berdebar pula bila berhadapan dengan Ammar.

“Awak buat apa malam-malam kat sini?” soal Ammar perlahan.

“Saja, ambik angin.” Jawab Syasya mendatar. Ammar tersenyum. Dia berasa lega kerana Syasya sudi menjawab pertanyaannya tanpa ada niat untuk mencari gaduh.

“Mana Farish?”

“Dia tidur. Macam mana awak tau nama dia Farish?” soal Syasya pelik.

Ammar ketawa. Buat pertama kali Syasya melihat senyuman Ammar setelah sekian lama. Entah kenapa hatinya mula berdebar. Hati tolong jangan buat hal!

“Bukan awak ke panggil nama tu tadi.” Syasya segera mengangguk. Lupa pulak dia...

“Sya, saya suka kalau kita begini,” Ammar mula menyusun ayat.

“Apa maksud awak?” Syasya masih belum faham.

“Saya nak kita kembali macam dulu. Macam zaman sekolah dulu,” Syasya tersentak. Untuk apa?

“Ammar, saya harap awak faham yang kita tak mungkin macam dulu. Kita bukan budak-budak lagi, kita ada komitmen masing-masing.”

“Tapi saya...saya masih..”

“Cukup Ammar! Saya tak nak dengar apa-apa lagi dari awak. Awak dah lupa ke? Kita bukan ada hubungan special pun. Waktu sekolah dulu kita hanya berkawan dan tak lebih dari itu.” Jelas Syasya.

“Tapi kenapa? Apa salah saya? Saya tak cukup layak ke dengan awak.” Ucap Ammar perlahan. Persoalan dari Ammar membuatkan hati Syasya luluh. Ya Allah tolong kuatkan aku!

“Ammar, awak layak untuk orang lain bukan saya. Saya bukan untuk awak. Saya harap awak cari orang yang betul-betul layak untuk awak.”

“Tapi saya cintakan awak Syasya Ilyana!” tegas Ammar. Pengakuan Ammar membuatkan Syasya kelu. Adakah dia patut gembira akan khabar tersebut?

“Saya tau awak juga cintakan saya. Cinta saya pada awak tak pernah padam, Sya. Percayalah hanya awak sahaja dalam hati ini,” rayu Ammar. Syasya terdiam.

“Am, lupakan saya.” Jawab Syasya menunduk. Ammar pula terdiam.

“Kalau betul awak tak cintakan saya. Pandang mata saya dan cakap depan-depan dengan saya,” cabar Ammar. Syasya masih menunduk. Ya Allah...

“Pandang Sya....!” Ammar sedikit meninggikan suaranya. Syasya segera memandang tepat ke arah Ammar.

“Ya, saya tak cintakan awak!” Kenyataan yang buatkan Ammar tersentak. Untuk kali kedua dia ditolak mentah oleh insan yang sama. Hancur luluh hatinya. Sampai hati awak Sya.

Ammar segera mengumpul semangatnya. Apa boleh buat kalau orang tak sudi.

“Okey, saya faham. Mulai sekarang saya tak akan ganggu hidup awak dan saya doakan semoga awak bahagia. Anggap sahaja pertemuan kita tidak wujud.” Setelah mengucapkan hal itu Ammar segera berlalu.

Syasya terduduk setelah mendengar kata terakhir Ammar. Air matanya merebes keluar dan akhirnya Syasya teresak-esak menangis di situ. Ya Allah apa ini keputusan yang terbaik untukku?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience