Bab 18

Romance Series 14493

“Kau kenapa, bro? Dari semalam lagi aku tengok, kau ni dah macam orang gila bayang tau...” soal Ammar. Terkejut juga dia pagi-pagi lagi dah tercongok Danial depan muka pintunya. Entah apa yang merasuk Danial pagi itu untuk datang ke rumahnya. Untung sahaja hari ini, hari minggu. Jadi Ammar mengambil kesempatan ini untuk berehat dan melepaskan penat. Tapi hari berehatnya sedikit terganggu dengan kehadiran Mr Playboy!

“Ooitt, kau dengar tak apa aku cakap ni?” soal Ammar kembali. Dia melempar bantal tepat ke arah Danial yang asyik menunduk ke lantai. Entah apa yang menarik lantai rumahnya, sampai langsung tak pedulikan soalan yang dilontarkan.

“Aduh! Kut ya pun, kau janganlah baling kuat-kuat. Nak patah hidung aku ni rasa.” Danial segera memegang hidungnya. Janganlah patah atau senget. Aset berharga ni...tapi ada ke orang kena baling bantal sampai patah hidung. Huissh mengarut....desis Danial.

“Tak patahnya hidung kau tu. Aku cuma baling bantal bukan aku baling meja ni. Kalau aku baling meja ni dah tentunya semua tulang kau patah,” ugut Ammar.

“Woi sampai hati punya kawan.”

“Dah aku bosanlah. Kau datang sini cuma nak mengelamun ke? Kau ingat bilik aku ni bilik termenung. Lepas tu kau asyik tengok aje lantai bilik aku ni sampai nak tembus. Apa kat rumah kau tak ada lantai sampaikan lantai rumah aku juga yang kau cari?” perli Ammar.

Danial ketawa. Tak sangka begitu sekali sikapnya sejak sampai di kediaman mewah Ammar itu. Hanya gara-gara seorang perempuan....

“Kau kenapa?” soal Ammar.

“Aku pening betul fikirkan perangai minah tu. Aku dah tolong dia tapi dia boleh marah-marah aku lagi. Siap hina aku lagi.” Danial mula berkongsi cerita.

“Amira...” teka Ammar.

“Erk....mana kau tau dia?” soal Danial gugup.

“Aku tau sebab siapa lagi minah yang akan buat kawan aku ni selalu mengamuk. Mestilah Amira sebab dalam banyak-banyak gadis yang kau goda cuma dia sorang aje yang tak tertarik dekat kau.” Ujar Ammar tersengih. Dia juga tidak menyangka bahawa teman rapatnya Syasya seorang yang keras hati langsung ditempisnya senang godaan si mamat playboy ni.

“Bro, dia bukan tak tergoda tapi belum lagi tergoda. Sampai masanya dia sendiri akan cari aku dan merayu untuk terima dia sebagai girlfriend aku. Dan masa tu, sorry to say...aku akan cakap bye-bye kat dia. Hahaha...cantik tak plan aku?” Danial ketawa kerana berjaya mengaturkan rancangan terkutuknya.

“Hai....aku rasa nanti kau yang merayu dekat dia nak jadi boyfriend dia. Jangan sombonglah bro, nanti terbalik pulak jadinya.” Nasihat Ammar. Dia kenal sikap Amira, Amira bukan gadis yang cepat saja melatah apabila digoda.

“No bro. Aku yakin dia akan jatuh ke tangan aku dulu. Buat masa ni aku akan biar dia rasa bersalah sebab dah menghina aku. Then lepas tu aku akan biarkan hidupnya sentiasa terumbang-ambing sebab teringatkan aku. Time itulah aku akan lancarkan misi menggoda. Amacam...” Danial kelihatan seperti seorang yang psiko bila berbicara begitu.

“Kau ni macam-macam perangailah. Kenapa kau serius sangat ni, dulu kau tak peduli pun semua tu. Yang kau tahu tukar-tukar pasangan aje. Now bila ada perempuan tak layan kau, macam sasau pulak aku tengok kau ni.”

“Am, bukan aku suka tau buat macam ni. Aku rasa tercabar bila minah tu hina aku, marah aku dan tak layan aku. Wei seumur hidup aku, belum pernah lagi mana-mana perempuan tak tergoda dengan aku. So, aku akan lakukan apa saja untuk buat hidup minah tu hanya untuk aku,” ujar Danial sinis. Sungguh hatinya sakit saat diperlakukan sebegitu. Jatuh maruahnya sebagai playboy sejati!

“Aku bukan nak halang tapi....” kata-kata Ammar tergendala sebentar kerana mendengar telefonnya berbunyi. Ammar segera mencapai telefonnya. Nama yang tentera membuatkan Ammar pelik. Amira...kenapa dia tiba-tiba call.

“Hello...” Ammar mengangkatnya.

“Okay nanti saya sampai,” Setelah selesai berbicara Ammar segera bergerak ke almari pakaiannya. Danial mula keliru.

“Siapa?” soal Danial.

“Amira.” Jawab Ammar sepatah. Mata Danial sudah terbuntang luas. Hai kenapa minah ni call si Am pulak atau diorang ni ada apa-apa...syak Danial.

“Apahal dia call kau?” Nada Danial mula berubah. Cemburu mungkin...

Ammar hanya mendiamkan diri. Perlakuan Ammar mula membuatkan Danial makin gelisah. Danial mula berdiri.

“Bro, aku tanya ni...?” soal Dania mula berangin. Ammar berpaling dan tersenyum. Hek eleh mamat ni boleh pulak dia sengih-sengih. Telinga aku dah berasap dah ni...desis Danial.

“Kenapa muka macam nak gaduh ni...jealous?” balas Ammar tersengih. Danial mencebik, mamat ni aku tengok kecil besar kecil besar aje....

“Kau ada date dengan minah tu ke?” tanya Danial lagi.

“Mengarutlah kau ni. Dahlah malas aku nak layan cemburu kau tu. Kata tak suka tapi muka macam nak masuk wrestling aje bila Amira call aku. Jangan risau hati aku hanya untuk Syasya sorang. Jom ikut aku....”

“Ke mana?”

“Nanti aku cerita. Jomlah dah lewat ni. Naik kereta kau boleh?”

“Okey.” Mereka segera turun ke bawah dan tanpa berlengah masuk ke dalam kereta. Nissan Skyline milik Danial meluncur laju ke destinasi yang dituju.
**
Syasya merenung sedalamnya ke arah Tasik Wawasan yang terdapat di Pusat Bandar Puchong. Tasik buatan manusia seluas 25 ekar itu mampu membuat sesiapa sahaja yang datang ke situ berasa nyaman dan segar dengan ketenangan tasiknya. Syasya duduk di bangku yang disediakan buat pengunjung.

Kawasan tasik itu kelihatan sedikit sunyi kerana tidak begitu ramai pengunjung yang berada di kawasan tersebut. Mungkin kerana hari sudak berganjak ke waktu tengahari. Hanya kelihatan beberapa orang cina sedang berehat sedikit jauh dari bangku Syasya. Syasya berpaling ke belakang apabila merasakan seseorang sedang berdiri di belakangnya.

“Hai, Syasya. Ada apa awak hendak jumpa saya?” soal Haikal senang. Hatinya berbunga riang apabila semalam dia menerima mesej daripada Syasya yang mengatakan ingin bertemunya di sini. Sungguh dia terkejut kerana tidak menyangka Syasya masih sudi untuk berjumpanya.

“Saya ada hal penting nak bincang dengan awak.” Ujar Syasya tegas. Tiada sekelumit senyuman pun dibibirnya. Walaupun Haikal kelihatan segak di matanya tetapi itu tidak dapat mengubah kehendak hatinya.

“Pasal apa?” soal Haikal kembali.

“Kenapa awak nak pukul Amira? Awak fikir awak samsenglah nak buat macam tu dekat kawan baik saya. Awak ingat dengan cara awak tu saya akan balik dengan awak. Tak Haikal....jangan mimpi!” balas Syasya keras. Haikal mengeluh kasar.

“So dia mengadulah ni....”

“Memang dia ada hak untuk buat macam tu. Awak ingat Haikal, kalau Amira laporkan hal ni kepada pihak sekolah, awak boleh dikenakan hukuman. Awak fikir dengan cara bodoh tu boleh selesaikan masalah....?!” bentak Syasya serius. Haikal meraup mukanya.

“Saya tak sengaja. Saya cuma terlalu emosi. Saya cuma hendak tahu tentang awak dan tak lebih dari tu.”

“Please Haikal....lupakan saya. Awak pasti lebih bahagia jika Fifi yang jadi pasangan awak bukan saya.” Jelas Syasya.

“No...bukan dia tapi awak. Sya...saya mohon terimalah saya semula dalam hidup awak. Saya janji saya tak akan ulang kesalahan saya dan saya pasti akan buat awak bahagia.”
Rayu Haikal. Matanya mula berkaca. Sungguh dia tidak malu jika menitiskan air matanya di hadapan Syasya. Kerana dia betul-betul ingin Syasya kembali ke pangkuannya semula.

“Maaf Haikal, saya tak boleh.” Ujar Syasya. Haikal ketawa sinis.

“Kenapa, Sya? Kenapa awak tak boleh terima saya lagi. Atau sebab anak Tengku tu?” ujar Haikal sinis. Syasya tersentak.

“Ini tak ada kena mengena dengan Ammar!” tengking Syasya.

“Kalau bukan pasal dia, habis apa...? Ingat Syasya, jangan harap saya akan lepaskan awak kepada mamat tu!”

“Awak memang gila! Sudah jangan ganggu saya lagi. Saya balik dulu.” Syasya ingin segera berlalu dari situ tetapi tangannya segera dipegang oleh Haikal. Kemas dan menyakitkan.

“Yes, saya memang gila. Gilakan awak...sayang!” Bisik Haikal di telinga Syasya.

“Lepaslah Haikal...sakitlah!” Pekik Syasya lalu menyentak tangannya. Pegangan itu terlepas.

“Awak dengar sini, Haikal. Sampai bila-bila pun awak tak akan dapat saya.” Syasya terus berpaling dan beredar. Namun langkah kakinya terhenti semula dengan perlakuan Haikal yang memeluknya kemas dari belakang. Hatinya sakit kerana diperlakukan sebegitu di tempat awam.

“Tolong jangan buat saya macam ni. Saya cintakan awak, Syasya. Saya sayangkan awak separuh nyawa saya.”

“Haikal lepaskan saya...!” jerit Syasya. Syasya cuba meronta untuk melepaskan diri tetapi pelukan Haikal terlalu kuat.

“Saya tak akan lepaskan awak sampai saya mati,” bisik Haikal perlahan. Syasya mula ketakutan.

“Oooiihh...lepaskan dia!!!” jerit satu suara lantang. Syasya terkaku. Sungguh dia kenal suara itu. Laungan itu juga membuatkan Haikal melepaskan pelukan dan apabila saja dia berpaling ke belakang satu tumbukan kuat mengena pipinya. Haikal jatuh terduduk ke tanah.

Haikal mengelap bibirnya yang berdarah. Apabila melihat gerangan yang menumbuknya, Haikal tersenyum sinis. Dia meludah dan mula bangun berdiri tegak. Syasya sudah berlari ke arah Amira dan Danial yang berada tidak jauh dari situ. Syasya memeluk Amira dan menangis ketakutan di bahu temannya.

“Kau dengar sini, jangan ganggu hidup Syasya lagi!!” Ammar memberi amaran. Haikal tertawa.

“Kau siapa nak halang aku. Boyfriend dia...? Eh, kau fikir aku takut dengan ancaman kau. Aku kenal Syasya lebih lama dari kau. Jangan harap kau dapat rampas dia dari aku. Kau tak tengok tadi, aku dah peluk dia dan kau dapat apa...huh hanya berlagak hero saja,” ulas Haikal sinis. Ammar mula menyinga. Dia segera mencengkam kolar baju Haikal.

“Listen here bro, siapa aku itu tak penting. Yang penting dia dah bencikan kau. Kau fikir dia akan jadi hak kau, bila dia dah meluat tengok muka kau.” Bisik Ammar sambil tersengih. Haikal hanya mengetap bibirnya. Dia terus menyentak tangan Ammar dari kolar bajunya.

“Kita tengok sama ada aku ke kau yang dia benci nanti ya Tengku Ammar. Aku cuma nak korang semua tau, Syasya you’re mine....!!!” teriak Haikal. Jari telunjuknya mengarah ke arah Syasya lalu berlalu pergi. Syasya hanya berdiam diri. Hatinya kini sungguh tertekan dengan kata-kata Haikal yang persis seorang psiko itu.

Ammar yang mendengar kata-kata Haikal ingin segera menerpa ke arah Haikal tetapi segera dihalang oleh Danial. Hatinya panas apabila melihat kejadian hari ini. Dia tidak sanggup melihat gadis yang dicintainya dipeluk oleh lelaki lain. Api cemburunya betul-betul membuatnya hampir terbakar. Namun segera dia beristighfar...
**
Suasana di Tasik Wawasan itu tidak dapat memberikan sebarang ketenangan di hati mereka berempat. Amira cuba menenangkan Syasya yang masih terkejut dengan kejadian sebentar tadi. Manakala Ammar dan Danial hanya diam memerhati. Syasya mula kelihatan sedikit tenang.

“Macam mana awak tau saya kat sini?” soal Syasya perlahan.

“Sebenarnya, tadi saya nak jumpa awak. Lepas tu saya tengok awak keluar, saya ikutlah awak. Saya rasa tak sedap hati sangat-sangat, sebab tulah saya call Am...saya takut awak jumpa Haikal. Mujur saja kitorang datang cepat. Kalau tak, entah apa yang si Haikal tu buat kat awak.” Balas Amira geram. Sakit hatinya bila Haikal cuba mengambil kesempatan terhadap Syasya. Sudah gila agaknya Haikal ni....

“Saya cuma nak selesaikan masalah dengan dia itu aje,” balas Syasya.

“Masalah apa...masalah cinta awak dengan dia?” ujar Ammar tiba-tiba. Syasya terkejut.

“Macam mana awak tahu?” Syasya bingung. Amira mula gelisah.

“Sebenarnya Sya...saya yang beritahu semuanya dekat Am. Saya minta maaf.” Balas Amira bersalah. Dia terpaksa untuk menceritakan semuanya kerana dia pasti Ammar boleh melindungi Syasya.

“Apa! Kan kita dah janji. Awak dah lupa?” Syasya mula berangin.

“Saya terpaksa....saya panik!” Amira mula pucat. Dia tahu, dia tak sepatutnya memberitahu kisah silam Syasya kepada Ammar. Dia sudah pun berjanji. Tapi kalau tiada Ammar yang menolong Syasya mungkin Syasya sudah diapa-apakan Haikal.

“Tak apalah semuanya dah jadi,” balas Syasya lemah. Dia tahu tiada guna juga dia memarahi Amira. Ini sudah jalan hidupnya. Dugaan buat dirinya.

“Cara awak cakap macam awak suka aje benda ni jadi,” ujar Ammar emosi. Syasya tersentak. Amira dan Danial juga terkejut dengan kata-kata Ammar.

“Apa? Awak ingat saya perempuan murahan?” soal Syasya lantang. Ammar mengeluh.

“Bukan itu maksud saya...”

“Habis apa....? Kalau awak tak tahu apa-apa pasal saya, jangan cakap ikut sedap mulut awak je.”

“Awak ingat saya akan diam tengok dia buat awak macam tu. Tapi saya tengok awak macam rela bila dia peluk awak. Suka bila boyfriend peluk...?” ujar Ammar sinis.

Pang! Satu tamparan kuat hinggap di pipi Ammar. Pijar sebentar pipinya. Amira dan Danial terpempam. Ammar memegang pipinya yang sudah merah. Dia mula tersedar.

“Diam Ammar...!!! Belum puas lagi awak hina saya. Cukuplah! Saya tak nak dengar apa-apa lagi dari awak. Awak siapa nak cakap macam tu. Dengar sini awak hanya kawan sahaja dan tak lebih dari tu! Jangan pernah masuk campur hal saya lagi, Tengku Ammar!” Syasya terus mengheret Amira yang masih terpinga-pinga berlalu dari situ.

Ammar hanya mampu melihat Syasya berlalu tanpa ada niat untuk menghalangnya. Dia sedar yang dia sudah terlanjur kata, ini kerana perasaan cemburu yang menguasai diri.

“Kau okey, bro?” soal Danial khuatir. Sungguh dia terkejut dengan perbuatan Syasya yang menampar temannya. Tapi dia tahu kata-kata Ammar kepada Syasya juga agak keterlaluan.

“Aku tahu yang aku tak patut cakap macam tu....” ujar Ammar kesal. Entah kenapa lancar sahaja mulutnya untuk menuduh Syasya sebegitu. Ammar memegang pipinya. Sedikit perit. Danial hanya mampu berdiam diri. Lidahnya kelu untuk berkata. Dia hanya mampu menepuk perlahan bahu rakannya.

“Sabar bro...” hanya itu ucapan yang terkeluar dari bibirnya. Ammar hanya memandang sepi ke arah tasik. Saya cuma nak lindung awak. Sya....maafkan saya!
**
“Awak yakin tak nak saya teman awak kat rumah? Papa awakkan outstation.” Soal Amira. Syasya hanya berdiam diri. Benar dia hanya bersendirian hari ini kerana Encik Aziz ada kursus yang perlu dihadirinya. Encik Aziz juga sudah berpesan bahawa dia akan pulang agak lewat malam.

“Tak apa...saya nak bersendirian.” Syasya hanya tersenyum tawar.

“Awak pasti...?” soal Amira kembali. Amira khuatir hendak meninggalkan Syasya sendirian dengan keadaan Syasya yang sedikit terganggu emosinya. Syasya hanya mengangguk.

“Syasya, saya nak minta maaf. Ini semua salah saya.” Ujar Amira perlahan. Dia sungguh rasa bersalah atas segala kejadian yang berlaku hari ini. Andai saja dia tidak mengadu tentang Haikal kepada Syasya, pasti ini semua tidak terjadi.

“Taklah. Awak buat benda yang betul. Awak tak bersalah. Ini sudah jalan hidup saya.” Syasya memegang erat tangan Amira. Cuba meyakinkannya.

“Sya, pasal awak dengan...”

“Buat masa ni saya tak nak fikir apa-apa. Please faham saya....” potong Syasya. Fikirannya langsung tidak ingin berfikir tentang kejadian yang berlaku sebentar tadi. Dia hanya ingin kembali ke rumahnya. Amira sekadar mengeluh kesal.

“Okey, dah itu keputusan awak. Saya faham. Kalau ada apa-apa, terus call saya tau. Saya sentiasa ada untuk awak,” Syasya tersenyum.

“Yalah....thanks for everthing!” Syasya hanya melihat Amira masuk ke rumahnya. Syasya berjalan lemah menuju ke kediamannya. Ketika dia sedang membuka pagar, kelihatan sebuah kereta mewah berhenti di rumahnya.

Syasya sedikit terkejut dengan kehadiran seseorang yang pernah menghinanya suatu ketika dulu. Disisinya berdiri seorang wanita yang sudah berusia tetapi kelihatan masih lagi elegan dengan gayanya yang moden. Nampak anggun dan bergaya tetapi di wajahnya tiada secalit senyuman yang terhias. Kelihatan sedikit angkuh....

“Fifi....” bisik Syasya perlahan tetapi dapat ditangkap oleh Fifi.

“Ingat lagi rupanya kau dengan nama aku,” ujar Fifi sombong.

“Sudahlah, aku datang sini bukan nak beramah mesra dengan kau tapi ada sesuatu yang ingin aunty Hanum sampaikan.” Balas Fifi kembali. Syasya berpaling ke arah Datin Hanum, cuba untuk memberi senyuman manis tetapi hanya renungan tajam yang membalasnya. Syasya berdebar, rupanya inilah mummy Haikal.

“Jadi inilah Syasya Ilyana Aziz.” Soal Datin Hanum tegas.

“Ya saya...” jawab Syasya perlahan. Dirinya hanya mampu menunduk ke lantai. Tak sanggup rasanya melihat renungan tajam Datin Hanum.

“Cantik!” puji Datin Hanum tiba-tiba. Syasya sedikit terkejut begitu juga dengan Fifi yang sudah ternganga.

“Aunty, apa ni.....!” rengek Fifi. Syasya sedikit tersenyum.

“Cantik tapi bodoh!” tengking Datin Hanum. Syasya tersentak. Senyumannya mati. Fifi sudah kembali tersenyum senang.

“Kau ingat aku dah suka kat kau. Huh jangan harap! Eh kau dengar sini, bukan dulu aku dah pesan jangan pernah dekat dengan anak aku. Tapi nampaknya kau masih lagi tak faham!” Datin Hanum menarik nafas sebelum menyambung tomahannya.

“Kau nak apa....duit? Berapa kau nak? Aku boleh bagi asal kau jangan masuk lagi dalam hidup anak aku. Berapa cakaplah?” Datin Hanum segera mengeluarkan cek dari begnya.

“Saya...saya tak nak duit aunty. Saya tak pernah ganggu hidup Haikal.” Ujar Syasya berani. Air matanya mengalir perlahan.

“Berlagak suci! Eh, kalau kau tak ganggu dia kenapa dia pulang tadi dengan muka lebam. Kononnya berebutkan kau dengan anak si Tengku Ismail tu! Wah hebat kau ya....sampaikan anak tengku pun kau boleh goda. Dasar perempuan tak tahu malu...!!” hina Datin Hanum. Fifi di sebelahnya sudah tersenyum sinis. Padan muka kau perempuan!

“Saya tak ada niat pun untuk dekat dengan anak aunty. Saya cuma nak selesaikan masalah tapi anak aunty yang sudah melampau!” ujar Syasya tegas.

“Amboi! Kau jangan nak memandai salahkan Haikal! Kau yang gatal, nak salahkan orang...” Fifi terus menerkam ke arah Syasya dan menolaknya dengan kuat sehingga Syasya jatuh terduduk ke lantai. Syasya menangis dalam kesakitan. Hatinya sakit bila diperlakukan sebegini seolah-olah dia perempuan yang tiada maruah.

“Nah kau ambil sepuluh ribu ni...anggap aje ni bayaran untuk kau tinggalkan anak aku.” Datin Hanum meletakkan cek itu ke atas meja.

Tiba-tiba timbul rasa bersalah bila melihat wajah polos milik Syasya yang sudah berlinangan air mata. Pertama kali dia menemui Syasya, sungguh hatinya sedikit terpegun dengan kecantikan yang dimiliki Syasya tetapi egonya keras membantah.

Dia terpaksa melakukan ini demi anaknya. Dia tidak ingin peristiwa yang pernah berlaku dalam hidup keluarganya berulang kembali. Dia tidak ingin nasib Haikal sama seperti nasib abangnya.

“Dasar perempuan tak tahu malu. Ada hati nak rampas bakal tunang orang! Eh, sedarlah sikit diri tu! Kau siapa...Haikal pulak siapa. Mesti mama dia pun macam diakan aunty, perempuan perampas!” ejek Fifi sinis.

Pang! Satu tamparan kuat menyebabkan Fifi sedikit terundur. Fifi memegang pipinya yang sudah merah.

“Kau boleh hina aku, caci aku tapi jangan sesekali mulut kau yang longkang ni menghina arwah mama aku! Kau jangan fikir aku akan berdiam diri bila kau menghina keluarga aku. Sebenarnya aku rasa kau lagi tak layak berdamping dengan Haikal. Kesian Haikal dapat perempuan yang hati busuk macam kau!” jerit Syasya. Dia tidak akan lagi berdiam diri apabila maruah keluarganya mula dirobek oleh manusia berhati buta ini.

“Aunty tengoklah apa dia buat kat Fi....aunty please do something!” Desak Fifi. Datin Hanum cuba berkata sesuatu tetapi dihalang oleh seseorang.

“Mummy please stop!” jerit Haikal. Datin Hanum terpana dengan kehadiran anaknya.

“Sayang tengoklah, perempuan yang you sayang sangat tu tampar I...” rengek Fifi mengada-ngada. Fifi memeluk lengan Haikal. Haikal merentap tangannya.

“Memang patut pun kau kena macam tu. Mulut kau tu memang patut kena cili aje terus. Sibuk nak masuk campur hal orang! Dahlah baik kau balik rumahlah...” halau Haikal keras. Fifi hanya memuncungkan mulutnya. Sebal hatinya apabila Haikal langsung tidak membelanya. Ini semua gara-gara perempuan tu.

“Kita bincang kat rumah. Fifi jom balik!” arah Datin Hanum. Fifi hanya mengikut. Datin Hanum juga terkejut dengan tindakan drastik Syasya. Memang nasib kaulah Fifi kena penampar, kalau aunty jadi dia pun aunty kasi penumbuk aje terus...luahan itu hanya bergema dalam hatinya.

Setelah kereta mummynya berlalu, Haikal kembali merenung Syasya yang masih lagi teresak-esak. Andai saja dia mampu memeluk erat tubuh kecil itu, pasti dia akan lakukan untuk tenangkan hatinya. Tapi sekarang itu mungkin menjadi angan yang tak mungkin terkabul! Dia sudah membuat Syasya membencinya seumur hidup kerana tindakannya di Tasik tadi. Dia begitu menyesal kerana terhasut dengan godaan nafsunya.

“Sya...” panggil Haikal.

“Puas hati awak Haikal! Awak dah musnahkan hidup saya. Apa salah saya, sampai awak sanggup buat saya macam ni.” Ujar Syasya perlahan.

“Tak...tak. Ini salah saya. Maafkan saya Sya...saya merayu.” Haikal melutut di depan Syasya. Syasya hanya memandang sepi. Hatinya sedikit pun tidak terusik dengan kelakuan Haikal.

“Tak ada yang nak dimaafkan lagi....”

“Apa yang perlu saya lakukan untuk buat awak maafkan saya. Saya sanggup buat apa saja.” Pujuk Haikal. Sungguh dirinya tidak ingin dibenci oleh Syasya. Hatinya sakit.

“Mungkin dengan cara awak hilangkan diri dalam hidup saya. Jangan pernah muncul dalam hidup saya. Saya pasti akan maafkan awak....” balas Syasya sambil merenung ke arah Haikal. Haikal mengeluh kasar. Sungguh berat permintaan Syasya untuk memaafkan dirinya tapi dia harus akur walaupun hatinya terluka. Dia cuba...

“Baik. Kalau itu yang awak mahu. Saya akan pergi. Saya tidak akan ganggu awak lagi. Saya akan cuba lupakan awak tapi saya tak janji kalau ia akan berjaya. Cuma saya nak awak tahu satu aje, saya akan sentiasa ingat awak dan saya ada satu permintaan...” ujar Haikal sebak.

“Apa...” balas Syasya yang sudah mula menitiskan air mata. Kata-kata Haikal sedikit menyentuh perasaannya. Tapi ini demi kebaikan mereka.

“Bila suatu hari nanti kita berjumpa, boleh ke saya jadi kawan awak?”

“Insya-Allah....jika itu takdirNya,” Haikal hanya mengangguk. Tapi Syasya amat berharap biarlah ini pertemuan terakhirnya bersama Haikal. Dia tidak sanggup lagi....

“Okey Sya, saya pergi dulu. Jaga diri. I will gonna miss you, Syasya Ilyana,” ucap Haikal lalu memasuki keretanya dan meluncur pergi.

Syasya terduduk setelah kelibat Haikal menghilang. Syasya memeluk lututnya. Dia menangis semahu-mahunya!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience