Bab 48

Romance Series 14493

Syasya terkebil-kebil melihat pasangan mempelai yang baru tiba diarak masuk ke dewan. Cantik! Sangat sesuai pasangan tersebut, sama padan bagai pinang dibelah dua. Majlis dijalankan sangat indah dan penuh istiadat, maklumlah kedua mempelai berketurunan ‘Tengku’ pastilah dilaksanakan dengan penuh mewah.

Ketika melihat pasangan itu diarak, Syasya terperasan seseorang. Ternyata Ammar menjadi pengapit kepada pasangan tersebut. Dia tidak terlalu hairan kerana Ammar merupakan adik kepada pengantin perempuan tetapi yang menjadi pasangan pengapit Ammar membuatkan Syasya tertanya-tanya.

Sakit di hatinya yang tiba-tiba muncul dipendam. Matanya tak lepas dari pandang ke arah pasangan pengapit tersebut. Entah kenapa pandangan itu yang menarik matanya.

“Abang, kenapa Am dan Alya yang jadi pengapit? Dia tak ada cakap pun nak jadi pengapit untuk kak Amylia,” bisik Amira ke telinga suaminya. Takut juga jika pertanyaannya didengari oleh Syasya.

“Entahlah, abang pun tak tahu. Abang pun terkejut. Am tak ada cakap apa-apa pun dekat abang.” Danial sendiri tak mampu menjawab kerana dia tidak diberitahu apa-apa oleh Ammar.

“Eh, bukan yang menjadi pengapit tu anak lelaki Tengku Sofia ke, ala adik pengantin perempuan. Hensemnya! Kalau I ada anak perempuan dah lama I suruh dia mengorat anak si Tengku ni.” Ujar wanita di sebelah Syasya. Mungkin kenalan Tengku Sofia.

“Eh you ni Datin, tak nampak ke perempuan yang menjadi pasangan pengapit tu. I rasa tu mesti awek dia,” teka wanita di sebelah Datin tersebut. Syasya mengenggam tangannya dan cuba menghiraukan perbualan tersebut.

“La...ya ke, humm tapi I rasa pun macam girlfriend dia sebab yalah takkan dia nak ajak orang yang sembarangan jadi pasangan pengapit dia. Mesti orang yang rapat dengan dia, kan,” makin kuat pula gosip-gosip mak datin ni. Syasya dah tak keruan mendengar kenyataan demi kenyataan dari datin-datin yang duduk di sebelahnya.

“Tapi apa kurangnya, mereka pun sama-sama cantik dan hensem. Mesti perempuan tu pun berkerabat yang baik-baik. Tengok gaya pun I dah tau, mesti orang berstatus tinggi. Maklumlah nak dekat dengan anak tengku ni kenalah sama taraf barulah sesuai, ya tak datin,” ujar Datin itu sambil tergelak. Entah apa yang lucunya!

Syasya yang sudah panas punggung mula ingin beredar dari situ tapi sempat ditahan oleh Amira.

“Sya, nak ke mana?” soal Amira.

“Nak ke tandas kejap,” jawab Syasya lemah lalu segera meninggalkan tempat itu. Dia perlukan suatu tempat untuk tenangkan dirinya.

Amira hanya mampu memandang kelibat rakannya yang mula menghilang. Amira menoleh ke arah suaminya. Danial hanya mampu memberikan senyuman nipis bagi menghilang perasaan resah isterinya. Mereka sama-sama tahu situasi apa yang dihadapi Syasya sekarang.

Amira mengerling mak-mak datin yang masih enak bergosip. Ish tak reti dosa ke mak-mak datin ni, asyik nak bergosip aje kerjanya. Nak kata muda dah tua bangka semua. Orang cakap rumah kata pergi, kubur kata mari! Bertaubat ajelah....bentak Amira dalam hati.
**
Syasya memandang cermin di hadapannya. Dari perjalanan dalam dewan hingga ke dalam tandas, telinganya tidak lepas mendengar gosip tentang pengapit pengantin. Siapa lagi kalau bukan Ammar dan Alya.

Dia sendiri tak pasti apa yang hatinya mahu. Entah kenapa hatinya tidak ingin menerima kenyataan tersebut. Apa dia cemburu? Tapi untuk apa? Bukan hatinya sudah menyampah dan benci dengan Ammar. Tanpa disedari Syasya mengeluh akan perasaannya.

Sudah terang lagi bersuluh yang Ammar dan Alya ada hubungan istimewa. Untuk apa lagi hati ini mengharapkan orang yang tidak mencintai kau lagi? Cukuplah dulu, biarlah kenangan silam kau dan dia terhapus. You have to move on....Syasya Ilyana!

Syasya cuba memberi semangat buat dirinya. Syasya menarik nafas panjang sebelum keluar dari tandas. Tanpa sengaja dia terlanggar seseorang yang kebetulan juga keluar dari tandas. Dia sedikit terkejut bila melihat orang yang dilanggarnya.
**
“Abang, lamanya Syasya dekat tandas tu. Majlis dah nak habis dah ni, batang hidung pun tak nampak,” ujar Amira risau.

“Kejap lagi muncullah tu, jangan risaulah.” Danial cuba menghilangkan perasaan resah isterinya.

Ammar terpandangkan kelibat rakannya yang dari tadi dicarinya. Segera Ammar mendekati pasangan tersebut.

“Wei bro, dah makan ke?” soal Ammar riang. Danial dan Amira sedikit terkejut dengan kehadiran Ammar yang tiba-tiba.

“Hish dia ni buat kitorang terkejutlah, lain kali tegurlah baik-baik jangan duk muncul tiba-tiba macam ni,” bebel Danial. Amira hanya memerhati sekilas. Matanya tak lepas, mencari kelibat Syasya.

“Cari siapa Mira?” soal Ammar bila melihat isteri rakannya seperti mencari seseorang.

“Cari Syasya,” jawab Amira ringkas. Ammar terkedu. Dia ada kat sini ke?

“Dia datang ke?” soal Ammar. Danial dan Amira pula terkedu.

“Yalah, dah ibu kau yang ajak takkan kau tak tahu?” soal Danial pula. Ammar menggeleng. Dia tak tahu pula yang ibunya menjemput Syasya. Amira dan Danial sudah terlongo. Takkanlah ibu Am nak bagi kejutan dekat anak dia kut.

“Weh, aku nak tanya. Macam mana kau dengan Alya boleh jadi pengapit ni?” soal Danial ingin tahu. Dari tadi lagi persoalan itu sentiasa bermain di fikirannya.

Ammar kelihatan serba salah ingin menjawab. “Sebenarnya, orang yang sepatutnya jadi pengapit tu tak dapat datang. Dua-dua pulak tu. So, kakak mintak aku ganti then aku tak ada pilihan lain selain memilih Alya sebagai pasangan pengapit aku. Aku tak ada masa nak cari orang lain sebab masa dah suntuk,” jelas Ammar. Danial dan Amira mengangguk. Mereka tau itu bukan kehendak Ammar.

“Tapi bro kau nak tau tak, sekarang ni dah timbul gosip kau dan Alya bercinta tau.”

“What?!” Ammar seperti tidak percaya. Nonsense!

“Betul. Sekarang ni semua orang kat majlis ni asyik cerita pasal hal ni dan Syasya pun dah tau pasal gosip ni,” ujar Amira serba salah. Ammar makin resah.

“Sekarang dia kat mana?” soal Ammar kalut. Dia tak tahu kenapa tapi sekarang ni dia cuma perlu menemui Syasya dan menjelaskan hal sebenar. Itu saja!

“Dia pergi tandas tapi dari sekarang dia tak keluar lagi,” balas Amira.

“Aku nak cari dia dulu, bro.” ujar Ammar lalu ingin beredar dari situ tapi segera ditegah Danial.

“Tak payah, aku tau dia dengan siapa sekarang,” Danial segera memuncung ke arah suatu sudut. Amira dan Ammar memandang ke arah tersebut.

“Apa Haikal buat kat sini?” soal Amira bila melihat Haikal yang sedang berbual rancak dengan Syasya.

“Dia pun dijemput ke majlis ni sebab papa dia rapat dengan baba saya,” ujar Ammar lemah. Matanya tak lepas memandang pasangan itu. Kenapa setiap kali bila dia ingin dekat dengan Syasya macam-macam halangan yang muncul.

Amira dan Danial terdiam. Mereka memandang simpati terhadap nasib Ammar. Namun bagi Ammar dia harus menemui Syasya untuk menjelaskan semuanya dan menghuraikan segala salah faham di antara mereka. Ammar menapak laju ke arah mereka.
**
Gelak tawa Syasya dan Haikal terhenti bila melihat gerangan yang berdiri di hadapan mereka. Syasya cuba mengawal reaksi mukanya.

“Sya, saya ada benda nak bincang dengan awak,” ujar Ammar. Pandangan tajam Haikal langsung tidak dipedulikan.

“Tak ada apa-apa lagi yang nak dibincangkan Tengku Ammar,” ujar Syasya mendatar.

“Banyak Sya, terlalu banyak yang perlu kita bincang. We need to talk now!” ungkap Ammar sedikit tegas. Syasya hanya tersenyum sinis. Untuk apa lagi? Kalau sekadar untuk sakitkan hatinya, baik tak payah!

“For what? Tak payah nak bincang. Saya dah faham semuanya....semua!”

“Tapi pandangan awak tak menjelaskan semua benda. You should know the truth. Please just give me ten minutes for explain all this,” Ammar sedikit merayu. Syasya cuba menguatkan hatinya supaya tidak terjatuh dengan pujuk rayu Ammar.

“Your ten minutes is over! Saya mintak tolong jangan ganggu saya lagi. Kita tak dicipta untuk bersama Tengku Ammar and please just stay away from me. I don’t need you!” setelah mengucapkan kata-kata itu Syasya segera beredar.

Ammar cuba mengejar Syasya tapi langkahnya ditahan oleh Haikal.

“Tenang bro, bunga bukan sekuntum,” ujar Haikal sinis. Entah kenapa hatinya gembira bila mengenangkan muka rayuan Ammar terhadap Syasya. Macam inilah aku rasa dulu, tapi sekarang masa dah bertukar. I win and you lose!

Ámmar merentap kasar tangan Haikal di bahunya. Kalau tak mengenangkan mereka berada di majlis, sudah tentu muka Haikal pecah sekali lagi ditumbuknya.

“Sorry bro, kau dah kalah. Syasya tak akan layan orang macam kau,” Haikal cuba mengapi-apikan Ammar. Ammar mengetap bibirnya menahan geram. Tangannya dikepal perlahan.

“Kau jangan bermimpi nak dapatkan dia! Dia tak akan pilih kaulah,” bela Ammar. Dia tahu Syasya menyayangi dirinya.

“Kalau dia tak pilih aku, kau ingat dia akan pilih kau. Jangan beranganlah bro! Aku kenal Syasya lebih lama dari kau kenal dia. Aku tahu isi hati dia yang sebenarnya. Sekarang dia dah benci kau, so nilah peluang aku untuk dekat kembali dengan dia,” tutur Haikal sambil ketawa.

“Kau memang tak berubah!” Firasat Ammar makin yakin yang Haikal hanya berlakon baik. Dia tak akan biarkan Syasya jatuh pada orang macam Haikal!

“Memanglah, cinta aku tak akan berubah. Sampai mati pun aku akan tetap cintakan Syasya. Aku harap kau lupakan niat kau untuk dekat balik dengan dia sebab mungkin tak lama lagi, aku akan hantar rombongan meminang ke rumahnya. Dan akhirnya Syasya akan jadi milik aku!” ujar Haikal yakin lalu lalu menepuk bahu Ammar dan berlalu dari situ.

Kau memang tak guna Haikal. Selama ini kau hipokrit! Aku tak akan biarkan hal itu berlaku....desis Ammar perlahan. Dia perlu fikirkan sesuatu. Dia tidak ingin kehilangan gadis itu!

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience