Bab 14

Romance Series 14493

“Amira kenapa semalam masa kita nak balik, awak senyap aje...ke awak marah kat saya sebab buat awak tunggu lama sangat?” soal Syasya perlahan. Dari semalam lagi Syasya ingin tanyakan tentang perkara tersebut tapi melihatkan riak muka Amira seperti singa yang kelaparan dia terus melupakan hasratnya. Pagi ini sahaja dia sedikit berani untuk bertanya.

“Eh, tak adalah. Saya tak marah, lagipun saya suka tengok awak dengan Ammar. Lama-lama pun tak apa...” jawab Amira tersenyum.

Bila mengenangkan kembali sikapnya terhadap Danial kelmarin, membuatkan dirinya diserbu rasa bersalah. Rasa kesian pulak tengok muka dia semalam...teruk sangat ke kata-kata aku? Lamunan Amira berkecai apabila disergah oleh Syasya.

“Oohh Danial...!!” latah Amira. Syasya sudah ternganga. Amira terus menutup mulutnya. Aduhai...kenapalah mulut aku ni boleh terkeluar nama mamat tu pulak. Ish mampos aku nak jawab dengan Syasya nanti! Amira mula gelabah.

“Aik kenapa tiba-tiba nama Danial yang keluar ni. Ada apa-apa yang saya tak tahu ke?” serkap Syasya sambil tersengih. Amira semakin gelabah dan akhirnya dia terpaksa ceritakan tentang hal yang berlaku.

“Tapi kenapa awak layan dia macam tu? Awak benci dia ke?” tanya Syasya. Baginya Amira tak patut ucapkan kata-kata macam tu kerana itu boleh buatkan hati seseorang tu terasa dan berdosa andai kita menyakiti hati manusia. Tapi dia pasti Amira ada alasan kenapa dia lakukan seperti itu.

“Saya tak tahulah kenapa tapi mungkin sebab dia playboy. Saya cuma rasa dia nak dekat dengan saya cuma untuk mainkan saya aje macam yang dia pernah buat kat perempuan lain tu.” Balas Amira perlahan.

“Amira...tak baik awak cakap macam tu. Kita mana tahu apa niat sebenar dia dan kita sebagai manusia kena berfikir yang baik-baik. Mungkin dia ikhlas nak kawan dengan awak, kalau dia ada niat pun itu urusan dia dengan Allah. Kita cuma doakan yang baik-baik aje.” Nasihat Syasya. Dia tidak ingin rakannya berfikiran yang tidak elok tentang orang.

“Saya tau Sya dan sekarang saya betul-betul rasa bersalah sangat. Apa yang perlu saya buat?” soal Amira sambil tangan mengengam erat tangan Syasya. Dia betul-betul buntu!

“Awak free petang ni?” tanya Syasya kembali.

“Free...”

“Ikut saya petang ni,”

“Mana?” soal Amira.

“Am ajak saya tengok dia berlatih. Dia ajak awak teman saya,” jawab Syasya.

“Am..?” tanya Amira pelik. Siapa pulak Am ni..

“Ammarlah,” balas Syasya tersipu malu. Mukanya mula kelihatan merah.

“Wah Am ya...hehe, ada kemajuan nampak. Tapi chup-chup apa kena mengena Ammar dengan masalah saya ni?” Amira bingung

“Danialkan kawan baik Ammar jadi mestilah dia ada sekali masa latihan tu. Jadi awak jumpalah dia dan minta maaf. Settle...” terang Syasya satu persatu.

“Apa minta maaf...?! Wajib ke?” Amira mula cuak. Aduh kena minta maaf ke...malulah aku macam ni. Nak letak mana muka ni, desis Amira.

“Yalah....wajib. Kata tadi rasa bersalah so ni aje yang boleh buat awak tenang,” balas Syasya bersahaja.

“Kalau tak nak...”

“Amira....”

“Okay fine. Saya akan minta maaf,” akhirnya Amira terpaksa mengalah. Kalau dah panggil nama macam tu, maknanya tahap sabarnya dah berkurang, baik cepat-cepat setuju.

“Macam tulah. Petang nanti saya pergi rumah awak. Eh tak apalah saya nak pergi hantar buku kejap,” ujar Syasya lalu mengambil buka yang dipinjamnya di perpustakaan.

“Awak nak saya teman?” soal Amira.

“Tak apa. Baik awak fikir cara macam mana nak minta maaf dekat Danial tu,” balas Syasya sambil tersengih lalu beredar. Amira menjuihkan bibirnya. Aduh masalah betullah....
**
Selepas Syasya pulang dari perpustakaan, Syasya teringin untuk melalui jalan yang lebih cepat untuk ke kelasnya. Lorong itu kelihatan sunyi kerana jarang pelajar menggunakan lorong tersebut. Syasya meneruskan langkahnya dengan tenang. Yang penting Syasya cepat sampai ke kelasnya sebelum waktu rehat tamat. Tiba.tiba....

Dddussshhh! Syasya terjatuh. “Aduh..sakitnya. Mana pulak datang air ni,” ujar Syasya sambil cuba untuk bangun tapi pinggangnya begitu sakit membuatkannya terduduk kembali. Dia pelik kerana setahunya lorong itu jarang pelajar guna dan guru juga jarang melaluinya. Air itu juga kelihatan seperti baru sahaja disimbah. Syasya tersentak apabila namanya dipanggil oleh seseorang. Syasya menoleh dan mengeluh.

“Syasya kenapa ni? Macam mana boleh jatuh?” soal Haikal yang terkejut apabila melihat keadaan Syasya yang kesakitan itu.

“Sudah ketentuan Allah,” balas Syasya dingin. Sungguh dirinya sudah bersiap untuk berhadapan dengan Haikal. Tidak mungkin dia mampu untuk melarikan diri saat dirinya dalam kesakitan.

“Mari saya tolong awak bangun.” Tawar Haikal. Walaupun hatinya tersentap dengan sikap dingin Syasya tapi demi keselamatan Syasya dia hanya pekakkan telinga.

“Tak apa, saya okey. Saya boleh bangun sendiri,” ujar Syasya sambil cuba untuk berdiri tetapi pinggangnya masih sakit lagi untuk menampung keseimbangan badannya. Dia terduduk sekali lagi. Syasya kelihatan pucat.

“Awak masih tak berubah. Degil macam dulu, cuba dengar cakap saya. Mari saya tolong.” Haikal memaut tangan Syasya erat untuk bantu dia berdiri. Syasya terpaksa mengalah kerana dia tidak mampu menghalang Haikal dengan keadaan dia yang seperti ini. Akhirnya, Syasya berjaya berdiri. Syasya segera menarik tangannya.

“Terima kasih, Haikal.” Ucap Syasya sambil bergerak dengan perlahan untuk pergi dari situ. Untung sahaja kawasan itu sunyi, kalau tak pasti dia menjadi bahan tontonan para pelajar.

“Syasya!” panggil Haikal kembali. Syasya menoleh.

“Ada apa lagi,”

“Awak masih bencikan saya?” soal Haikal.

“Tak,” jawab Syasya sepatah.

“Awak dah maafkan saya?” tanya Haikal.

“Ya...dah lama saya maafkan awak,” jawab Syasya. Dirinya bukanlah kejam untuk menaruh dendam pada sesiapa yang pernah menyakitinya tetapi untuk melupakan kenangan itu bukanlah mudah meskipun dia sudah memaafkan kesalahan mereka.

Haikal begitu senang dengan jawapan yang diberikan oleh Syasya. Ini merupakan peluang untuk dirinya.

“Syasya berilah saya satu lagi peluang.” pinta Haikal. Dia betul-betul berharap.

“Luka tetap luka. Walaupun sudah dibalut tetapi masih meninggalkan parut yang mendalam. Sukar untuk diubati. Begitu juga hati saya Kal. Luka yang awak tinggalkan itu buat saya sedar, saya tak sepadan dengan awak. Saya harap awak dapat lupakan saya. Saya pergi dulu,” ucap Syasya lalu berlalu tanpa menolah lagi ke belakang.

Haikal terkaku. Sekelip mata harapannya hancur ibarat kaca yang terhempas ke batu. Dia sedar yang dia telah hancurkan kepercayaan Syasya terhadap dirinya. Dia betul-betul menyesal...

Masuk sahaja dalam kelas, Syasya hanya membuat muka biasanya. Dia tidak mahu Amira tahu tentang kejadian yang berlaku. Kali ini dia sudah mampu menghadapi Haikal sendirian. Dia sudah kuat. Sakit pinggangnya sudah mula surut tetapi hatinya lebih sakit dengan kenyataan yang diberikan oleh Haikal.

“Kenapa kain awak basah dan muka awak nampak pucat?” soal Amira.

“Tak adalah, tadi saya pergi tandas lepas tu terpencik air sikit. Tu yang basah ni...” balas Syasya tersenyum untuk menutup perasaan bersalahnya kerana berbohong.

Pembelajaran diteruskan apabila Cikgu Nurul mula memasuki kelas.
**
Jam menunjukan pukul lima petang apabila mereka tiba di gelanggang bola keranjang. Kedua-dua hati gadis ini bedegup kencang kerana inilah kali pertama mereka diajak ke tempat itu semasa mereka menjalankan latihan. Dulu mereka sekadar ke sini hanya untuk menyaksikan pertandingan yang sebenar sahaja, tidak terlintas langsung di fikiran mereka untuk datang pada waktu seperti itu.

“Assalamualaikum...” tegur seseorang. Kedua-dua gadis menoleh sambil menjawab salam. Kelihatan Ammar tersenyum dan di sampingnya Danial yang hanya bersahaja. Mereka kelihatan tampan dengan pakaian sukan tersarung di badan.

“Jom...” ajak Ammar. Ammar dan Syasya berjalan di hadapan manakala Danial dan Amira berjalan di belakang. Mereka berdua hanya berdiam diri. Masing-masing melayan fikiran. Amira merasakan saat ini, bibirnya terkunci untuk menuturkan kata maaf. Malahan Danial juga tidak menegurnya sama sekali itu yang membuatkan Amira semakin gelisah.

“Syasya, awak duduk kat sini ya. Saya buat latihan dulu,” ujar Ammar. Syasya hanya mengangguk. Ammar berlalu bersama Danial, tinggalah Syasya dan Amira sahaja. Walaupun mereka sekadar membuat latihan tetapi bilangan penonton sama banyak seperti menyaksikan perlawanan yang sebenar terutamanya golongan pelajar perempuan. Ini kerana ahli pasukan bola keranjang sekolah ini kebanyakkan dianggotai oleh ahli-ahli yang ratanya mempunyai paras rupa yang menarik.

Kebanyakan penyokong perempuan menjerit-jerit nama pemain yang diminatinya terutama yang mendapat sorakan yang paling kuat ialah Ammar. Hal itu membuatkan hati Syasya sedikit terasa tetapi perasaan itu segera diusirnya.

“Wah ramai juga peminat Ammar. Awak tengoklah mereka semua bersorak menyebut nama Ammar. Kira Ammar ni memang famouslah, bukan saja dekat sekolah kita tapi dekat sekolah lain pun. Hebatlah...betul tak Sya?” tanya Amira. Tapi pertanyaan Amira hanya dibiar sepi. Melamun pulak minah ni...

“Ooiitt! Awak dengar tak saya tanya?”

“Ahh apa...saya tak dengarlah,” balas Syasya.

“Buat penat saya aje membebal sorang-sorang...” keluh Amira.

“Sorry. Awak nak air tak? Saya nak pergi beli, kat hujung sana tu ada gerai.”

“Boleh juga. Saya tunggu kat sini ajelah,”

“Okey,” jawab Syasya. Syasya bergerak ke gerai. Setelah selesai membeli dua air mineral, Syasya berjalan ke tempat duduknya. Fikirannya saat ini melayang ke arah perbualan Amira tadi. Sebenarnya dia mendengar pertanyaan itu tetapi kerana hatinya betul-betul dijentik suatu perasaan. Dia terpaksa berpura-pura tidak mendengarnya untuk mengelakkan keadaan dirinya disedari Amira. Apa aku cemburu?

Tiba-tiba seseorang memanggilnya keras “Syasya...hati-hati!” Syasya menoleh dan terkaku apabila melihat bola laju menuju tepat ke arahnya. Kedua-dua botol air mineral terjatuh. Syasya hanya mampu memejamkan mata dan berdoa agar ada keajaiban yang berlaku.

Ddduuhh!! Satu tempuran kuat kedengaran. Semua penonton ternganga. Syasya pelik apabila tidak merasa kesakitan sedikit pun akibat balingan bola itu. Apabila Syasya membuka matanya, dia terkedu apabila Ammar sedang berdiri rapat di hadapannya dengan muka yang sedikit merah. Syasya terkejut! Ternyata Ammar yang melindungi dirinya dan menghalang bola itu dengan berdiri di depannya.

Ammar terduduk. Dia kelihatan semput. Syasya yang panik mula memberikan air mineralnya kepada Ammar. Beberapa orang mendekati mereka termasuk Amira yang terkejut menyaksikan kejadian yang tidak diduga itu. Danial mengurut belakang rakannya.

“Kau okey bro?” tanya Danial risau. Dia langsung tidak menyangka Ammar sanggup melindungi Syasya sebegitu rupa. Dia betul-betul tabik dengan keberanian Ammar.

“Aku okeylah cuma sakit sikit je. Awak tak apa Syasya?” tanya Ammar perlahan. Syasya hanya mampu mengangguk. Lidahnya terasa kelu untuk berbicara kerana ia berlaku di luar kotak pemikirannya. Danial menyuruhnya untuk berehat. Ammar hanya mengikut.

Kemudian datang seorang pemuda, dia memohon maaf kepada Ammar dan Syasya. Dia tahu kerana kesilapannya, mereka yang menjadi mangsa. Ammar dan Syasya memaafkannya. Semua berlaku tanpa kita duga, itu jawapan Ammar.

“Afiq, aku harap kau dapat buat balingan macam ni bila pertandingan nanti. Baru pihak lawan kita takut. Aku pun takut tau...” Ammar bergurau. Afiq hanya tersengih. Sekali lagi Afiq meminta maaf sebelum menyambung latihannya. Syasya mula bersuara.

“Terima kasih sebab selamatkan saya,” ucap Syasya perlahan. Ammar hanya tersenyum.

“Sama-sama tapi mesti ada bayarannya.” Kata Ammar sambil menaikkan keningnya.

“Awak nak berapa?” soal Syasya kembali kalut. Mamposlah aku kalau dia minta banyak.

“Saya tak nak duit tapi saya nak awak.” Ayat yang terkeluar dari mulut Ammar membuatkan Syasya kelu. Amira yang mendengarnya sudah terjerit kecil. Syasya merenung Amira memberi isyarat. Amira yang mula faham, bergerak sedikit jauh dari mereka. Dia mengerti Syasya perlukan ruang untuk berbincang dengan Ammar.

“Saya gurau aje, saya tak nak apa-apa. Asal awak selamat pun cukup baik untuk saya,” Kata-kata itu membuatkan Syasya mampu menarik nafas lega tetapi entah kenapa hatinya tidak boleh menerima gurauan itu. Syasya cuba untuk tidak endahkan perasaannya.

“Kenapa awak buat macam tu,” soal Syasya. Dia betul-betul inginkan jawapan yang jelas.

“Buat apa?” soal Ammar pura-pura tidak tahu.

“Cuba lindung saya,” ujar Syasya malu. Ammar ketawa. Comelnya...

“Sebab awak....” ayat Ammar tergantung. Dia sedikit mendekati Syasya.

“Apa?” soal Syasya tidak sabar.

“Istimewa buat saya..!” bisik Ammar serius. Muka Syasya mula merah. Tiba-tiba jantungnya berdebar kuat.
**
Latihan bola keranjang itu telah selesai. Semasa Syasya dan Ammar sedang leka berbual, Amira mengambil kesempatan itu untuk berjumpa dengan Danial. Danial yang sedang berehat di bawah pondok sedikit terkejut dengan kehadiran Amira. Dia berpura-pura mempamerkan wajah yang bersahaja.

“Hai, Danial,” Amira cuba mengalihkan tumpuan Danial. Tapi panggilannya tidak disambut. Amira mula buntu.

“Awak marah saya?” soal Amira. Danial menatap tajam wajah Amira.

“Eh tak adalah saya tak marah, cuma sakit hati je.” Balas Danial sinis. Terasa kata-kata Danial ibarat satu tamparan kuat mengena mukanya. Sabar..! Itu aje yang mampu Amira lakukan sekarang.

“Saya nak cakap yang....yang..” Amira tergagap. Aduh kenapa aku jadi macam Aziz Gagap pulak ni.

“Apa...!” sergah Danial tiba-tiba.

“Saya nak minta maaf atas kata-kata saya yang kasar hari itu, saya harap awak dapat maafkan.” Ujar Amira senafas. Dia betul-betul terkejut akibat sergahan daripada Danial. Untung tak terkeluar benda lain....rasa nak tercabut jantung aku ni. Amira mengurut dadanya perlahan.

Danial menyembunyikan senyumannya. Sungguh dirinya tercuit dengan reaksi Amira. Tetapi dia tidak boleh mengalah begitu sahaja. Masih banyak rancangan yang perlu dia lakukan untuk kenakan Amira walaupun hatinya sedikit terkesan dengan kata maafnya.

“Okeylah kalau macam tu. Bagus kalau dah sedar. Saya chow dulu, awek saya sedang menunggu....” ujar Danial sinis lalu meninggalkan Amira sendirian. Dalam hatinya gembira melihat muka Amira mula kelihatan masam. Padan muka....biar tau rasa! Desis Danial.

Amboi dia boleh blah macam tu aje...dia ingat dia siapa nak buat aku macam ni. Dasar playboy! Sekurang-kurangnya cakaplah baik-baik. Setidaknya aku dah mengaku kesalahan aku. Baik tak payah minta maaf. Sakit pulak hati aku ni, getus Amira lalu beredar dari situ dengan perasaan marah yang membuak-buak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience