Bab 45

Romance Series 14493

Air yang diminum Amira hampir tersembur kembali. Terkejut bila mendengar cerita rakannya. Hai boleh sakit jantung aku macam ni, kalau asyik dengar benda yang mengejutkan saja.

“Awak ni kalau tak buat jantung saya tercabut, boleh tak?” Amira sedikit meradang. Syasya dipandangnya seperti hendak ditelan sahaja.

“Ala awak janganlah marah. Saya tau awak risau tapi saya pandai jaga diri lagipun saya bukan Syasya yang dulu,” jawab Syasya lembut bagi menenangkan rakannya yang sedang merenung tajam ke arahnya.

“Sya, kalau perempuan tu serang awak lagi macam mana? Kalau awak dengan saya tak apa boleh saya ganyang terus perempuan tu tapi kalau awak seorang diri, tak ke bahaya!” Syasya tergelak kecil. Perangai gangster dia dah muncul dah....

“Sya, i’m serious now!” Amira memuncungkan mulutnya bila melihat Syasya hanya ambil tak endah sahaja kata-katanya.

“Okey. Tak apa, pandailah saya urusnya nanti,” jawab Syasya selamba.

“Apa kata awak jangan dekat lagi dengan Haikal,” usul Amira. Syasya sedikit terperanjat. Sangkanya Amira dan Haikal sudah menjadi kawan semula.

“Apa yang awak cakap ni, Mira?” soal Syasya tegas.

“Yalah dulu bukan main benci awak dekat dia. Bahkan awak tak nak jumpa dia langsung. Tapi tengok sekarang bukan main rapat awak dengan dia. Saya tak nak awak kecewa kerana still kawan dengan dia lagi. Kita tak tau apa yang si minah tu akan buat supaya awak terluka,” jelas Amira panjang lebar. Syasya menggeleng.

“Mira, awak sendiri tengok Haikal sudah berubah. Apa salahnya saya beri dia peluang kedua. Soal Fifi tu, Haikal sudah jelaskan yang dia dan Fifi tak ada apa-apa hubungan pun. Cuma Fifi sahaja yang masih tak faham tentang keadaan sebenar. Haikal pun dah selesaikan hal itu dengan Fifi dan dia yakin Fifi tak akan ganggu saya lagi.” Syasya masih lagi menegakkan kebenaran.

“So, awak masih sayangkan Haikal, lah?” serkap Amira.

“Apa yang awak mengarut ni, Mira?” soal Syasya kembali. Aneh dengan sikap Amira.

“Awak cintakan dia?” Amira tak peduli dengan pertanyaan Syasya. Baginya sekarang dia perlu kepastian.

“Mira....”

“Jawab Sya. Jawab dengan jujur siapa dalam hati awak sekarang ni, Haikal ke?” Syasya tertunduk lemah. Sukar untuk menjawab soalan demikian.

“Perasaan saya dan Haikal tak lebih dari perasaan seorang sahabat. Hanya kawan dan tak akan lebih dari itu.” Amira menarik nafas lega. Entah kenapa dia tak suka melihat Syasya bersama Haikal. Memanglah Haikal sudah berubah tetapi entah kenapa dia nampak lain macam pandangan Haikal terhadap Syasya. Seolah-olah ada sesuatu yang tersembunyi.

“Ammar?” soal Amira kembali. Syasya mengerutkan dahi.

“Kenapa dengan dia?”

“Ammar ada dalam hati awak, kan?” Syasya terdiam.

“Dahlah Mira, saya datang sini untuk teman awak shopping bukan untuk jawab soalan-soalan pelik awak ni,” Syasya cuba mengelak dari menjawab soalan demikian. Sesak nafasnya kalau dipaksa menjawab soalan begitu.

“Awak masih marahkan dia ke pasal kes hari tu? Kalau Haikal awak boleh bagi peluang kedua kenapa dia tak boleh. Saya rasa salah dia tak besar sangat, kan?” cungkil Amira. Syasya memandang Amira.

“Saya dah lama maafkan dia, Mira. Peluang kedua? Untuk apa? Saya dengan dia tak akan ke mana. Lagipun dia sudah hak orang.”

“Maksud awak tunang dia?” soal Amira lagi. Syasya hanya mampu mengangguk.

Amira menarik nafas. Dia harus berterus terang akan salah faham ini. “Sya, Ammar tak pernah ada tunang, awak dah salah faham.”

“Maksud awak?”

“Maafkan saya sebab tak beritahu hal sebenar pada awak. Baru sekarang saya dapat ceritakan hal ini. Sebenarnya gambar yang awak tengok dekat rumah Am tu gambar pertunangan kakak Am, Tengku Amylia. Memang betul mereka adakan majlis pertunangan tersebut di Korea atas permintaan Ammar sendiri. Sebabnya waktu tu, Ammar tak dapat cuti kerana dia masih belajar di sana.” Syasya masih terdiam. Mungkin masih terkejut berkenaan hal ini.

“Alya tu bukan tunang Am ke?” soal Syasya ingin tahu.

Amira tersenyum. Ternyata selama ini dia menganggap Alya tunangan Ammar rupanya. Syasya....Syasya....

“Alya tu bukan tunang Am. Mereka tu hanya berkawan baik. Lagipun mereka sama-sama belajar di tempat yang sama. Tak ada apa pun, hanya kawan saja,” jawab Amira.

Syasya tersenyum sinis. Kawan apa kalau mesra macam tu! Matanya tak lepas melihat pasangan tersebut melintas di depannya. Untung sahaja mereka tak melihat dirinya dan Amira yang berada di sudut dalam restoran KFC. Matanya sakit melihat Alya memegang bahu Ammar sambil bergelak ketawa. Ini ke yang Amira katakan kawan baik?

“Awak tak apa-apa ke?” Amira melambai tangan ke arah muka Syasya yang dilihat seperti berkhayal itu. Syasya yang memerhati pasangan itu hingga kelibat mereka menghilang mula memberi tumpuan semula ke arah Amira.

“Awak okey ke?” soal Amira semula. Aneh melihat sikap Syasya yang hanya mendiamkan diri. Mungkin ke rakannya bersalah terhadap Ammar. Amira yakin Syasya masih memiliki perasaan sayang terhadap Ammar lagi.

“Saya okey. Jomlah balik, dah habis shopping, kan?” Amira mengangguk. Mereka segera bergerak ke parking lot.
**
Syasya menguis batu di jalan. Matahari sudah makin terik membakar mukanya. Manalah Amira ni, ambil kereta ke buat kereta, desis Syasya. Sudah naik kematu kakinya menunggu kereta Amira mengambilnya di sini.

Kalau begini lebih baik dia turuti sahaja Amira ke kereta tadi. Tapi atas desekan Amira yang menyuruhnya menunggu di sini, membuatkan Syasya hanya menurut. Malas nak bertengkak panjang! Lebih lima belas minit juga dia menunggu Amira. Batang hidung keretanya masih tak muncul, baik dia segera ke sana. Takut andainya ada apa-apa terjadi pada temannya.

Syasya melangkah tanpa memandang kiri dan kanan, ingatannya hanya ingin cepat sampai ke arah kawannya. Tiba-tiba muncul sebuah kereta laju meluncur ke arahnya. Syasya terkaku! Langkahnya mati! Peluh merencik di dahi. Ya Allah....

Sepasang tangan menariknya kasar hingga Syasya tertarik ke tepi. Kereta yang meluncur laju hanya berhenti seketika dan terus memancut laju meninggalkan kawasan tersebut. Syasya masih dalam keadaan terkejut. Tambah terkejut bila mendapati dirinya dalam pelukan seseorang.

Syasya meronta minta dilepaskan. Syasya berjaya dilepaskan dan hampir pengsan melihat orang yang menyelamatkannya.

“Awak ni kenapa? Lain kali lintas tu tengok kiri kanan dulu, boleh tak? Jangan main nak lintas aje!” marah Ammar. Untung sahaja dia sempat melihat kejadian tersebut. Dia tak dapat bayangkan jika dia tiada di situ, pasti dia tidak dapat menyelamatkan Syasya.

Syasya terkebil-kebil melihat Ammar. Setelah otaknya mula berfungsi akan situasi yang sebenar. Syasya sedikit menjauhkan dirinya dari Ammar. Matanya memerhati Ammar yang sedang memandang ke arahnya dan Syasya melihat kelibat Alya di sebelah Ammar.

“Sya, are you okay?” soal Alya lembut.

“Nak okay macam mana, dia hampir kena langgar. Entah fikirkan pasal apa sampai tak tengok kiri kanan!” balas Ammar geram. Entah kenapa dia geram melihat sikap Syasya yang seolah-olah tidak suka dirinya diselamatkan olehnya. Agaknya kalau Haikal yang selamatkan baru dia nak gembira.

“Am, dahlah mungkin Syasya tengah trauma sekarang ni,” balas Alya. Ammar tersenyum sinis. Traumalah sangat!

“Saya tak minta diselamatkan oleh awak,” ujar Syasya perlahan tapi masih sempat ditangkap oleh Ammar. Membulat matanya bila itu yang diucapkan oleh mulut kecil itu.

“Awak memang tak reti berterima kasih ya, mujur saja saya sempat selamatkan awak. Kalau tak, awak dah....”

“Kalau awak sekadar selamatkan saya hanya untuk mendengar ucapan terima kasih saya. Baik awak biar saya dilanggar saja,” setelah mengucapkan itu, Syasya melangkah pergi. Kebetulan dia ternampak kereta Amira mendekati mereka.

“Jom gerak,” arah Syasya. Amira yang kelihatan bingung hanya mengikut. Keretanya dipecut keluar dari perkarangan Mall. Muka Syasya yang kelihatan pucat dikerlingnya. Pasti ada apa-apa yang berlaku, gaduh lagi dengan Ammar ke?

Amira mengerling melalui cermin belakang. Melihatkan wajah Ammar yang kecewa makin menguatkan syak wasangkanya. Dia juga terkejut bila melihat kehadiran Ammar dan Alya. Belum sempat dia hendak menegur, Syasya sudah menyuruhnya pergi. Dia hanya menurut setelah melihat angin Syasya yang mula ribut taufan itu.

Ammar hanya mampu melihat Syasya yang menghilang bersama kereta Amira. Hatinya sakit bila Syasya mengutarakan kata-kata itu. Tapi, hatinya lebih perit bila melihat orang yang dicintainya terluka tapi kenapa Syasya masih tidak mengerti perasaannya itu. Alya yang melihat adegan itu hanya mampu menepuk belakang Ammar bagi menghilangkan perasaan kecewa temannya.

“Apa salah saya Alya? Kenapa dia harus buat saya macam ni? Saya tak nak pun ucapan terima kasih dia tapi kenapa ayat dia perlu mengguris perasaan saya?” soal Ammar lemah. Alya memandang simpati.

“Sabar Am, she still shocked!” hanya itu sahaja yang Alya mampu balas. Dia sendiri tak terkata.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience