Bab 8

Action Series 24641

     Melihat gadis itu diam tidak terkata membuatkan sekeping hati Hezrick terasa seperti disiat-siat dengan pisau tajam. Gadis itu membencinyakah?

     "Sayang," seru Hezrick bernada lembut seraya mencapai tangan gadis yang elok berada di atas meja.

     Berderau darah Mikayla mendengar perkataan yang keluar dari mulut lelaki itu, suara ini, panggilan ini. Hanya lelaki yang bernama Ricky sahaja pernah membuat nada suara seperti itu. Dia menarik tangannya dari terus dipegang lelaki itu.

     "Nama you apa?" Soal Amira secara tiba-tiba.

     Dia mula rasa aneh melihat Mikayla hanya diam dan menunduk, lagi hairan apabila lelaki di hadapannya ini menyeru panggilan manja seperti itu.

     "Nama dia Hezrick, jom pergi shopping? I belanja you," pelawa Freddy bersama senyuman manis, matanya merenung wajah Amira, sengaja dia memancing gadis itu.

     Mata Amira bersinar-sinar mendengar perkataan shopping dan belanja. Persoalan yang bermain-main di dalam ruang fikirannya sebentar tadi hilang sekelip mata.

     "Kat mana?" Amira memandang Freddy menunggu balasan.

     "You ikut je I, I belikan you kasut, handbag dan barang-barang lain yang you nak, okay?" Freddy masih memujuk dengan kata-kata manis. Dia dapat membaca air muka gadis ini, nampak mudah dipancing dengan barangan seperti itu.

     "Okay I setuju, tapi dua orang ni tak ikut?"

     "Tak, Hezrick tak suka berjalan sama macam Cik Kayla. So, kita berdua ajelah." Jawab Freddy bersama senyuman nipis.

     "Okay, let's go," tanpa membuang masa, Amira terus berjalan maju ke hadapan dibontoti Freddy. Boleh dia memberi masa kepada Mikayla membiasakan diri bersama Hezrick.

     Freddy mengenyitkan sebelah matanya pada Hezrick, lelaki itu hanya menayang riak wajah biasa walaupun jantungnya rasa seperti hendak terloncat keluar ketika ini.

     Mikayla masih kaku menunduk, dia tidak mampu untuk menghalang Amira dari terus pergi, dia sudah bertukar menjadi beku di hadapan lelaki ini. Wajahnya terasa panas, hatinya perit, perit kerana teringatkan janji lelaki ini terhadapnya dahulu.

     "Jom ikut aku," Hezrick bangun lalu terus menarik lembut tangan gadis itu.

     "Tak nak!" Mikayla meronta-ronta minta dilepaskan. Genggaman lelaki itu semakin kuat mencengkam pergelangan tangannya yang putih sehingga bertukar menjadi warna kemerah-merahan.

     "Diam." Arah Denizz sepatah kedengaran cukup tegas.

     "Tak nak!"

     "Jangan cabar aku Kayla," nada suara yang digunakan Hezrick masih terkawal agar tidak kedengaran terlalu kuat.

     "Lepaskan saya, apa lagi yang awak nak?!" Empangan air mata Mikayla pecah, dia merenung tajam lelaki yang bernama Hezrick ini.

     "Kau bising lagi, aku cium kau kat sini, nak?"

     Ugutan itu membuatkan Mikayla diam, hanya air mata yang setia mengalir di pipinya. Dia takut ugutan lelaki ini oleh kerana ugutan seperti itulah yang kini telah memusnahkan hidupnya.

     Kakinya diatur membontoti lelaki itu walaupun pemikirannya berkata tidak. Hezrick berjalan menggenggam lembut tangan gadis yang dicintainya. Tiba di tempat parkir kereta, dia menolak tubuh kecil Mikayla duduk di seat penumpang. Gadis itu menurut tanpa berkata-kata, air mata mengalir dengan lebih deras dari sebelumnya.

     Hezrick memasuki tempat pemandu sebelum tangannya terus merangkul tubuh gadis itu dari tepi. Esakan menjadi semakin kuat apabila Hezrick cuba untuk memujuk.

     "I'm sorry..." Ucap Hezrick lembut sambil mengusap belakang tubuh Mikayla agar dapat menenangkan gadis itu.

     "Lepaskan saya!" Mikayla menolak kasar dada bidang Hezrick sehingga terlepas rangkulan lelaki itu.

     "Kayla, aku tinggal kau bersebab! Tolonglah faham aku!" Nada Hezrick mula naik seoktaf.

     Dia sudah meninggalkan pesanan pada gadis ini, tetapi mengapa gadis ini masih tidak mengerti? Tangannya diangkat untuk menyeka air mata Mikayla namun ditepis kasar oleh gadis itu.

     "Saya je kena faham awak? Habis tu awak tak perlu nak faham saya?"

     "Siapa cakap aku tak faham kau? Aku sentiasa ada untuk perhatikan kau, Kayla." Suara Hezrick mula mengendur.

     "Perhati? Saya cuma nak cakap tahniah sebab awak berjaya buat saya jatuh cinta pada awak dalam masa sehari, bodohnya saya masa tu..." Kata Mikayla bernada sinis seraya mengesat kasar air matanya.

     "Aku yakin cinta tu masih tak hilang untuk aku sebab aku adalah cinta pertama kau," Hezrick nampak begitu yakin dengan apa yang dia ujarkan.

     "Sorry, hati saya dah lama tertutup untuk awak." Mikayla melemparkan pandangannya ke luar tingkap.

     "Oh yeah?"

     Jika benar pintu hati Mikayla sudah tertutup untuknya, mengapa perlu tangisi pemergiannya? Mengapa perlu membencinya? Hezrick tersenyum manis melihat sisi wajah Mikayla.

     Seram sejuk Mikayla dibuatnya, tangannya cuba untuk membuka pintu kereta tetapi pintu itu pantas dikunci oleh Hezrick. Dia menoleh ke arah Hezrick yang masih merenungnya.

     "Nak pergi mana?" Soal Hezrick bersama senyuman yang sukar untuk ditafsirkan.

     "Saya nak balik," jawab Mikayla perlahan.

     "Lepas teman aku, barulah aku hantar kau balik."

     Tanpa menunggu balasan dari si gadis, enjin kereta dihidupkan. Lengan hoddie yang sedikit teselak sehingga menampakkan tattoos pada pergelangan tangannya ditarik.

     "Kau tengok-tengok apa?" Soal Hezrick, matanya mengerling Mikayla beberapa kali, gadis itu merenung pada lengan bajunya yang terselak.

     "Tt... tak... tak ada apa," jawab Mikayla tergagap-gagap.

     "Kau nak tahu sebab apa aku tinggal kau?"

     Mikayla menggeleng tanda tidak mahu tahu ke mana perginya lelaki ini empat tahun yang lepas. Tetapi jauh di sudut hati, dia mahu lelaki ini cerita mengapa sampai perlu meninggalkannya terkontang-kanting mencari hidup sendiri dalam waktu yang begitu lama?

     "Betul ke tak nak tahu? Atau kau malu nak angguk kepala?"

     "Saya tak nak! Awak ni bisinglah!" Mikayla menjeling tajam wajah Hezrick.

     Geli hatinya melihat wajah cemberut Mikayla, dia mencapai tangan gadis itu lalu dikucupnya sekilas sebelum tangan itu diletakkan ke atas ribanya.

     "Aku pergi belajar, harap kau tak marah aku lagi, aku cuma nak jadi kawan kau..." Ujar Hezrick tanpa sedar perkataan 'kawan' keluar daripada mulutnya.

     "Kawan?"

     Setelah segala apa yang telah lelaki itu lakukan terhadapnya, dia masih minta untuk menjadi seorang kawan? Sungguh tidak sangka perkara seperti ini berlaku di dalam hidupnya. Dia tak mengapalah kerana dia seorang lelaki, tak luak walau sedikit pun!

     "Eh bukan kawan tapi..."

     "Awak tak layak jadi kawan saya atau sebahagian dalam hidup saya..." Mikayla memintas kata-kata lelaki itu.

     Keluhan kecil dihela keluar. Keras juga kepala buah hatinya ini. Sesekali dia mengerling Mikayla yang berada di sebelahnya. Jelas kelihatan kedukaan yang terpamer di wajah gadis ini.

     "Kayla," seru Hezrick perlahan.

     Dia membelok keretanya ke bahu jalan. Jika terus begini, bila masanya mereka akan berbaik? Dia perlu memujuk Mikayla supaya tiada lagi syak wasangka terhadapnya yang cuma akan mengeruhkan lagi hubungan mereka berdua.

     Dia menarik tangan gadis itu lalu dikucup lama. Sungguh bukan ini yang dia minta. Masalah mereka berdua akan selesai jika gadis ini memahaminya.

     "Awak yang tak faham perasaan saya," mata Mikayla kembali berkaca-kaca.

     Lelaki gatal ini terlalu memandang rendah terhadap dirinya. Dia sedar bahawa dirinya seorang gadis yang lemah, lemah mendengar pujuk rayu lelaki ini, lemah dengan kata-kata indah yang telah lelaki ini janjikan terhadapnya dahulu.

     Tetapi dia masih mempunyai maruah, lelaki ini yang perlu memahami keadaannya, bukan dengan cara menjatuhkan maruah dirinya sebagai seorang wanita.

     "Senang awak bercakap, tinggal sebab pergi belajar. Ada awak fikir apa yang terjadi pada saya lepas awak pergi? Ada awak tanya khabar saya?" Mikayla mengesat air matanya dengan kasar.

     Hezrick diam mendengar kata-kata gadis itu, dia sendiri sedar bahawa itu adalah kesilapannya. Biarlah gadis ini meluahkan segala rasa penderitaan itu kepadanya supaya beban yang ditanggung gadis itu selama ini berkurang.

     Jika dia tahu akan jadi begini, dia tidak akan sama sekali meninggalkan gadis itu seorang diri. Tetapi semua itu sudah terlambat, pesanannya tidak cukup kuat untuk menyakinkan jiwa gadis ini tentang apa yang dia rasakan.

     Dia baru tersedar yang dia tidak boleh mengambil kepercayaan gadis ini dengan hanya berkata-kata.

     "Malam-malam saya terseksa disebabkan awak, disebabkan segala yang awak pernah buat pada saya,"

     "Siapa saya dua tahun lepas? Hanya seorang gadis yang bodoh, bodoh kerana mempercayai kata-kata seorang lelaki yang hanya tahu mempermainkan perasaan wanita..."

     "Setiap hari saya menunggu, menunggu sesuatu yang tidak pasti, sakit tu hanya saya yang rasa, mana awak masa tu Ricky?"

     "Sentuhan awak meninggal kesan yang buruk pada hari-hari saya, kenapa saya begitu bodoh iskk... iskk..." Nadanya kedengaran bergetar. Wajahnya yang merah dan basah ditekup menggunakan kedua-dua belah tapak tangan.

     "Enough, aku akan gantikan semua kesedihan tu dengan kebahagiaan mendatang yang aku sendiri akan taburkan..." Hezrick merangkul kemas tubuh kecil Mikayla.

     Senyuman nipis terukir di bibir setelah merasakan lengan gadis itu membalas pelukannya. Jelaslah, gadis itu juga sangat merinduinya tetapi kerana ego, rasa rindu itu terbatas.

     Kehangatan pelukan ini masih terasa sama seperti dulu, beginilah dia, terlalu lemah apabila berhadapan dengan lelaki ini. Bauan maskulin yang dirinduinya setiap malam memasuki rongga hidung, dia rasa tenang berada di dalam dakapan lelaki ini.

     "Aku janji aku tak akan tinggalkan kau lagi lepas ni," Hezrick melepaskan rangkulan lalu membuka dashboard kereta sebelum tangannya mencapai kotak cincin yang telah lama dia simpan untuk dihadiahkan kepada gadis itu.

     "Be my wife?" Hezrick menunjuk sebentuk cincin yang mempunyai permata cantik. Sangat cantik.

     "Okay aku tahu aku tak sweet lamar kau dalam kereta dan tepi jalan macam ni, tapi hati aku ikhlas, sumpah ikhlas..." Sambungnya lagi setelah melihat sepasang mata yang masih berair itu berkelip-kelip merenungnya tanpa riak wajah.

     "Saya... saya tak boleh..." Mikayla menggeleng kecil.

     "Kenapa? Kalau kau nak aku lamar kau kat hotel sepuluh bintang sekalipun kita boleh pergi sekarang, nak?"

     "Bukan macam tu, tapi saya memang betul-betul tak boleh. Saya sedang menunggu panggilan belajar sekarang," jawab Mikayla dengan jujur.

     Apa lagi yang dia mahukan? Lelaki yang telah lama dia tunggu berada di hadapannya ketika ini. Sanggupkah dia menolak cinta pertamanya ini hanya disebabkan ego semata-mata?

     "Kau nak sambung belajar? No no no aku tak nak kau tiba-tiba disambar orang lain pulak," ujar Hezrick dengan nada yang resah gelisah. Adui nak sambung belajar pula minah ni, kenapa aku tak tahu langsung?

     "Ini impian ayah saya, saya baru saja sihat. Dapat aje panggilan, saya akan pergi," Mikayla menyelitkan rambut hadapannya ke belakang telinga.

     "Kau mohon dekat mana?" Soal Hezrick ingin tahu. 

     "Kolej Malvir..." Jawab Mikayla pendek.

     "Fucklah Enrique, mesti kerja dia tak nak bagitahu aku fasal ni," omel Hezrick perlahan.

     "Apa awak cakap?"

     "Tak ada apa, meh tangan kau, aku sarungkan," Hezrick mencapai tangan Mikayla sebelum cincin disarungkan pada jari manis gadis itu. Sepadan!

     "Mana awak tahu saiz jari saya?"

     "Masa aku tempah cincin ni, dalam hati aku berdo'a, kalau kau adalah jodoh aku, saiz cincin yang aku pilih ni akan muat pada jari kau. Dan sekarang alhamdulillah nampak sesuai..." Terang Hezrick sebelum dia tersenyum manis seraya mengusap belakang tapak tangan gadis itu.

     Pinnn!

     Bunyi hon yang panjang dari arah belakang keretanya membuatkan Hezrick menghela keluhan yang kasar. Dia sangat mengenali kereta sport Ferrari bewarna biru gelap methalic itu. Bala-bala.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience