Bab 67

Action Series 24641

     Rumah setingkat yang dirinduinya dilihat dengan perasaan sebak. Rindu untuk berjumpa ibu dan ayahnya yang tersayang. Rindu masakan wanita tua itu, rindu tentang segala kenangan yang telah tercipta di rumah itu.

     Kereta yang dipandu Freddy dipakir di kawasan letak kereta sebuah taman permainan yang berada di hujung lorong rumah Encik Anuar. Tiba-tiba kereta sport milik Enrique berhenti di sebelah kereta Freddy. Tingkap kereta diturunkan.

     "Anuar tak ada kat rumah, marilah pergi buat kecoh," ujar Enrique tenang sebelum keretanya diundur.

     "Buat kecoh je yang dia tahu." Freddy menghela nafas.

     "Betul ke ayah tak ada? Bolehlah saya berjumpa ibu, kan?" Matanya bersinar-sinar memandang wajah suaminya.

     "Assalamualaikum! Mak cik ohh mak cik!" Herith mula memberi salam dan memanggil Puan Qamaria.

     Mikayla terus meluru ke arah pintu pagar lalu dibukanya pintu itu. Puan Qamaria yang baru sahaja membuka pintu rumah terus merasakan tubuh dipeluk anak perempuannya.

     "Kayla rindu ibu." Suara Mikayla kedengaran bergetar.

     "Ibu juga rindukan kamu. Dah lama kamu tak datang jenguk ibu dekat sini." Puan Qamaria mengusap belakang tubuh anaknya.

     "Assalamualaikum mak cik, tak jawab dosa tau." Herith menghulur tangannya untuk bersalam dengan wanita tua itu.

     "Wa'alaikumusalam, iye mak cik jawab. Kamu semua dari mana ni?" Puan Qamaria yang masih dipeluk Mikayla juga menghulurkan tangan kanannya pada Herith untuk bersalam.

     Dia melayankan saja mereka semua seperti anaknya, mungkin lelaki-lelaki inilah yang pernah diceritakan Hezrick kepadanya dahulu.

     "Dari Terengganu, mak." Enrique pula menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan Puan Qamaria. Mikayla melepas rangkulannya pada tubuh wanita itu.

     "Jauh tu Terengganu, eh masuk-masuk. Rumah ibu ni kecil aje, nak bermalam kat sini?" soal Puan Qamaria sambil melangkah masuk.

     "Klise betul mak tanya soalan macam tu. Boleh jugak, kami semua dah mengantuk sangat ni." Enrique menutup mulutnya yang dibuat-buat menguap sambil mengambil tempat di sofa.

     Mikayla mengerutkan dahi. Lelaki itu panggil Puan Qamaria mak? Sejak bila ibu aku ada anak lelaki jahanam macam dia tu?

     "Assalamualaikum ibu." Amira dan Zack pula melangkah masuk ke dalam rumah dan terus meluru ke arah Puan Qamaria.

     "Ricky? Fred?" Mikayla memandang wajah Amira menunggu jawapan dari gadis itu. Amira hanya mengangkat bahu tanda tidak tahu.

     Tanpa membalas, Mikayla terus mengatur langkah ke arah pintu utama. Di mana pula suaminya? Mengapa masih tidak masuk ke dalam?

     Freddy menekan-nekan skrin telefon bimbitnya sambil menunggu Hezrick melayan perasaan. Mereka berdua masih berada di dalam kereta. Hezrick masih tidak mahu keluar kerana dia benar-benar rasa bersalah terhadap Puan Qamaria.

     "Betul ni tak nak masuk?" soal Freddy setelah sekian lama mereka berdiam.

     "Agak-agak mak mentua aku marah tak? Aku dah lama tak bawak Kayla balik sini. Berdebar teruk ni..." kata Hezrick sambil memegang dadanya.

     "Tak marah punyalah. Mak mentua kau kan baik, beragama dan berakal, nak marah kenapa pulak? Dia mesti faham keadaan anak mentua dia yang sibuk di KL." Freddy cuba menyedapkan hati Hezrick.

     Belum sempat Hezrick membuka mulut untuk menjawab, pintu kereta dibuka dari luar. Mikayla terus menarik lengan suaminya keluar dari kereta.

     "Jomlah masuk. Kejap lagi abang tak boleh jumpa saya dah." Mikayla menarik lengan lelaki itu memasuki pagar rumah.

     "Kenapa pulak?" soal Hezrick hairan, kakinya tetap diatur membontoti Mikayla.

     "Saya nak tidur dengan ibu malam ni."

     "What? Dah abang macam mana?" soal Hezrick. 

     Gadis itu berhenti melangkah lalu memalingkan tubuhnya ke belakang, pipi kanan lelaki itu dipegang dan diusap.

     "Boleh kan malam ni Kayla tidur dengan ibu? Kayla rindu ibu sangat-sangat..."

     Hezrick tersenyum nipis. Baiklah malam ini saja.

     "Ibu, saya mintak maaf sebab dah lama tak bawak balik Kayla jumpa ibu... Kami tak nak apa-apa terjadi pada ibu sebab tu jarang balik sini." Hezrick mencium belakang tangan Puan Qamaria.

     "Eh tak perlu minta maaf. Ibu dah cukup lega kamu jaga anak ibu ni dengan baik. Makin berisi Kayla sekarang. Cantik pula tu dah bertudung macam ni," ujar Puan Qamaria bernada lembut.

     "Berisilah makan sokmo. Pergi mana-mana mintak makanan, jalan sikit kena ada makanan. Gerak sikit je pun rasa nak makan," omel Herith. Sudah masak dengan perangai kakak iparnya itu sejak mengandung.

     "Dah ada isi ya? Tahniah sayang... Tak lama lagi, dapatlah ibu merasa pegang baby." Puan Qamaria tersenyum lebar, sisi bahu Mikayla diusap sayang.

     "Adam ada datang lagi tak bu?" soal Enrique yang sengaja membuka cerita tentang lelaki itu. 

     Air muka Puan Qamaria berubah sekelip mata.

     "Adam dah meninggal. Dia terlibat dalam kemalangan jalan raya beberapa bulan lepas. Kamu tak ada dengar berita tentang ni?" Puan Qamaria hanya menjawab apa yang dia tahu tentang lelaki yang bernama Adam itu. 

     Enrique hanya menggeleng kecil tanda tidak tahu, penipu! Padahal dia yang bunuh lelaki itu.

     "Mengantuknya. Jomlah rehat dulu..." Herith menguap besar.

     Yang lain bersetuju dengan kata-kata Herith. Elok juga rehat dahulu pada malam ini.

*****

     Puan Qamaria melihat Mikayla sedang termenung di hadapan peti. Mungkin sedang memikirkan menu masakan pada tengahari ini. 

     "Biar ibu masak. Kamu mesti rindu nak makan masakan ibu, kan?" Puan Qamaria memegang bahu Mikayla. 

     "Ibu ni macam tahu-tahu je..." 

     Bunyi kekecohan seperti sedang bergaduh di ruang tamu menarik perhatian Mikayla dan Puan Qamaria. Mereka berdua terus pergi ke depan untuk melihat apa yang sedang berlaku. 

     "Ayah..." Hezrick menghulur tangannya untuk bersalam dengan Encik Anuar namun tangannya dipandang sepi. Hezrick menarik kembali tangannya.

     "Assalamualaikum pak cik, sihat?" Herith yang duduk di sofa menyapa lelaki tua itu.

     "Aku malas nak ulang banyak kali, keluar!" Halau Encik Anuar buat kali yang kedua.

     "Relaks sikit tak boleh ke ayah? Janganlah marah-marah macam ni. Kami datang untuk beri ayah duitlah." Enrique mencampak beg duitnya, beg itu mendarat di hadapan kaki Encik Anuar.

     "Aku tak perlukan duit kau! Aku cuma nak anak aku! Lelaki tak guna!" Encik Anuar mencekak kolar leher Hezrick, belakang tubuh Hezrick tersandar rapat pada dinding.

     "Macamlah dia tu lelaki berguna." Freddy yang diam dari tadi mula bersuara dengan sinisnya.

     "Kau diam! Dan kau, apa yang kau dah buat pada anak aku sampai dia tak nak balik sini?? Aku yang besarkan dia selama ni. Kau dah ajar dia jadi anak derhaka, tak tahu malu betul!" Encik Anuar masih menggunakan nada tinggi.

     "Betul ke kau yang besarkan dia?" soal Hezrick sinis. 

     "Ayah!" Mikayla membuntangkan mata.

     "Jangan sentuh aku." Hezrick berkata keras sebelum tubuh lelaki tua itu ditolak kasar. 

     "Kenapa kau bawak jantan-jantan barat ni ke rumah? Kau nak jadi pelacur ke huh?!" Encik Anuar menengking Mikayla.

     "Sudahlah bang... Anak kita dah jumpa kebahagiaan dia yang sebenar. Tak boleh ke abang bertolak ansur sikit? Dia dah besar dan cukup matang sekarang." Puan Qamaria ingin menyentuh belakang bahu Encik Anuar namun dihalang Amira. Dia dapat merasakan sesuatu yang tidak kena dalam situasi ini. 

     Beberapa orang jiran di luar pagar memanjangkan leher untuk melihat apa yang sedang berlaku di dalam rumah Encik Anuar. Risau mendengar pergaduhan tersebut kerana selama ini rumah Encik Anuar sunyi sepi saja.

     "Aku suami dia yang sah. Jangan kau berani untuk cakap macam tu pada isteri aku." Hezrick merenung tajam wajah lelaki tua yang berdiri di hadapannya itu. 

     "Sejak bila kau orang bernikah? Kurang ajar!" Encik Anuar melayangkan tumbukannya ke arah pipi Hezrick namun sempat ditahan Freddy yang berdiri di sebelah lelaki tua itu.

     Freddy menarik tubuh Encik Anuar menjauhi Hezrick. Tiada sesiapa yang boleh menyentuh bosnya sekiranya mereka bersama lelaki itu.

     "Kau pergi halau manusia-manusia kat luar tu, makin ramai pulak," arah Hezrick pada Zack.

     Zack mengangguk kecil sebelum dia melangkah ke pintu namun ditahan Enrique.

     "Biar aku yang halau. Wahai manusia-manusia yang dikasihi mak bapak kau orang! Baliklah ke rumah masing-masing sebelum aku sepak dua buah punggung besar kau orang semua!" jerit Enrique di muka pintu rumah.

     Beberapa orang yang mengintai itu tergesa-gesa beredar bersama wajah yang pucat ketakutan, mungkin mereka semua terkejut melihat wajah Enrique yang terlalu kacak persis seekor anak harimau yang comel.

     "Tengok! Kan senang je aku halau. Bagus jiran-jiran kau tu semua jenis dengar cakap. Macam mana kau didik eak?" Enrique menepuk-nepuk belakang bahu Encik Anuar tanpa rasa takut. 

     "Siapa je yang tak takut tengok babi hutan duduk kat dalam rumah orang melayu?" Herith memandang Amira yang mula ketawa. Enrique menjeling Herith, sialnya ayat lelaki itu.

     "Diam!!" Encik Anuar mengeluarkan sepucuk pistol lalu diacukan pada Enrique yang masih memegang bahu kanannya.

     Puan Qamaria, Amira dan Mikayla membulatkan mata, terkejut melihat pistol itu. Dari mana Encik Anuar memperolehinya? 

     "Kau pandai guna ke benda ni?" soal Enrique sinis. 

     "Kau takkan dapat Mikayla dengan perangai yang buruk macam ni. Anak mana je rela dijual bapak sendiri? Come on Anuar, jadilah jantan sejati yang tak merosakkan hidup perempuan. Mereka kaum yang lemah." Enrique memasukkan tangan ke dalam kocek seluar. Senyuman sinis masih tidak lekang di bibirnya.

     "Berhentilah berlakon Anuar. Kita orang tak mudah tertipu dengan benda bodoh macam ni. Dah masak sangat dah." Hezrick berkata tenang.

     "Diam!" Encik Anuar melepaskan satu das tembakan yang hampir mengenai lengan Hezrick.

     "Tolong ayah... Jangan bencikan kami..." Dia berharap ayahnya menghentikan semua ini. Dia hanya menginginkan keluarga mereka bahagia seperti dahulu.

     "Ya Allah, abang! Kenapa buat menantu kita macam tu? Sudah-sudahlah abang. Jangan pecah belahkan keluarga kita macam ni. Saya merayu sangat bang..." Puan Qamaria menggosok dadanya yang berdebar kencang kerana mendengar bunyi tembakan buat pertama kali.

     Mikayla ingin melangkah untuk mendapatkan Encik Anuar namun ditahan Hezrick. Hezrick menggeleng kecil.

     "Sini anakku, ayah rindukan kamu. Dari kecil ayah jaga kamu sehingga cantik macam sekarang. Kenapa buat ayah macam ni sayang? Ayah cuma mintak kamu balas jasa ayah yang dah bersusah-payah sara hidup kamu selama ni. Mari sini sayang, balas jasa ayah." Encik Anuar mula menggunakan nada lembut.

     "Kayla memang nak balas jasa ayah tapi bukan dengan cara bernikah dengan sesiapa yang ayah minta. Lagipun Adam dah meninggal, apa lagi yang ayah nak Kayla buat?" Sepasang mata Mikayla berkaca-kaca memandang ayahnya. 

     "Tak perlu bernikah dengan sesiapa, Kayla cuma perlu ikut ayah," ujar Encik Anuar. 

     "Ayah nak bawa Kayla pergi mana?"

     "Bercuti. Kita pergi tenangkan fikiran dekat tempat yang jauh dari sini. Ayah rindu nak kita bertiga bersama seperti dulu." Nada yang digunakan Encik Anuar kedengaran sayu di telinga Mikayla namun dia mula perasan akan sesuatu tentang lelaki itu. 

     Baginya, Encik Anuar adalah seorang ayah yang baik dan penyayang. Semua yang dia minta pasti lelaki itu usahakan sebaiknya kerana dia adalah satu-satunya anak mereka. Tidak mungkin sedikitpun lelaki tua itu tidak bersedih dengan masalah antara mereka.

     "Bercuti kepala otak dia. Kita ajar jelah orang tua ni cukup-cukup. Berdarah gegendang telinga aku dengar benda-benda bodoh macam ni." Freddy memandang Hezrick meminta pendapat lelaki itu. 

     Tiba-tiba Encik Anuar melepaskan tawa. Penyamarannya sampai di sini sahaja. Tangannya menyingsing baju kameja menayangkan kulitnya yang bersalut tattoo terukir di dalam tulisan Cina.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience