Bab 34

Action Series 24641

     "Kau tak penat ke?" Soal Hezrick kepada Ferliy yang masih menangis sambil mengetuk pintu bilik Firaz tanpa henti.

     "Ferliy nak kunci bilik Firaz, bagilah Ricky. Ferliy dah call dan mesej dia tapi handphone dia tak hidup..." Air mata dilap kasar. Mata sayu itu merenung wajah Hezrick.

     "Mana boleh sesuka hati masuk bilik orang. Kau ni betul ke tak?" Hezrick berpeluk tubuh.

     Esakan Ferliy kedengaran semakin kuat. Punggungnya mula dilabuhkan ke atas lantai. Sungguh dia tidak tahu punca Firaz berubah. Selama ini lelaki itu tidak pernah membuat perangai sebegini.

     "Bermasalah betullah perempuan ni." Kata Hezrick sebelum dia membuka langkah meninggalkan Ferliy di situ.

     Kunci bilik Firaz yang diambilnya sebentar tadi dihulurkan kepada Ferliy yang masih menangis menutupi wajah menggunakan kedua-dua belah tapak tangan.

     "Abang cakap abang takkan tinggal Ferliy tapi sekarang kenapa abang hilang?" Ferliy masih tidak perasan akan kehadiran Hezrick di situ.

     Hezrick menghela nafas kecil. Dia terus membuka kunci pintu bilik Firaz sebelum pintu itu ditolak luas. Ferliy yang terkejut dengan pintu yang telah terbuka itu mula menoleh ke arah Hezrick yang masih berdiri sambil merenungnya tanpa riak wajah.

     Kakinya diatur masuk ke dalam bilik. Keadaan bilik yang gelap gelita itu membataskan penglihatannya. Suis lampu ditekan. Sekelip mata ruang bilik itu diterangi cahaya lampu.

     Firaz yang sedang lena di atas katil dipandang sebelum pandangannya dilarikan pula ke arah Ferliy yang sudah mula berdiri di hadapan muka pintu bilik itu.

     "Abang... Abang kenapa tinggal Ferliy seorang isk... Isk..." Ferliy berlari ke arah katil sebelum tubuh yang sedang lena itu dipeluk erat.

     Firaz yang merasakan tubuhnya dipeluk perlahan-lahan mencelikkan mata. Pandangan terus tertancap pada Hezrick yang berdiri di sebelah suis lampu.

     Wajah gadis yang menangis teresak-esak pada dadanya diusap lembut. Tubuhnya penat dan lemah sejak pagi tadi walaupun dia sudah menelan dua biji ubat tahan sakit.

     "Abang balik tengahari awak tidur. Abang balik tadi pun awak tidur. Sejak akhir-akhir ni awak banyak sangat tidur, lepas tu sekarang awak nak salahkan abang?" Soal Firaz seraya bersandar pada kepala katil.

     Tubuh gadis itu ditolak lembut supaya tidak melekat pada batang tubuhnya. Terlihatkan wajah Ferliy yang sudah kelihatan merah sepenuhnya membuatkan Firaz tersengih kecil. Manja betul gadis ini, baru tinggal sebentar sudah separuh mati ditangisinya.

     "Ferliy tak nak tidur dah lepas ni. Ferliy nak ikut abang pergi kerja. Ferliy tak nak duduk rumah seorang, kalau Ferliy jatuh tangga ke terkurung dalam lif ke macam mana?"

     "Sebab tu abang pesan jaga diri. Duduk rumah jangan buas nanti apa-apa jadi kan susah..." Firaz menyeka air mata yang masih bertakung di kedua-dua belah mata sembab itu.

     "Bro, aku ada kat sini lagi tau. Kalau Fred tahu yang perempuan ni masuk bilik kau, mahu tak mengamuknya si harimau belang tu." Celah Hezrick yang sejak dari tadi memerhati mereka berdua di atas katil.

     "Sabarlah." Firaz menoleh sekilas ke arah Hezrick yang mula menjulingkan bebola mata ke atas tanda menyampah dan meluat.

     "Awak pergi tidur. Esok bangun pagi ikut abang pergi hospital." Firaz merenung ke dalam anak mata bewarna biru gelap milik gadis itu.

     "Tak boleh ke kita kahwin malam ni? Anak kita rindu abang..." Mata gadis itu kembali berkaca-kaca membalas renungan Firaz.

     "Dear, abang tak nak awak convert Islam semata-mata untuk bernikah dengan abang. Abang nak awak buat semua tu dengan hati yang ikhlas..." Firaz menyeka air mata yang mula mengalir di pipi gadis itu.

     "Dah terdesak sangat nak kahwin rupanya." Sampuk Hezrick bersahaja.

     "Kau pun sama je sial." Mata Firaz tajam menikam riak tenang Hezrick. Lelaki itu sama sahaja sepertinya, dasar tak sedar diri!

     "Fred yang selalu sibuk. Ferliy dah cakap dia memang tak pedulikan Ferliy sebab tu Ferliy tak nak tinggal dengan dia..." Adu Ferliy tentang perangai Freddy pula.

     "Sebenarnya lelaki tu yang kurang bersedia, dia nak convert sama-sama dengan kau. Eh cepatlah sembang. Aku nak kemas baju pulak ni." Hezrick mula melihat jam pada pergelangan tangannya.

     "Kau nak pergi mana?" Soal Firaz.

     "Johor. Aku nak jumpa family Mikayla." Jawab Hezrick tenang.

     Firaz mengangguk faham sebelum matanya bersambung tepat dengan sepasang anak mata gadis yang sejak tadi masih tidak jemu merenung wajahnya.

     Satu kucupan singgah pada dahi gadis itu bagi mengurangkan debaran di dada setiap kali dia direnung Ferliy.

     "Pergi tidur. Esok pulak kita berbincang tentang ni." Arah Firaz lembut. Ferliy mengangguk pasrah sebelum kedua-dua belah pipi lelaki itu dikucup sekilas.

     Mikayla termenung sendiri memikirkan masalah yang mula membuatkan dirinya berasa rimas. Rimas akan keputusan Encik Anuar yang tiada angin tiada ribut tiba-tiba sahaja menyampaikan hasratnya yang satu itu.

     Lebih malang apabila lelaki pilihan Encik Anuar itu adalah lelaki yang telah melakukan banyak kes jenayah sejak dari awal mereka kenal. Keluar masuk penjara sudah menjadi sebahagian daripada hidup lelaki itu.

     Encik Anuar tidak berhenti menghubunginya bagi menyampaikan pesanan tentang hal yang malang ini sehinggakan Mikayla terpaksa mematikan telefon bimbit. Bukan ingin menjadi anak yang derhaka, tetapi dia benar-benar tidak bersetuju dengan keputusan itu.

     Sebelum dia tertengking atau bercakap kasar pada lelaki tua itu, lebih baik dia tidak menjawab sebarang panggilan yang hanya akan menyerabutkan lagi keadaan.

     Dalam fikirannya ketika ini hanya ada Hezrick. Lelaki itu pasti marah terhadapnya. Riak wajah ketidakpuasan hati Hezrick semasa lelaki itu beredar semalam bermain-main di dalam fikiran. Dia tidak tahu bagaimana caranya untuk menghentikan semua ini. Dia buntu.

     "Kayla? Awak okey ke tak ni?" Soal Amira ingin tahu.

     "Saya okey cuma... Saya rasa takut dengan semua yang berlaku ni..." Jawab Mikayla tanpa menoleh ke arah Amira.

     "Saya rasa awak perlu buat sesuatu untuk pastikan awak tidak ditunangkan atau dikahwinkan dengan lelaki tak guna tu." Kata Amira sebelum dia menekan butang merah pada remote bagi menghidupkan televisyen.

     "Dah terang-terang dia bukan lelaki yang baik. Awak perlu jauhkan diri daripada dia. Awak sendiri tahu apa yang dia boleh buat untuk dapatkan apa yang dia nak."

     "Otak saya blank. Nasib baik semua ni berlaku lepas kita habis exam..." Mikayla bersandar pada sofa.

     "Awak perlu fikir tentang diri awak. Jangan klise sangat sampai perlu akur dengan semua kata-kata family. Ini soal hidup dan mati,"

     "Saya cuma fikir satu perkara aje sekarang ni." Kata Mikayla setelah 10 minit dia berdiam.

     "What?"

     "Pilihan saya adalah pilihan yang adil untuk semua pihak dan saya tetap perlu putuskan keputusan ni." Jawab Mikayla perlahan.

     Berat hati untuk melakukan perkara yang telah bermain-main di dalam fikirannya sejak malam semalam. Walau apa pun yang terjadi, keputusan ini adalah yang terbaik.

     "Mind to share with me?"

     Mikayla mendekatkan bibirnya pada cuping telinga Amira sebelum dia mula membisikkan sesuatu. Amira membuntangkan mata mendengar bisikan Mikayla. Wajah gadis itu direnung dengan renungan yang ragu-ragu.

     "Saya terpaksa." Sepasang mata milik Mikayla mula berkaca-kaca membalas renungan Amira.

     Amira terus menarik tubuh Mikayla ke dalam dakapannya. Gadis ini sudah memutuskan sebuah keputusan yang sememangnya sukar untuk dipilih.

     Belakang bahu Mikayla diusap lembut. Gadis itu menyembamkan wajah pada bahunya. Esakan yang kecil mula kedengaran menjadi semakin kuat.

     "Shhh... Saya akan selalu berada di belakang awak Kayla, jangan risau okey?" Kata Amira lembut.

     Tidak sangka Mikayla akan membuat keputusan sebegitu. Dia tidak pernah terfikir tentang hal yang satu itu. Langsung tidak boleh diterima dek akal namun apakan daya, gadis itu hanyalah seorang manusia yang lemah.

     Pemandangan yang luas terbentang di hadapannya dipandang dengan pandangan kosong sementara fikirannya melayang jauh memikirkan hal yang terjadi di rumah Encik Anuar sebentar tadi.

     Sepasang mata bewarna oren kekuningan itu merenung wajah Encik Anuar dengan renungan redup. Bagaimana lagi harus dia katakan terhadap lelaki tua ini? Jawapan yang diterimanya hanyalah perkataan 'tidak'.

     Sudah puas dia menyampaikan hasratnya yang ingin bernikah dengan Mikayla tetapi nampak seperti lelaki itu tidak akan membenarkan sama sekali. Encik Anuar seakan orang tua yang berada di bawah pengaruh ilmu sihir.

     Dirinya yang mempunyai ratus jutaan harta sudah diperkenalkan terlebih dahulu, bukan dia hendak berbangga tetapi dia tahu lelaki tua ini ingin melihat anak perempuannya hidup senang dan bahagia tanpa ada yang kurang walau sedikit pun.

     Hezrick masih merenung wajah lelaki tua yang langsung tidak mahu memandang wajahnya sejak dia mengatakan hasratnya.

     "Pak cik, saya janji saya akan jaga anak pakcik sebaik mungkin. Apa yang pak cik cuba buat ni hanya akan merosakkan masa depan dia." Kata Hezrick yang masih lagi mencuba nasib.

     "Aku kata tak boleh! Dia anak aku! Suka hati akulah nak jodohkan dia dengan sesiapa pun! Kau bukan berdarah keturunan melayu jadi aku tak akan benarkan lelaki barat macam kau ni bernikah dengan anak aku!" Tengking Encik Anuar yang sudah mula hilang sabar dek kerana sikap Hezrick masih tidak mahu berputus-asa.

     "Tapi pak cik, saya dengan Kayla dah lama bercinta. Sejak dua tahun yang lepas. Saya tak boleh terima bila pak cik tiba-tiba nak jodohkan dia dengan lelaki lain."

     "Anak aku takkan bercinta dengan lelaki macam kau. Kau tengok tattoo pada kulit kau tu, Islam ke macam ni? Lelaki baik tak ada tattoo di badan, anak aku tak akan hidup bahagia dengan lelaki tak guna macam kau ni!" Tengking Encik Anuar lagi.

     Hezrick memejamkan mata, menahan segala rasa geram terhadap kata-kata kesat lelaki tua itu. Sabar Ricky, sabar. Dia risau kesabarannya hilang sehingga ada yang mati di tangannya pula pada hari ini, pasti Mikayla akan membenci dirinya.

     "Saya mintak anak pak cik dengan cara yang baik." Kata Hezrick tenang. 

     "Dan aku pun dah tolak dengan cara yang baik tapi kau tetap memaksa aku."

     "Pak cik belum kenal Adam Haiqal sepenuhnya." Kata Hezrick. Matanya membalas tikaman mata lelaki tua itu terhadapnya.

     "Aku dah kenal dia bertahun-tahun! Keluar!" Encik Anuar mula menghalau Hezrick. Hezrick tidak berganjak.

     "Aku kata keluar! Lelaki jahat macam kau tak layak untuk Mikayla! Aku bagi amaran jangan ganggu anak aku! Dia layak bahagia dengan lelaki lain yang jauh lebih baik daripada kau!"

     Hezrick bangun dan terus meluru ke arah pintu utama. Tidak betah untuk dia berlama-lamaan di situ. Terasa panas hatinya saat dihina.

     Lelaki tua itu hanya melihatnya dari segi luaran. Ya, dia sedar yang dia bukan lelaki baik tetapi dia masih mampu untuk berubah ke arah yang lebih baik.

     Wajahnya diraup. Jika lelaki tua itu tidak berkasar dengannya tentu sahaja esok atau lusa dia akan datang lagi untuk memujuk dan menunjukkan dirinya benar-benar menginginkan Mikayla. Tetapi teringatkan tentang apa yang telah terjadi, dia kuburkan sahaja niatnya yang satu itu.

     Ketika ini, cara kedua adalah bertemu Adam Haiqal. Mungkin dia perlu mengugut lelaki itu dan mungkin juga dia perlu menamatkan sahaja riwayat lelaki yang sudah mencari masalah dengannya.

     Seorang budak lelaki berlari ke arahnya sebelum budak itu melabuhkan punggung di bangku bersebelahan dengannya. Budak lelaki comel itu sedang menikmati aiskrim. Jika dia mempunyai anak bersama Mikayla, pasti anak mereka secomel budak ini.

     Terbayangkan wajah seorang budak lelaki seiras Mikayla dan dirinya membuatkan Hezrick mengukir senyuman nipis. Tidak sabar ingin mempunyai anak sendiri bersama gadis pujaannya itu.

     "Abang ni dah gila ke senyum seorang? Abang suka pada Awish ke?" Soal budak lelaki itu setelah lama dia melihat Hezrick merenung ke arahnya bersama senyuman manis.

     "Nama adik Awish?"

     Budak lelaki itu mengangguk beberapa kali.

     "Ibu ayah adik mana?" Soal Hezrick lagi. Pandangannya diliarkan ke sekeliling mencari kedua orang tua budak itu.

     "Ibu ayah jual aiskrim dekat sana..." Awish menunding jarinya ke arah sebuah kawasan yang mempunyai beberapa buah kedai.

     Patutlah montel semacam. Pasti setiap hari budak lelaki ini makan aiskrim.

     Melihat Awish bangun dan terus berlari ke arah tempat yang ditunjuk tadi membuatkan Hezrick hanya diam memerhati.

     Alangkah indahnya jika dia boleh hidup bahagia seperti pasangan-pasangan lain. Bukannya dia tidak mampu tetapi masalah besar yang menimpa dirinya pada kali ini membuatkan dia dibelenggu rasa rimas.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience