Bab 2

Action Series 24641

     Hari pertama bekerja membuatkan jantung Mikayla berdegup dengan laju. Sebelum ini tidak pernah pula bekerja di mana-mana kedai tetapi hari ini dia akan bermula kerja di Kafe Mutiara milik jirannya. Jirannya yang lebih dikenali sebagai Kak Dila telah mengambil dia bekerja di kafe itu memandangkan dia sedang mencari jawatan kosong.

     Usianya sudah masuk 22 tahun pada tahun ini, sungguh cepat masa berlalu. Segala kesakitan dan keperitan yang dirasainya semakin pudar. Dia menanti lelaki misteri itu munculkan diri namun penantiannya selama empat tahun hanyalah sia-sia.

     Dia membuat keputusan untuk keluar daripada kepompong kesedihan ini sejak tiga hari yang lepas, segala rasa yang terpendam diluahkan kepada Nur Amira iaitu kawan baiknya. Empat tahun, masa yang begitu lama dia menunggu lelaki itu di rumah, ya hanya di rumah. 

    Kesihatannya tidak menentu, sering jatuh sakit dan dia percaya semua ini mempunyai kaitan dengan parut di pahanya. Parut itu diperoleh setelah dia bangun daripada tidur bersama lelaki misteri itu. Dia tidak ingat apa yang terjadi kerana sedar sahaja lelaki itu sudah tiada di sisi. 

     Penat dia berfikir, jadi dia mengambil keputusan untuk melupakan lelaki itu. Melenyapkan terus wajah tampan itu daripada ingatan supaya dia boleh menjalani hariannya seperti gadis-gadis lain. 

     Di sini, dia diajar cara mengambil pesanan makanan pelanggan dan juga cara-cara membuat pelbagai jenis minuman bersusu yang menggunakan mesin. Kerjanya mudah saja, tetapi disebabkan dia masih tidak biasa, banyak juga kesalahan dalam pembuatan air yang telah dia lakukan di hari pertama bekerja.

     Semasa dia mengangkat mangkuk dan gelas, dia disapa seseorang yang amat dikenalinya. Dari jarak jauh, dia sudah dapat menghidu bau perfume Nur Amira yang kuat menusuk masuk ke dalam rongga hidung.

     "Hai saya datang nak melawat awak!" Sapa Amira bersama senyuman ceria.

     Penampilan gadis itu boleh membuatkan ramai yang terpukau melihatnya. Wajah yang mempunyai solekan sedikit tebal menyerlahkan lagi keayuan yang dimiliki, berkasut tumit tinggi menjadikan dirinya nampak lebih menarik di antara gadis-gadis lain.

     "Saya baru aje mula kerja hari ini awak dah datang untuk bersembang. Tak elok tau buat saya makan gaji buta," kata Mikayla, tangannya menyusun beberapa gelas di atas dulang untuk dihantar ke belakang.

     "Saya tak suruh awak makan gaji buta pun. Saya datang untuk pantau sahabat baik saya ni bekerja. Tiba-tiba jatuh sakit nanti macam mana?"

     "Awak layan saya macam budak-budak," Mikayla membawa dulang yang dipegangnya ke belakang.

      Amira mengambil tempat di salah sebuah meja berdekatan dengan cashier bagi memudahkan dia berbual dengan Mikayla. Bebola matanya diputarkan ke arah Mikayla yang terus melabuhkan punggung atas kerusi di hadapan cashier tanpa menoleh ke arahnya.

     "Kalau awak nak tahu, macam nilah orang bekerja. Dilarang berangan, dilarang tidur dan dilarang mengabaikan pelanggan seperti saya," Amira menunjuk-nunjuk wajah Mikayla beberapa kali.

     "Sebenarnya saya singgah kejap je untuk beli air tapi papa dah mesej dan saya perlu pergi sekarang. Nanti kita jumpa ya, bye." 

     Amira melambai-lambai tangannya. Mikayla juga membalas lambaian itu tanpa kata. Untungnya jadi Amira, minta apa sahaja dapat tanpa perlu mengeluarkan setitik peluh pun.

     Beberapa minit kemudian, seorang lelaki memakai hoodie melangkah masuk ke dalam kafe. Lelaki itu terus meluru ke arah kaunter untuk membuat pesanan makanan. Pantas Mikayla mengambil pesanan makanan lelaki itu.

    Dia menghantar pesanan makanan kepada lelaki tersebut dan terus meluru ke arah kaunter kerana mempunyai pelanggan lain yang sedang menunggu untuk mengambil pesanan.

     "Siapa lelaki tu? Seram aje, sejuk sangat ke Malaysia ni?" Ujar Kak Dila, bibirnya dimuncung sedikit menunjuk lelaki yang duduk di meja hujung.

      Mereka hanya dapat melihat bibir dan dagu lelaki itu saja oleh kerana baju hoodie yang dipakainya telah menutup sebahagian wajah.

"Saya pun tak tahu kak, saya pergi cuci lantai dulu ya", pamit Mikayla dengan sopan sebelum dia melangkah meluru ke arah meja berdekatan dengan pintu keluar.

     Sedang dia mencuci lantai yang mempunyai tumpahan air coklat, tiba-tiba dia terdengar bunyi lelaki itu berkata.

     "You'll regret." Kata lelaki itu bernada separa berbisik sewaktu melintasi Mikayla membuatkan gadis itu tersentak.

     Apabila dia berpaling ke belakang, lelaki itu sudah tiada. Dia buang segala pemikiran negatif, mungkin lelaki itu sedang berbual bersama seseorang dalam telefon bimbit, mungkin?

       "Sorry Kayla, akak tak boleh nak tumpangkan awak, akak perlu ambil ayah akak dekat hospital sekarang." Ujar Kak Dila yang mula rasa serba salah perlu meninggalkan Mikayla bersendirian di hadapan kafe.

     "Tak apa kak, saya dah call grab tadi," ujar Mikayla bersama senyuman manis. 

     "Hati-hati ya, akak pergi dulu." Pamit Kak Dila sebelum dia membuka langkah menuju ke kereta.

     Pin!

     Kedengaran bunyi hon kereta menyentakkan lamunan Mikayla, kakinya terus diatur ke arah kereta sebelum dia masuk ke dalam perut kereta itu. Degupan jantungnya terasa semakin kencang setelah melihat pemandu grab itu memakai hoodie sehingga menutupi separuh wajah, dia hanya mampu berdo'a agar dijauhi sebarang perkara yang tidak diingini.

     Suasana di dalam kereta sunyi, hanya bunyi penghawa dingin sahaja yang kedengaran menemani perjalanan mereka. Sesekali dia menoleh ke arah pemandu grab itu.

      Perlukah memakai sarung tangan dan betutup-litup seperti perempuan? Dia juga tidak memakai tudung, tiba-tiba rasa segan pula melihat pakaiannya yang hanya memakai baju t-shirt lengan pendek dan seluar slack bewarna hitam.

      Pemikiran yang bukan-bukan ditepis jauh dari ingatan. Walaupun dia tidak memakai tudung, dia masih tidak meninggalkan perkara wajib dan juga tidak berhenti dari berdo'a semoga hidayah itu datang kepadanya dalam masa yang terdekat ini.

     "Berapa tambang ya bang?" Soal Mikayla lembut setelah kereta itu berhenti betul-betul di hadapan pagar rumah ibu dan ayahnya.

     "Tak apa, aku bagi free je." Jawab lelaki itu tanpa nada mahupun memandangnya.

     "Abang ni biar betul? Jauh jugak perjalanan kita tadi, tak apa saya boleh bayar..." Mikayla rasa tidak selesa pula mendengar perkataan percuma daripada pemandu grab itu.

    "Kau jangan degil boleh tak?" Soal lelaki itu bernada tegas. 

     "O... okay, terima kasih." Ucap Mikayla, takut-takut dia melangkah keluar daripada kereta.

     "Garangnya abang grab tu," omel Mikayla perlahan sambil melihat kereta itu beredar.

      Telefon bimbitnya berdering dengan kuat menandakan ada panggilan masuk. Mikayla menekan punat hijau sebelum dia melekapkan skrin pada telinga.

     "Dah sampai rumah ke belum?!" Soal Amira secara tiba-tiba menggunakan nada yang agak tinggi.

      Dia terlalu risau tentang keselamatan Mikayla. Cukuplah perkara dahulu itu sahaja menjadi peristiwa terakhir yang membuatkan sahabat baiknya jatuh lemah. Peristiwa yang telah mengubah segala-galanya tentang kehidupan gadis itu sewaktu mereka bercuti beramai-ramai di Pulau Pinang.

      Puas dia memujuk supaya Mikayla melaporkannya pada polis tetapi disebabkan gadis itu berkata bahawa dia mahu menunggu lelaki itu menjemputnya, mereka diamkan sahaja tentang apa yang telah berlaku padanya.

      Gadis itu terlalu berpegang pada kata-kata manis seorang lelaki tidak dikenali, terlalu lurus untuk membuat keputusan yang bijak. Bagi Amira, lelaki seperti itu tidak layak hidup di atas muka bumi yang indah ini, terlalu pengecut!

     "Ish awak ni, terkejut saya tau. Baru je sampai, saya boleh jaga dirilah," jawab Mikayla tenang. Punggung dilabuhkan ke atas birai katil.

     "Kalau pandai jaga diri, tak adanya perkara empat tahun lepas tu terjadi Kayla..." Ujar Amira bersahaja.

      Mikayla terdiam, senyuman di bibirnya juga turut mati. Laju saja air matanya mengalir di sisi wajah apabila teringatkan seraut wajah yang sering menjadi igauannya setiap malam. Ke mana perginya lelaki itu?

     "Kayla, are you there?" Soal Amira ingin tahu setelah tidak menerima sebarang tindak balas daripada rakan baiknya.

     "I'm sorry Kayla, saya betul-betul tak sengaja, saya terlupa." Ujar Amira lagi, cuba memujuk sahabatnya, kedengaran bunyi esakan kecil membuatkan dia baru tersedar yang dia telah terlepas cakap.

     "Tak apa, saya dah buang dia dari hidup saya, saya lebih bahagia sekarang..." Tipu Mikayla yang sedang mengawal esakan agar tidak kedengaran terlalu kuat.

     "Kayla, stay strong okay, you deserve someone better than that bullshit!" Amira juga terasa geram apabila teringatkan lelaki durjana itu.

     "Awak mencarut?" Mikayla tergelak kecil mendengar carutan yang keluar daripada mulut sahabat baiknya.

     "Ya, saya tengah marah ni," ujar Amira dengan nada yang agak kasar membuatkan Mikayla ketawa.

     "Macam inilah Mikayla yang saya kenal. Esok saya jemput awak pergi dan balik kerja, okay bye!" Akhirnya dia berjaya membuat Mikayla tergelak kecil, punat merah ditekan.

Mikayla meletakkan telefon bimbitnya di atas meja lampu, memikirkan tentang masalah dirinya sendiri sememangnya tidak akan tamat sampai bila-bila. Semoga sinar kebahagiaan itu masih terbuka untuknya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience