Kandungannya sudah genap 8 bulan. Perutnya diusap perlahan. Dia tersenyum segaris. Bermakna sudah 2 bulan, suaminya tiada di sisinya. Bayangan Luth Amsyar menjelma di pandangan. Luluh. Sayu.
Dia terpandang seorang wanita muda dengan anak perempuannya. Perutnya sudah memboyot. Suaminya kelihatan sungguh penyayang. Semua barang yang dibeli, dipegangnya. Tiada langsung di tangan si isteri. Arin Qirana mengukir senyum manis tanpa disedarinya. Gembira melihat keluarga bahagia itu.
Di sebalik tembok, Luth Amsyar memerhatikan isterinya. Senyuman itu, sungguh dia rindu. Dia turut memandang ke arah keluarga bahagia itu. Rasa bersalah mula menyerbu hatinya. Dia sendiri tidak pasti sampai bila harus dia menghilangkan diri.
Arin Qirana menoleh saat melihat kanak-kanak kecil itu memandang pada satu arah, namun bukan memandangnya. Dia terlihat seorang lelaki berkaca mata hitam dan bersweater menutup kepalanya. Lelaki it terus berjalan. Kelihatan sangat tergesa-gesa. Dia mulai aneh.
‘Kenapa macam pernah nampak?’
‘Takkan lah?!’
Dia mengekori lelaki itu hingga ke pintu keluar shopping mall. Lelaki itu masuk ke dalam perut keretanya. Arin Qirana pasti lelaki itu adalah suaminya. Dia memberhentikan sebuah teksi.
“Ikut kereta tu Pak Cik!” arahnya kepada pemandu teksi tersebut.
Pemandu teksi tersebut mengangguk lalu memandu mengekori kereta Honda Civic berwarna metallic itu.
Teksi tersebut berhenti di sebuah rumah agam yang agak besar. Arin Qirana mengarahkan pemandu teksi tersebut untuk menunggunya sementara dia menyelesaikan urusannya dengan Luth Amsyar. Dia menekan loceng rumah tersebut. Tidak lama kemudian, muncul seorang wanita berusia 40-an menjengah di pintu pagar.
Wanita tersebut melemparkan senyuman kepadanya. Dia membalas senyuman wanita tersebut.
“Embak cari siapa ya?” ujarnya dengan loghat Indonesia.
“Saya cari tuan rumah ni. Siapa namanya ya?” balasnya.
Wanita itu tersenyum lagi.
“Ohh, tuan saya namanya Tuan Amsyar. Embak ini siapa ya?”
Arin Qirana menghembus nafas lega. Wajahnya penuh dengan keterujaan. Tidak sia-sia dia mengekori hingga ke sini.
“Saya isteri dia. Cakap pada Tuan Amsyar, ada seseorang mahu ketemu. Jangan dibilang siapa ya, saya mahu kasi dia surprise”. Arin Qirana tahu Luth Amsyar pasti berkeras untuk bertemu dengannya. Wanita itu mengangguk lalu tersenyum.
Arin Qirana mengekori wanita itu.
“Embak, tunggu Tuan di dalam yuk” ujar wanita itu.
Arin Qirana menggeleng seraya tersenyum.
“Saya tunggu di sini saja” balasnya. Punggungnya dihenyak di atas kerusi kayu di bawah gazebo itu. Pandangannya dilempar ke arah Luth Amsyar yang sedang mengatur langkah ke arahnya.
Dia turut menghampiri. Luth Amsyar jelas terkejut. Langkahnya terhenti. Arin Qirana terus mendekati. Tangan suaminya dicium penuh syahdu. Air matanya menitis laju. Luth Amsyar masih kaku. Tangannya terketar. Dia tidak menyangka bahawa Arin Qirana akan mengekorinya.
“Jom balik. Rin rindukan abang” kata Arin Qirana. Luth Amsyar memalingkan wajahnya ke arah lain.
“Rin baliklah. Abang tak boleh..”
Belum sempat suaminya menghabiskan kata-kata, Arin Qirana terlebih dahulu memintas.
“Kenapa tak boleh? Rin tak boleh hidup tanpa abang. Rin nak abang sentiasa di sisi Rin. Susah sangat ke abang nak faham semua tu?” nadanya naik satu oktaf
“Sayang tak faham. Abang buat semua tu sebab abang tak sanggup nak lukakan hati sayang lagi. Kalau abang di sisi Rin, abang tak henti-henti sakitkan hati Rin” jelasnya.
Arin Qirana menyeka air matanya yang masih bersisa.
“Hati Rin lagi sakit bila abang tinggalkan Rin macam ni” balas Arin Qirana.
Luth Amsyar terus terdiam.
Tubuhnya dipalingkan ke belakang. Tangan isterinya perlahan-lahan dilepaskan. Arin Qirana tertunduk.
“Baliklah. You are not belong here” kata Luth Amsyar.
Air mata Arin Qirana menitis lagi. Tidak diseka. Dibiarkan sahaja. Tidak menyangka suaminya masih berkeras hati. Jiwanya merintih. Hatinya pedih.
Share this novel