PUAN HAMIDA mengeluh kecil. Duit semakin berkurang. Tapi Azmal langsung tak mahu mencari kerja. Asyik mengharap duit darinya saja.
Berbeza dengan Arif yang sudah berkerja sebagai guru di salah sebuah sekolah. Tiap bulan dia mengharapkan duit dari Arif. Tapi yang habiskan, Azmal.
Keluar dari bilik tidur, mana melekat pada Azmal yang sibuk bermain telefon di hadapan tv. Bibir diketap kuat.
“Bila kamu nak cari kerja, Mal. Mak dah takde duit ni…”
Azmal bangun sambil pandang wajah Puan Hamida. “Mak buang tabiat ke? Bukan mak juga yang beria nak Mal duduk rumah?”
Puan Hamida mengeluh kecil. “Itu dulu. Sekarang ni lain. Arif dah nak kahwin. Takkan kita nak harap Arif bagi duit. Kesianlah kat dia…”
Azmal mendengus sambil bangkit dari sofa. “Nak buat macam mana. Itu memang tanggungjawab dia. Tak pun, mak call Aina. Mak sendiri kata suami Aina kaya kan?”
Puan Hamida terdiam. Rasanya sudah dua tahun Uyaina tidak muncul kerana peristiwa dua tahun lalu. Hati dipalu rasa risau. Sebenci mana pun dia pada Uyaina, dia masih lagi ibu Uyaina. Wajah lelaki yang datang setahun lepas kembali muncul dalam kepalanya. Cukup kaya dengan kereta mewahnya ketika itu.
Duit hantaran yang diberikan juga sudah habis diberikan kepada Azmal. Tak sampai sebulan. Nasib baik Azmal anak kesayangan. Kalau Uyaina, sah dia kerjakan.
“Kamu tak pergi rumah mak ngah ke? Tolong apa yang patut. Esok mak ngah nak buat kenduri.” Puan Hamida melangkah ke tangga dapur.
Azmal geleng sambil jatuhkan kembali punggungnya. Nak tolong? Memang tak lah. Tak kuasa langsung.
“Suka hati kamulah. Ni kalau nak keluar kunci pintu. Mak nak pergi rumah mak ngah kamu,” kata Puan Hamida sambil menuruni tangga.
Azmal hanya diam tidak menjawab. Hilang saja Puan Hamida dari pandangan, dia bangun lalu menuju ke bilik Puan Hamida. Puan Hamida bukan boleh percaya sangat. Kata takde duit, tapi duit banyak. Selalu macam tu.
Perlahan pintu bilik Puan Hamida dibuka. Tak berkunci. Senanglah Azman menyusup masuk. Meseh Jannah sebentar tadi yang mengajaknya bertemu di pekan terbayang-bayang. Gila tak terbayang. Jannah tu boleh buat dia gila. Lagi-lagi waktu melayan kehendaknya. Dosa tolak tepi. Yang penting enjoy!
MAK NGAH SIAH ketap bibir bila Syamira langsung tidak membantunya melakukan kerja di dapur. Sudahnya, dia lakukan semuanya sendiri. Said pula, entah hilang ke mana.
“Assalamualaikum…”
Suara memberi salam dari luar membuatkan Mak Ngah Siah menghentikan kerjanya.
“Mira, tolong tengokkan siapa kat luar tu?”
Syamira yang sibuk dengan komputer riba mendengus kasar. Mak mertua dia tu buat sakit hati betullah. Orang sibuk nak buat kerja, situ juga dia sibuk nak memanggil.
Lantas Syamira bangkit dari sofa dengan kasar lalu menuju ke pintu depan. Puan Hamida yang sudah menanggal selipas dipandang tajam.
“Wa’alaikumsalam.”
Puan Hamida mendongak. “Hah! Mira. Mak mertua kamu mana?”
Syamira juih bibir. “Ada tu kat dapur. Tengah buat kerja…”
Puan Hamida atur langkah masuk sambil menilik wajah Syamira. “Kamu tak tolong ke?”
“Mira banyak kerja mak cik. Nak tolong macam mana,” balas Syamira sambil atur langkah ke sofa.
Puan Hamida menggeleng kepala. Langkah menonong ke dapur.
“Apa guna menantu kak ngah tu? Tolong pun tak reti,” sembur Puan Hamida sebaik masuk ke dalam dapur. Kerusi dituju dan punggung dihempas kasar.
Mak Ngah Siah diam. Hanya menjeling sekilas sambil tangan sibuk membersihkan pinggan mangkuk yang akan digunakan esok.
“Tak payah nak sibuk urusan akulah, Mida. Aina mana? Ada call dia?”
Puan Hamida mendengus. “Kak ngah sendiri tahu yang Mida tak berhubung dengan budak tu kan? Buat sakit hati je,”
Mak Ngah Siah diam. Tangan yang tadi bekerja, berhenti dan pandangan mata ditanam ke wajah adiknya, geram.
“Sampai bila kau nak buat dia macam tu?”
“Sampai dia mati.”
Tergeleng kepala Mak Ngah Siah. “Dah lah tu Mida. Kau tak menyesal kalau dia balik nanti, dia dah lupakan kau?”
“Sikit pun tak. Aku tak hairan pun dengan budak tu. Tak kisah hidup ke mati ke…”
“Astagfirullah hal adzim…” mengucap Mak Ngah Siah mendengar kata-kata kejam adiknya itu. Dah mengalahkan binatang.
“Kau ni dah melampau Mida. Binatang pun sayangkan anak.”
“Masalahnya aku bukan binatang. Aku manusia,” balas Puan Hamida kasar. Malas isu Uyaina ditimbulkan.
Mak Ngah Siah kehilangan kata-kata. Bagaimana kalau Uyaina datang esok? Apa penerimaan semua orang?
“Yang Kak Ngah beria nak buat kenduri kesyukuran besar-besaran ni, kenapa? Apa yang Kak Ngah nak syukurkan sangat? Dapat menantu pemalas?” Separuh memerli Puan Hamida membuatkan Mak Ngah Siah mengeluh kasar.
Kalaulah Puan Hamida tahu kenduri itu atas permintaan Uyaina, apa reaksinya. Namun, didiamkan saja perkara itu. Biarlah dia saja tahu.
“Hidup kita ni kena sentiasa bersyukur. Bukan dah dapat apa kita nak baru bersyukur. Kau tu je tak reti bersyukur. Dapat anak baik dibuang jauh. Yang dipelihara, biawak hidup,” bidas Mak Ngah Siah sedikit geram.
Mahu tak geram. Azmal yang sudah tua bangka masih dimanjakan. Dibiar tanpa kerja sedangkan anak muda yang lain terkejar sini sana ke tempat kerja. Ibu jenis apapun, tak tahu.
Share this novel