IKMAL berjalan menuju ke dapur, mencari kelibat Uyaina. Dia sedar Uyaina lebih banyak mendiamkan diri sejak petang tadi. Bibir melorek senyum, tatkala mata menangkap kelibat Uyaina yang sibuk di sinki dapur. Langkah diatur senyap menghampiri tubuh itu lalu memeluknya erat dari belakang.
“Abang…” leret Uyaina kerana terkejut.
Ikmal sungging senyum sambil melabuhkan dagu ke bahu Uyaina. Jenguk dalam sinki, ada lima ekor ketam.
“Sayang masak apa ni?” tanya Ikmal lembut seraya mengucup lembut bahu Uyaina.
Tergeliat Uyaina menahan kegelian. “Abang, gelilah…”
Ikmal tidak ambil peduli. Rangkulan dieratkan.
“Kenapa dengan sayang ni?” tanya Ikmal lembut. “Dari tadi senyap je. Biasanya banyak soal,” sambung Ikmal kehairanan.
Tangan yang tadi sibuk bekerja membersihkan ketam-ketam itu, berhenti. Uyaina ketap bibir. Rasa bersalah hadir kerana mengabaikan suaminya. Cuba mengusir resah yang bertandang. Tapi kekal di situ menghantuinya.
“Kita bincang lepas makan malam?” tanya Uyaina sambil membasuh tangan lalu meleraikan rangkulan Ikmal. Tubuh dipusing menghadap tubuh suaminya dan wajah suaminya ditatap seketika.
Ikmal mengukir senyuman lalu mengangguk perlahan.
“Boleh.”
Uyaina tersenyum sambil mencapai jari jemari Ikmal. Disalam dan dicium penuh kasih sayang belakang telapak tangan lelaki itu.
Berkerut dahi Ikmal. Hairan melihat kelakuan Uyaina yang lain dari biasa. Hati mengatakan ada yang tidak kena pada Uyaina. Cuma dia tidak tahu apa itu.
“Kenapa ni? Macam ada yang tak kena je?” Ikmal fokuskan pandangan ke wajah suram Uyaina.
Uyaina geleng sekali sebelum pusing tubuh untuk menghadap sinki.
Ikmal berdecit perlahan. Kedua bahu Uyaina disentuh dan dibawa menghadapnya kembali.
“Sayang… what happen?” tanya Ikmal lembut.
Uyaina menepis perlahan pegangan Ikmal lalu menggeleng kepala.
“Takde apa abang. Nanti lepas makan malam, Aina akan ceritakan semuanya pada abang,” ujar Uyaina memberi jaminan.
Ikmal diam seketika. Tapi mata terus-terusan menatap wajah Uyaina.
“Fine. Pastikan semua ye.”
Uyaina angguk pantas. Tidak mahu Ikmal tertanya-tanya dengan perubahan mendadak dirinya.
SEPERTI yang dijanjikan, selesai makan malam, Ikmal setia menanti Uyaina bersama hati yang penuh dengan tanda tanya. Melihat Uyaina datang sambil menatang dulang berisi minuman panas, Ikmal mengukir senyuman.
Sebaik saja Uyaina melabuhkan duduk di sisi Ikmal, Ikmal mencapai dulang itu dan menjauhkan dari Uyaina. Dia tidak peduli tentang minuman panas itu. Dia Cuma mahu tahu punca kebisuan Uyaina sejak petang tadi.
“Tell me, what happen?” Ikmal menyengetkan tubuh, menghadap Uyaina.
Uyaina mengeluh resah. Wajah Ikmal dipandang seketika. Apa anggapan Ikmal terhadapnya kalau dia menceritakan tentang gambarnya yang berada dalam simpanan Said.
“Uyaina Arnia?” Ikmal memfokuskan pandangan ke wajah Uyaina. Siap sebut nama penuh Uyaina. Hilang sabar dalam penantian yang sedikit mendebarkan itu.
Uyaina pandang wajah Ikmal. Tepat di anak mata Ikmal. Bibir diketap kuat. Hati mula sebak. Resah yang bertamu makin menggunung. Takut pada anggapan Ikmal padanya juga buat dia rasa mahu menangis dan akhirnya terbit juga air mata yang tidak di inginkan itu.
Berkerut dahi Ikmal sesaat melihat air mata yang terbit dari sudut mata isterinya. Cuba mencari di mana silapnya. Cuba mencari mana kata-katanya yang mungkin sudah melukai Uyaina. Lantas tubuh itu ditarik dalam pelukan.
“Abang minta maaf kalau abang ada buat salah?”
Teresak Uyaina tatkala permintaan maaf itu meniti di bibir Ikmal. Ikmal tidak pernah buat salah. Tapi kenapa Ikmal begitu mudah menuturkan permintaan maaf. Lantas pelukan Ikmal dileraikan dan air mata yang mengalir setitis demi setitis dikesat. Cuba dikentalkan hati untuk menceritakan perkara yang mengaibkan itu.
“Abang tak pernah buat salah,”
“Habis? Kenapa sayang nangis?”
Uyaina tunduk sesaat sambil menarik nafas panjang. Bersedia membuka cerita dan menerim apa saja anggapan lelaki itu padanya. Wajah Ikmal dipandang tunak. Dan bibir mula membuka bicara. Satu persatu diceritakan dan saat itu juga air mata tidak habis mengalir. Dia tidak menyangka dia akan melalui perkara yang sangat mengaibkan itu. siapa saja yang berada di tempatnya pasti akan rasa malu.
IKMAL genggam erat jari jemarinya. Kemarahannya mencanak naik. Wajah sinis Said terbayang di ruang mata. Tak sangka Said bersikap seperti itu padanya isterinya.
Wajah Uyaina yang menunduk itu dipandang. Tubuh Uyaina ditarik dalam pelukan dan dahi Uyaina dikucup bertalu-talu. Apapun terjadi, dia akan pertahankan Uyaina. Tak kisahlah jika sanggup menggadai nyawa sekalipun. Kerana baginya, Uyaina adalahn nyawanya. Hilang Uyaina ibarat hilang naywa sendiri.
“Sayang jangan risau. Biar abang selesaikan semuanya. Abang akan pastikan yang Said takkan ganggu sayang lagi,” kata Ikmal tekad.
Uyaina mendongak. Membalas pandangan Ikmal penuh kasih sayang.
“Abang tak marah Aina?” soal Uyaina dalam esakan.
Ikmal geleng perlahan. “Untuk apa abang marah. Bukan salah sayang. Said tu yang gila. Abang tak sangka tahap kegilaan dia sampai macam ni,”
“Aina tak tahu perangai dia macam tu,” ucap Uyaina lemah.
Ikmal mengelus rambut Uyaina.
“Abang kenal dia. Cukup kenal. Kalau dulu abang diam sebab dia tak pernah kacau hak abang. Tapi sekarang, abang takkan diam dah.”
Uyaina diam. Hanya kepala dilabuhkan ke dada bidang suaminya. Mengharap ada kebahagiaan tanpa derit. Mengharap Said pergi dari terus mengganggu dirinya. Dia sudah tidak larat menghadap sikap melampau Said itu.
Share this novel