SEKALI lafaz sahaja, Uyaina Arnia sah menjadi isteri kepada Ikmal Haris Bin Shamsuddin. Tanpa kehadiran saudara mara mahupun orang tuanya sendiri, Uyaina cekalkan hati. Bibir cuba menguntum senyum, tapi air mata yang mengiringi senyuman itu. Akhirnya Uyaina tunduk sembunyikan wajah. Sambil itu, Harlina setia di sisinya bersama kata-kata semangat dan pujukan.
Saat jari jemari Ikmal mencapai jejarinya, Uyaina mendongak. Pandangan mata mereka bertaut seketika. Diabaikan air mata yang mengalir sendu di pipi.
Ikmal tersenyum. Hati perit melihat air mata di pipi isteri yang baru dinikahinya itu. Lantas jari naik ke pipi Uyaina dan air mata Uyaina diseka lembut bersama pandangan yang penuh dengan kasih sayang. Jari jemari Uyaina dibawa ke bibir tanpa sempat Uyaina menyalam dan menciumnya.
Uyaina terpaku dalam bahagia. Tapi benarkah bahagia?
“Start from now… saya akan pastikan tiada air mata yang mengalir di pipi awak,” ucap Ikmal penuh ikhlas sambil menyuakan belakang tangannya ke bibir Uyaina yang disaluti gincu tipis.
Uyaina ketap bibir sesaat sebelum mengucup tangan milik lelaki itu. Saat Uyaina mengangkat wajah, Ikmal memaut dagunya membuatkan Uyaina terdongak perlahan. Tautan mata Ikmal sedang berbicara tentang bahagia dan cinta untuk dirinya. Tapi dia?
Bibir Ikmal singgah di dahi Uyaina seketika. Kemudian beralih ke kedua mata Uyaina membuatkan Uyaina terpaksa memejamkan mata untuk beberapa saat.
“Trust me sayang. Apa yang saya ucap, itulah yang saya akan lakukan. Bahagiakan awak adalah salah satu dari impian saya sejak kenal awak…” ucap Ikmal lagi penuh perasaan. Mata menatap mata. Bibir kuntum senyum. Hati berlagu riang. Melodi indah bergema dalam jiwa. Seandainya itu adalah hembusan nafas yang terakhir, mahu Ikmal jerit sekuat hati bahawa Uyainalah wanita kesayangannya selain Darina dan Datin Sumaiyah.
Uyaina terpanar. Terpaku. Tergamam dan Terkseima. Bibir terkunci rapi. Masa berlalu tidak disedari. Bahagiakah atau hanya perasaan yang mengaburi dirinya ketika itu. Indah dirasa hidup ketika itu, tapi ditepis pantas rasa indah itu diganti dengan trauma yang mendalam. Seandai esok diri ditinggalkan? Seandai esok diri kembali dilukai? Lantas Uyaina mengunci hatinya untuk menerima. Membekukan perasaannya dan menepis jauh bahagia itu agar dia tidak terus mengharap dan juga tidak terluka di kemudian hari.
“Allah tak akan hadirkan seseorang tanpa sebab. Kenapa perlu melukai diri seandainya rasa itu sudah hadir. Usah terkurung dalam kisah dan trauma lalu. Bangkitlah dalam mencapai bahagia yang mendatang. Kisah tidak terhenti di sini. Kasih tidak hilang begitu saja dan cinta tak akan pergi tanpa sebab yang utuh…”
“Thank’s for being my wife…”
Ucapan yang cukup ikhlas meniti di bibir Ikmal saat mereka keluar dari masjid As-sofa. Salah satu masjid yang dibina di bumi London. Khas untuk muslimin dan muslimat yang menetap di kota itu.
Uyaina ukir senyuman hambar. Pegangan tangan Ikmal dileraikan lalu tubuh dihadapkan kepada Ikmal.
“Awak ingatkan syarat saya?”
Ikmal tersenyum sambil berdiri menghadap Uyaina. Melupakan suasana sekeliling, wajah Uyaina ditatap penuh kasih sayang. Kedua tangan naik ke pipi Uyaina lalu bibir dibawa ke dahi Uyaina. Sesaat, dua saat, tiga saat dan tarik wajah menjauh. Bibir kuntum senyum dan jejari mengelus pipi Uyaina.
“Abang tak pernah lupa janji. Dan Aina kena janji dengan abang, buka hati Aina untuk terima abang. Abang tak bermain kata pujangga macam lelaki lain. Abang hanya bermain cinta dengan Aina. Dan abang ikhlas sepenuhnya terima Aina dalam hidup abang…” ucap Ikmal penuh kelembutan dan kasih sayang. Cara membahasakan dirinya juga diubah menjadi abang. Sesuai dengan gelarannya sebagai suami. Tubuh Uyaina turut ditarik dalam pelukannya. Erat seolah tidak mahu melepaskan tubuh itu lagi.
Uyaina kaku dalam bahagia. Tapi masih mahu menepis rasa itu. Setahun bukan masa yang singkat untuk menguji kesetiaan Ikmal. Ya, dia sengaja meletakkan tempoh setahun itu. Kerana lepas setahun, dia akan balik ke Malaysia. Waktu itu, kalau Ikmal masih setia, dia akan terima Ikmal sepenuh hatinya. Namun, perkara itu biarlah dia saja yang tahu. Harlina mahupun Shima tidak perlu tahu.
“TERIMA kasih kerana sudi jadi menanti mama dengan papa,” ucap Datin Sumaiyah lembut. Tubuh Uyaina ditarik dalam pelukan sambil diperhatikan yang lain.
“Terima kasih juga sudi jadi kakak ipar saya yang paling lawa,” usik Darina mencelah sambil memeluk Uyaina.
Uyaina tersenyum. Cuba maniskan senyuman biarpun hati tidak semanis itu.
“Sama-sama,” ucap Uyaina lembut.
“Mama harap, Aina dapat buka hati Aina untuk Ikmal dan bahagiakan Ikmal.” Datin Sumaiyah sekali lagi meletak harapan dalam hubungan yang baru terbina.
Uyaina tersenyum kelat sambil mengangguk. Tak mampu nak membalas kata-kata itu. sejujurnya takut kalau terkeluar ayat yang bakal menyakiti hati semua orang.
“Tahniah, Mal,” ucap Khalil sambil berjabat tangan. Gembira melihat penyatuan Ikmal dan Uyaina.
“Tahniah. Tak sangka nikah juga korang. Ingatkan kau dah membujang sampai tu,” usik Shima.
“Kau doakan aku membujang sampai tu?” soal Ikmal sambil membeliakkan matanya.
Shima ketawa besar. “Mana ada. Cuma… kau kan susah sangat nak jatuh cinta. Tu yang aku ingat kau nak membujang sampai ke tua…”
Ikmal cebik bibir. “Yelah tu!”
“Tahniah both of you…” Giliran Harlina mengucapkan tahniah sambil kenyit mata pada Uyaina.
Uyaina berdecit. Laju sepit ketam singgah ke lengan Harlina.
“Aw… sakitlah!”
Meletus ketawa yang lain mendengar jeritan Harlina.
“Padan muka!” Uyaina menjuihkan bibir.
Harlina mencebik bibir. Dah kahwin pun masih nak mencubit. Nak aje ditempeleng kepala Uyaina kerana geram.
IKMAL melangkah masuk ke dalam bilik Uyaina sambil memerhati sekeliling. Tiada yang istimewa. Hiasan juga tiada. Bibir menguntum senyum. Tak kisah bilik itu berhias atau tidak. Yang pasti, Uyaina sudah sah bergelar isterinya. Tubuh Uyaina yang berdiri menghadap cermin, didekati.
Melihat Ikmal mendekatinya, dada Uyaina mula berdebar. Bibir diketap kuat. Takut Ikmal meminta yang bukan-bukan. Kalau boleh, dia belum mahu meneroka dunia itu. Lantaran trauma semakin menyelubung hati. Terasa kedua lengan Ikmal memeluk pinggangnya erat sehingga tubuh mereka bersentuhan. Kehangatan tubuh Ikmal membuatkan jantung Uyaina berdetak laju. Tidak mampu dihitung berapa detakannya dalam sesaat. Tapi yang pasti, dia betul-betul resah dalam debarnya.
Ikmal sengaja menyangkut dagu di bahu Uyaina sambil pipi Uyaina dikucup lembut. Penuh kasih sayang.
Hembusan nafas Ikmal, sentuhan tangan Ikmal… Uyaina pejam mata mencari kekuatan untuk berkata.
“Abang tahu, Aina tak sedia untuk semua tu. Abang takkan ajak Aina buat ‘benda ‘ tu selagi Aina tak sedia.”
Terbuka luas mata Uyaina mendengar bisikan ditepi telinganya. Tidak berani memandang ke sisi kerana takut ada yang bakal jadi sekejap lagi.
“Abang…” Uyaina cuba leraikan pelukan tangan Ikmal. Lancar pula bibirnya memanggil abang. Hish! pelik.
“Shhh… bagi abang peluk sekejap. Esok dah nak balik Malaysia. Kalau boleh nak peluk lama-lama, tapi tak dapat…” selamba Ikmal mengucup leher Uyaina.
Kejang sekejap tubuh Uyaina. Sumpah! Nafas mula tak tentu. Bibir diketap kuat. Tak nak buat konon! Tu bukan menggoda ke? Uyaina mula memberontak dalam hati. Sekuat hati Uyaina meleraikan tangan Ikmal lalu memusing tubuh menghadap Ikmal. Pandangannya tajam.
“Jangan nak goda saya!”
Ikmal tergamam sekejap. Niatnya yang Cuma mahu bermanja sekejap disalah erti.
“Aina…”
Uyaina angkat tangan kanan. “Stop talking. Awak boleh bermalam kat sini, tapi bukan sekatil dengan saya. Jangan nak buat-buat lupa syarat yang saya bagi!”
Ikmal terpaku dalam kecewa. Terkilan dan hatinya mungkin bakal terluka. Keluhan kecil terbit. Minda berputar ligat. Cuba mencari cara untuk dekati Uyaina yang salah faham dengan tindakannya.
“ABANG minta maaf kalau Aina salah faham dengan abang…”
Ikmal ambil tempat di sisi Uyaina. Rapat, tapi Uyaina sengaja menjauhkan diri. Buku yang tadi ditatap, ditutup dan wajah Ikmal dipandang sekilas.
“Saya tak marah.”
Ikmal mengeluh lemah. Malam pertama lepas nikah, hubungan berubah jadi dingin angkara tindakannya beberapa jam lepas. Tapi dia memilih untuk salahkan dirinya. Ya, salahnya kerana dia sepatutnya peka dengan keadaan Uyaina ketika itu yang masih berbelah bagi dengan perasaannya.
Ikmal bangkit dari tempat duduknya lalu keluar dari bilik itu. Dapur dituju. Nak ajak Uyaina berbulan madu untuk semalam, sah tak dapat. Terang-terang Uyaina menolak untuk melayan dirinya.
“Tak tidur lagi?” Harlina yang berada di ruangan dapur, menegur Ikmal bersama senyuman yang menghiasi bibir.
Ikmal senyum sambil menggeleng kepala. Langkah dibawa ke peti sejuk.
Dari raut wajah Ikmal, Harlina tahu yang Uyaina mesti buat hal. Minah ni betul-betul nak kena sekolah balik! Hati menggerutu geram. Mata mengekori langkah Ikmal. Wajah suram Ikmal diperhati sekejap.
“Aina buat perangai ye?” tanya Harlina meneka.
Ikmal berhenti lalu menoleh kepada Harlina. Nak iyakan, takut mengaibkan. Lalu isu itu dibiar dalam hati. Botol air dicapai sambil bibir menyungging senyum. Kepala digeleng perlahan.
“Tak lah. Aina dah tidur. Penat katanya,” jawab Ikmal sambil menutup pintu dapur.
Harlina mengangguk perlahan. Dia pula tinggalkan Ikmal di dapur sendirian. Tidak mahu berduaan dengan lelaki itu di ruangan itu. Tak manis untuknya. Suami orang pula tu.
Uyaina jadi dikit kejammmmm.
Share this novel