"KAMU dah melampau, Said. Kamu tak kesian ke dekat Uyaina. Apa salah dia?" Mak Ngah Siah tidak habis fikir lagi kenapa Said segila itu memperlakukan Uyaina seperti sampah. Bak kata orang habis madu sepah dibuang.
Said mendengus kasar. Wajah Mak Ngah Siah dipandang sekilas.
"Boleh tak mak jangan sebut lagi nama perempuan tu? Kalau boleh Said tak nak dengar langsung," kata Said sambil menghempas bantal kecil di sisinya. Dia bangun dan berlalu.
"Nak tak nak, kamu kena dengar juga nama dia. Dia isteri kamu."
"Kalau macam tu, Said akan jumpa dia dan ceraikan dia dengan talak tiga. Puas hati mak?" Said menoleh bersama senyuman sinis yang terukir di bibir. Ada dia kisah? Memang tak peduli langsung. Selepas perginya Syakila, dia sudah ambil keputusan untuk tidak mahu lagi berhubungan dengan Uyaina.
Tergamam Mak Ngah Siah mendengar kata-kata anaknya itu. Nampak sangat Said sudah gila. Tergeleng kepalanya sekejap. Malas berbahas, Mak Ngah Siah bangun dari sofa. Mahu melawat Uyaina. Memujuk Uyaina balik ke rumahnya.
"UYAINA dah balik KL," kata Puan Hamida tanpa riak.
Mak Ngah Siah sekali lagi dilanda kekesalan. Kalau dia memujuk Uyaina tempoh hari, pasti Uyaina tidak akan pergi.
"Kau tak pujuk dia ke Midah?"
Berkerut dahi Puan Hamida. Azmal yang sibuk baring di sofa sambil menonton tv, turut angkat wajah.
"Buat apa nak pujuk orang bawa sial," celah Azmal tanpa perasaan.
Mak Ngah Siah berdecit. Wajah Puan Hamida ditenung geram. "Midah, kau tak risau ke dengan keadaan anak kau tu? Jangan dah terhantuk baru nak menyesal,"
Puan Hamida juih bibir. Kenapa nak risau? Dia dibawa tanggungjawab Said. Bukan aku."
Mak Ngah Siah menggeleng kepala. Anak beranak sama je. Tak berguna. Tak sayang anak! Hati Mak Ngah Siah menggerutu geram.
"Sampai bila kau nak fikir pasal benda yang dah berlalu Midah. Fikir sikit perasaan Aina. Dia pun ada manusia. Ada hati dan perasaan."
"Habis aku ni bukan manusia ke? Kalau bukan sebab dia sibuk nak keluar waktu mak meninggal, mesti aku sempat jumpa mak. Betul-betul bawa sial!"
Mengucap panjang Mak Ngah Siah mendengar kata-kata Puan Hamida. Langsung tidak mahu menerima ketentuan yang sudah ditentukan oleh Allah S.W.T.
"Bukan salah Aina nak lahir waktu tu. Berapa kali aku nak cakap benda ni. Ini semua ketentuan Allah S.W.T," kata Mak Ngah Siah lagi.
Puan Hamida cebik bibir. "Terpulang kau nak kata apa. Aku tetap dengan pendirian aku!"
Mak Ngah Siah hanya mampu menggeleng. Sampai bila api kebencian adiknya terhadap anak sendiri itu menyelubungi diri. Mustahil langsung tidak ada rasa kasih biar sekelumit pun di hati mereka untuk Uyaina.
Share this novel