BAB 68

Romance Series 154867

UYAINA berdiri tepat di hadapan pintu bilik Ikmal. Dari luar, dia dapat mendengar Ikmal berbual dalam telefon. Bibir diketap perlahan. Perut yang kempis diusap. Akankah Ikmal terima pujukan darinya kali ini? Bukan dia sengaja tidak datang. Tapi ada berita lain yang dia tunggu. Sebaik saja balik dari klinik, terus sahaja dia memecut ke pejabat Ikmal. Nampak tergesa-gesa, tapi dia tidak kisah. Ini yang Ikmal harap darinya. Dia tahu.
Tuk!Tuk!Tuk!
Yakin Ikmal sudah habis berbual, Uyaina terus mengetuk pintu.
"Masuk..." Sayup kedengaran suara Ikmal dari luar pejabat.
Uyaina menarik nafas sedalamnya. Tombol pintu dipulas dan pintu itu ditolak perlahan. Kepala dijenguk ke dalam. Serentak matanya menangkap pandangan mata Ikmal. Senyuman diukir dan tubuh dibawa masuk sepenuhnya.
"Abang takde masa nak..."
"Abang, Aina nak cakap sekejap je. Lima minit," pintas Uyaina melajukan langkah ke kerusi yang berada di depan Ikmal. Bibir menguntum senyuman yang resah.
Ikmal yang tadi mahu bangun dari kerusi, membatalkan niatnya.
Ikmal diam membatu. Mata ditumpukan pada komputer, sedangkan hati sudah tidak sabar mahu mendengar suara Uyaina berbicara. Ego saja lebih. Ikut hati, ingin saja dipeluk tubuh Uyaina saat itu juga.
"Cepatlah. Abang ada meeting dengan client ni," gesa Ikmal tegas.
Uyaina menarik nafas sedalamnya. Kotak hadiah dalam beg tangannya itu, dikeluarkan dan dihulur kepada Ikmal.
"Abang, Aina minta maaf sebab tak datang jumpa abang, pujuk abang. Aina tak tahu macam mana nak pujuk abang. Aina harap, dengan hadiah ni, hati abang jadi sejuk," kata Uyaina jujur.
Ikmal memandang kotak itu tanpa ada rasa mahu menyambutnya.
"Nantilah abang buka. Abang sibuk sekarang. Takde masa nak main hadiah-hadiah," dalih Ikmal tanda tidak mahu terbuai dengan hadiah Uyaina.
Uyaina menunduk kecewa. "Tapi abang..."
"Awak tak faham bahasa ke? Saya sibuk. Faham?!" Melantun suara Ikmal memenuhi ruang bilik. Sekaligus meruntuhkan sekeping hati yang sudah sedia rapuh menanti kemaafan.
Uyaina ketap bibir sambil bingkas bangun. Mendengar cara Ikmal bercakap dan membahasakan diri juga sudah cukup memedihkan hatinya. "Aina minta maaf sebab ganggu abang. Aina tahu Aina salah. Tapi, tak bolehkah abang dengar penjelasan Aina biarpun sekali?" soal Uyaina sayu. Sebak beraja di hati. Wajah berubah suram. Hati kecewa dan terkilan. "Kalau abang rasa nak buka hadiah tu, bukalah. Kalau tak nak, buang je. Aina tak kisah!" Uyaina berlalu keluar bersama hati yang kecewa. Tanpa sedar, airmata terbit di hujung mata. Menggambarkan yang hatinya betul-betul terkesan. Tapi untuk salahkan Ikmal, tidak mungkin. Dia masih berpegang pada kata hatinya. Semua berpunca darinya dan dia akan terima kemarahan dan rajuk Ikmal sebaik mungkin, biarpun terpaksa menangis.

BUM! Berdentum bunyi pintu bilik itu ditutup. Terhinjut juga bahu Ikmal kerana terkejut. Bibir dikemam perlahan sambil mata memandang kotak hadiah yang ditinggalkan oleh Uyaina untuknya.
Rasa bersalah bertandang. Kecewa bila tertinggi suara pada perempuan yang dia sayang.
Perlahan Ikmal mencapai kotak hadiah itu. Bersama hati yang mula berdebar, reben itu ditarik perlahan. Rasa ingin tahu, membuak-buak.
Sebaik membuka penutup kotak itu, mata Ikmal melekat pada satu objek berwarna biru putih. Dari rupa bentuk, dan mengikut apa yang tertera pada objek itu, Ikmal dapat teka apa objek itu. Apatah lagi, selepas membaca apa yang terpamer di skrin objek itu. Spontan bibir mengukir senyum.
Bangun dari duduk, Ikmal terus keluar dari biliknya. Mata meliar mencari kelibat Uyaina. Tapi gagal mengesan. Pintu besar dituju. Sebaik keluar, pandangan melekat pada kereta Uyaina yang memecut keluar dari kawasan parkir. Pasti Uyaina menghabiskan masanya menangis di parkir. Rasa kesal bertamu. Hati mula risau.
Kereta dituju. Sekejap saja, Ikmal sudah memecut, mengekori kereta Uyaina. Hati semakin risau bila sedar Uyaina semakin memecut kereta. Namun hati mula lega bila Uyaina memberhentikan keretanya di Taman Perdana. Ikmal turut memberhentikan keretanya di bahu jalan. Memerhati arah Uyaina. Dapat dia lihat Uyaina keluar sambil menyeka air matanya.
"Maafkan abang sayang..."

UYAINA melabuhkan duduk bersama hati yang terkilan. Sekadar melayan rajuk hati yang mula bertamu. Sesekali jari jemari naik ke wajah. Menyeka airmata yang jatuh di pipinya. Wajah ditekup dengan kedua tapak tangan. Emosinya kini terganggu. Rasa tertekan makin menyelubungi. Takut kehilangan Ikmal juga bertandang memenuhi setiap ruang dalam jiwa, hati dan minda.
Sebaik menurunkan kedua tapak tangan, mata melekat pada sepasang kaki di hadapannya. Pantas Uyaina menyeka air matanya dan mendongak. Pandangan mata bertemu dengan mata Ikmal.
"A... abang..."
Ikmal tersenyum sambil menghulur tangan kepada Uyaina.
"Tak baik menangis. Nanti baby ikut nangis..."
Serentak Uyaina melepaskan esak tangis yang ditahan dari tadi. Bangun dari duduk, tubuh Ikmal dipeluk erat.
"Aina minta maaf, abang. Jangan buat Aina macam ni," tangis Uyaina sambil menyembamkan wajah ke dada bidang Ikmal.
Ikmal menarik nafas dalam. Rasa bersalah menikam hati. Tangan membalas pelukan Uyaina dan bibir singgah di dahi Uyaina.
"Shhh... Patutnya abang yang minta maaf. Abang yang salah sangka." Ikmal bersuara lembut sambil meleraikan pelukan. Wajah Uyaina ditatap. Air mata Uyaina diseka lembut dan mata Uyaina dikucup perlahan tanpa mempedulikan mata yang melihat. "Abang minta maaf, sayang," pinta Ikmal lembut.
Uyaina membalas renungan itu seketika dan melabuhkan kepalanya ke dada Ikmal.
"Aina sayang abang. Aina minta maaf sebab tak berterus terang dari awal lagi. Aina tak pernah makan ubat tu."
Ikmal menarik nafas sedalamnya.
"Abang tahu, sayang. Kalau sayang makan, macam mana nak ada baby dalam ni kan," kata Ikmal sambil melabuhkan tangan ke perut Uyaina lalu mengusapnya perlahan.
Uyaina hanya membiarkan Ikmal. Hilang rajuknya mendengar kata-kata Ikmal. Suara yang cukup dia rindu beberapa hari ini.
"Sampai hati abang buat hidup Aina tak tentu arah." Uyaina menjuihkan bibir tanda merajuk.
"Sayang yang tak tentu arah atau abang?" soal Ikmal nakal.
Uyaina memuncungkan bibir mendengar usikan itu. Rasa tenang sedikit.
Ikmal tarik bibir senget. "Ni nak kena cium ke?" usik Ikmal sambil menjentik lembut bibir Uyaina.
Uyaina berdecit. "Abang..."
Ikmal tergelak kecil. Sekali lagi tubuh Uyaina ditarik dalam pelukan.
"Abang minta maaf sayang..."
Apa yang jadi, mengajar mereka untuk menjalani hidup yang lebih matang dalam rumah tangga. Membuka kisah baru dan cerita baru dalam hidup.
"Alhamdulillah untuk segalanya..." bisik Ikmal penuh makna. Hati semakin takut kehilangan.

Tak habis lagi tahu...

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience