Bab 35

Romance Series 154867

UYAINA mengetuk pintu rumah Khalil dengan Shima. Tak sampai seminit, pintu dibuka.
“Assalamualaikum…”
“Waalaikumsalam darling. Masuklah,” pelawa Shima. “Aku tengah masak,” sambung Shima sambil tersengih.
Uyaina tersenyum sambil melangkah masuk ke dalam. “Kau dengan Khalil sihat?”
“Alhamdulillah sihat. Kau? Lama tak datang sini. Aku pun lama tak jenguk kau kan? Maaflah, Aina. Aku dengan Khalil sibuk sikit kebelakangan ni.” Shima mengeluh sambil meluah. Tangan menutup pintu rumah itu sementara mata memandang Uyaina yang sudah membawa langkahnya ke ruang tamu.
“Takpe. Aku faham. Aku pun saja tak datang. Tak nak susahkan korang. Lagipun, korang dah banyak tolong aku,” kata Uyaina. “Khalil mana?” tanya Uyaina bila sedar hanya mereka berdua yang ada di situ.
Shima atur langkah ke dapur. “Dia keluar. Beli barang sekejap. Untuk masak,”
Uyaina angguk. Kali ini langkah dilencongkan ke dapur. Mengekori langkah Shima. Tak suka bila ditinggal bersendirian di situ.
“Kau masak apa?” tanya Uyaina sambil memandang island table yang penuh dengan bahan untuk memasak.
Shima tersengih. “Aku masak makanan kegemaran Khalil. Laksa Penang.”
Berkerut dahi Uyaina mendengarnya. “Senang ke nak cari bahan kat sini?”
Shima gelak mendengar soalan itu. “Aku beli online lah. Kat sini memang susah nak cari bahan masak untuk makanan kita. Tapi rindu punya pasal, aku redah beli online,”
Uyaina tersengih sambil tarik kerusi.
“Kau dengan Ikmal macam mana?”
Uyaina jeda sesaat. “Macam mana apa?”
Shima menjuihkan bibir. Pura-pura tak tahu pulak.
“Ikmal kan sayang gila kat kau. Takkan kau tak layan,”
Uyaina diam sesaat kemudian mengeluh. “Aku tak layak untuk dia…”
Sekali lagi bibir membicarakan soal layak dan tidak layak. Sebenarnya itulah yang Uyaina rasa.
Shima tergelak. “Hanya Allah yang tahu kau layak atau tidak untuk dia.” Wajah Uyaina dipandang tunak. “Ikmal tak pernah sayang perempuan macam dia sayang kau, tahu. Tak rasa rugi?” Shima jongket kening.
Uyaina diam. Rugi! Sangat rugi. Tapi Ikmal rugi kalau pilih dia.
“Ikmal akan lagi rugi kalau nak kat saya. Ramai lagi perempuan kat luar sana…”
“Tapi tiada yang sehebat kau,” pintas Shima pantas. Dia sebenarnya sudah jemu mendengar Uyaina merendahkan dirinya sendiri.
“Hebat? Apa yang hebatnya dengan aku ni?”
“Kau mampu berdiri biarpun terluka banyak kali. Biarpun hidup kau penuh dugaan dan kau mampu senyum biar hati penuh lara.” Panjang lebar penerangan Shima membuatkan Uyaian gelak.
“Jangalah puji lebih-lebih…”
“Aku tak puji lebih-lebih. Tapi itu hakikat.” Pantas Shima membidas kenyataan Uyaina.
Uyaina senyum segaris sambil bangun dari duduk. Mahu ke tandas pulak! Biasanya kalau dah sarat, memang tandaslah selalu jadi destinasinya.
“Aku nak pinjam tandas, boleh?”
Shima ketawa kecil. “Sejak bila kau tak boleh guna tandas rumah ni. Pergilah…”
“Yelah… kot-kot kau tak bagi.” Uyaina menyengih sekejap.
Meledak ketawa Shima mendengarnya. “Ke situ pula kau…”
Uyaina bergegas ke tandas untuk melepas hajat. Tapi baru saja kakinya memijak lantai tandas, dia tergelincir jatuh. Tubuhnya terhempas kuat ke lantai. Serentak kedengaran jeritan kuat terbit dari bibirnya.
“Arghh!!!”
Shima tidak tunggu lama. Laju langkah dibawa ke bilik air.
“Allahuakbar! Aina…”
Uyaina kerut dahi sambil cuba bangun. “Sakit…”
Shima bergegas membantu. Tapi langkah terhenti saat mata melekat pada darah yang mengalir. Dia mula cemas. Pandangannya berpinar. Bau darah menyengat hidung.
“D… da… darah…” Buk!
Uyaina terkejut melihat tubuh Shima yang ikut jatuh.
Nasib baik Khalil sampai tidak lama selepas itu. Dia terus mengejarkan Uyaina ke hospital, manakala mulutnya tidak habis-habis membebel pada Shima. Geram bila Shima masih lagi alah pada darah.
“Call Ikmal!”
Shima akur bersama wajah suram kerana dimarah. Tapi silapnya juga. Terlalu melayan alahan. Nak buat macam mana? Dia memang tak boleh tengok darah. Bukannya sengaja pun. Hancur musnah makan malam mereka yang sudah dirancang. Rakan-rakan senegara juga terpaksa dihubungi untuk memberitahu perkara itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience