Bab 8

Romance Series 154867

-Tinta Kehidupan Uyaina
-Bab 8
~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~??

AWAL pagi lagi Uyaina sudah turun ke dapur untuk membantu Mak Ngah Siah menyediakan sarapan pagi.
"Wah! Nasi lemak kegemaran Aina." Uyaina terjerit kecil melihat bahan-bahan untuk memasak yang sudah di siapkan oleh Mak Ngah Siah.

Mak Ngah Siah hanya mampu tersenyum melihat keterujaan Uyaina. "Bunyi macam tak pernah makan nasi lemak."

Uyaina tersengih segaris. "Bukan tak pernah. Tapi tak sesedap Mak Ngah masak." balas Uyaina jujur.

Mak Ngah Siah berkerut dahi. Takkanlah Kuala Lumpur tak jual nasi lemak? Ke anak buah aku ni saja nak bermanja dengan aku? Namun soalan itu hanya bergema dalam kepala. Wajah teruja Uyaina dikerling sejenak.

"Aina dah ada boyfriend?" tanya Mak Ngah Siah lembut.

Uyaina berkerut dahi. Wajah Mak Ngah Siah dipandang sekilas. Bekas biru berisi kacang dicapai laju.

"Mana ada orang nak kat Aina ni. Lawapun tidak." Uyaina berkata sambil menuju ke kuali. Kalau boleh, dia tidak mahu isu itu di timbulkan.

"Mak jangan percaya sangat cakap si Aina ni. Ramai aje lelaki nak. Dia yang jual mahal," sampuk Said yang sedang menuruni tangga menuju ke dapur.

Uyaina dan Mak Ngah Siah menoleh serentak. Wajah Said yang tersengih mengejek dipandang. Uyaina mencebik.

"Eleh... abang bukannya tahu pun."

Said mengherot bibir mengejek. Langkah di bawa ke peti sejuk. Sesekali mata singgah di tubuh langsing Uyaina.

"Muka dah lawa, badan pun lawa... takkan boyfriend takde. Tak payah nak menipulah Aina. Kalau ada... bagitahu. Abang boleh jadi wali," usik Said.

Berubah riak wajah Uyaina mendengar kata-kata Said. Hati dipalu rasa yang sudah berkali melanda hatinya.

"Abang..." Kedengaran suara manja Syakila memanggil Said dari atas rumah.

Uyaina terus memandang ke kuali untuk mengelakkan riak wajahnya yang sudah berubah itu dikesan oleh mereka. Cemburu datang lagi. Kalau dulu, dia sajalah yang memanggil Said dengan nada semanja itu. Kini, Syakila sudah mengganti tempatnya. Sedarlah diri Uyaina! Sekali lagi hati menjerit geram.

"SEDAP tak nasi lemak ni?" tanya Said lembut menyapa pendengaran Uyaina. Pantas dia mendongak dan hampa bila pandangannya melekat pada tangan Said yang sedang menyuap Syakila. Seleranya mati serta merta.

"Bila Aina balik KL?" tanya Mak Ngah Siah lembut. Bukan dia tidak nampak wajah cemburu Uyaina itu. Risau pula kalau lain yang jadi.

"Er..." Uyaina sedikit terkejut mendengar soalan itu. Bunyi macam mahu menghalau dirinya. Ke, dia saja yang mudah terasa. Sensitif!

Mak Ngah Siah jongket kening tanda mahukan jawapan.

"Kejap lagi," jawab Uyaina akhirnya. Said yang sibuk menyuap Syakila di abaikan. Pandangan tajam Mak Ngah Siah seakan memberi amaran agar dia tidak mengganggu pasangan bahagia di hadapan mereka ketika ini.

"Aina buat apa kat KL tu?" tanya Mak Ngah Siah ingin tahu.

"Kalau mak nak tahu, Aina ni tak lama lagi nak jadi jutawan. Macam DSV," sampuk Said tiba-tiba, tanpa sempat Uyaina menjawab soalan itu.

Terpancar riak kagum di wajah Mak Ngah Siah sebaik mendengar kata-kata Said. Wajah Uyaina dipandang. Ingin kepastian.

Uyaina tersengih malu. "Mana ada mak ngah. Abang Said main-main aje tu."

Bercantum kening Said mendengar kata-kata Uyaina." Lagi nak berdalih? Mengaku je lah."

Uyaina mencebik bibir. "Abang ni sibuk je. Jagalah isteri abang tu. Tak payah menyibuk hal Aina,"

"Abang sibuk sebab Aina adik abang," balas Said sambil menyambung kerjanya tadi.

Uyaina diam. Suapan yang terhenti di teruskan. Wajah tidak lagi diangkat kerana mahu mengelak dari melihat pasangan itu. Dalam ramai-ramai orang, kenapa lah keluarga Said saja yang kisah tentang dirinya. keluarganya sendiri?

SYAKILA memerhatikan Uyaina yang sibuk mengemas pinggan mangkuk di atas meja makan. Wajah Uyaina, beralih pula ke tubuh langsing Uyaina. Padan sangat dengan abang, bisik hati kecilnya.

"Aina..."

Uyaina menoleh seketika. kening dijongket tanda bertanya.

"Pasal yang akak cakap semalam tu... akak tak main-main tahu."

Uyaina berdecit. Tangan yang tadi terhenti kembali meneruskan kerja. wajah Syakila langsung tidak dipandang. Dia rimas membahaskan isu itu dengan Syakila.

"Akak nak nombor Aina, boleh?" tanya Syakila lagi tidak putus asa.

Uyaina berdecit. "Kalau akak nak nombor Aina sebab nak mesej bagitahu benda ni hari-hari... baik tak payah. Aina tak suka,"

Syakila senyum segaris.
"Kenapa Aina nak menafikan benda yang semua orang nampak. Orang tahu?" soal Syakila lembut.

Uyaina mendengus. "Apa akak cakap ni? Aina tak faham?"

Syakila menolak roda kerusinya menghampiri Uyaina. Senyuman manisnya berubah nakal.
"Akak tahu Aina masih sayangkan abangkan?"

"Takde maknanya Aina nak sayangkan abang. Dia dah kahwin dengan akak," dalih Uyaina. Takkan nak mengaku depan isteri Said? Gila!

"Aina... kita ni sama-sama perempuan tahu. Dari cara Aina pandang abang pun, akak tahu."

Uyaina mengeluh kasar. pandangan Syakila dibalas dingin. "Kalau Aina suka pun... apa Aina boleh buat. Akak dengan abang dah kahwin kan? Aina bukannya perempuan perampas,"

Syakila senyum lagi. "Tak payah rampas. Akak rela abang kahwin. Kalau boleh akak nak sangat pinang Aina untuk abang..."

Jatuh rahang Uyaina. Pinang dirinya untuk Said? Gila!

'"Tak payah nak merepeklah akak."

Aina mengangkat pinggan mangkuk itu ke dapur bersama hati yang sarat dengan berbagai persoalan. Kalau dia jadi Syakila, dia tidak akan biar mana-mana perempuan dekati Said.

"AKAK nak Aina kahwin dengan abang."

Kata-kata Syakila terus menghantui Uyaina di sepanjang perjalanan balik ke Kuala Lumpur. Hati diburu rasa hairan. Kenapa Syakila beria mahu tahu tentang perasaan dia pada Said. Siap mahu dia kahwin dengan Said.Sudahlah hidupnya penuh dengan masalah. Tak mungkin dia mahu tambah lagi masalah yang membelenggu hidupnya.

"Cukuplah, Aina!" katanya sendiri.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience