HARLINA merenung wajah Uyaina yang agak pucat tanpa solekan. Jarang-jarang dia melihat Uyaina turun ke pejabat dengan wajah seperti itu. Bukan setakat jarang, rasanya belum pernah lagi.
"Kau okey ke ni? Muka pucat je?" tanya Harlina menegur.
Uyaina mendongak. Tepat ke wajah Harlina. Bibir menguntum senyuman kelat.
"Aku rindu Ikmal," luah Uyaina lemah.
Harlina berkerut dahi. "Rindu Ikmal? Apa pelik kau ni. Serumah tapi rindu. Susah juga orang angau ni."
Uyaina diam seketika. Wajah kembali ditundukkan.
"Dah dua hari Ikmal tak balik."
Kenyataan itu satu kejutan yang luarbiasa untuk Harlina. Hati ikut berderau. Wajah Uyaina ditatap.
"Kenapa tak balik?" soal Harlina ingin tahu.
"Sebab kes ubat perancang tu," jawab Uyaina perlahan.
Terbuntang mata Harlina. Ingatkan masalah itu sudah selesai. Rupanya belum lagi.
"Ingatkan korang dah berbaik," kata Harlina perlahan.
"Itu yang kau ingat. Ikmal merajuk dengan aku. Aku call, mesej... langsung tak jawab. Dia betul-betul kecil hati dengan aku, Har. Aku nak buat apa sekarang?" Uyaina memandang wajah Harlina seketika.
Harlina mengeluh kasar. Nak salahkan Ikmal, jelas-jelas salah Uyaina.
"Yang kau ni pun satu. Kenapa tak jumpa dia. Bagitahu yang kau tak makan ubat tu."
Uyaina berdecit. "Aku dah pergi pejabat dia, Har. Dia yang tak nak jumpa aku."
"Hah! Tulah kau. Padan muka. Nak sangat simpan benda alah tu. Kan dah merasa. Sedap tak somi merajuk?" Harlina tayang riak mengejek.
Uyaina merengus kasar. Nasib baik kawan. Kalau tidak, memang dia kerjakan Harlina. Ada kawan bukan membantu. Menyakitkan hati saja!
"Kau ni bukan main ye. Aku datang nak mengadu." Uyaina menjuihkan bibir. Sebal.
Harlina mencebik. "Kau nak mengadu boleh. Tapi biar benda yang berpunca dari kau. Ini silap sendiri, lagi nak mengadu. Pigidah!"
Uyaina mencebik. Menyampah!
LANGKAH Uyaina terhenti di hadapan meja pembantu peribadinya. Mata melekat pada susuk tubuh milik Said di ruang menunggu. Lagi satu masalah. Apa lagi lelaki itu mahu darinya.
Pandangan mereka bertemu sesaat, namun Uyaina segera melarikan pandangan matanya. Dapat dia lihat dari ekor mata yang Said sedang bangun menghampirinya.
"Aina, boleh kita bercakap?" tanya Said lembut.
Uyaina mencebik bibir. "Apa lagi kau nak?"
Said mengeluh kecil. Dari cara Uyaina bercakap dan memandangnya, dia tahu Uyaina kini benar-benar bencikan dirinya.
"Please Aina. Untuk kali ni je. Lepas ni, abang takkan kacau Aina lagi," pinta Said penuh harapan.
Uyaina berdecit lemah. Masih mahu menolak. Tapi, bila melihat wajah mengharap Said, Uyaina memilih untuk mendengar apa yang dikatakan oleh Said.
"Dalam bilik aku..." arah Uyaina dengan nada antara sudi dan tidak. Langkah diarahkan ke biliknya.
Said mengangguk tanda akur pada arahan itu. Langkah Uyaina diekori.
"Kau nak cakap apa? Make it fast. Aku ada banyak lagi kerja selain dari layan kau," kata Uyaina sambil menuju ke mejanya. Duduk sahaja, mata terus menikam wajah Said yang sudah mengambil tempat di hadapannya.
Said merenung wajah Uyaina.
"Kenapa Aina tak bagitahu yang Aina mengandung?"
Hampir putus nafas Uyaina mendengar soalan itu.
"Kau merepek apa ni? Bila aku mengandung? Aku tak pernah mengandung," nafi Uyaina keras.
Said diam. Hanya mata merenung anak mata Uyaina. Mencari kejujuran di sebalik kata-kata. Tapi bila Uyaina melarikan matanya, tahulah Said yang Uyaina menipu.
"Abang dah tahu semuanya. Ikmal dah cerita semua."
Uyaina ketap bibir. Hati mula geram. Kenapa Ikmal suka hati ceritakan semua itu kepada Said tanpa pengetahuan dirinya.
"Kalau dah tahu kenapa tanya aku? Hah? Nak gelakkan aku sebab kau dah dah berjaya seksa hidup aku?" Soal Uyaina sinis.
Said tertunduk saat menerima panahan mata Uyaina.
"Kau nak ketawakan aku selepas kau tahu betapa seksanya hidup aku? kau nak kutuk aku bawa bala macam dulu?" soal Uyaina kasar. "Ketawalah. Ketawa sepuas hati. Kutuk sampai puas. Aku dah tak kisah dan tak peduli. Apa yang penting aku bahagia dengan cara aku sekarang," sambung Uyaina sinis.
Said mengeluh kecil. Wajah Uyaina dipandang. Mata yang dulu penuh dengan air mata kini membalas pandangannya dengan berani. Wajah yang suram dan terluka satu masa dulu kini berubah menjadi wajah yang paling sinis pernah dia lihat. Jelas terpampang api kebencian di riak wajah Uyaina untuknya.
"Abang minta maaf..."
"Hah?" Uyaina mendengus tawa. "Kalaulah dengan maaf, kau boleh kembalikan hidup aku dulu, aku maafkan kau. Dan kalau ucapan maaf kau tu boleh hilang kan segala derita yang kau tinggalkan untuk aku dulu, aku maafkan kau,"
Said tergamam. "Aina..."
"Keluar, Said Mustaqim. Mula dari saat ini, aku haramkan kau jejak kaki kau kat sini. Untuk pengetahuan kau, tujuh keturunan kau pun, belum tentu rasa benci dalam hati aku terhapus untuk kau. Faham? Sampai mati, Said Mustaqim! Sekarang aku nak kau keluar dan jangan pernah muncul lagi depan aku!"
Said terkesima. Untuk seketika, Said rasa dihempap langit. Tidak mampu bertutur sepatah pun, Said bangun dan melangkah keluar dari pejabat Uyaina.
Share this novel