HARLINA tergamam sebaik membuka pintu rumah. Di hadapannya, Uyaina berdiri bersama juraian air mata yang mengalir.
"Har...." Serentak Uyaina jatuh melutut di hadapan Harlina. Kakinya jadi lemah tiba-tiba sebaik terpandang wajah Harlina. Sekuat mana dia cuba bertahan, dia tetap manusia biasa yang punya perasaan.
"Ya Allah! Aina..." Harlina cuba menangkap tubuh Uyaina tapi gagal. Telinga dapat menangkap esak tangis yang terbit dari bibir Uyaina. "Kenapa ni Aina?" tanya Harlina lembut sambil membantu Uyaina bangun.
"Aku ni pembawa sial ke?" Uyaina tatap wajah Harlina bersama mata yang dipenuhi air mata. Meruntun hati dan jiwa Harlina. Lemah tubuhnya tika itu memaksa dirinya berpaut pada tubuh Harlina.
Harlina jeda beberapa ketika. Minda berputar mencari sebab kenapa Uyaina tanya soalan sebegitu.
"Kau mengarut apa ni, Aina. Siapa cakap kau bawa sial?"
Makin kuatlah esakan Uyaina bila mendengar soalan itu.
"Satu kampung kata aku bawa sial, Har. Mak aku sendiri kata aku bawa sial," jawab Uyaina lalu kemam bibir.
Harlina mengeluh kasar. Siapalah manusia yang sanggup melempar gelaran seteruk itu pada Uyaina. Mata pandang kiri kanan yang gelap. Hampir subuh Uyaina sampai.
"Jom masuk. Nanti kau cerita kat aku apa yang dah jadi sampai kau kena redah balik KL tengah-tengah malam ni. Nasib baik aku terjaga. Kalau tak, kau nak pergi mana?" Harlina menarik tubuh Uyaina masuk dalam rumah perlahan.
Uyaina hanya menurut. Mata meliar. Terpaku pada bungkusan-bungkusan yang bertimbun di atas meja. Bibir diketap kuat dan punggung dihempas kasar ke atas sofa. Tubuh disandar sepenuhnya dan mata dipejam erat. Dada dipegang kejap. Seiringan air mata yang mengalir tanpa henti.
HARLINA duduk merenung Uyaina yang masih mengalirkan air matanya. Mata Uyaina semakin sepet mengalahkan cina menunjukkan yang Uyaina betul-betul terluka kali ini. Perlahan peha Uyaina ditepuk.
Uyaina memandang bersama segaris senyuman tawar.
"Hidup aku dah tak berguna, Har." Sebaris ayat itu menyentak tangkai hati Harlina.
"Siapa kata hidup kau dah tak guna? Mak kau? Atau orang kampung?" soal Harlina bertalu-talu. Hati tidak rela bila Uyaina sendiri merendahkan martabat dirinya.
"Kak Kila dah takde.... Said pula dah buang aku. Siap kata aku ni bawa sial dalam keluarga dia...." rintih Uyaina sayu. Wajah ditekup kuat. Bahu terhinjut menangis.
Harlina terkedu.
"Selepas dia ambil semua yang aku ada... dia buang aku macam sampah, Har..."
Harlina sesak nafas seketika. Mendengar kata-kata Uyaina dia sangat faham apa yang dimaksudkan Uyaina. Dada berombak laju menandakan Harlina hilang sabar. Jejari digenggam erat menampakkan yang betapa dia juga sakit melihat Uyaina seperti itu.
"Jantan tak guna! Kau korbankan hidup kau, masa depan kau untuk bahagiakan semua orang. Dia boleh buang kau macam tu je?!" Harlina mengetap rahang tahan marah. Terbayang wajah innocent Said. Konon-konon dia juga mangsa keadaan. Dasar sampah punya jantan.
"Aku dah takde apa-apa. Kalau aku bercerai pun, tak akan ada lelaki yang nak kat aku. I have nothing, Har. Nothing!" Uyaina menggigit bibir menahan pedih yang menikam hati. Wajah Said ketika menuntut haknua sebagai suami kembali terbayang dan itu lebih memeritkan luka di hatinya.
Harlina menarik tubuh Uyaina dalam pelukan. Erat dan penuh kasih sayang. "Siapa kata kau tak ada apa-apa. Kau ada semuanya Aina. Kekuatan, kesabaran, ketabahan dan kegigihan. Aku akan tolong kau sampai hujung nyawa aku. Biarpun aku terpaksa korbankan diri aku sendiri untuk kau."
Penuh tekad dan keyakinan nada suara Harlina ketika mengucapkan Itu.
"Tak nampak semua ni?" Harlina menunjukkan ke arah stok produk mereka yang bertimbun. Parcel yang bertimbun di atas meja. " You have everything include me... Kita akan sama-sama bangun. Buktikan pada semua yang kita tak lemah. Kita tak gagal."
Uyaina mengongoi.
"Apa salah aku, Har. Apa yang aku dah buat sampai orang semua bencikan aku? Aku tak pernah sakitkan hati sesiapa..."
Harlina mengusap belakang Uyaina.
"Kau tak pernah salah Aina. Kau cuma terlalu baik. Sebab tu orang sakitkan hati kau. Orang dengki dengan kebaikan kau." Harlina memujuk simpati.
"Mana ada orang nikah sehari dah kena buang, Har..."
Harlina ketap bibir. cuba mencari jawapan yanh boleh tenangkan hati Uyaina.
"Satu masa nanti, aku percaya yang Said akan cari kau. Aku yakin sangat. Waktu tu, terpulang pada kau. Nak terima atau campak je dia dalam laut. Bagi ikan jerung makan." Harlina sedikit berseloroh.
Uyaina tergelak hambar. Wajah Harlina dipandang seketika.
"Kau takkan tinggalkan aku,kan?"
Laju Harlina menggeleng. "Aku akan tetap ada dengan kau sampai bila-bila. Kita kan bff,"
Uyaina diam. Ya, dia dan Harlina sudah lama berkongsi susah dan senang bersama. Apa lagi yang dia ragukan.
Assalamualaikum semua... Alhamdulillah untuk Bab 19. Sebenarnya waktu tulis pun hingus asyik nak meleleh. Tapi saya tetap gigih habiskan untuk korang. Tq support.
Share this novel