PUAN HAMIDAH mengeluh kecil sambil meletakkan telefonnya ke meja sisi. Berkali di cuba menghubungi Uyaina, tapi langsung tidak dijawab. Rasa menyesal menyelubungi hatinya. Selama ini, dia langsung tidak melayan Uyaina dengan baik. Mungkinkah Uyaina benar-benar sudah tawar hati padanya.
“Aina tak jawab?” tanya Arif lembut. Bahu Puan Hamidah disentuh lembut. Dia simpati melihat ibunya yang sentiasa susah hati sejak kebelakangan ni. Dia yakin yang Puan Hamidah tidak pernah melupakan Uyaina. Dan mungkin sekarang, Puan Hamidah sedang menyesali segala perbuatannya pada Uyaina satu ketika dahulu.
Puan Hamidah menggeleng kepala perlahan.
“Mak tak salahkan Aina. Mak dah banyak sakitkan hati dia.” Puan Hamidah mengakui kesilapannya.
Arif diam. Duduk dilabuhkan ke sisi Puan Hamidah. Bertahun tidak bersua muka dengan Puan Hamidah kerana sibuk. Dia menyangka Azmal menjaga Puan Hamidah dengan baik. Ternyata dia silap. Azmal yang selama ini menjadi anak emas Puan Hamidah langsung tidak pernah peduli tentang Puan Hamidah. Malahan sanggup menggunakan semua duit yang dia kirim untuk keseronokan. Rasa kesal menghujani hati.
“Mak ikut Arif pergi KL?” Arif menyuarakan pendapatnya.
Puan Hamidah diam tapi terus memandang wajah anak bongsunya itu.
“Mak tak mahu susahkan Arif,” kata Puan Hamidah lembut. Senyuman tawar terukir di bibir.
Arif diam. Wajah suram Puan Hamidah ditenung.
“Mak tak pernah susahkan Arif. Memang tanggungjawab Arif untuk jaga mak, kalau abang tak pernah peduli pada mak. Kalau Arif tahu abang tak jaga mak elok-elok, dari dulu lagi Arif bawa mak pergi KL,” Kata Arif lembut.
Puan Hamidah mengeluh kecil.
“Arif pernah jumpa Aina?” tanya Puan Hamidah penuh harapan.
Arif diam. Menggeleng tidak, menggangguk juga tidak. Kuala Lumpur bukanlah besar sangat untuk dijadikan alasan yang dia tidak pernah bertemu dengan Uyaina. Dia pernah melihat Uyaina beberapa kali. Tapi tidak ada keberanian untuk menegur dan bertentang mata. Malu masih bersisa dalam hati kerana satu ketika dahulu dia tidak pernah berusaha membantu Uyaina mahupun membela Uyaina dari terus di sakiti oleh Azmal dengan Puan Hamidah.
“AKU nak bawa mak pergi KL!” Tegas kata-kata Arif menjengah telinga Azmal.
Azmal bingkas bangun dari duduk sambil merenung tajam wajah Arif.
“Kau jangan nak memandai bawa mak pergi dari sini. Kalau kau bawa mak, macam mana dengan aku?” Meninggi suara Azmal, memenuhi setiap ruang rumah kayu itu.
Arif berdecit. Pandangan tajam diberi kepada Azmal.
“Kenapa? Abang memang tak boleh hidup tanpa mak ke? Atau saja nak menyusahkan hidup mak? Selama ini, abang tak pernah nak senangkan hati mak. Sekarang giliran aku jaga mak. Dengan aku, hidup mak lebih terjamin!” Sekali lagi Arif menegaskan keputusannya.
Itu membuatkan leher Azmal rasa terjerut. Mahu tak sakit. Selama ini dia bersandar kepad Puan Hamidah. Wang perbelanjaan mahupun wang untuk dia berseronok, semuanya diambil dari Puan Hamidah. Bagaimana kalau Puan Hamidah tidak ada di sisinya?
“Tak payah! Aku boleh jaga mak!” tegas Azmal. Mahu mempertahankan pendiriannya.
Arif tergelak sinis.
“Jaga?” kening dijongket sinis. Pandangan mengejek dilemparkan kepada Azmal. “selama ini mak yang jaga abang. Abang tak pernah kisah pun tentang mak. Malulah sikit. Jaga konon! Puih!” cemuh Arif tanda menyampah.
Menyirap darah Azmal mendengar kata-kata cemuhan yang terbit dari bibir Arif. Rasa geram bertamu dalam hati.
“Kau jangan nak melampau, Arif. Kau tu cuma adik. Kau lupa ke yang semua cakap aku, mak akan ikut. Aku anak emas mak!” Azmal mengacu penumbuk ke wajah Arif.
Arif bangun sambil ketawa besar.
“Anak emas konon! Anak emas apa kalau asyik nak menyusahkan hidup mak!” Usai berkata, Arif mengatur langkah untuk pergi dari situ Masuk bilik lagi bagus.
Melihat telatah Arif, tahap kemarahan Azmal semakin mencanak. Jari jemari digenggam erat tanda marah. Lengan Arif dicapai kasar dan,
Buk!
Arif tertunduk seketika bersama perasaan terkejut. Spontan tangan meraba perutnya yang baru sahaja ditumbuk abangnya. Kepala didongak ke atas.
“Abang dah gila ke?!” Arif bertempik sakit hati.
Azmal mengukir senyuman sinis. Puas hatinya dapat melepaskan marah kepada Arif.
“Kau baru tahu yang aku ni gila? Aku boleh buat lebih dari ini, kalau kau…”
“Ya Allah!” Puan Hamidah meluru ke arah Arif. Azmal langsung tidak dipedulikan. “Arif tak apa-apa?”tanya Puan Hamidah lembut tanpa memandang wajah Azmal.
Azmal mendengus kasar melihat tindakan Puan Hamidah.
“Mak! Mal kat sini!”
Puan Hamidah menoleh kepada Azmal sambil menggeleng kepala.
“Kau dah melampau Azmal! Aku tak tahu apa yang kurangnya selama ini. Sanggup kau pukul Arif?”
Azmal buang pandang ke pintu keluar.
“Jangan salahkan Mal. Dia yang mula dulu. Nak bawa mak konon!”
“Memang Arif bawa aku. Aku akan tinggal dengan Arif lepas ni. Daripada terus susah dengan perangai kau, baik aku pergi. Pandai-pandailah kau nak hidup lepas ni!” Meninggi suara Puan Hamidah kerana marah.
Wajah Azmal berubah riak sebaik mendengar kata-kata Puan Hamidah. Wajah Puan Hamidah dipandang tanda tidak percaya.
“Mak, takkan mak nak tinggalkan Mal seorang-seorang kat sini. Mak kata mak sayang Mal.” Azmal meluahkan rasa tidak puas hatinya.
Puan Hamidah mengeluh kasar.
“Memang aku sayang kau, Mal. Tapi kau tak pernah berubah. Tak pernah fikir pasal aku. Kasih sayang yang aku beri tak cukup untuk jadikan kau manusia berguna!”
Azmal terpaku seketika. Kata-kata Puan Hamidah itu kedengaran kesat baginya. Kasar dan melukakan hati.
“Tapi mak…”
“Dah lah Mal. Sia-sia aku besarkan kau penuh kasih sayang kalau kau masih nak terus hidup macam ni. Langsung tiada usaha nak berubah.” Puan Hamidah terus memimpin Arif masuk ke biliknya. Dari keputusannya tidak mahu ke Kuala Lumpur, berubah terus kerana tindakan Azmal yang melampau.
BAGAI rusa masuk kampung! Itulah tingkah laku Puan Hamidah ketika kali pertama tiba di Kuala Lumpur.
“Banyak sangat kereta kat sini, Rif.”
Tersenyum Arif mendengar kata-kata Puan Hamidah. Dulu, dia pun seperti itu. Cuma sekarang, dia sudah terbiasa dengan suasana itu.
“Arif tahu ke, Aina tinggal mana?” tanya Puan Hamidah lembut. Wajah lembut Uyaina terbayang di ruang mata.
Arif menggeleng kepala.
“Tak tahu, mak,” balas Arif lembut.
Sejujurnya, dia memang tidak pernah tahu Uyaina tinggal di mana
Puan Hamidah merenung ke luar tingkap.
“Mak menyesal sangat, Rif. Mak tak patut buat dia macam tu,” luah Puan Hamidah.
Arif mengerling Puan Hamida sekilas. Dia juga kesalkan perkara yang sama. Mereka yang selama ini meletakkan tembok antara Uyaina dan diri mereka. Sehingga ke saat ini, dia masih tidak habis fikir. Kenapa mereka tergamak melayan Uyaina seteruk itu.
“InsyaAllah, bila kita jumpa dia, kita minta maaf ye. Mak ada nombor Ikmal kan?” Arif memandang Puan Hamidah sekilas.
Puan Hamidah mengangguk perlahan.
“Alamat pejabat pun Ikmal pernah bagi kat mak. Tapi tulah. Dah banyak kali Ikmal pujuk Aina. Aina yang tak makan pujuk,” ujar Puan Hamidah.
Arif diam. Minda memikirkan cara untuk bertemu Uyaina. Dia tidak mahu mereka terus diulit rasa bersalah. Yang dia mahu, mereka berbaik dan kembali membina keluarga bahagia bersama. Sudah banyak masa yang mereka habiskan kerana saling membenci.
“Nanti Arif cari dia…”
Itu janji yang diukir Arif. Namun, bagaimana dengan Uyaina. Masih adakah ruang di hati Uyaina untuk mereka yang pernah menyakiti dirinya?
Assalamualaikum lamanya korang tunggu kan. maaf semua. Eyfah sangat-sangat sibuk. Internet pun tak membantu
Share this novel