Bab 12

Romance Series 154867

KHEMAH yang gah berdiri di hadapan rumah Puan Hamida itu membuatkan Uyaina resah. Kalau sebelum ini kepulangannya disambut kemarahan, kali ini disambut dengan khemah setinggi dua meter.

"Dah sampai dah?" Mak Ngah Siah yang muncul dari arah belakang menguntum senyum sebaik mata terpandang akan Uyaina yang berdiri ditepi khemah.

Uyaina kulum senyum. Tapi hambar. Tubuh Mak Ngah Siah dirapati lalu disalam dan dipeluk.

"Mak ngah, sape punya kerja ni Mak ngah?" tanya Uyaina setelah meleraikan pelukan. Wajah Mak Ngah Siah ditatap dalam. Ingin tahu siapa yang lakukan semua itu.

Mak Ngah Siah mengeluh kecil sambil mata memandang orang kampung yang sibuk dengan kerja masing-masing. Lantas Uyaina ditarik menuju ke kerusi yang sudah disusun lawa.

"Kila yang nak kamu jadi isteri Said," kata Mak Ngah Siah sambil melabuhkan duduk diikuti Uyaina.

Terbuntang mata Uyaina. Ternyata Syakila tidak bergurau tempoh hari. Dia sudah menunaikannya dan lusa adalah majlis nikah mereka.

"Tapi mak ngah..."

"Aina... mak ngah juga tak setuju. Tapi Kila yang berharap. Dia takut Said tak sempat bahagia sebelum dia tutup mata," pintas Mak Ngah Siah sambil mencapai jari jemari Uyaina. "Untuk kali ini... biar mak ngah merayu bagi pihak Kila," sambung Mak Ngah Siah sambil menatap anak mata Uyaina.

"Mak ngah... Aina serba salah. Aina bukan perampas suami orang," luah Uyaina kesal.

"Mak ngah tahu. Semua pun tahu, Aina. Percayalah kata mak ngah. Tiada siapa yang salahkan Aina dalam hal ni. Semua dah tahu ini permintaan Kila," balas Mak Ngah Siah penuh harapan.

Uyaina mengeluh kasar sambil tunduk merenung sandal yang tersarung di kaki. Bibir diketap perlahan. Tidak pernah terfikir dalam hidupnya yang dia akan bergelar isteri kedua.

MASUK saja dalam rumah, mata Uyaina melekat pada barisan hantaran yang berada di tengah ruang tamu. Hati dipalu kecewa. Mata dihalakan ke arah pintu dapur. Kelihatan Puan Hamida sedang keluar sambil memandangnya bersama senyuman di bibir.

Rasanya kali terakhir dia lihat Puan Hamida senyum padanya, ketika dia berumur tujuh tahun. Selepas itu hanya kemarahan yang ditunjukkan padanya.

"Aina dah sampai? Alhamdulillah. Ingatkan malam baru sampai," tegur Puan Hamida mesra.

Sekali lagi Uyaina terkaku di tempatnya berdiri. Cara Puan Hamida berbicara seolah mereka tidak pernah menyisih dirinya. Apa lagi sandiwara yang di mainkan Puan Hamida? Hati tertanya sendiri.

"Pergilah masuk. Rehat dulu. Banyak kerja nak kena buat ni." Entah dari mana Azmal muncul.

Uyaina pun tidak tahu. Perlahan dia menapak menghampiri Puan Hamida.

"Apa khabar mak?" tanya Uyaina lembut.

Puan Hamida senyum lagi. Tanpa sempat Uyaina bersalam dengannya, tubuh Uyaina sudah ditarik dalam pelukan.
"Maafkan mak, Aina."

Uyaina kaget. Pelukan dilerai, wajah Puan Hamida ditatap bersama riak hairan.

"Kenapa ni mak? Apa yang dah jadi sebenarnya?" tanya Uyaina hairan sambil memandang Azmal yang berdiri bersama sebungkus tali nylon ditangan. Baru selesai pasang khemah satu lagi agaknya.

"Takde apa. Mak nak turun ni. Banyak lagi kerja kat bawah tu. Kamu rehatlah dulu. Nanti kita borak lagi," kata Puan Hamida sambil berlalu meninggalkan Uyaina.

Termangu Uyaina dibuatnya. Hairan melihat tingkah laku abang dan ibunya yang menyambutnya dengan perubahan mendadak.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience