Bab 18

Romance Series 154867

"ASSALAMUALAIKUM." Uyaina memberi salam sambil menutup pintu keretanya. Kelihatan beberapa kereta penduduk kampung yang lain. Rasanya sedang bersedia untuk bacaan yasin dan tahlil malam itu.

"Wa'alaikumsalam." Terjenguk kepala ibu arwah Syakila, Puan Damia. Melihat wajah Uyaina, wajahnya berubah riak. Kalau pagi dan petang tadi, dia langsung tidak sempat menegur Uyaina kerana sibuk melayan perasaan sedih kehilangan anak tunggalnya.

"Masuklah...." pelawa Puan Damia dingin.

Uyaina masuk bersama senyuman di bibir. Tangan dihulur kepada Puan Damia tapi dipandang sepi. Nampak sangat Puan Damia tidak mahu bertegur sapa dengannya. Beberapa saat kemudian, Uyaina jatuhkan tangan bersama senyuman kelat. Kelihatannya, dia yang dipersalahkan dalam hal ini.

"Aina... masuklah," pelawa Mak Ngah Siah. Puan Damia yang berdiri di tepi pintu, dikerling seketika. Melihat cara Puan Damia memandang Uyaina, dia yakin ada rasa tidak senang dihati bekas besannya itu.

Said yang melihat kehadiran Uyaina bangun. Buku yasin yang dipegang itu diletak ke meja kecil di tepi sofa berangkai tiga. Dengan penuh hormat dia meminta laluan untuk menghampiri Uyaina.

"Abang nak cakap sikit..." Lengan Uyaina dicapai sedikit kasar. Sebenarnya dia lagi suka Uyaina tidak muncul ketika itu.

Uyaina ditarik ke dapur. Sebaik melepasi pintu, tangan Uyaina dilepaskan dan kedua tangannya dimasukkan ke dalam kocek baju melayu. Mata memandang tunak ke wajah Uyaina.

"Abang rasa untuk masa ni, Uyaina jangan datang sini. Jaga sikit hati dan perasaan keluarga arwah," kata Said sedikit dingin.

Uyaina termangu seketika. Dia bukan datang untuk mengganggu. Dia datang untuk membantu Mak Ngah Siah, mak mertuanya. Bukan juga datang untuk buat kecoh. Bibir diketap perlahan. Mata diarahkan ke meja dapur.

Jannah dan yang lain sungging senyum sinis. Masing-masing mengejek Uyaina.

"Aina datang nak tolong mak. Bukan datang nak sakitkan hati semua orang," kata Uyaina sedikit kesal.

Said berdecit kasar. Rambut sendiri diramas geram. Entah kenapa dia rasa kehadiran Uyaina dalam hidupnya adalah satu bala.

"Abang dengan mak tak perlukan Aina kat sini. Jannah dengan yang lain ada untuk tolong abang," kata Said.

"Said..." Mak Ngah Siah menegur Said. Dia yang baru masuk dari arah belakang secara tidak sengaja mendengar kata-kata Said yang mungkin mengguris hati Uyaina. Wajah Uyaina yang sudah berubah, dipandang seketika. "Tak baik cakap pada Aina macam tu. Biarlah dia kat sini. Kan dia kata nak tolong mak," sambung Mak Ngah Siah perlahan. Takut pula ada yang pasang telinga. Lebih-lebih lagi geng Jannah yang dari dulu tidak suka pada Uyaina.

Said mengeluh kasar. "Mak... Aina ni bawa bala je dalam keluarga kita. Tengok apa jadi? Lepas je kami nikah, Syakila tinggalkan Said."

"Astaghfirullah al adzim." Mak Ngah Siah menampar bahu Said. Tak sangka Said boleh anggap isteri yang baru dia nikahi seperti itu. "Said jangan nak melampau sangat. Apa yang jadi ni ketentuan Allah S.W.T."

Uyaina bungkam sendiri. Bola mata mencari mata Said. Tergamak Said lafazkan ayat itu padanya. Bawa bala? Semudah itu dirinya dilabel pembawa bala. Mulut ditekup kuat.

"Said cakap betul mak. Bukan Said je cakap. Semua cakap dia ni bawa bala. Said tak nak ada orang bawa bala dalam rumah ni," balas Said sambil melirik wajah Uyaina yang sudah memerah menahan tangis.

"Apa kamu merepek ni, Said?"

"Betullah tu mak ngah. Kalau abang Said tak kahwin dengan Aina, mesti Kak Kila masih kat sini. Kan Dayah?" Jannah mencelah tanpa rasa bersalah.

Sekali lagi Uyaina terpukul. Tergeleng kepalanya seketika. Seteruk itu anggapan mereka padanya.Mulut terkunci rapi tanpa dapat menepis tuduhan yang dilemparkan padanya.

Said jongket kening sambil mengerling Uyaina. Hati rasa bersalah tapi bibir tetap mahu mengatakan semua itu.

"Pernikahan kita semalam, arwah yang nak. Bukan abang..." Said menumpukan perhatian ke wajah Uyaina.

Uyaina mendongak. Membalas pandangan itu biarpun matanya berkaca.

"Oleh kerana arwah pun dah takde... anggap saja hubungan aku dengan kau tak pernah wujud. Aku tak nak hidup dengan perempuan yang bawa sial dalam hidup keluarga aku," kata Said menyudahkan ayat yang umpama pisau belati menikam ulu hati Uyaina sekaligus memusnahkan secebis harapan yang baru disemai semalam.

"Ya Allah. Apa kamu cakap ni Said?" Mak Ngah Siah menampr belakang Said kuat namum Said beriak selamba. Langsung tidak punya perasaan simpati biar sedetik pun untuk Uyaina.

Uyaina menunduk mencari kekuatan. Tapi gagal. Lantas kepala didongak kembali bersama air mata yang sudah jatuh.

"Sampai hati abang buat Aina macam ni..."

Said paling wajah ke arah Jannah dan yang lain. Tidak mahu melihat air mata yang jatuh di pipi Uyaina. Tidak mahu simpati mengulit hati. Pendiriannya tetap dan tegas. Uyaina tidak perlu lagi berada dalam hidupnya.

"Aku buat semua ni demi dia. Sekarang, kau boleh pergi dari hidup aku dan tolong jangan muncul lagi." Usai berkata, Said menghilang. Bukan ke ruang tamu. Tapi ke bilik tidurnya. Dia mahu Uyaina segera pergi.

Uyaian hampir terduduk di atas lantai bersama lara dan rawan yang menyelubung hati.

"Itulah... nak sangat jadi bini kedua. Kan dah mendapat..."

Uyaina sempat menangkap kata-kata berbaur sinis dari mulut Jannah. Wajah terkilan Mak Ngaj Siah dipandang seketika.

"Jadi... inilah yang Aina dapat lepas kahwin dengan abang?"

Mak Ngah Siah terkesima. Jujur dia juga kehilangan kata-kata. Dia tidak sangka Said boleh memperlakukan Uyaina seperti itu.

"Mak ngah minta maaf, Aina. Mak ngah tak tahu semua ni akan jadi..." Mak Ngah Siah menggosok belakang Uyaina lalu menarik Uyaina dalam pelukan. Berkali juga bibirnya mengucup dahi Uyaina lembut. Rasa kasihnya pada Uyaina tidak mampu menghalang sikap Said pada Uyaina.

"Takpelah mak ngah. Dah nasib Aina macam ni kot. Mungkin Aina memang tak layak nak bahagia."

Tanpa membuang masa, Uyaina melerai pelukan dan meluru keluar dari dapur. Ketika lalu di ruang tamu, dia langsung tidak memandang sekeliling. Malah langkah dilajukan untuk keluar.

KERETA itu dipecut laju balik ke rumah. Sampai di rumah, Uyaina mengemas kain bajunya untuk dibawa ke Kuala Lumpur.

"Kamu nak ke mana ni, Aina?" soal Puan Hamida hairan. Tambah hairan melihat air mata Uyaina yang berjuraian jatuh. Kepala dijenguk ke dalam bilik Uyaina.

Uyaina yang sesekali menyeka air mata tidak menjawab. Pandang pun tidak. Hanya tangan bekerja keras memasukkan semua pakaian ke dalam

Menyirap darah Puan Hamida bila Uyaina langsung tidak peduli padanya. Dia melangkah pantas menghampiri Uyaina. Lengan Uyaina direntap kasar. Pantang mak bapanya soalan yang dia ajukan tidak dijawab.

"Kamu dah pekak ke? Dah bisu?"

Uyaina berhenti lalu bangun. Matanya memandang tajam wajah Puan Hamida. Lengan yang dipegang Puan Hamida, direntap kasar. Air mata diseka kasar.

"Ini yang mak nak kan? Aina kahwin dengan Said, konon-konon boleh tumpang kesengangan Said. Mak tahu apa jadi?" Uyaina pandang tajam wajah Puan Hamida yang sedikit terkesima. "Semua orang kata Aina bawa bala. Said sendiri kata dia tak perlukan Aina dalam hidup dia sebab Aina yang dah buat arwah Kak Kila mati. Puas hati mak?"

Puan Hamida terpaku sesaat namun jari telunjuk laju menunjal dahi Uyaina.

"Memang kau bawa bala. Bawa sial! Sebab tu aku tak suka kau!"

Giliran Uyaina terkedu. Terkilan dan kecewa bila ibu kandung sendiri sanggup katakan itu padanya.

"Sampai hati mak..."

Puan Hamida mendengus. "Kenapalah aku tak buang je kau waktu kau lahir dulu."

Sekali lagi Uyaina terkelu kecewa. Luka di hati makin sarat. Tanpa berkata apa-apa, beg pakaiannya ditutup kasar. Kalau itu anggapan semua orang, dia akan pergi. Jauh dari semua.

Assalamualaikum, Saya alu-alukan semua tinggalkan komen masing-masing. Tentang pendapat anda dan tentang kisah ini. Kalau tak best... saya minta maaf. Cerita ini percuma. Saya akan update setiap hari.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience