~Setahun kemudian ~
PEJAM celik, pejam celik, Uyaina kini kembali. Menjejak kaki buat kali pertama selepas dua tahun berkampung di London. Bibir menguntum senyum paling indah buat Ikmal yang setia berdiri diluar balai ketibaan. Menanti dirinya dengan penuh kasih sayang dan cinta.
“Welcome back sayang…”
Sekejap saja, tubuh Uyaina sudah rebah dalam pelukan Ikmal. Uyaina akur pada takdir. Kesungguhan Ikmal menambat hatinya, membuatkan Uyaina mengalah. Bukan sekali dua Ikmal datang London. Setiap kedatangannya ada kejutan yang mampu membuatkan hati Uyaina meronta bahagia. Untuk kali pertamanya, dia kembali terus ke sisi Ikmal. Sekaligus reda dan bersedia untuk tanggungjawab yang mendatang.
“I miss you damn much, sayang,” bisik Ikmal sambil mengucup lembut dahi Uyaina.
Uyaina sembunyi senyum tapi tak mampu. Rasa bahagia menggeletak hati untuk tersenyum lebar. Lingkaran bahagia mula hadir perlahan.
“I miss you too…”
Ikmal tersenyum sambil tangan menarik tangkai bagasi Uyaina. Manakala tangan kanan meraih jari jemari Uyaina. Membawa Uyaina meninggalkan KLIA. “Jom…”
Uyaina akur. Mengekor langkah Ikmal bersama debaran dalam hati. Entah kenapa ada rasa takut datang dalam hati. Mungkin perasaannya saja.
“Nak balik rumah terus atau…” Ikmal jeling Uyaina nakal. Dia tahu, Uyaina sudah boleh terima dirinya. Kalau tidak, masakan Uyaina begitu mudah mahu dirinya dipeluk. Perasaan gatal dan miang bertandang tiba-tiba. Selama mereka bergelar pasangan suami isteri, tak pernah sekali pun dia sentuh Uyaina. Semua demi mahu menghormati pendirian Uyaina.
Uyaina menjeling manja. Tahu makna jelingan itu. Tahu Ikmal inginkan dirinya. Tahu Ikmal rindukan dirinya dan tahu Ikmal menanti untuk dia serahkan dirinya sepenuh hati. Sediakah dia atau bagaimana?
“Balik rumah saya dengan Har…”
Berkerut dahi Ikmal mendengar kata-kata Uyaina yang bernada selamba itu. Takkan Uyaina lupa yang mereka sudah nikah.
“Sayang… janganlah memain…” leret Ikmal manja.
Uyaina tahan gelak. Bibir diketap kuat. “Dah tu nak ke mana? Rumah saya memang kat situ,”
Ikmal tarik bibir geram. Senget senyumannya tanda tahu dirinya dipermainkan.
“Itu dulu. Sekarang, rumah sayang dengan abang. Faham?” Laju tangannya mencuit hidung mancung Uyaina.
Uyaina berdecit. “Apa cuit-cuit ni. Tak suka tahu…”
“Tapi abang suka. Sampai rumah abang cuit lagi…” usik Ikmal nakal.
Uyaina menjuihkan bibir. Tanpa sedar, juihan bibir bertukar jadi senyum penuh makna.
BERKERUT dahi Uyaina saat kereta yang dipandu suaminya itu berhenti di hadapan sebuah rumah semi-d yang terletak di Cyberjaya. Hanya ada sebuah kereta Audi yang di situ. Bermakna itu bukan rumah keluarga Ikmal.
“Ini bukan rumah family abang kan?” tanya Uyaina menduga.
Ikmal senyum sambil mencabut tali pinggang keledar. Tubuh disengetkan ke arah Uyaina dan tali pinggang Uyaina dicabut lembut sambil mata menjalar di setiap inci wajah Uyaina.
“Abang beli untuk sayang dan untuk kita,” kata Ikmal sambil mengucup pipi Uyaina sepintas lalu.
Merona wajah Uyaina, sesaat berdecit kerana malu. “Abang ni suka ambil kesempatan kan?”
Ikmal tegakkan tubuh sambil membuka pintu kereta. Mata dikenyit pada Uyaina. “Tak. Ambil pahala…”
Uyaina mencebik sambil membuka pintu kereta. Dalam hati senang. Gila tak senang. Suami dah belikan rumah. Apa lagi dia nak. Kalau tak bahagia lagi, tak tahulah.
“WELCOME HOME sayang…”
Uyaina sungging senyum mendengar butiran ayat Ikmal. Siap Ikmal bukakan pintu untuknya. Mengalahkan permaisuri. Lantas kaki membuka langkah masuk ke dalam. Tak sabar untuk lihat apa yang ada di dalam. Serentak hati berdebar bila lengannya tiba-tiba ditarik Ikmal. Terdorong Uyaina ke tubuh Ikmal.
Ikmal kuntum senyum sambil menghidu wangian rambut Uyaina. Hati meronta inginkan Uyaina tika itu. Niat yang terpendam lama memaksa dirinya memeluk erat tubuh Uyaina. Namun dia masih mengawal diri, takut terbabas. Dia juga yang menyesal tak sudah.
Uyaina tarik nafas sedalamnya. Cuba hilangkan debaran yang sudah beraja di dalam hati. Pelukan Ikmal dileraikan dan tubuh dipusing menghadap Ikmal. Kedua tangan naik ke pipi Ikmal dan dahinya disentuhkan ke dua ulas bibir hangat Ikmal.
“Aina tahu abang nak kan Aina…” ucap Uyaina separuh berbisik sambil menjarakkan dahinya dari bibir Ikmal. Mata Uyaina bertaut dengan mata Ikmal. Uyaina kuntum senyum sambil memeluk erat pinggang suaminya. “Saat Aina jejakkan kaki di bumi Malaysia, Aina akur pada takdir Aina. Aina yakin abang mampu bahagiakan Aina sebagaimana yang abang pernah kata pada Aina,” sambung Uyaina lembut.
Ikmal tersenyum. Akhirnya, Uyaina tunaikan impian dirinya. Namun dia tidak mahu kelihatan gelojoh seolah malam sudah tidak wujud dalam dunia itu. Tubuh Uyaina didakap erat.
“Terima kasih sayang…”
Uyaina senyum lagi. Telinga ditekap ke dada Ikmal. Irama dentingan jantung Ikmal sudah jadi irama merdu dipendengarannya.
“Pergilah rehat kat atas. Abang siapkan lunch sempena kepulangan sayang,” arah Ikmal sambil meleraik pelukan. Faham keletihan yang Uyaina rasai. Apatah lagi selepas hampir dua puluh empat jam dalam pesawat. Lenguh satu badan.
“Kita tak balik rumah mama dengan papa?” Uyaina mendongak sambil menatap anak mata suaminya.
Ikmal tarik senyum. “Nanti je. Sekarang ni masa abang dengan Aina. Bukan Aina dengan diorang.” Sempat jejari Ikmal mencuit hidung Uyaina bersama senyuman manis. “Dah! Stop fikir sal diorang. Malam ni, only us!” sambung Ikmal sedikit tegas.
Uyaina tertawa kecil. Langkah dibawa ke tangga. Ikmal kata nak masak, masaklah. Terharu pula bila dilayan seperti permaisuri. Ikmal betul-betul buat dia rasa dihargai dan disayangi.
MASUK dalam bilik, Uyaina terpegun. Di atas kepala katil, terpampang gambar mereka ketika nikah setahun lepas. Terlakar indah senyuman Ikmal dalam gambar itu, manakala dia, hanya tersenyum hambar. Betapa jahilnya dia. Tidak mensyukuri nikmat yang diberi kepadanya. Bibir melorek senyum.
Katil dituju. Langkah terhenti di tepi rak. Di atas rak penuh dengan gambar mereka berdua yang dibingkaikan. Betapa cintanya Ikmal pada dirinya. Rasa kesal bertamu dalam hati. Betapa dia sudah mensia-siakan Ikmal selama setahun.
Share this novel