Bab 74

Romance Series 154867

UYAINA duduk berteleku di atas sejadah. Fikiran melayangkan memikirkan tentang kata-kata Ikmal tentang sikapnya terhadap Puan Hamida. Sebagai anak, hatinya juga kesal dengan perasaan marah yang tidak pernah habis.
"Sayang..."
Suara Ikmal kedengaran memanggil dari arah pintu.
Uyaina menoleh perlahan.
Ikmal sedang berdiri sambil membuka separuh pintu itu. Pandangannya melekat kemas di wajah Uyaina.
"Jom turun?" ajak Ikmal lembut.
Uyaina berfikir lagi. Sama ada nak turun atau terus duduk di dalam bilik. Tapi, sampai bila dia nak duduk dalam bilik semata-mata mahu mengelak dari adiknya dan Puan Hamida. Dia juga tahu erti lelah.
"Sayang, jomlah."
"Hmmm..." balas Uyaina lalu bangun dari duduk dan menanggalkan telekungnya.
Ikmal terus dengan senyumannya. Melihat Uyaina berdiri, dia lega. Sekurang-kurangnya Uyaina masih pandai mengalah.
"Mana mak?" tanya Uyaina sebaik mereka melangkah turun ke bawah.
Ikmal senyum segaris. Pinggang Uyaina dipeluk erat.
"Ada kat dapur."
Uyaina mengeluh perlahan.
Mendengar keluhan Uyaina, Ikmal ikut mengeluh.
"Pergilah borak dengan mak kat dapur. Abang saja ajak mak duduk sini. Biar Aina dengan mak dapat selami hati masing-masing," ujar Ikmal panjang lebar.
Uyaina hanya diam. Dia tahu Ikmal akan buat apa saja untuk perbaiki hubungan dia dan Puan Hamida. Tapi dia yang berdegil.

"Dah turun?" tanya Puan Hamida lembut ketika melihat Uyaina melangkah masuk ke ruang dapur, meninggalkan Ikmal di ruang tamu.
Uyaina ketap bibir. Tak tahu nak kata apa. Hanya mata memandang seraut wajah tua milik Puan Hamida. Meja tengah jadi destinasi.
"Mak tak payahlah masak. Aina masih boleh masak," tegah Uyaina sedikit mendatar. Dia menarik kerusi di meja tengah dan duduk.
Puan Hamida tersenyum mendengar kata-kata anaknya itu. Bersyukur bila Uyaina masih mahu bercakap dengannya. Mungkin dengan nada mendatar tapi Uyaina tetap juga bercakap. Perlahan Uyaina dihampiri.
"Mak rindu nak masak untuk Aina. Mak rindukan Aina."
Puan Hamida meluah penuh sebak. Kerusi di sisi Uyaina ditarik perlahan lalu duduk. Wajah Uyaina ditatap dari tepi.
"Kalau mak boleh putarkan masa, mak nak manjakan Aina macam anak perempuan lain. mak nak sayangi dan kasihi Aina macam yang lain. Mak tahu mak salah..." sambung Puan Hamida sayu. "Mak tahu mak tak layak..."
Uyaina menunduk meramas jari jemarinya. Sebak dada mendengar luahan hati Puan Hamida. Sebak mengenangkan kenangan-kenangan pahit yang pernah dia lalui angkara Puan Hamida. Tapi itu bukan persoalannya. Perlahan Uyaina memandang wajah Puan Hamida sambil menggigit bibir kuat.
"Mak menyesal?" tanya Uyaina sebak.
Puan Hamida tunduk merenung lantai dan mengangguk pantas.
"Sangat menyesal. Inilah perkara yang paling mak kesali dalam hidup mak." luah Puan Hamida lagi mengakui soalan Uyaina.
Uyaina menghela nafas yang mula sesak kerana sebak. Perlahan dia memusing tubuh menghadap Puan Hamida.
"Aina minta maaf kalau Aina tak layan mak baik-baik. Aina..." Uyaina teresak dan terus merebahkan tubuh ke pelukan Puan Hamida. Kata-katanya disusuli tangisan halus.
Puan Hamida turut mengalirkan air mata dan memeluk erat tubuh Uyaina. Seolah tidak mahu melepaskan lagi.
"Mak minta ampun Aina. Mak minta maaf."
Uyaina menggeleng dalam pelukan Puan Hamidah.
"Tak... Aina yang minta maaf sebab keras hati. Aina rindu mak."
Bergabung esakan tangis dua beranak itu. Masing-masing menyesali sikap sebelum ini.

IKMAL menghela nafas bersama senyuman di bibir. Dari tadi dia berdiri di tepi pintu dapur. Tak sangka Uyaina akhirnya merendahkan ego dan memaafkan Puan Hamida. Siap berpelukan lagi di dapur.
"Alhamdulillah. Terima kasih ya Allah."
Ikmal melangkah kembali ke ruang tamu. Tidak mahu mengganggu dua beranak itu. Bibir tidak henti-henti mengukir senyuman.
Rasa bahagia melihat uyaina akhirnya memilih untuk menoktahkan kedinginan dan kemarahannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience