DERINGAN telefon yang berkali-kali menjengah telinga, agak mengganggu Uyaina. Sebal menyelubungi hati. Kalau pemanggil itu bukan Puan Hamidah, pasti sudah dia jawab. Ini, Puan Hamidah. Dia belum bersedia untuk berbicara dengan Puan Hamidah. Kalau boleh, dia mahu melupakan seketika masalah ini.
Pintu pejabat yang dibuka tanpa ketukan, menarik perhatiannya. Sekali pandang saja, kelibat Harlina menjengah pandangan. Bibir diherot ke tepi.
“Kau nak apa?” tanya Uyaina malas. Tubuh disandar sepenuhnya ke kerusi.
Harlina mengatur langkah menuju ke kerusi yang terletak di hadapan Uyaina. Tarik kerusi dan duduk. Matanya langsung tidak melepaskan wajah Uyaina.
Uyaina berdecit malas.
“Kau pandang aku macam tu, kenapa?” soal Uyaina tidak puas hati.
Harlina tarik bibir senget. Saja mahu mempermainkan Uyaina.
“Aku nak ajak kau shopping. Dah lama juga kita tak luangkan masa berdua,” kata Harlina akhirnya.
Uyaina diam. Wajah Harlina dipanang beberapa saat.
“Aku takde moodlah…” leret Uyaina malas.
Harlina mencebik bibir.
“Kalau kau tak nak, aku ajak Ikmal. Boleh aku tumpang manja-manja dengan laki kau,” kata Harlina senagaja mahu mempermainkan Uyaina.
Terbeliak mata Uyaina mendengar kata-kata Harlina. Mata dibulatkan dan gigi dikatup rapat. Cemburu mula menyelinap masuk dalam hati.
“Kau jangan nak mengada. Aku cincang kau nanti,”
Meletus ketawa Harlina mendengar kata-kata Uyaina.
“Tahu takut. So, kau nak ikut atau tak?” Harlina kemukan soalan sambil menjongket kedua keningnya nakal.
Uyaina menjuihkan bibir.
“Kau saja nak kenakn aku kan? Kau tak kesiankan aku ke? Aku dah lah tengah mengandung…”
“Mengandung tak boleh jalan ke? Kalau tak, aku belikan kau kerusi roda,” pintas Harlina sengaja mahu mengenakan Uyaina.
Sekali lagi Uyaina menjuihkan bibir. Beg tangan hadiah pemberian Ikmal itu dicapai malas.
“Yelah, yelah! Ada kah nak belikan kerusi roda. Kau ingat aku cacat ke?”
“Nak buat macam mana. Kau banyak songeh,” kata Harlina sambil bangun dari kerusinya. Riak wajahnya mengejek Uyaina. Faham sangat dengan sikap Uyaina yang suka mengelak.
“KENAPA kau tak jawab telefon tu? Aku bingitlah!” Harlina separuh merungut sambil menjeling Uyaina yang sedang membuang pandang ke luar kereta. Tumpuannya memandu, terganggu seketika.
“Bukan hal kau lah,” balas Uyaina malas.
Harlina mencebik.
“Kau gaduh dengan Ikmal ke?”
Uyaina geleng sekali.
“Kenapa aku nak gaduh dengan Ikmal. Takde isu,” balas Uyaina malas.
Harlina kerut dahi. Kalau bukan gaduh dengan Ikmal, dengan siapa? Panggilan siapa yang tidak dijawab? Harlina tertanya sendiri. Akhirnya wajah seseorang menjengah minda.
“Mak kau ye”
Uyaina diam seketika dan akhirnya mengangguk kepala.
Harlina angguk tanda faham. Sesaat kemudian, wajah suram Uyaina dikerling. Terpanggil untuk memberi sepatah dua kata.
“Sampai bila kau nak layan mak kau macam ni? Kan ke dia kata yang dia dah menyesal?” tanya Harlina.
Uyaina menunduk seketika.
“Penyesalan dia tak beri apa-apa makna untuk aku, Har. Lagipun, apa yang dia dah buat selama ni pada ku, dah cukup untuk buat aku menderita,” balas Uyaina lemah.
Harlina diam sesaat. Hanya lagu Gundah, dendangan Ernie memenuhi ruang kereta. Cuba mencari kata-kata yang sesuai untuk Uyaina.
“Kau tak takut kalau tiba-tiba mak kau pergi untuk selamanya?”
Soalan itu menyentak tangkai hati Uyaina. Bibir diketap perlahan. Tiada jawapan yang terbit. Hanya minda berputar ligat memikirkan tentang perasaannya sendiri.
“Kau tak rasa apa yang kau buat sekarang ni melampau? Mak kau dah cuba minta maaf banyak kali. Tapi kau abaikan dia. Kau langsung tidak peduli tentang perasaan dia.” Harlina meluahkan apa yang ada di fikirannya ketika itu. Sambil itu, mata mengerling Uyaina sekilas.
Uyaina mengeluh kecil.
“Aku dah lama maafkan dia. Aku cuma tak bersedia nak jumpa dia.” Uyaina berdalih.
Harlina menggeleng kecil.
“Terpulang kaulah nak fikir apa. Jangan sampai kau menyesal. Nanti dah tak berguna. Bagi aku, ada baiknya kau mengalah. Perbaiki apa yang patut diperbaiki. Baru kau jumpa apa yang kau harapkan selama ini.”
Kali ini Uyaina diam. Bukan Harlina saja pernah menyuarakan perkara itu. Ikmal juga sudah berkali-kali menyampai pesanan yang sama. Tapi dia masih mahu pertahankan egonya sendiri.
“ADA seseorang nak jumpa.”
Ikmal yang sibuk menaip sesuatu, berhenti sejenak. Wajah setiausahanya itu dipandang sekilas.
“Siapa?”
“Katanya, adik Puan Uyaina.”
Berkerut dahi Ikmal. Adik? Minda cuba mengingatkan tentang gerangan yang dikatakan oleh setiausahanya itu. Gagal.
“Suruh dia masuk.”
Tidak sampai beberapa minit selepas setiausahanya keluar, sebatang tubuh gagah masuk ke dalam bilik bersama senyumannya.
“Assalamualaikum.”
Ikmal hanya merenung wajah itu tanpa berkelip. Dia langsung tidak pernah melihat empunya wajah itu. Arifkah?
“Waalaikumsalam.” Ikmal bangun sambil menghulur tangan. “Arif ke?” tanya Ikmal sambil menumpukan perhatian ke wajah Arif.
“Ye, saya Arif,” jawab Arif. Kali pertama bertentang mata dengan lelaki yang berjaya menambat hati Uyaina. Dia dilanda rasa kagum. Lelaki yang penuh dengan karisma itu dipandang bersama senyuman.
Ikmal tertawa kecil.
“Duduklah,” pelawa Ikmal perlahan. Dia turut duduk sambil memandang wajah Ikmal. “Ada apa nak jumpa saya ni?” tanya Ikmal.
Arif melabuhkan duduk sambil mata meliar ke sekitar bilik Ikmal. Tak sangka suami Uyaina ada pejabat sebesar itu.
“Mak ada kat KL,” beritahu Arif tanpa menjawab soalan itu. “Mak rindukan Aina,” sambung Arif lagi.
Ikmal tayang riak terkejut.
“Bila mak sampai KL? Mak tak bagitahu pun nak datang KL,” kata Ikmal hairan.
“Saya bawa dia datang KL. Sebab selalu sangat tak sihat. Nak harap Abang Mal, memang tak terjagalah,” jawab Arif. “Uyaina dengan…” Arif memandang Ikmal sambil menghentikan kata-katanya.
“Ikmal… panggil Ikmal cukup,” kata Ikmal sambil tersengih. “Kamu duduk KL ke? Kenapa selama ni tak pernah jumpa?” soal Ikmal hairan. KL bukannya besar sangat.
Arif tersengih mendengar soalan itu.
“Saya sibuk. Jarang ada masa nak berseronok mahupun berjalan jalan. Lebih banyak habiskan masa dengan kerja. Aina sihat?” Arif menjongket keningnya sekali.
“Alhamdulillah. Aina sihat. Cuma alahan sikitlah. Maklumlah tengah mengandung,” jawab Ikmal bersama senyuman di bibir.
Arif mengangguk.
“Alhamdulillah. Sebenarnya, saya datang ni sebab nak tanya. Macam mana nak jumpa dengan Aina? Sayapun dah lama tak jumpa dia. Banyak benda yang saya dengan mak nak cakap kat dia,” kata Arif perlahan.
Ikmal diam. Hati sedikit resah. Bukan tidak mahu mereka bertemu tapi dia lebih memikirkan penerimaan dan anggapan Uyaina padanya. Dia takut Uyaina salah sangka lagi nanti. Dia kalau boleh tidak mahu perkara itu terjadi.
Share this novel