Bab 7

Romance Series 154867

~Tinta kehidupan Uyaina~
~Bab 7

Mak Ngah Siah berkerut dahi melihat Said dan Uyaina yang sedang beriringan menuju ke rumah.Syakila yang berada di beranda rumah turut memandang pasangan itu.

"Padan kan mak?"

Tercebik Mak Ngah Siah mendengar soalan Syakila. Apa kena dengan menantu aku ni? Perempuan lain cemburu. Dia boleh tanya pula. Hanya gelengan diberikan oleh Mak Ngah Siah.

"Dari mana ni?" tanya Mak Ngah Siah curiga.Wajah Uyaina dan Said di pandamg silih berganti.

"Ni haa... Aina ni degil mak. Nak bermalam kat kubur arwah konon." Said menjeling Uyaina sambil mencebik bibir.

Uyaina diam. Tubuh Mak Ngah Siah dirapati. Tangan Mak Ngah Siah dicapai, di salam dan dikucup lembut.
"Apa khabar Mak Ngah?"

Mak Ngah Siah menarik Uyaina dalam pelukan sambil mengucup pipi Uyaina.Kemudian ditiliknya tubuh Uyaina dari atas ke bawah.
"Baik, Alhamdulillah. Aina pergi mana? Lama tak balik."

Uyaina senyum hambar. Wajah Syakila yang sedang tersenyum manis di atas kerusi roda di kerling seketika.Said yang sudah tunduk mengucup dahi Syakila juga dipandang. Rasa cemburu datang tiba-tiba.Namun dia berusaha mengawal riak wajahnya agar tidak terlihat oleh mata mereka.

"Aina ada je Mak Ngah. Cuma sibuk sikit."

Mak Ngah Siah tersenyum. "Jom masuk. Lama mak ngah tak jumpa Aina."

"Er... Takpelah. Aina nak balik Kl dah ni." Dah lewat..."

Buntang mata Mak Ngah Siah mendengar bantahan Uyaina. "Nak balik Kl? Bukan kamu baru sampai ke?"

Uyaina menunduk seketika. Satu senyuman kelat terukir di bibirnya.
"Mak tak nak Aina kat sini. Mak dah halau Aina balik."

"Allah! Apa kena dengan mak kamu ni Aina. Mak ngah sampai sekarang tak faham. Kenapa tak suka sangat kat kamu. Kamu bukannya buat salah apapun," bebel Mak Ngah Siah. "Kamu jangan mengada nak balik. Dah gelap ni. Esok aje kamu balik. Kalau mak kamu tak nak,tidur aje rumah mak ngah. Luas rumah ni. Bilikpun banyak." Mak ngah Siah menyambung bebelannya sambil menarik lengan Uyaina masuk.

"Degil mak. Said dah cakap kat dia tadi." Said mencelah sambil mencebik bibir. Kerusi roda Syakila ditolak perlahan masuk ke dalam rumah.

Uyaina terpaksa akur bila melihat kesungguhan Mak Ngah Siahnya. Kasihan juga pada Mak Ngah Siah.

SELEPAS makan malam, Uyaina membawa diri ke pangkin yang terletak di hadapan rumah Mak Ngah Siah. Merenung kegelapan malam yang semakin kelam tanpa cahaya bulan dan bintang. Seolah faham isi hati Uyaina yang kelam mencari cahaya.Rasa kecewa yang mengulit diri, dibiar saja. Kalaupun mahu meluah,pada siapa?

"Assalamualaikum." Suara lembut Syakila memberi salam membuatkan Uyaina menoleh bersama sekilas senyum.

"Waalaikumsalam," balas Uyaina. Dia sedar,sejak petang tadi,dia berusaha mengelak dari melihat adegan mesra Said dan Syakila.Takut cemburu terbit di hati.

Syakila tersenyum melihat kedinginan Uyaina. Dia sedar Uyaina mengelak untuk bertembung dengannya di dalam rumah. Waktu makan malampun, Uyaina langsung tidak memandangnya. Dengan itu,hatinya semakin yakin yang Uyaina masih lagi sukakan Said.

"Jauh termenung. Fikir apa?"tanya Syakila lembut.

Uyaina memandang Syakila lalu menoleh ke beranda rumah. Kelihatan Said sedang berdiri ditepi tiang sambil menyandarkan sisi kiri tubuhnya. Matanya menghala ke arah mereka berdua.

"Tak fikir apa." Ringkas dan dingin jawapan yang Uyaina berikan membuatkan Syakila senyum segaris.

"Tak sangka akak jumpa juga dengan Uyaina. Selama ni dengar cerita je dari abang," kata Syakila sedikit teruja.

Berkerut dahi Uyaina. Said bercerita tentang dirinya? Wajah Syakila dipandang beberapa saat.

"Apa abang cerita? Mengutuk?"

Syakila tergelak. Tak sangka Uyaina beri reaksi sedikit teruja. Nampak sangat ada hati.

"Abang kata,Aina budak baik. Lawa..." Syakila melirik wajah Uyaiana yang sudah tidak keruan."Dulu kami kahwin, abang kecewa sangat sebab Aina tak balik..." sambung Syakila sengaja mahu memancing Uyaina.

Uyaina tergelak. Jelas kepuraannya di situ. Mana mungkin Said kecewa. Drama!

"Akak cakap apa ni? Abang nak kecewa? Memang tak lah. Bukannya dia kisahpun kat Uyaina," bidas Uyaina.

Syakila melirik wajah Uyaina yang sedikit hampa saat menuturkan ayat itu."Aina suka abang kan?"

Nak tercekik rasanya bila dapat soalan begitu dari isteri lelaki yang dicintai dalam diam. Gila. Soalan apa ni? Laju mata dihala ke wajah Syakila yang sentiasa dihiasi senyuman.

"Akak tanya apa ni? Soalan merapu ke?" Uyaina mula tidak senang hati.

Syakila tergelak kecil. Tingkah Uyaina yang mahu mengelak dari berbalas pandangan kata dengannya meyakinkan dirinya tentang itu.

"Akak tanya betul-betul. Aina suka abangkan?" Syakila tidak putus asa. Dia benar-benar mahu tahu perasaan Uyaina kepada Said. Senanglah kerjanya mahu satukan pasangan itu.

"Kenapa pula Aina nak suka abang. Dia kan abang Aina," dalih Uyaina sedikit resah.

Syakila gelak lagi. Nak berdalih tapi wajah Uyaina tak mampu berdalih.

"Kalau Aina suka abang,akak boleh tolong," tawar Syakila tanpa berfikir panjang.

Hampir bercantum kening Uyaina mendengar kata-kata itu. Gila. Dia bingkas bangun dari duduknya dan menyapu punggung.

"Aina tak tahu apa yang akak maksudkan. Tapi Aina tak suka abang. Dan tak akan pernah!"

Habis saja berkata, Uyaina membawa tubuhnya pergi jauh dari Syakila. Tak pernah dibuat orang! Nak mengorek rahsia hati akulah tu! Dalam hati, Uyaina membebel.

Melihat Uyaina yang sudah menuju ke arahnya,Said mengerut dahi.

"Masuk dah..."

Uyaina mencebik."Tak. Nak tidur kat luar,"

Said garu kepala. Hanya mata mengekori langkah Uyaina yang sudah masuk ke dalam rumah.Tadi elok je berbual. Dia boleh lihat dari jauh Syakila tersenyum lebar dan tergelak-gelak. Kenapa tiba-tiba masuk.Syakila dihampiri.

"Kenapa Aina masuk tiba-tiba?"

Syakila menoleh. Terbit gelakan kecip dicelah bibir bila mendengar pertanyaan berbaur hairan itu.Said yang sudah ambil tempat di pangkin, dikerling seketika.

"Kila tanya kalau dia ada hati kat abang. Kalau ada, Kila boleh tolong,"

Jatuh rahang Said mendengar jawapan itu. Pantas mata mencari wajah tenang Syakila.

"Sayang ni tak habis-habis dengan isu ni kan?"

Syakila menyengih. "Abang dah janji dengan Kila kan. Jangan buat-buat lupa pula..."

"Tapi Kila..."

"Kila tak suka orang yang mungkir janji. Abang tahu kan?" Syakila menjongket kening nakal.

Said mengetap bibir. Apa punya bini lah ni? Geram bertamu dalam hati. Dia bangun lalu menghampiri Syakila. Pipi gebu Syakila itu dicubit kuat.

Syakila tergelak manja. "Abang...."

Tanpa sedar, Uyaina berdiri di tingkap rumah sambil menyaksikan kemesraan itu. Hatinya sarat dengan rasa cemburu. Ingin saja Uyaina cabut hatinya dan kunyah-kunyah. Biar hancur. Tak payahlah nak cemburu, nak kecewa sakit hati bagai!

Mak Ngah Siah yang sedang menuju ke bilik,berkerut dahi melihat Uyaina yang sedang berdiri di tingkap sambil memegang dada.Dia ikut terjenguk ke luar.

"Tengok apa tu...." Meleret suara Mak Ngah Siah.

Uyaina menggelabah terkejut. "Mak ngah..."

Mak Ngah Siah menyengetkan wajah sambil tersenyum nakal. "Aina masih suka kat Said ye?"

Bercantum kening Uyaina mendengar soalan itu.
"Errr... mana ada mak ngah. Aina anggap Abang Said tu macam abang sendiri," nafi Uyaina gagap.

Mak Ngah Siah gelak seketika." Tak payah nak tipulah. Mak ngah kenal kamu dari kecil. Said aje lelaki yang dekat dengan kamu,"

Membahang wajah Uyaina.Pandangan mata nakal Mak Ngah Siah buat dia menunduk malu. Malu tertangkap menyimpan hati pada suami orang.Ya Allah, malunya!

"Udah-udahlah tu Aina. Said dah kahwin. Carilah lelaki yang lebih baik. Lebih layak untuk kamu," sambung Mak Ngah Siah sambil membawa tubuhnya kembali ke laluan menuju bilik.

Uyaina diam.Hanya mata yang mengekor langkah Mak ngah Siah. Betul kata Mak Ngah Siah. Said sudah beristeri.Bibirnya diketap kuat dan langkah di bawa ke bilik yang menjadi tempat dia beradu.

"Kasihannya kau. Keluarga tak suka,lelaki yang kau sayang pun kahwin lain. Malang sungguh,"

Satu suara berbisik seakan memperlekehkan dirinya. Uyaina berdecit. Bisikan itu ditepis jauh.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience