BAB 63

Romance Series 154867

DERINGAN telefon Uyaina yang kedengaran dari dalam beg tangannya, mengganggu tumpuan Ikmal sekejap. Mata mula meliar mencari kelibat isteri kesayangannya. Hampir beberapa saat mengenalpasti keberadaan Uyaina, Ikmal putus asa. Lalu langkah dibuka satu persatu menuju ke meja solek. Tanpa rasa teragak-agak, beg tangan itu dibuka.
Sebaik saja menjengukkan pandangan ke dalam beg tangan itu, mata Ikmal melekat pada satu kotak kecil yang ada tertulis Regevidon. Hairan melihat perkataan yang jarang-jarang dia lihat, lupa pada telefon yang sedang berdering. Kotak itu dicapai pantas.
‘Amende pula Regevidon ni? Tak pernah dengar pun?’ bisik hati Ikmal sambil membelek kotak kecil itu. Tidak membuang masa, penutup kotak dibuka dan terus dikeluarkan isi kotak itu.
Hampir jatuh jantungnya seketika. Dada mula berdebar. Dia mungkin tidak pernah dengar perkataan yang tertera pada kotak, tapi dia tidak bodoh untuk mengenal pasti apa yang dia lihat sekarang. Malah dia pernah lihat mamanya mengambil ubat sama seperti itu untuk merancang satu ketika dahulu. Bezanya, nama pil itu Jasmine. Hati dipalu rasa kesal yang teramat.
Mendengar pintu itu dikuak dari luar, pantas Ikmal menoleh.

UYAINA berkerut dahi sebaik masuk ke dalam bilik. Apatah lagi melihat pandangan asing yang belum pernah sekali dia terima dari Ikmal. Pandangan dialih ke tangan Ikmal. Rasa mahu luruh jantungnya ketika itu. Apatah lagi setelah melihat apa yang sedang dipegang oleh Ikmal.
“Abang…” Uyaina atur langkah pantas menghampiri Ikmal. Ubat yang ada di pegangan Ikmal cuba dicapai, tapi Ikmal melarikan tangannya.
“Apa ni?” soal Ikmal perlahan. Pandangannya tepat ke wajah Uyaina.
Uyaina jeda. “U… ubat…”
“Ubat apa?” soal Ikmal lagi.
“E… er… ubat…”
“Ubat perancangkan?” soal Ikmal, memintas dengan nada kecewa.
Uyaina ketap bibir. Soalan Ikmal buat dia tertunduk seketika.
“Kenapa Aina?” tanya Ikmal sambil menggenggam erat kotak itu. Habis renyuk kerana geram. Rasa kesal, kecewa dan terkilan silih berganti menghantui hati. “Kenapa buat abang macam ni?” tanya Ikmal lagi dengan nada lirih.
Uyaina ketap bibir. Tidak tahu apa jawapan yang perlu dia beri kepada Ikmal.
“Aina minta maaf abang. Aina cuma…” Uyaina tidak mampu menghabiskan ayat. Mindanya beku. Tidak berani menatap pandangan kecewa Ikmal, dia tundukkan wajah. Bibir diketap perlahan.
Ikmal berdecit. “Cuma apa? Hah?”
“Abang… Aina Cuma tak bersedia nak mengandung,” kata Uyaina, akhirnya memuntahkan jawapan yang bakal menghancurkan sekeping hati yang selama ini mengharapkan kehadiran cahaya mata dalam hidup mereka.
Ikmal terangguk kecewa. Tangan yang tadi diangkat tinggi, dijatuhkan kasar. Pandangan dipaling ke arah lain. Tidak mampu menahan sakit hati, Ikmal jadi lemah dan terduduk di atas kerusi.
“Abang…”
Ikmal angkat tangan tanda tidak mahu mendengar apa-apa. Pil perancang itu diserahkan kembali kepada Uyaina lalu bangun perlahan.
“Abang kecewa dengan Aina. Selama ni, abang berharap yang Aina sudi lahirkan cahaya mata untuk abang. Tapi, abang tak sangka ini yang Aina buat belakang abang,” luah Ikmal lirih.
Uyaina gigit bibir. Tahu yang lelaki itu kecewa. Melihat Ikmal mula melangkah, Uyaina capai lengan Ikmal.
“Abang kena dengar penjelasan Uyaina dulu,”
Langkah Ikmal terhenti. Sambil mendengus tawa, Ikmal memusing tubuh menghadap Uyaina.
“Then Explain, Aina?!” Melantun tinggi suara Ikmal kerana menahan marah. Pandangan mata, tajam menikam wajah Uyaina.
Uyaina membalas pandangan itu. Cuba memberi kekuatan pada dirinya untuk menjelaskan punca sebenar.
“Aina takut abang akan lukakan hati Aina. Aina takut abang tinggalkan Aina macam…”
“Macam Said tinggalkan Aina? Macam Said buat kat Aina?” soal Ikmal memintas kata-kata Uyaina. Pandangan ditanam ke anak mata Uyaina yang sudah mula berkaca.
Uyaina angguk lambat-lambat sambil menggigit bibirnya kuat. Tidak mampu bersuara untuk menjawab.
Ikmal tergeleng sekali. Tidak sangka yang Uyaina boleh samakan dirinya dengan Said.
“Sampai hati Aina samakan abang dengan Said? Selama ni abang dah buat macam-macam untuk buktikan pada Aina yang abang tak akan pernah tinggalkan Aina. Abang sayangkan Aina macam abang sayang nyawa abang sendiri. Tapi, Aina?” Ikmal geleng kepala perlahan. Kecewa dan terkilan. Sia-sia dia untuk menangi hati Uyaina selama ini kalau Uyaina masih menganggap dia seperti lelaki lain. “Buruk sangat ke abang di mata Aina sampai Aina boleh fikir macam tu? Pernah ke abang layan Aina tak baik? Pernah abang khianati Aina? Hah?” Kedua bahu Uyaina dipegang dan anak mata Uyaina dicari.
Uyaian tertunduk kesal. Melihat mata Ikmal yang sudah berkaca, rasa kesalnya makin menggunung.
“A… Aina minta maaf, abang,” ucap Uyaina sebak. Cuba mencapai lengan Ikmal, tapi Ikmal menepisnya perlahan.
Ikmal mengangkat kedua tangannya, jauh dari capaian Uyaina. Kepala digeleng perlahan.
“I am so disappointed, Aina!” Usai berkata, Ikmal mengatur langkah menuju ke pintu bilik untuk keluar. Meninggalkan Uyaina yang sudah diburu kekesalan.
Pemergian Ikmal dihantar dengan pandangan kecewa. Kecewa dengan dirinya sendiri kerana melukakan hati lelaki yang selama ini sudah ikhlas menerima dirinya. Ikhlas menyayangi dan menyintai dirinya.
IKMAL memberhentikan keretanya di bahu jalan. Tubuh disandar lemah ke kerusi. Tidak tahu mana arah tujuan ketika itu. Mahu pulang ke rumah kedua orang tuanya, dia tidak mahu dirinya disoal dengan soalan yang tidak menentu. Hendak pulang ke rumah, hatinya tawar seketika.
Patutlah selama ini Uyaina beria mengelak setiap kali mereka berbicara tentang anak. Ternyata itu yang dirancang oleh Uyaina tanpa pengetahuannya. Terkilan sangat.
Bunyi mesej masuk menarik perhatian. Tanpa membuka kunci pun, Ikmal boleh membaca mesej yang Uyaina hantar padanya.
‘Aina minta maaf, abang. Bukan niat Aina nak sakiti abang. Tapi, Aina rasa Aina ada hak untuk buat keputusan tentang diri Aina.’
Sekali lagi Ikmal rasa kepalanya bagai dihempap langit. Cara Uyaina seolah-olah dia adalah suami yang langsung tidak berguna. Telefon itu dicampak kasar ke kerusi sebelah. Wajah diraup kasar dan stering kereta dipukul kuat. Dia tidak pernah rasa sesakit itu sebelum ini.
Untuk seketika, hati jadi rapuh dan kecewa. Harapan yang disemai bagaikan hilang diterbangkan angin. Seandainya dia tahu ini yang Uyaina rancang, dia tidak akan menyimpan harapan dalam perkara itu.

“ABANG dari mana?”
Langkah Ikmal terhenti di hujung anak tangga. Tidak menoleh biarpun sekali, Ikmal meneruskan langkah mendaki tangga.
Uyaina ketap bibir. Kecewa kerana diabaikan. Langkah Ikmal dikejar pantas.
“Abang, Aina tanya ni?”
Ikmal mendengus perlahan. Dia berhenti melangkah lalu menoleh ke belakang. Tepat di wajah Uyaina.
“Aina cakap, Aina berhak buat keputusan kan? Biar abang tunjuk pula macam mana bila abang yang dah buat keputusan. Jangan pertikaikan dan jangan tanya. Hak abang nak pergi mana-mana!” kata Ikmal sambil memusing tubuh dan kembali mendaki tangga.
Uyaina tersentak kecewa. Hilang sudah kasih sayang yang terpancar diwajah lelaki itu. Yang ada hanya riak kecewa dan terluka.
“Takkan sebab ni abang nak layan Aina macam ni?” soal Uyaina tidak puas hati.
“Takkan sebab Aina pernah dikecewakan dan dilukakan oleh Said, Aina buat abang macam ni?” Ikmal menoleh sambil menjongket kening.
Uyaina berdecit lemah.
“Tapi ab…”
“Stop it, Aina. Abang dah tak nak dengar apa-apa untuk masa sekarang. Lepas ni terpulang pada Aina. Nak buat apa, buatlah. Suka hati Aina. Hidup Aina kan?” Ikmal bersuara kecewa.
Uyaina menarik nafas sedalamnya. Nampak sangat yang Ikmal sedang menahan rasa kecewa di dalam hati.
“Tapi… Aina juga berhenti masuk campur urusan hidup abang. Abang nak tengok sejauh mana Aina bertahan dengan prinsip hidup Aina yang satu tu!”
Bum! Pintu bilik itu dihempas kasar, menghentikan langkah Uyaina di depan pintu bilik.
Uyaina terkedu. Baru saja mahu mengangkat tangan untuk memegang tombol pintu, Ikmal membuka pintu itu. Lebih mengejutkan, Ikmal siap membawa bantal dan selimut.
“Abang nak pergi mana ni?”
“Selagi Aina fikir yang bukan-bukan tentang abang, abang tidur bilik sebelah.”
Uyaina terkaku. Ikmal yang selama ini tidak pernah marah dan kecewa padanya betul-betul sudah berjauh hati. Pemergian Ikmal dihantar dengan pandangan kesal dan kecewa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience