UYAINA melangkah ke pintu rumah bila terdengar bunyi memberi salam dan ketukan serentak. Sekali buka, wajah berubah riak bila ada tiga batang tubuh terpacak di hadapan rumah. Satu saja yang dia kenal. Ikmal. Yang dua lagi tak tahu siapa.
"Hai," sapa Uyaina sambil dahi berkerut seribu. Siapa pula pasangan yang dibawa Ikmal itu.
Ikmal senyum. "Hai future wife..."
Serentak Uyaina berdecit. Bibir di katup rapat dan pintu dibuka luas tanda memberi ruang untuk tiga makhluk itu masuk. Ikmal nak kisah ke kalau dia larang masuk. Lagipun, dia perlu hormati rakan-rakan Ikmal. Takkan dia nak tunjukkan yang dia tak suka Ikmal datang rumah dia. Sah-sah Ikmal malu.
"Masuklah...."
Pantas saja tiga batang tubuh itu melangkah masuk.
"Saya Shima dan ini suami saya Khalil," kata Shima sambil senyum. Wajah Uyaina ditilik seketika. Patut pun Ikmal tergila-gila. Lawa. Dia terkagum sekejap.
"Hai...." sapa Khalil pula. Dalam diam, dia kagum dengan pilihan hati sahabatnya.
"Saya Uyaina. Panggil Aina je," kata Uyaina sambil tersenyum janggal. Entah ikhlas, entah tidak. "Jemputlah duduk. Maaf, sebab rumah ni tak seberapa. Saya tak keluar lagi beli barang. Baru sampai dari Malaysia dua hari lepas," sambung Uyaina malu.
Shima tersenyum segaris. Batang tubuh Uyaina ditilik dari atas ke bawah. Sementara Khalil dengan Ikmal sudah menuju ke sofa.
"Awak sihat?" tanya Shima berbasa basi.
"Alhamdulillah. Saya okey. Kenapa tanya macam tu?" Uyaina jongket kening sambil memandang Ikmal.
"Saje tanya. Muka nampak pucat," komen Shima.
Mereka beriringan menuju ke sofa dan Shima melabuh duduk disamping suaminya.
"Duduk dulu ye. Saya ambilkan air," kata Uyaina lembut sambil membawa langkah ke dapur.
"Tak payah. Kami datang ni nak teman awak pergi beli barang rumah dan dapur," tegah Ikmal lembut.
Langkah Uyaina terhenti di situ. Minda membeku sejenak. Perlahan dia menoleh sambil menjongket kening.
"Kenapa pula? Saya boleh je beli barang sendiri," kata Uyaina tidak puas hati.
Ikmal bangun tanpa mempedulikan Khalil dan Shima yang sudah berpandangan. Tubuh Uyaina dihampiri.
"Boleh tak kalau awak ikut saja apa yang saya cadangkan. Awak tu mengandung. Bukannya kuat sangat," kata Ikmal sebaik tubuhnya tegak menghadap tubuh Uyaina dengan jarak yang agak dekat.
Uyaina mendengus. Dia tidak mahu terhutang budi pada lelaki itu. Lantas tangan Ikmal yang berlapis dicapai dan Ikmal ditarik ke dapur.
"Boleh tak awak berhenti masuk campur urusan hidup saya?" soal Uyaina sambil melepas kasar lengan Ikmal.
Ikmal membalas pandangan itu sambil menjongket kening. Bibir diherot ke tepi dan wajah dibawa menghampiri wajah itu membuatkan Uyaina terpaksa membongkokkan tubuhnya ke belakang. Tangannya menolak dada Ikmal.
"Tak boleh!" tegas Ikmal sambil laju menarik wajahnya jauh dan senyuman nakal dilorek.
Uyaina berdecit. "Ikmal...."
"Shhh...." Jari telunjuk Ikmal tegak di bibir Uyaina sambil mata dikenyit nakal.
Uyaina terpaku sekali. Jantung berdetak laju dan dada mula berdebar. Lelaki itu betul-betul nak buat dia pitam kat situ. Ada saja gelagat yang buat dirinya tidak tentu arah.
Ikmal jongket kening pula.
"Boleh tak kalau sekali ni saja awak ikut cakap saya? Saya risaukan awak. Awak bukannya sihat sangat." Ikmal menjatuhkan tangannya ke bawah.
Uyaina membisu tapi otak berputar ligat tentang alasan penolakan.
Melihat Uyaina diam, Ikmal senyum seketika dan mula melangkah.
"Kenapa awak nak kisah tentang saya? Kenapa awak nak pedulikan saya sedangkan saya bukan sesiapa awak?"
Langkah Ikmal terhenti di sisi Uyaina. Wajah Uyaina yang suram dikerling sekilas. Nafas ditarik sedalamnya.
"Sebab saya ditakdirkan untuk peduli dan ambil kisah untuk awak,"
Uyaina menunduk seketika. Mendengar kata-kata Ikmal buat hati dilanda sebak. Orang luar yang baru dikenali itu terlalu mengambil berat tentangnya.
"Saya tak nak terhutang budi dengan awak, Ikmal," kata Uyaina sebak tanpa memandang Ikmal.
"Saya tak minta awak balas, Aina. Saya cuma nak jaga awak. Itu saja,"
"Tapi saya tak perlukan awak. Saya boleh hidup sendiri,"
Ikmal mengeluh kasar. "Saya tahu awak terkilan dengan kisah hidup awak. Tapi tak bermakna awak boleh tolak saya tanpa kenali hati budi saya, Aina. Saya ikhlas dan ambil berat semua tentang awak. Saya tak akan ulang benda ni lagi sebab saya tahu satu masa nanti awak akan faham!"
Uyaina kehilangan kata-kata.
MALAMNYA, Uyaina mencapai lambat-lambat buku catatan kehidupannya. Lama dia tak sentuh buku itu. Kini jari jemarinya teringin mencoretkan sesuatu. Buku itu dibuka perlahan. Catatan terakhirnya semalam sebelum dia bergelar isteri dan seterusnya bergelar janda. Pen yang terselit ditarik keluar dan ditekan. Jari jemarinya mula mencoret setiap bait yang muncul di fikirannya.
Mengimbau kenangan saat menanti waktu diijab kabul, aku menyelit rasa gembira dan bahagia di sudut hati. Biarpun ketika itu aku tidak pasti, adakah bahagia itu yang aku impikan. Siapa sangka, derita menanti dibalik semua ini. Ya Allah.... Hati semakin rapuh. Rawan semakin menyelubung hati.
Jauh aku pergi membawa kisahku. Berharap ada sinar bahagia untukku. Namun kehadiran satu nyawa dalam rahim sekali lagi memusnahkan harapan ku. Adakah ini takdir terindah buat ku? Entahlah.
Ikmal, kehadiranmu bagai cahaya yang tidak pernah hadir. Datang tatkala aku perlu seseorang. Tapi aku memilih untuk memintas segala harapan dan membekukan diri dari menerima huluran mu. Aku tidak mahu terikat pada budi yang kau hulurkan.
Share this novel