MASUK sahaja ke dalam rumah, langkah Uyaina terhenti sebaik telinga menangkap bunyi gelak tawa di ruang tamu. Pantas mata dihala ke ruang tamu.
Berkerut dahi melihat kelibat Puan Hamidah dan Arif di situ. Kemudian pandangan dialih ke arah Ikmal yang kelihatan riang gembira melayan mereka. Terbit decitan halus dari bibir. Entah apa lagi yang mereka mahukan dari dia. Tidak cukup lagikah apa yang pernah mereka tunjuk padanya selama ini. Takkan nak tinggal di rumah itu pulak.
Tanpa menyinggah di ruang tamu, Uyaina menonong ke tangga rumah. Saja buat-buat tak nampak.
“Aina…” Lembut suara Ikmal memanggil. Sekaligus membuatkan langkah Uyaina terhenti di tengah-tengah rumah. Pusing tubuh, Uyaina tanam pandangan tajam ke wajah Ikmal.
“Mak dengan Arif datang nak jumpa sayang ni…” Ikmal melemparkan isyarat mata. Mahu isteri kesayangannya itu melayan Puan Hamidah dan Arif.
Uyaina berdecit kasar. Wajah Puan Hamidah dan Arif dipandang sekilas dan tunduk memandang kaki sebelum kembali memandang wajah Ikmal.
“Aina nak naik rehat!” Tegas Uyaina senafas.
Ikmal diam. Bangun dari duduk dan terus menghampiri Uyaina. Sempat dia melemparkan senyuman buat Arif dan Puan Hamidah. Dari wajah Puan Hamidah dan Arif, jelas terpampang riak kecewa. Masing-masing memilih untuk tunduk memandang lantai.
“Tak baik buat mak dengan Arif mac…”
“Abang nak layan, layanlah. Tak payah libatkan Aina. Dan…” Uyaina pandang wajah Puan Hamidah dan Arif. “Jangan minta Aina buat apa-apa kebaikan pada mereka!” Usai habiskan ayat, Uyaina atur langkah menuju ke tangga rumah. Langsung tidak mahu bertoleransi biarpun sekali.
“Aina…” Ikmal cuba meraih lengan Uyaina.
Uyaina merentap lengannya sambil menghadiahkan jelingan tajam.
“Mereka tetamu abang. Bukan tetamu Aina!” tegas Uyaina tanpa memandang Puan Hamidah dan Arif. Langkah kembali diatur.
Ikmal mengeluh kesal. Malu pun ada.
“Takpe, Ikmal. Biarkan Aina. Mak tahu dia masih marahkan mak,” kata Puan Hamidah lembut, singgah di pendengaran Ikmal.
Ikmal menoleh dan tersenyum kelat. Cuba mengusir rasa kecewa yang mengunjungi hati.
“Mal minta maaf, mak. Mal gagal jalankan tanggungjawab Mal sebagai suami,” ucap Ikmal seraya melangkah kembali kepada Puan Hamidah dan Arif.
Arif hanya tersenyum kelat.
“Kesilapan berpunca dari kami. Bukan sebab didikan Ikmal,” balas Puan Hamidah lembut.
“Betul tu Ikmal. Kami yang mulakan semua ni. Kalau bukan sebab layanan kami sebelum ni, Aina takkan jadi macam ni,” kata Arif mencelah.
Ikmal melabuhkan duduk di hadapan mereka. Wajah dua beranak itu dipandang silih berganti.
“Ikmal janji pada mak yang Ikmal akan pujuk Aina,” ujar Ikmal perlahan sambil meramas kedua belah tangannya. Risau juga kalau Uyaina betul-betul sudah tidak dapat menerima keluarganya sendiri. Memanglah syurga di bawah telapak kaki suami. Tapi, tak bermakna Uyaina boleh biarkan keluarganya seperti itu. Nanti, apa kata mereka.
SEJAK tiba dari tempat kerja, Uyaina langsung tidak turun untuk menjenguk mereka di bawah. Sejujurnya, dia masih belum sedia untuk bertemu dengan mereka setelah apa yang berlaku selama ini. Bertahun dia menyimpul luka kerana keluarganya sendiri.
Bunyi pintu dibuka, membuatkan Uyaina menoleh ke pintu bilik. Pandangannya terus melekat pada Ikmal yang baru masuk. Tanpa sapaan, Uyaina bangkit dari duduk dan terus menuju ke ruang almari.
“Sampai bila sayang nak tunjuk sikap macam ni pada keluarga sendiri. Mereka datang nak jenguk sayang. Nak pastikan yang sayang sihat atau tak,” tegur Ikmal lembut. Pandangan matanya langsung tidak melepaskan tubuh Uyaina sehingga hilang di sebalik dinding.
Uyaina pekakkan telinga. Kalau boleh, mahu saja dia mengambil putik kapas atau apa saja yang boleh menghalang pendengarannya ketika itu.
Bila tiada balasan, Ikmal atur langkah ke ruang almari. Dia tidak puas hati selagi Uyaina tidak menjawab kata-katanya.
“Abang cakap pun, Uyaina dah tak nak dengar ke?” soal Ikmal lembut.
Uyaina yang baru mencapai tuala mandi, menggenggam erat hujung tuala itu. Bibir diketap kuat. Terbayang kembali bagaimana teruknya dia diperlakukan oleh keluarga sendiri. Dimaki hamun oleh Puan Hamidah dan diperlekehkan oleh Arif, juga Azmal. Mungkin Arif tidaklah seteruk mereka, tapi Arif juga tidak pernah mahu membela dirinya.
“Kalau abang yang lalui semua ni, belum tentu abang dapat maafkan mereka.” Uyaina menekan ayatnya. Pandangan dihala ke arah Ikmal.
“Tak… abang bukan seorang pendendam sampai susah nak terima keluarga sendiri. Sebab abang percaya pada ketetapan yang Allah dah beri dalam hidup abang,” balas Ikmal lembut.
“Itu abang. Bukan Aina. Hakikatnya, abang tak pernah lalui apa yang Aina pernah lalui. Abang tak pernah hadap zaman kanak-kanak dan zaman remaja yang seteruk itu. Dibuli, dimaki hamun dan diperlakukan seperti hamba sedangkan Aina duduk dalam rumah keluarga sendiri.” Uyaina menanam pandangan ke wajah Ikmal. Tanpa sedar, air mata runtuh lagi. Mengenangkan zaman kanak-kanak dan zaman remaja yang sebegitu, sangatlah menyakitkan hati. Masih segar di ingatannya, bagaimana Puan Hamidah memaksa dia melakukan semua kerja dalam rumah, biarpun usianya baru empat tahun.
‘Anak sial! Tak guna! Bodoh! Baik kau tak payah lahir!’
Kata-kata yang berulang kali Puan Hamidah ucapkan padanya satu ketika dulu seakan sebati dalam jiwanya. Tidak ada satu perkataan pun yang mampu dia hapuskan dari ingatan.
“Memang abang tak pernah lalui semua itu. Tapi… abang faham apa yang sayang rasa,” pujuk Ikmal lembut. Tubuh isterinya dirapati.
“Tak! Abang tak kan pernah faham sakit yang Aina pernah rasa. Sekalipun abang takkan faham!” tegas Uyaina. Jari jemari digenggam seeratnya. “Hati Aina tak pernah sembuh biar sesaatpun, abang. Dan tak mungkin sembuh!” sambung Uyaina tegas.
Ikmal menghela nafas berat. Bahu Uyaina disentuh lembut. Anak mata Uyaina ditatap seketika.
“Sayang… abang tahu dan abang faham apa yang sayang lalui tu menyakitkan. Tapi, abang nak sayang tahu seperkara. Hidup kita ni bukannya selalu di tempat yang sama. Kadang kita di bawah dan kadang kita di atas. Allah dah atur cantik perjalanan hidup kita. Kalau ada ruang atau peluang untuk mencipta kisah bahagia, kenapa tak mencuba?” Ikmal memujuk lembut.
Uyaina teresak. Tunduk memandang lantai sambil menyeka air mata.
“Aina takut, Aina tak kuat bila kecewa lagi.”
Ikmal meraih tubuh Uyaina dalam pelukan. Ubun-ubun Uyaina dikucup lembut.
“Betulkan niat dan bila kecewa, fikirlah…” Ikmal berhenti berkata. Jari jemarinya naik ke wajah Uyaina. “Bahagia akan kembali selepas kecewa. Sinar akan datang selepas kegelapan dan pelangi akan muncul selepas hujan,” sambung Ikmal lembut.
Uyaina mendongak.
“Trust me. Tiada perkara yang lebih mulia dan membahagiakan selain memaafkan dan menerima dengan ikhlas. Selagi niat mereka betul, kita terima sebaiknya. Dan jika ada niat yang tidak benar antara kita, pasti akan ada balasannya. Abang percaya, keluarga sayang dah berubah. Kalau tak, diorang takkan datang jumpa sayang,” pujuk Ikmal lagi sambil mengelus rambut Uyaina lembut.
Uyaina mengeluh kecil.
Mendengar keluhan kecil Uyaina, Ikmal mengeratkan pelukan. Sekali lagi dahi Uyaina jadi mangsa bibirnya. “Jangan menangis sebab perkara yang lalu. Tapi senyumlah untuk bayangan masa depan yang indah. Hidup kita memang tak selalunya indah. Tapi tetap ada terselit biarpun hanya sesaat.”
Uyaina menolak perlahan tubuh Ikmal dan menarik tuala yang dipegangnya sebentar tadi.
“Aina nak mandi,” kata Uyaina. Sebenarnya, mahu melarikan diri dari terus mendengar kata-kata Ikmal. Dia penat.
“Fikirlah baik-baik. Abang percaya, sayang tahu bezakan yang baik dan yang tidak baik. Abang tahu sayang dah matang untuk berfikir dan membuat keputusan. Jangan sampai terlambat. Masa sentiasa berjalan meninggalkan kita,” pesan Ikmal lembut.
Sekali lagi Uyaina kehilangan kata-kata. Ikmal benar-benar seorang lelaki yang bertanggungjawab. Setiap bait kata-katanya penuh dengan makna yang tersirat. Untuk membidas, dia tidak mampu.
Assalamualaikum semua... Eyfah minta maaf sangat-sangat. mesti korang tunggu lama kan? 1st, Eyfah punya kwasan rumah sekarang, line internet sangat tak membantu. Medsos pun kdg2 kena loading lama-lama. inikan pula Novelplus. terkelip-kelip mata tunggu. last2 tutup. 2nd, Eyfah busy siapkan Ebook MR. BAIHAQI, SUAMI PALING SEMPURNA, 14 HARI YANG TERINDAH dan satu lagi projek dengan kawan-kawan penulis lain. 3rd, Eyfah sibuk bergaduh dengan anak-anak di rumah. Sebab anak-anak dah jadikan rumah sebagai taman permainan sejak pkp. So, asal nak menulis, kena bolalah, kena baling dengan bantallah. Nak mengamuk tak boleh. Hanya mampu tahan sabar. Malam pula, Eyfah cepat ngantuk sejak PKP ni. yelah. lemau asyik tengok dinding je. Bilalah kita boleh jalan-jalan kan? Sekali lagi Eyfah susun sepuluh jari memohon maaf. Semoga awak semua dalam lindungan Allah S.W.T. Stay safe guy's Love you all
Share this novel