BAB 25

Romance Series 154867

UYAINA terjaga dari lena bila tekak tiba-tiba rasa tidak selesa. Mual dan rasa ingin muntah. Pantas saja langkah dibawa ke bilik air. Habis satu sinki penuh dengan muntahnya.

Dahi berkerut cuba memikirkan sesuatu. Kalau-kalau ada tersilap makan. Mustahil! Ataukah tidak sesuai dengan suasana baru? Juga mustahil. Ataukah? Lemah lutut Uyaina bila ingat apa yang berlaku dua bulan lalu. Bibir diketap kuat. Mustahil!

Sekali saja perkara itu berlaku. Itulah pertama dan itulah kali terakhir. Mana mungkin begitu mudah melekat. Kepala digeleng berkali-kali. Wajah dibasuh sekejap lalu Uyaina angkat wajah. Melalui cermin dia dapat melihat wajah dan bibirnya yang sedikit pucat. Tangannya yang menggenggam bingkai sinki tandas semakin lemah dan akhirnya dia melorot ke lantai tandas bersama hati yang sarat dengan perasaan bercampur aduk.

Lutut ditarik ke dada dan wajah ditekup ke lutut. Rasa takut menggunung dalam hati. Air mata turut terbit dari celahan hujung mata. Gigi diketap kuat. Sumpah! kalau ini dugaannya, dia belum pasti mampu untuk menghadapnya.

Dalam keadaan dirinya sendiri tanpa sokongan dari sesiapa, bagaimana untuk dia menghadapi segalanya. Wajah diraup kasar lalu dia bangun. Jawapan perlu ada untuk semua itu.

SEBAIK membuka pintu apartment, Sejambak bunga ros disua ke wajah. Serentak mual datang menjengah tekak. Tanpa sempat menutup pintu, Uyaina berlari kembali masuk ke dalam apartment tanpa memikirkan empunya diri yang menyuakan jambangan bunga itu. Tandas dituju pantas. Habis segala isi perut yang baru masuk, keluar.

Selesai membasuh muka dan mulut, Uyaina ketap bibir kuat.

Ni tak lain, tak bukan mamat sengal tu lah! Hati mula menggerutu geram. Kenapa lelaki itu masih berada di situ. Kenapa tak balik Malaysia je. Semak!

Keluar dari bilik air, mata terkunci pada sebatang tubuh yang berdiri di hadapan pintu bilik air. Bila pula mamat ni masuk? Hati tertanya sendiri.

"Awak okey? Tak sihat ke? Salah makan?" Bertalu soalan keluar dari bibir Ikmal. Terkejut bila Uyaina tiba-tiba berlari masuk ke dalam rumah sambil menekup mulut sebaik dia menyuakan jambangan bunga ros yang dibawanya.

"Awak buat apa kat sini? Tak puas lagi ganggu hidup saya?" soal Uyaina sebal. "Sampai masuk dalam rumah. Awak tahu tak... haram lelaki masuk dalam rumah perempuan yang tiada pertalian?" Sekali pakej jelingan Uyaina beri pada Ikmal.

Ikmal garu kepala. "E...er... saya risau bila tengok awak tiba-tiba lari. Awak sakit ye? Saya bawa pergi klinik?" Siap tawarkan diri untuk membawa Uyaina ke klinik.

Uyaina mendengus kecil. " Pergilah balik. Saya tak perlukan awak. Kalau awak nak cari perempuan, cari yang lain. Banyak lagi yang lebih baik dan lebih layak dari saya,"

Ikmal senyum. Hati resah bila melihat wajah pucat Uyaina. Mata menilik tangan Uyaina . Selamat kalau nak sentuh. Berlapis jaket. Tanpa amaran, pergelangan tangan Uyaina dicapai laju.

"Saya bawa awak pergi klinik. Muka awak pucat."

Uyaina merengus. Sekali rentap saja, tangannya terlepas dari pegangan Ikmal.

"Tolonglah Ikmal. Pergilah. Saya tak perlukan awak!"

Ikmal terkaku. Sekali lagi keprihatinan yang dia tunjukkan ditolak oleh Uyaina. Dan perempuan itu adalah perempuan yang sudah mencuri tumpuannya sejak beberapa bulan lalu.

"Pergilah, Ikmal. Saya tak suka awak. Saya tak suka dengan gangguan-gangguan awak ni..." kata Uyaina sambil pusing tubuh menuju ke dapur. Selangkah ke dapur, Uyaina mula pening. Dua langkah, pandangan berpinar. Tiga langkah, dia akhirnya pitam.

Wajah Ikmal berubah serta merta. Belum sempat tubuh Uyaina mencecah lantai, dia menyambut dengan wajah gelisah dan panik. Gila tak panik. Kalau ada apa-apa jadi, tak ke sia-sia Uyaina nanti.

"CONGRATULATIONS! Your wife is pregnant 9 weeks..."

Bagai guruh berdentum sekaligus memecah gegendang telinga Ikmal. Kaki seakan dipaku ke lantai. Bibir terkunci rapi. Minda berhenti berfungsi. Hati dijajah rasa kecewa dan terkilan. Baru saja dia menyangka Uyaina gadis yang baik-baik. Kalau gadis itu sudah berkahwin, dia tidak akan pergi sejauh itu. Kalau gadis itu sudah berkahwin, mana suaminya dan kenapa dia berada di London tanpa sesiapa pun?

Wajah Uyaina yang terbaring di atas katil rawatan, direnung sedalamnya. Siapa sebenarnya Uyaina. Kenapa dia dipertemukan dengan gadis itu sedangkan gadis itu...

Biar dia saja yang tahu apa anggapannya pada gadis itu. Sekarang, dia cuma inginkan kepastian. Kalau betul gadis itu sudah bernikah, dia akan jauhkan diri. Tapi bagaimana kalau masih bujang? Dia tiada jawapan itu.

SEBAIK membuka mata, pandangan Uyaina terkunci pada siling putih dan hidung terhidu bau yang kurang menyenangkan. Perlahan dia mengalih pandang ke sisi. Mata melekat pada seraut wajah milik Ikmal yang setia merenung dirinya.

"Ikmal... saya kat mana?"

"Klinik," jawab Ikmal sepatah.

Spontan Uyaina bangun sambil cuba menurunkan kakinya ke lantai. Namun Ikmal pantas bangun menghalangnya.

"Awak perlu rehat. Doktor cakap awak tak cukup rehat. Sebab tu awak pengsan," kata Ikmal sambil memaksa Uyaina kembali baring.

Uyaina berdecit. Kedua tangan Ikmal ditepis kasar. "Lepaslah! Apa hak awak nak halang saya?!"

Ikmal mendengus lemah. Dia tidak peduli pada tepisan Uyaina. Kedua bahu Uyaina ditekan ke tilam.

"Baring dan rehat. Kalau tak, bukan awak je yang sakit nanti. Baby awak pun ikut sakit!" Tegas nada suara Ikmal kali ini sekaligus menghentikan tindakan Uyaina.

Uyaina kejang sesaat sambil mata perlahan mencari wajah Ikmal.

"Baby?"

Ikmal membalas pandangan itu tanpa riak. Tubuh Uyaina ditekan perlahan. Syukur bila Uyaina sudah mula memberi kerjasama.

"Yes. Baby. Awak mengandung. Dah lebih dua bulan. Ke awak dah tahu tapi buat-buat tak tahu?" Nada suara Ikmal berubah sedikit sinis.

Uyaina ketap gigi kuat. Terjawablah sudah persoalan yang bermain di fikirannya. Ternyata Said berjaya menghancurkan hidupnya dalam sekelip mata sahaja. Mata dipejam erat lalu tubuh dipusing untuk membelakangi Ikmal. Bahu mula terhinjut menahan esakan. Perutnya dipukul perlahan.

"Saya tak nak baby ni..." bibir merintih sayu. Pukulan juga semakin laju dan semakin kuat.

Ikmal terkesima melihat tindakan Uyaina itu. Biarpun Uyaina membelakang, dia masih dapat lihat dengan jelas pergerakan tangan Uyaina yang sedang memukul perut sendiri. Lantas lengannya menarik lengan Uyaina.

"Stop it, Uyaina. Awak nak bunuh anak awak ke?"

Uyaina mendengus bersama tangisan. Sekali lagi Ikmal ditolak kasar lalu tindakannya diteruskan.

"Saya tak nak baby ni!" Bibir mula meraung sayu. Hati menjerit pilu tanpa sempadan. Jiwa memberontak dan memprotes kehadiran nyawa itu dalam rahimnya. Amarah dan benci semakin menggunung. Dendam mula terbit di sudut hati kecil.

"Uyaina!" Ikmal terpaksa mengunci tangan Uyaina dengan cara memeluk erat tubuh Uyaian sambil kedua tangan Uyaina diluruskan ke bawah. Mata terpaut pada butiran jernih yang mengalir di pipi Uyaina. Hati tiba-tiba sakit. "Jangan kerana tindakan bodoh awak tu, awak menyesal. Mengucap!"

Uyaian teresak. Bibir diketap kuat. Matanya terpaut pada mata hazel itu.

"Saya tak nak baby ni..." rintihan bernada sayi itu terbit lagi dari bibir Uyaina.

Ikmal mengeluh kecil tapi pelukan masih tidak dileraikan. Dia menanti sehingga Uyaina betul-betul tenang barulah dia lepaskan. Untuk kali ini dia terpaksa demi keselamatan nyawa di dalam kandungan Uyaina.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience