PUAN HAMIDA menapak masuk ke dalam bilik Uyaina bersama perasaan yang bercampur aduk. Kalau bukan kerana permintaan kakaknya, dia tidak mungkin melayan Uyaina baik. Dia sudah malas untuk memikirkan tentang Uyaina. Sebab itu dia rela Uyaina berkahwin. Tak kisahlah isteri kedua ataupun suaminya bukan Said, dia tetap akan kahwinkan.
"Aina?"
Uyaina yang sibuk menyikat rambut, terus pandang ke pintu.
"Mak?"
Puan Hamida senyum segaris. cuba untuk maniskan senyuman biar hati rasa kelat. Dia sendiri masih tidak faham kenapa dia tidak suka pada anak perempuannya yang satu itu. Namun rasa itu disimpan rapi dalam hati.
"Aina dah sedia jadi isteri Said?"
Soalan itu menyentak tangkai hati Uyaina. Laju wajah Puan Hamida dicari. Bibir diketap perlahan sambil punggung dihempas kasar ke atas kerusi.
"Mak, kalau boleh Aina nak batalkan majlis ni?"
Terbuntang mata Puan Hamida bila mendengar ayat anak perempuannya itu. Pandangan berubah tajam.
"Jangan nak buang tebiat. Kalau kamu nak batalkan, jangan mimpi nak jumpa mak lagi," kata Puan Hamida tidak senang hati.
Uyaina berdecit. "Mak... Abang Said tu suami Kak Kila mak. Takkanlah Aina nak kahwin dengan suami orang."
Puan Hamida mendengus kasar. "Dia yang nak kamu kahwin dengan Said. Bukan kamu suka Said ke? Inilah masanya. Lagipun, Said tu mampu je nikah lebih dari satu. Sampai empat pun boleh."
Uyaina mengeluh.
"Tapi Aina tak nak jadi isteri kedua mak," keluh Uyaina sambil menatap wajah Puan Hamida.
"Alah! Tak lama lagi mampus lah si Kila tu. Kamu pula jadi yang pertama," balas Puan Hamida selamba tanpa memikirkan perasaan Syakila.
"Mak... apa mak cakap ni?" Uyaina mendengus. Kata-kata Puan Hamida itu keterlaluan baginya. Sampai hati dia berkata begitu.
Puan Hamida mencebik. "Sejak bila kamu baik sangat. Bukannya hari itu kamu tidur rumah Said. Mak Ngah kata bukan main kamu mengintai Said dengan Syakila?"
Berderau hati Uyaina. Bermakna dirinya dijadikan bahan umpatan? Gila! Rasa menyesal pula bermalam di rumah Mak Ngah Siah tempoh hari.
MALAM itu, Said muncul tiba-tiba untuk lihat persiapan yang dilakukan oleh orang-orang kampung. Melihat kehadiran Said, Uyaina pantas dekati lelaki itu.
"Abang, Aina nak cakap sikit," kata Uyaina sambil memandang sekeliling.
Said senyum sambil berkerut dahi. Mata turut melilau memerhati suasana rumah itu.
"Aina nak cakap apa?"
Uyaina merenung mata lelaki itu tajam. Bibir diketap kuat.
"Siapa suruh abang buat semua ni? Kak Kila?"
Said mengeluh berat lalu mengangguk kepala. "Dia saja yang nak abang nikah dengan Uyaina."
Uyaina diam seketika. wajah Said yang sudah berubah suram dipandang sekilas.
"Kenapa setuju? Tak kesian Kak Kila?"
Said berdecit. "Gila tak kesian. Abang rela je tak kahwin daripada sakitkan hati dia. Tapi dia yang nak semua ni."
"Abang... Uyaina tak nak jadi perampas!" kata Uyaina seoktaf.
Said mendengus kasar. "Aina bukan perampas. Semua ni kehendak Kila. Abang turutkan sebab abang sayang Kila,"
Uyaina mendengus tawa. "Kalau abang sayang Kak Kila, abang takkan buat semua ni,"
Said mengeluh kecil. Wajah lembut Uyaina ditilik. "Kalau kita tak nikah sekarang pun, Kila tetap nak jadikan ini satu wasiat. Jadi, kita tiada pilihan lain."
Uyaina kaku. Fikiran mula bercelaru memikirkan perkara itu. Dah kenapa Syakila nak berwasiat segala. Bukannya dah nak mati. Makin serabut fikirannya memikirkan itu.
MATA Uyaina tidak mampu lelap memikirkan semua yang dikatakan oleh Said. Bagaimana lagi dia mahu elakkan perkara itu.
Lalu dia bangun dari pembaringannya. Kaki dijatuhkan dari katil dan berdiri tegak. Menggeliat sekejap sebelum melangkah ke pintu bilik. Baru mahu memulas tombol pintu, kedengaran suara Puan Hamida menjengah pendengaran.
"Kita bagi dia nikah aje. Lepas tu, peduli nak jadi apa kat dia. Bukan tanggungjawab kita dah,"
Berderai hati Uyaina tatkala mendengar nada suara sinis Puan Hamida.
"Yelah. Lagipun, mana ada lelaki nak kat dia. Kalau ada... dah lama orang pinang. Ini duk KL haprak je. Nasib baik, Said nak pinang dia."
Uyaina tekup mulut. Mata berkaca. Perlahan dia undur setapak demi setapak. Kata-kata Azmal dan Puan Hamida yang singgah di telinganya betul-betul melukakan hatinya. Inikah anggapan mereka padanya selama ini.
Hai Reader... Terima kasih semua kerana sudi membaca karya saya.
Share this novel