BAB 45

Romance Series 154867

IKMAL renung wajah Uyaina yang masih lena. Bibir menguntum senyum bahagia. Jari jemari dilarikan ke setiap inci wajah Uyaina. Tak sangka Uyaina jadi milik dia sepenuhnya. Wajah yang mencuri tumpuan sekaligus memukau hatinya dalam sekali pandang saja.
Uyaina mencelik mata sambil tangan menepis jari jemari Ikmal. Mata dibulatkan ke arah Ikmal. "Jangan kacau, boleh tak?"
Ikmal tergelak seketika. Sekejap saja, tubuh Uyaina ditarik dalam pelukan. Bibir singgah di dahi Uyaina tanpa amaran. Jari jemari Uyaina dicapai lembut.
"Terima kasih atas kesudian sayang mewarnai malam abang semalam..." Ikmal berbisik penuh makna dan nakal.
Uyaina berdecit. Wajah membahang malu bila teringat kisah semalam. Bibir diketap kuat. "Tak payahlah nak ungkit."
Ikmal ketawa kecil. "Kenapa tak boleh ungkit? Okey apa."
Uyaina berdecit sambil cuba melerai pelukan tangan Ikmal. "Aina nak mandi."
Ikmal mengeratkan pelukan sambil melirik wajah Uyaina. "Kita mandi sekali."
Uyaina ketap bibir. Mandi sekali? Tak ade maknanya mandi sekali. Lelaki kalau diberi peluang memang tak akan lepas peluang. Ditampar peha Ikmal sambil menghadiah jelingan tajam.
"Tak payah. Aina mandi sendiri," kata Uyaina sambil mencapai tuala di kepala katil.
Ikmal tarik wajah masam. "Bolehlah sayang..."
"Tak nak!" Uyaina menolak kaki Ikmal dan lengan Ikmal serentak. Bibir dijuihkan. Geram dengan sikap gatal Ikmal itu. Tubuh ditegakkan lantas kaki dijatuhkan ke lantai.
Belum sempat bangun, Ikmal merentap lengannya perlahan. Serentak sulaman tuala di dada jatuh. Nasib baik Uyaina sempat pegang. Kalau tak, sah Ikmal cuci mata subuh-subuh.
"Abang!" Uyaina membentak geram sambil cuba melepaskan diri.
Ikmal tergelak nakal. "Ye sayang..."
Uyaina bangkit lagi sambil mencubit lengan lelaki itu. "Aina nak mandi. Nak solat subuh. Karang terlepas pula."
Ikmal terpaksa akur. Ikut hati, mahu saja dia mengunci Uyaina dalam pelukannya. Namun kenangkan diri yang juga perlu bangun untuk solat subuh dan kerja, dibatalkan niat gatal yang satu itu.

"AINA dah siapkan pakaian abang." Uyaina muncungkan bibir ke katil sebaik Ikmal keluar dari bilik air.
Ikmal pandang pakaiannya bersama senyuman manis. Indah dunia bila ada yang tolong siapkan makan pakai. Uyaina yang sudah bersiap dikerling.
"Sayang nak pergi mana? Subuh-subuh dah siap?"
Uyaina pandang Ikmal bersama senyuman. Tubuh dibawa menghampiri tubuh Ikmal. Baju kemeja Ikmal dicapai lalu dihulur kepada Ikmal.
"Abang lupa. Kan Aina nak balik kampung."
Ikmal garu kepala sebelum sambut baju yang dihulur Uyaina. Wajah Uyaina ditatap seketika. Bersungguh rupanya Uyaina. Ingatkan main-main.
"Abang ingat Aina bergurau," komen Ikmal sedikit resah.
Uyaina tergelak kecil. Siap tolong Ikmal pakai baju. Mana nak cari isteri macam dia. Hati tergelak nakal.
"Aina tak bergurau, abang. Tapi sebelum tu, Aina nak minta tolong abang hantarkan Aina ke rumah Har. Boleh?" tanya Uyaina lembut sambil membutangkan baju Ikmal.
Dahi Ikmal berkerut. "Kenapa nak pergi sana?"
Uyaina pandang wajah Ikmal. Bibir diketap perlahan. "Aina nak pinjam kereta Harlina."
Ikmal tepuk dahi sekejap sebelum kedua tangan singgah di pipi isterinya. "Sayang... Ada kereta Audi kat bawah kan? Pakai je lah. Kereta tu abang beli untuk sayang. Tak pernah jalan jauh pun. Abang guna sekali sekala je."
Uyaina diam tapi tangan menurunkan tangan suaminya. Senyuman diukir lebar. "Kenapa nak susah-susah. Aina ada kereta lah. Cuma tak sehebat kereta abang,"
Ikmal tergelak. Kedua tangannya singgah dilekukan pinggang isterinya dan ditarik perlahan sehingga tubuh mereka bersentuhan.
"Kereta hebat atau tak, sama aje kereta. Yang penting boleh guna," kata Ikmal lembut sambil menyinggahkan bibir ke dahi Uyaina. "Tapi kereta kat bawah tu memang sayang punya. Abang nak sayang guna untuk keperluan sayang. Jangan membantah. Faham?"
Uyaina kehilangan kata-kata. Kalau itu kata suaminya,apa lagi bantahan yang boleh dia beri. Lantas kepala dianggukan tanda setuju. Apa salahnya. Pemberian suami juga. Bukan nak mengikis harta tapi suami yang beri.

BERDIRI di hadapan rumah Harlina atau rumah mereka berdua satu ketika dahulu, menghadirkan rasa yang bercampur aduk dalam hati. Dapat Uyaina lihat kereta Myvi LE miliknya yang terparkir di sebelah sebuah kereta Honda Accord. Bermakna, Harlina juga sudah membeli sebuah kereta miliknya sendiri.
Perlahan Uyaina buka pintu kereta dan turun bersama dada yang sedikit berdebar. Dapat dia teka reaksi Harlina sekejap lagi. Loceng ditekan sekali.
Sekejap saja, kepala Harlina terjengul. Mata terbeliak sekejap. Berkali mata digosok tanda tidak percaya.
"Aina...." Tanpa peduli apa-apa, Harlina berlari ke pagar rumah bersama wajah riang. Sekejap saja, pintu pagar itu sudah dibuka dan tubuh Harlina selamat meneluk tubuh Uyaina.
Uyaina tergelak kecil. Bibir menguntum senyum dan tangan membalas pelukan sahabat nya itu.
"Kenapa balik tak bagitahu?" Harlina melerai pelukan sambil menarik Uyaina masuk ke dalam. Gembira bukan kepalang. Lama sungguh dia nantikan Uyaina balik ke Malaysia. Tak sabar nak tunjuk pada Uyaina hasil usaha mereka selama ini yang sudah membuahkan hasil.
"Saja nak bagi kejutan kat kau," balas Uyaina sambil melangkah masuk dalam rumah mengekori langkah Harlina.
Harlina tersenyum segaris. "Kita tak buat kerja dalam rumah ni dah."
Berkerut dahi Uyaina. Dipandangannya, ruang tamu rumah itu tidak lagi sesak seperti dulu. Malah kelihatan lebih luas tanpa produk yang bergelimpangan di atas lantai. Wajah Harlina yang sedang tersengih dipandang seketika.
"Kau dah stop production product kita ke?" tanya Uyaina bersama wajah hairan.
Harlina gelak. "Kau gila nak stop. Produk tu lah yang buat kita berjaya sampai hari ini, Aina. Takkan aku nak stop pulak,"
"Jadi... mana semua barang kita. Aku tinggal kau dua tahun je Har..." Uyaina tayang riak ingin tahu.
"Ada kat ofislah. Aku sewa ofis sekali dengan stor. Macam yang kita bincang sebelum kau pergi London. Lepas tu, produk kita dah ada tujuh jenis. Sale sebulan cecah 1 juta. Hasil bantuan seller dengan dropship..." ulas Harlina panjang lebar sambil kening dijongket.
Uyaina bawa langkah ke sofa sambil bibir menguntum senyum. Tak sangka produk yang mereka usahakan selama ini, boleh bertambah dan memberikan hasil yang luar biasa. Perlahan punggung dilabuhkan.
Harlina hanya senyum. Tahu Uyaina sedang dilanda rasa kagum yang teramat. "Kau tak nak jenguk bilik kau?"
Uyaina pantas bangun. "Nak. Rindu sangat dah dengan bilik kesayangan aku tu."
Harlina menjuih bibir. "Rindu bilik kesayangan je? Aku tak?"
Ada nada merajuk dihujung kata.
Uyaina tergelak. "Mestilah aku rindu kau juga. Kau je lah yang aku ada..."
Harlina tersenyum bangga. Mereka menuju ke tangga sambil beriringan.
"Kau dengan Ikmal okey?"
Uyaina angguk bersama senyuman di bibir. "Kami okey. Alhamdulillah. Berkat doa kau selama ni."
Harlina mengeluh lega. Bahu Uyaina ditepuk perlahan. "Aku doakan kau bahagia tanpa ada pengganggu."
Uyaina tersenyum. "Terima kasih Har..."

RINDU terlerai saat mata melekat di setiap inci biliknya itu. Bilik itu jadi saksi bagaimana dia terluka dan kecewa satu ketika dahulu. Bilik itu juga tempat dia berendam air mata satu ketika dahulu. Tilam yang berlapiskan cadar rona merah hati dituju. Rindunya...
"Aku tak usik satu pun barang kau dalam ni," kata Harlina sambil melangkah masuk. Tubuhnya dibaluti dress formal separas lutut. Rambut tersanggul cantik di atas kepala. Memperlihatkan yang dia adalah gadis bekerjaya.
Uyaina senyum. "Terima kasih Har..."
"Sama-sama kasih. Dah... Jom pergi ofis. Ofis dah tunggu kau sebagai CEO..."
Berkerut dahi Uyaina. Wajah Harlina dipandang seketika. "Kenapa pula aku CEO?"
Harlina tergelak. Sah rakannya itu hilang ingatan. "Kau lupa ye? Kan aku ada bagitahu yang syarikat kita ada dua bahagian. Satu bahagian produk kecantikan dan satu lagi butik pakaian. Ke kau buat-buat lupa?"
Uyaina tepuk dahi sekali kemudian tersengih. Tahulah dia yang Harlina akan menguruskan butik pakaian, manakala dia bahagian produk kecantikan.
"Aku memang dah lupa," akui Uyaina.
Harlina menggeleng kepala. Muda-muda lagi dah pelupa.

"KENALKAN, ini Puan Uyaina Arnia. Dia yang akan ganti tempat saya dalam syarikat ni. Saya akan menguruskan butik pakaian yang berada di tingkat bawah, manakala Puan Uyaina akan bahagian ini," kata Harlina sambil memandang wajah pekerja yang berdiri di hadapan mereka berdua.
Ada yang kelihatan riang dan ada yang bersahaja. Masing-masing menilik Uyaina kagum. Siapa tidak kagum dengan penampilan Uyaina. Mengalahkan artis. Sesuai dengan produk yang dijual oleh syarikat itu.
"Lawanya. Puan Uyaina makan apa badan lawa sangat ni. Kulit pun licin," komen salah satu dari pekerja yang ada di hadapannya.
Uyaina dan Harlina berpandangan, lalu tergelak.
“Saya makan hati berulamkan jantung,” jawab Uyaina sambil menguntum senyum penuh makna.
Harlina tergeleng. Bahu Uyaina ditepuk pelahan. Jawapan Uyaina buat dia sangat faham yang Uyaina masih lagi dengan lukanya di hati.
Tersengih-sengih pekerja di hadapan mereka itu. Wajah Uyaina dipandang penuh minat. Ya, sememangnya Uyaina jelita. Kejelitaannya itu boleh membuatkan lelaki menoleh berkali-kali.

“AKU nak balik kampung kejap lagi. Temankan aku?”
Harlina kerut dahi. “Kau buang tabiat ke?”
Uyaina geleng sambil pandang tepat wajah Harlina. Bibir kuntum senyum penuh makna. “Aku serius. Aku nak balik kampung. Esok ada kenduri kesyukuran kat rumah Mak Ngah,”
Makin terbuntanglah mata Harlina sebaik mendengar perkara itu. Wajah Uyaina ditatap tajam. “Kau jangan nak cari bala Aina,”
“Aku tak cari bala. Aku Cuma nak buktikan pada semua orang yang aku dah berjaya.”
“Tapi mak ngah kau kan bekas mak mertua kau. Tak takut jumpa Said?”
Uyaina tergelak sinis. Wajah Harlina dipandang tajam. “Bagi aku satu sebab kenapa aku perlu takut dengan jantan tak guna tu?”
Harlina terpaku. Nada suara Uyaina jelas menunjukkan yang Uyaina masih marahkan Said. Dalam erti kata lain, mungkinkah Uyaina berdendam dengan apa yang sudah terjadi padanya sebelum ini.
“Kau berdendam, Aina,” tebak Harlina.
Uyaina geleng kemudian angguk.
Harlina tarik nafas sedalamnya. “Tak baik berdendam. Allah marah…”
Uyaina tertawa sinis. “Macam mana dengan mereka yang dah sakiti aku? Allah tak marah?”
“Astagfirullah hal adzim. Amende kau mengarut ni Aina?” Harlina tumpu perhatian mata ke wajah Uyaina yang sinis.
“Kau faham maksud aku Har. Aku Cuma nak balas balik apa yang aku dah lalui selama ini.”
Harlina kelu lidah. Dia tak sangka Uyaina boleh berfikir sampai sampai ke situ.
“Aina…”
“Kau nak ikut atau tak?” soal Uyaina memintas laju sambil mata tajam menikam wajah Harlina.
Spontan Harlina mengangguk tanpa sedar.
Uyaina sungging senyum. “Thank’s Har. Kau lah kawan aku dunia dan akhirat…”
Harlina diam. Tak mampu nak kata apa-apa. Dia Cuma tak sangka hati Uyaina yang dulu lemah lembut kini dibajai dengan dendam.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience