TIDAK berkelip mata Uyaina tatkala terpandang perkataan ‘mak’ yang tertera di skrin telefonnya. Sudah bertahun Puan Hamidah tidak menghubunginya. Hari ini, tiba-tiba saja.
Dengan hati yang sedikit berdebar, ikon warna hijau di sentuh. Lalu telefon ditekap ke telinga.
“Assalamualaikum, Aina,” sapa Puan Hamidah lembut menyapa pendengaran.
Rasanya inilah kali pertama Puan Hamidah berbicara dengan nada lembut padanya. Hati ikut terkejut. Tapi minda juga sibuk memikirkan sebab Puan Hamidah menghubunginya.
“Wa’alaikumsalam. Nak apa?” Terlontar pertanyaan tanpa sedar, dari bibir Uyaina selepas menjawab salam Puan Hamidah.
“Nak… boleh tak balik jumpa mak?” tanya Puan Hamidah lembut.
Uyaina berdecit malas. Kali terakhir Puan Hamidah meminta dia balik, ketika mereka meminta dia kahwin dengan Said. Sekarang, apa lagi yang dimahukan oleh wanita setengah abad itu. Rasa sebal bertamu dalam hati. Tiada lagi rasa teruja.
“Kenapa tiba-tiba nak orang balik. Selama ni pun, bukan mak peduli pun kat Aina?” Uyaina melancarkan serangan bernada malas.
Sepi beberapa saat. Yang kedengaran hanya dengusan nafas dihujung talian. Pastinya sedang mencari jawapan untuk soalan yang tidak dijangka itu.
“Mak nak apa?” soal Uyaina lagi. Dingin tapi keras.
Kedengaran keluhan dari seberang talian.
“Mak minta maaf Aina…”
Uyaina dengus tawa. Setelah sekian lama dia menanti, sehingga hatinya sudah tawar dan terluka, baru ucapan itu meniti di bibir Puan Hamidah. Itpun setelah puas menyakiti dan melukai hatinya. Bibir diketap kuat. Cuba mencari soalan untuk menyerang Puan Hamidah.
“Kenapa nak minta maaf? Mak memang tak pernah buat salahkan? Asyik mak aje yang betul. Abang Mal dengan Arif je yang sempurna. Aina ni bawa malang je kat mak. Tak payahlah minta maaf.” Uyaina bersuara panjang lebar. Sedikit memerli.
Keluhan lagi menerpa pendengaran Uyaina.
“Aina… mak tahu mak salah. Mak banyak sakitkan hati Aina. Mak pilih kasih. Mak dah banyak lukakan hati Aina…”
“Mak, sudahlah. Aina tak nak dengar apa-apa lagi. Memang mak sakitkan hati Aina. Pilih kasih. Lukakan hati Aina. Mak buat Aina rasa tersisih selama ni. Rasa tak berguna sebagai anak. Tapi… Aina tak nak cakap pasal tu. Sebab Aina dah penat menanggung semua tu. Sekarang Aina Cuma nak lalui hidup Aina tanpa semua. Biar hati Aina tenang tanpa dilukai!”
PUAN HAMIDAH teresak sendiri, sebaik Uyaina mematikan talian. Rasa kesal menggunung. Kalau Uyaina pun betul-betul sudah tidak pedulikan dirinya, pada siapa lagi dia mahu mengadu. Azmal langsung tidak pedulikan dirinya. Yang Azmal tahu hanya duit dan duit. Duit belanja yang dikirim oleh Arif setiap bulan juga dihabiskan oleh Azmal tanpa belas kasihan.
Lebih perit lagi, sejak akhir-akhir ini, Azmal selalu saja mengajak Jannah bermalam di rumah. Bergurau senda dan berpeluk tanpa ada sempadannya. Mengalahkan pasangan berkahwin. Puas dia nasihat, tapi Azmal selalu mengamuk sakan. Langsung tidak mahu mendengar nasihatnya.
“Tulah! Dulu bukan main kau puji anak lelaki kau tu. sekarang, kan dah kena,” kata Mak Ngah Siah bila Puan Hamidah datang mengadu pada kakaknya itu.
Puan Hamidah menunduk malu.
“Sekarang ni, kau bagitahu aku siapa yang bawa bala. Azmal ke Uyaina? Selama ni, elok je Uyaina layan kau. Penuh kasih sayang. Tapi kau yang menolak kasih sayang yang dia bagi. Kau leburkan hati dia yang menagih kasih dari kau. Sekarang… rasalah macam mana peritnya bila kita mengharap sesuatu dari seseorang tu, tapi tak dipedulikan,” kat Mak Ngah Siah panjang lebar sambil mata menjeling Puan Hamidah.
Bukannya Mak Ngah Siah setuju dengan tindakan Uyaina. Tapi dia mahu adiknya itu belajar dari kesilapan llu.Bukan mudah seseorang itu melupakan apa yang pernah jadi dalam hidupnya. Apatah lagi Uyaina yang selama ini sudah menahan sakit hati sejak dari kecil.
DARI jauh, mata Puan Hamidah menangkap kelibat pasangan Azmal dan Jannah yang entah dari mana. Sakit hati bertamu dalam hati. Ingin rasa dia piat-piat telinga pasangan itu.
“Mak, Mal nak duit.” Bagai tiada perasaan, Azmal menghampirinya bersama wajah selamba. Jannah hanya tersengih sambil merangkul lengan Azmal.
“Aku takde duit!” keras jawapan Puan Hamidah.
Azmal mendengus sambil menghempas duduk di birai pangkin. Wajah Puan Hamidah dipandang tajam.
“Mak tak payah tipu Mal. Mal tahu yang Arif baru masukkan duit kan? Arif sendiri bagitahu Mal yang dia masukkan seribu. Bak duit tu,” kata Azmal dengan nada tidak puas hati.
Puan Hamidah berdecit kasar. Entah bila pula Azmal kisah tentang Arif. Dan bila masa pula Arif menghubungi Azmal.
“Jangan nak menipu sangat, Mal. Mak kenal Arif tu. Dia takkan suka-suka call kau semata-mata nak bagitahu yang dia dah masukkan duit pada mak,” balas Puan Hamidah dengan nada tidak senang hati. Setahu dialah, Azmal mana layan adik-adik dia. Arif pun dia buat tak nampak, inikan pula Uyaina. Dibuat kuli.
Azmal tayang riak puas hati. Umpan mengena, detik hatinya. Bibir diherot tepi.
“Betullah yang Arif dah masukkan duit?” Azmal jongket kening sambil memandang Jannah. Siap kenyit mata bagai.
Puan Jamilah jeda sesaat kemudian mendengus kasar.
“Kalaupun Arif dah masukkan duit, mak takkan bagi kau, Mal. Tu duit belanja untuk bayar api , air.” Puan Hamidah bangun setelah habis berkata.
Azmal mendengus kasar tanda geram. Bingkas bangun mengejar langkah Puan Hamidah.
“Macam manapun, mak kena bagi Mal duit. Mal nak pakai duit,” gesa Azmal sambil menyaingi langkah Puan Hamidah.
Puan Hamidah berhenti melangkah lalu menoleh ke sisi. Tajam.
“Nak buat apa? Berjoli?” soal Puan Hamidah keras. Dia sudah penat menghadap perangai Azmal yang gilakan keseronokan itu.
Azmal menyengih, garu kepala. Jannah yang memerhati dari jauh, dipandang sekilas.
“Nak bawa Ann pergi bercuti,” balas Azmal tanpa rasa malu.
Puan Hamidah memandang wajah Jannah dari jauh. Ikut hati, ingin dihantukkan kepala dua manusia itu.
“Kamu berdua ni tak malu ke Mal? Ke hulu ke hilir, tidur sebilik macam pasangan suami isteri. Satu kampung ni mengata mak pasal kamu. Mak malu! Tahu tak!” Melantun tinggi nada suara Puan Hamidah kerana marah.
Azmal berdecit.
“Mak nak kisah apa? Mal dengan Ann memang nak kahwin. Cuma duit tak cukup lagi. Lagipun, sekarang zaman modenlah mak. Mana ada lagi orang kisah pasal halal haram,” balas Azmal tidak mahu mengalah.
“Astagfirullah hal adzim! Azmal! Kita ni orang islam. Bukannya orang kafir…”
“Tak payah nak ceramah sangatlah Mak. Mak tu bukannya baik sangat,” pintas Azmal tajam.
Sekali lagi Puan Hamidah terkejut. Kata-kata lancang Azmal sangat menyakitkan hatinya.
“Kamu memang dah melampau, Mal!”
Azmal tayang senyuman sinis.
“Mak yang ajar Mal selama ni, Mak. Takkan mak lupa macam mana mak layan Aina dulu. Itulah yang Mal belajar.”
Rasa mahu putus nafas Puan Hamidah mendengar kata-kata balas dari Azmal. Dia tidak menyangka yang Akmal boleh sebiadab itu padanya. Sumpah! Rasa geram bertamu dalam hati.
Assalamualaikum Mula-mula sekali, Eyfah minta maaf kerana lambat sangat update cerita ni. Hari tu Eyfah dah update sampai bab 65 dalam laptop. Tetiba Laptop terpadam. Tak tersave guys. Eyfah rasa nak nangissss.... Sedih gila bila kita dah taip panjang-panjang, tiba2 jadi cam tu. Eyfah trus geram. Maaf ye semua. So hari ni daj seterusnya satu bab je tiap hari. Eyfah busy sikit puasa ni. Ada projek dengan rakan penulis lain. Tq you alls sayang korang
Share this novel