SEDANG Said, Azmal dan yang lain rancak berbual di pangkin depan rumah selepas habis kenduri, mata melekat pada sebuah kereta Audi R8 yang menyusur masuk ke halaman rumah.
“Wow! Kereta idaman aku,” kata Syamel bersama riak kagum di wajah.
Said mencebik bibir. Dia tak hairanpun. Kereta dia pun sudah cukup mewah. Jannah yang duduk di sebelah Azmal turut tayang riak kagum. Gila tak kagum. Setakat ni, kereta Said yang paling mahal dalam kampung itu. Masing-masing tertanya empunya kereta itu dan apa tujuannya datang ke situ.
Kereta Audi itu berhenti tepat di ruang kosong yang ada di hadapan mereka, menambahkan lagi tanda soal di dalam hati mereka. Siapa pemilik kereta mewah itu dan apa urusan di rumah itu. kerana cermin kereta yang gelap, tiada siapa yang dapat lihat siapa di dalam kereta itu.
Saat pintu kereta terbuka, sepasang kaki yang mengenakan heels JV berwarna hitam keluar.
“Wow! Kasut…” Ternganga mulut Jannah sekejap melihat kasut yang dipakai si empunya kereta.
Tak berkelip mata mereka semua menanti empunya tubuh keluar sepenuhnya. Ketika pemilik kereta itu keluar, semua terpaku. Kaku bersama mulut yang terbuka.
Wajah Said berubah serta merta melihat wajah itu.Terkesima!
“Uyaina?” Terucap nama itu dari bibir Said tanpa sedar.
Tubuh Uyaina yang dibaluti t-shirt putih dan jeans biru tua bersama rambut yang beralun lembut jadi perhatian mata-mata yang berada di situ. Yang dalam rumah, keluar dan yang berada di luar ternganga. Kejelitaan Uyaina membuatkan semuanya terpaku. Bukan itu saja yang menarik perhatian, tapi kereta yang dipandu Uyaina.
Uyaina melayangkan senyuman sinis dan angkuh. Beg tangan channel dicapai. Sempat dia menjongket kening pada Harlina yang masih dalam kereta.
“Sampai bila kau nak duduk dalam kereta. Nak aku bukakan pintu?”
Pantas Harlina keluar.
“Aina!” Mak Ngah Siah meluru padanya sambil diperhatikan oleh mata-mata yang ada di situ.
Uyaina sambut ketibaan Mak Ngah Siah dengan wajah gembira dan sebak. Tubuh tua Mak Ngah Siah dipeluk erat.
“Lama Aina tak balik. Apa khabar?”
Uyaina sungging senyum sambil membalas pandangan mata-mata yang ada di situ. Akhir sekali, mata bertaut dengan mata Said kemudian bibir diherot ke tepi. Sinis.
“Aina sihat. Mak ngah sihat?”
“Alhamdulillah.” Mak Ngah Siah kerling Harlina yang baru keluar dari kereta.
Uyaina senyum sambil memandang Harlina.
“Ini kawan Aina. Harlina. Har, ni mak ngah aku. Kau kenalkan?”
Pantas Harlina angguk sambil senyuma. Tangan dihulur untuk bersalam.
“Jemput masuk. Ingatkan tak datang. Mak Ngah tunggu dari pagi,” ulas Mak Ngah Siah sambil menarik Uyaina.
Uyaina senyum. “Maaf mak ngah. Aina banyak kerja. Tu yang lambat sampai,”
Tiba di pintu, langkah Uyaina hampir terhenti melihat kelibat Puan Hamida. Ingin dipeluk tubuh itu, tapi bila ingat kembali kata-kata terakhir Puan Hamida, dia batalkan niat.
“Aina…” suara Puan Hamida menyapa telinga.
Uyaina hanya mengerling sinis tanpa berhenti. Apatah lagi memeluk dan menghulur tangan. Puan Hamida sendiri yang membuang dirinya. Dan inilah Uyaina yang sudah dibuang satu ketika dahulu.
PUAN HAMIDA terkesima. Hati rasa sakit bila Uyaina tidak pedulikan dirinya. Pandang pun tidak. Kalaupun pandang, hanya pandangan sinis dan senyuman sinis. Tiada lagi senyuman atau suara lembut Uyaina yang pernah bergema satu ketika dahulu. Bibir diketap perlahan. Kenapa nak rasa sakit sedangkan, dia yang memulakan sengketa itu.
“KENALKAN, ini Syamira. Isteri Said,” kata Mak Ngah Siah sambil mengenalkan Syamira yang sedang berdiri kagum di melihat kedatangan Uyaina.
“Hai. Saya Syamira. Panggil Mira je,” sapa Syamira sambil hulur tangan.
Uyaina pandang Syamira dari atas ke bawah. Bibir melorek senyuman angkuh dan sinis. Kening dijongket sekali. Tangan Syamira ditilik beberapa saat lalu disambut hujung saja.
“Hai…” dingin nada suara Uyaina menyapa pendengaran Syamira.
Berkerut dahi Syamira. Hairan dengan kedinginan yang Uyaina tunjukkan padanya.
Mak Ngah Siah hanya tersenyum melihat gelagat Uyaina. Tahu kenapa Uyaina jadi begitu. Dia tidak terkejut pun. Mungkin Uyaina masih terkesan dengan kisah lalu dirinya dengan Said. Mereka melangkah menuju ke dapur.
“LAMA ke Uyaina kat sini?” tanya Mak Ngah Siah sebaik mereka duduk.
Uyaina kerling Harlina. “Tak mak ngah. Kejap lagi baliklah…”
Mak Ngah Siah kerut dahi. “Cepatnya balik. Tak tidur sini ke?”
Uyaina geleng sambil sungging senyum.
“Aina… bergayanya kau sekarang.” Jannah muncul bersama senyumannya. Tiada perlian seperti biasa. Hanya wajah yang inginkan perhatian.
Uyaina tayang riak menyampah. “Hidup ini perlukan perubahan. Bukannya menbongak seumur hidup tanpa apa-apa tindakan.”
Jannah ketap bibir. Harlina tayang riak terkejut dan Mak Ngah Siah turut terkejut. Uyaina tidak pernah menjawab dengan cara seperti itu sebelum ini. Ada yang berubah tentang Uyaina. Sikapnya.
SAID melangkah masuk ke dalam dapur. Dari tadi jantungnya berdetak laju sebaik terpandang wajah Uyaina. Ada rasa yang aneh muncul dalam hati. Dia tidak dapat pastikan perasaan itu, tapi rasa mahu menatap wajah Uyaina membuak-buak. Tidak dipedulikan Syamira yang berada di ruang tamu bersama yang lain. Sebaik langkah tiba di tepi meja, mata terus dihala ke wajah Uyaina. Ingin menegur.
Uyaina bangun tanpa memandang Said. “Har… jom balik…”
Mak Ngah Siah pandang Said sebelum menegur Uyaina. “Tak makan dulu ke, Aina. Banyak lauk tinggal ni?”
Uyaina lukis senyum. Said yang masih ralit merenung wajahnya langsung tidaj dipeduli.
“Takpelah Mak Ngah. Aina nak cepat. Ni singgah sekejap je. Nak jumpa mak ngah je,” jawab Uyaina.
Tangan dihulur kepada Mak ngah Siah.
Said ketap bibir. Rasa bersalah dengan kata-katanya dua tahun lalu kembali menghuni diri. Siapa kata dia tidak menyesal tuduh Uyaina bawa bala. Cuma dia tidak menyatakan rasa bersalah itu pada sesiapapun. Tapi bila terpandang wajah Uyaina, hati ingin sekali minta kemaafan dari Uyaina.
Usai bersalaman, Uyaina atur langkah untuk pergi. Saat berselisih dengan Said, lengannya diraih lembut. Spontan Uyaina berhenti melangkah lalu menjeling tajam dan sini pada Said.
“Abang minta maaf, Aina…”
Uyaina mendengus sinis. Lengan direntap kasar dan mata ditujah tepat ke wajah Said. Kalau dulu panahan mata Said dibalas dengan cinta. Tapi kini penuh api dendam dan amarah yang tersirat.
“Maaf, boleh aku tahu apa salah kau kat aku?” Kening dijongket sinis. Bibir diherot menyampah.
Said tergamam. Hati dipalu rasa sakit. Hilang sudah perkataan abang. Yang ada hanya aku dan kau. Tingkah Uyaina juga menunjukkan betapa bencinya Uyaina pada dia.
UYAINA melangkah angkuh. Sinis dan ego. Diabaikan mata-mata yang melihat sambil berbisik. Hanya bibir diherot ke tepi. Sinis!
Sekali lagi Uyaina bertembung dengan Puan Hamida.
“Aina…”
Uyaina berhenti tapi tidak menoleh.
Puan Hamida tarik nafas sedalamnya. Wajah angkuh Uyaina mengejutkan semua yang ada di situ. Langkah diatur menghampiri Uyaina.
“Aina tak balik rumah?”
Uyaina dengus tawa lantas menoleh ke wajah itu. “Rumah? Tak takut rumah tu runtuh? Aina kan bawa bala. Ke dah lupa?”
Puan Hamida terkesima. Tiada lagi nada lembut pada suara Uyaina. Yang ada hanya sinis. Baru nak bersuara, Uyaina berlalu sambil diekori oleh Harlina yang masih terkejut.
Langkah Uyaina berakhir ditepi Azmal yang kebetulan mahu masuk. Tiada kata diucap. Hanya pandangan tajam dan sinis diberi pada Azmal sebelum langkah kembali diatur untuk pergi.
Harlina tergeleng melihat perubahan Uyaina. Tak mampu nak menegur kerana dia tahu Uyaina sudah banyak kali terluka. Hatinya sudah sarat dengan dendam. Hatinya penuh dengan amarah yang terbuku sekian lama.
Untuk minggu ini, sampai sini dulu ye semua... Eyfah balik rumah mak mertua. Tak boleh nak pegang phone atau lappy sangat. Harap korang sabar tunggu sesi balas dendam Uyaina. Terima kasih! Terima Kasih!Terima Kasih! Sayang korang
Share this novel