KEBISUAN Ikmal mengundang rasa hairan di dalam hati Uyaina. Jarang sekali lelaki itu membisu bila bersamanya.
“Abang fikir apa? Dari tadi asyik diam je?” Uyaina menepuk perlahan peha Ikmal sambil melabuhkan punggung di sisi Ikmal.
Ikmal mengerling Uyaina yang masih dengan telekungnya. Bibir menguntum senyum. Resah yang bertamu, cuba dihalau pergi.
“Takde apa-apa,” balas Ikmal lembut. Bahu Uyaina diraih dan pelipis kepala Uyaina dikucup penuh kasih sayang.
Uyaina diam. Tapi mata meneliti riak wajah Ikmal yang resah.
“Abang jangan nak tipu Aina. Abang takkan macam ni kalau abang tak fikir apa-apa,” balas Uyaina tidak percaya.
Ikmal mengeluh kecil. Wajah Uyaina dipandang dari sisi.
“Abang tiba-tiba takut sayang berubah hati lepas nampak Said,” ujar Ikmal jujur.
Uyaina jeda sesaat. Wajah Ikmal dipandang bersama riak tidak percaya. “Abang tak percayakan Aina?”
Ikmal diam. Tapi kepala digeleng.
Terbuntang sekejap mata Uyaina menerima reaksi suaminya itu.
“Abang tak percayakan Uyaina?” soal Uyaina sekali lagi.
“Bukan macam tu,” bantah Ikmal. Wajah Uyaina dipandang seketika.
“Habis tu?” soal Uyaina sebal.
Ikmal tergelak melihat riak wajah Uyaina yang sudah berubah cemberut.
Uyaina mencebik bibir. Orang tanya, dia gelak. Menyampah!
Pantas Ikmal memeluk tubuh Uyaina sambil tersenyum nipis. “Abang percayakan sayang. Tapia bang tak percayakan Said.”
Uyaina menghela nafas lega mendengar kata-kata Ikmal itu. Ya, Said lelaki yang sukar dipercayai.
“Tapi kenapa abang tak percayakan Said? Bukan Said tu kawan baik abang ke?” tanya Uyaina lembut.
“Kawan baik tak semestinya percaya. Lagipun, Said tu kaki perempuan. Kalau boleh semua perempuan hendak dikebasnya. Takutlah kalau Said pasang angan-angan nak kebas sayang balik dari abang,” luah Ikmal.
Meledak ketawa Uyaina mendengar kerisauan Ikmal. Itu pula yang buat Ikmal risau.
“Abang jangan risaulah. Aina takkan terbuai dengan kata-kata manis Said tu,” balas Uyaina sambil bangun dari duduknya. Telekung yang tersarung di kepala, ditanggalkan.
Ikmal ikut bangun. “Ye ke tak terbuai? Sayang lupa ke yang Said tu pernah jadi suami sayang?”
Uyaina mencebik. “Kami kahwin bukan sebab Aina yang nak. Tapi sebab arwah Syakila. Kalau tak, hidup mati pun, Aina tak akan kahwin dengan dia.”
Ikmal hanya mengangguk. Rasa resah yang bertamu beransur pergi sebaik mendengar pengakuan yakin isterinya.
CAWAN berisi nescafe 3 in 1 yang baru dibancuh oleh Uyaina itu, ditatang menuju ke ruang tamu. Niat mahu menemani Ikmal sekejap sementara dia masih belum mengantuk.
“Minum, abang,” pelawa Uyaina sambil meletakkan cawan itu.
“Terima kasih sayang,” ucap Ikmal sambil melemparkan senyuman untuk Uyaina. Ruang kosong di sebelahnya, ditepuk perlahan. “Sit here,” sambungnya memberi arahan.
Uyaina tidak membantah. Pandangan mata melekat pada skrin komputer riba Ikmal.
“Kalau abang tanya sayang sesuatu, sayang marah tak?” Ikmal menyandarkan tubuh sambil menarik tubuh Uyaina agar ikut bersandar sepertinya.
Uyaina berkerut dahi.
“Kenapa pula Aina nak marah?” tanya Uyaina sambil menjongket keningnya hairan. Wajah Ikmal dipandang sekilas.
Ikmal menarik nafas panjang. Raut wajah Uyaina yang berkerut itu, direnung seketika. Entah apa jawapan Uyaina untuk soalannya itu. Hati sedikit resah memikirkan jawapan Uyaina nanti.
“Kalau sayang terpaksa memilih antara abang dengan Said, siapa yang sayang akan pilih?”
Uyaina jeda. Wajah Ikmal ditatap bersama pandangan yang sukar untuk Ikmal fahami. Lidah kejang seketika.
Reaksi Uyaina itu mengundang seribu resah dalam hati Ikmal.
“Kenapa abang tanya macam tu?” soal Uyaina setelah beberapa saat berdiam.
Ikmal mengeluh perlahan. Rambut ditolak ke belakang sambil tubuh dibawa menghadap Uyaina.”Abang nak jawapan.”
Uyaina menunduk seketika sambil mengukir senyuman janggal. Hati rasa tidak tenang bila Ikmal bertanyakan soalan itu. Bagai ada yang tidak kena.
“Kalau Aina pilih abang?” Uyaina jongket kening sebelah.
Ikmal tersenyum. Tapi dia yakin itu bukanlah jawapan jujur Uyaina. Dari sinar mata Uyaina pun boleh nampak keraguan untuk jawapan itu. Tubuh kembali ditegakkan dan terus menghadap komputer ribanya.
Berkerut dahi Uyaina. Rasa hairan bertamu.
“Abang?”
Ikmal menoleh sekilas sebelum kembali menekan askara di atas keyboard komputer ribanya itu.
“Kenapa abang tanya Aina macam tu?” tanya Uyaina sekali lagi.
Terhenti jari jemari Ikmal yang ligat menaip.
“Sebab kita tidak tahu apa yang akan jadi pada masa depan. Abang Cuma nak kepastian dari sayang. Betulkah sayang dah terima abang seikhlas hati sayang dan betulkah sayang tiada lagi perasaan pada Said.” Ikmal memandang wajah Uyaina.
Uyaina mengukir senyuman ikhlas. Wajah lelaki itu direnung sedalamnya.
“Aina mungkin pernah ada perasaan pada Said, tapi untuk kembali pada dia, Aina tak boleh. Sebab hati Aina dah terikat pada abang. Abang lupa ke yang Aina ni isteri abang. sah-sah antara abang dengan Said, Aina pilih abang,” ujar Uyaina panjang lebar.
Ikmal tidak mampu menyembunyikan senyumannya sebaik saja mendengar jawapan Uyaina. Itulah yang dia mahu dengar dari bibir Uyaina. Biarpun hatinya masih belum puas sepenuhnya, tapi jawapan Uyaina itu mampu tenangkan hatinya seketika.
Share this novel