HAMPIR lima bulan berada di bumi London, Uyaina semakin dapat menyesuaikan diri dengan suasana dan budaya. Selama lima bulan itu juga Khalil dan Shima sentiasa ambil tahu tentang dirinya. Semua atas permintaan Ikmal.
Kadang-kadang kebaikan Ikmal buat Uyaina terjerat sendiri. Terjerat dengan budi baik Ikmal.
Balik dari kelas, Uyaina berjalan menyusuri lorong pejalan kaki. sesekali tangannya mngusap perutnya yang sudah berusia tujuh bulan. sehingga ke saat ini, dia masih belum menyediakan apa-apa keperluan sama ada untuk anak yang bakal lahir atau untuk keperluan dirinya sendiri.
Tiba di traffic light, dia menghadap ke seberang jalan. Tidak semena-mena mata terkunci pada sekujur tubuh yang cukup dia kenali.
Ikmal sedang membawa sejambak bunga ros merah di tangan. Kelihatan senyuman di bibir Ikmal yang lebar dan gembira sebaik terpandang pada wajahnya.
Uyaina cuba untuk tersenyum tapi janggal. Malu bila Ikmal muncul lagi. Masuk kali ini, ini adalah kedatangannya yang kali ke empat. Entah apa saja yang lelaki itu mahu darinya. Sudah berkali dia menegah lelaki itu untuk datang menjenguknya. Kalau dekat, takpe. Ini, tambang aje sudah beribu. Hai, tak sayang duit betul mamat ni! getus hati kecil Uyaina.
Sebaik lampu bertukar hijau, Uyaina mengatur langkah cermat untuk melintas. Sambil itu mata terus terkunci pada wajah Ikmal yang turut bergerak ke arahnya. Mengalahkan drama pun ada.
Langkah mereka bertemu di tengah-tengah. Serentak jambangan bunga disuakan ke wajah Uyaina. Bibir menguntum senyum paling mahal buat Uyaina.
"Hai..."
Uyaina tergelak kecil. Wajah membahang malu bila jambangan bunga itu bertukar tangan.
"Hai..."
Ikmal menunduk untuk melihat perut Uyaina yang sudah memboyot. " Awak dengan baby sihat?"
Lembut suara Ikmal menyapa pendengaran Uyaina. Uyaina tersenyum simpul. "Kita melintas sampai seberang baru bertanya khabar. Ni kita kat tengah jalan ni. Karang kena langgar, tak balik Malaysia, kita,"
Ikmal tergelak malu sambil menggaru kepala. Terlalu excited punya pasal, dia jadi tak ingat dunia. Ikmal, Ikmal.
"APA khabar?" Soalan sama dilontar Ikmal selepas saja mereka tiba di tempat Ikmal berdiri sebentar tadi.
Uyaina senyum segaris sambil melirik bunga yang diberikan oleh Ikmal.
"Saya baik..."
"Baby?" Ikmal mengerling seketika. Langkah diatur seiringan dengan langkah Uyaina.
Uyaina menunduk sebaik mendengar soalan itu. Malu bila yang bertanyakan tentang anaknya bukan suaminya tapi lelaki lain.
"Baby sihat. Sama macam mak dia," balas Uyaina sambil membalas pandangan Ikmal sekilas.
"Khalil kata awak tak beli barang baby lagi. Kenapa?" tanya Ikmal ingin tahu. Sepatutnya Uyaina sudah menyediakan segala keperluannya untuk bersalin. Termasuk keperluan anak yang bakal lahir.
"Nantilah saya beli. Bila ada masa," dalih Uyaina. Risau kalau Ikmal tiba-tiba tawarkan bantuan. Dia sudah tidak mahu terikat dengan budi. Sudah terlalu banyak yang lelaki itu lakukan untuknya.
Ikmal diam seketika kemudian tangan mencapai lengan Uyaina yang berlapis.
"Jom kita pergi beli," ajak Ikmal tanpa meminta persetujuan Uyaina. Terus saja buat keputusan seolah-olah Uyaina isterinya.
Uyaina berdecit. "Tapi saya tak nak beli lagi,"
Ikmal menghentikan langkahnya lalu menoleh. kening dijongket seketika.
"Kenapa tak nak beli? Kalau awak tiba-tiba terberanak, macam mana?"
"Takpelah. saya boleh beli sendiri. Tak nak susahkan awak dah," pinta Uyaina lemah.
Ikmal berdecit perlahan. "Tak susah mana pun. Jom..."
Ikmal langsung tidak menerima bantahan Uyaina. Itu membuatkan Uyaina semakin gelisah.
"BABY girl ke boy?" tanya Ikmal lembut ketika mereka sudah masuk ke salah satu butik menjual pakaian kanak-kanak.
"Tak tahu," balas Uyaina acuh tak acuh. Melihat pakaian yang dijual dalam butik itu, dia yakin yang harga pakaian di situ bukan calang-calang. Dia bukannya orang kaya sangat.
Ikmal berkerut dahi sesaat kemudian tangan mencapai troli kecil. Kalau itu gaya Uyaina, biar dia ambil saja mana yang sesuai untuk lelaki dan perempuan. Laju saja tangannya mencapai pakaian, stoking, sarung tangan, botol susu.
Uyaina sudah terbeliak melihat tingkah laku Ikmal.
"Dah lah tu. Tak payah nak beli banyak-banyak," bantah Uyaina sambil cuba mengintai harga-harga barang yang di ambil oleh Ikmal. Cukup ke duit yang ada dalam tangannya.
"Tak payah kira. Saya bayar untuk bakal anak saya," kata Ikmal bila melihat wajah resah Uyaina.
Uyaina mati kutu sekejap. Tak tahu apa lagi yang hendak dia beritahu pada Ikmal. Bantahannya langsung tidak diendahkan oleh Ikmal.
Share this novel